Showing posts with label Bebas. Show all posts
Showing posts with label Bebas. Show all posts

Saturday, January 4, 2014

Joh Atu!



Joh atu!
Masuk tahun baru, masuklah darjah satu. Joh Atu!

Gambar di atas adalah getah pemadam pensel. Bangsa Terengganu memanggilnya sebagai ROBA. Inggeris memanggil getah sebagai rubber. Asimilasi bahasa menjadikan getah pemadam disebut roba oleh Bangsa Terengganu. Bentuk roba zaman sekarang ini ada pelbagai bentuk dan ragam. Di atas ini adalah pokok kaktus berpasu. Dulu roba kebanyakkannya hanya berbentuk segi empat dan bulat. Ada gambar bendera pelbagai , dan gambar watak kartun rancangan di tv. 

Assalamualaikum cikgu!

Wednesday, January 1, 2014

Tahung Due.Ribu.Pak.Belah

Banjir beso baru ning
Habis kemamang kene boh
Dua ribu tige belah lepah dok sakning
Due ribu pak belah pulok sapa doh!

Ya Allah. Jauhkanlah bencana kepada negeri kami, kepada negara kami. Amin.

Tuesday, January 1, 2013

Tahun Melawat Terengganu 2013

Selamat datang weiii...




Thursday, December 27, 2012

Awi Rafael : Asalkan Aku Ok Di Dungun

Asalkan aku Ok...

Hati Bersih Tak Lupa Solat...




Monday, May 28, 2012

Papan Tanda Lama Sempadan Majlis Daerah Dungun

Aku ke Dewan Sivik berdekatan dengan SMKTIZ ( Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Intan Zaharah) Dungun waktu April 2012 yang lalu. Pergi bukan untuk main badminton atau apa-apa riadah sukan dalam dewan. Pergi mengunjungi Al-Ikhsan buat jualan murah. Setelah belémbang (selongkar) dan beli apa yang murah dan berkenan di hati, aku beredar pulang tetapi terkejut (betul tak tipu) kerana melihat papan tanda Selamat Datang yang lama yang diletakkan di depan dewan ini. Ini papan tanda lama. Lensa ditumpukan pada papan tanda berbentuk rumag tele tradisional Melayu Terengganu ini. 

Puas aku mengingat dan memikir yang mana aku pernah nampak papan tanda ini dahulu. Akhirnya baru aku ingat bahawa ia dahulu terletak di sempadan antara daerah Dungun dan Marang, antara Rantau Abang dan Jambu Bongkok. 

Kini ia dipindahkan ke dewan ini. Masih utuh aku rasa walau warnanya kian pudar, tapak tiangnya senget tapi dilapikkan supaya berdiri seimbang. Papan tanda lama sebelum Majlis Daerah bertukar kepada Majlis Perbandaran.

Logo lama Masjlis Daerah Dungun.


Bumbung Tele-ikon negeri Terengganu. 


Ukiran kayu. Klasik boh! 


Dinding seperti rumah Melayu Terengganu. Aku rasa namanya teknik ketam kembung. Kalu saloh kabo!


 Selamat Datang weiii! Tulisan jawi yang mahal tuh!


Ikon Piung (penyu) 3 ekor. 


 Perhatikan bahagian antara bawah bumbung dengan atas ukiran, ada bentuk matahari bercahaya. Sama seperti konsep rumah tele.


Bahagian atas. 


Bahagian bawah.



Nampak gayanya pihak Majlis masih sayang papan tanda ini, bagus juga. Kalau boleh baik pulih sedikit. Letak kat Muzium Dungun ke? -sebagai tanda sejarah dan kenangan yang dahulunya ia pernah berada di sempadan antara Dungun dengan Marang menjadi tanda menyambut Selamat Datang ke Dungun.

Sunday, January 1, 2012

Dua. Ribu. Dua. Belas.

Dua. Ribu. Dua. Belas. Cuti Umum Bagi Seluruh Malaysia kecuali kawasan daerah DUNGUN, Kemaman, Marang, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu Setiu dan Besut dalam negeri Terengganu Darul Iman (termasuk negeri Johor, Kelantan, Perlis dan Kedah). Terima kasih kepada pembaca @Dungun masih sudi jenggah, singgah, sama ada pembaca tetap, pembaca dan diam, pembaca dan komen, sepintas lalu, dan sebagainya. Sudi-sudikan menjengah dan membaca @Dungun.

Saturday, December 31, 2011

Marang di Pontian

Dari entri Tanjung Piai Memandang Karimon

Setelah beredar dari Tanjung Piai, aku mengambil laluan Pontian. dalam beberapa kilometer, aku dapati kawasan Pontian ini seperti aku pernah melaluinya. Dejavukah? Tidak? Tidak. Laluan di kawasan Pontian ini rupanya kawasan alamnya sama seperti ketika melalui kawasan daerah Marang. Jika dari Dungun hendak ke Kuala Terengganu, melalui jalan pantai berhampiran kawasan kampung dalam daerah Marang, geografi Pontian seakan mirip. Lebih kurang sama. Ah! Terengganu lagi. Banyak kawasan di Tanjung Piai dan Pontian ini mengingatkan aku kepada negeri aku Terengganu Darul Iman. Suasana jo'ong, kadang hujan rintik-rintik, air pasang, ombak kuat, semuanya mengimbau ingatan aku kepada tengkujuh di Terengganu. 

Bercerita semula tentang Tanjung Piai, anda jangan terkejut jika ketika anda berada di sana talian telefon bimbit anda akan menerima mesej untuk bertukar roaming talian Indonesia 

Hah!


Dari Piai lalu Pontian
Laluan kampung indah sekali
Seperti Marang seperti seakan
Teringat negeri rindu di hati

Wednesday, December 28, 2011

Tanjung Piai Memandang Karimon

Aku berkelana beberapa hari ke Johor Bahru. Hati yang menggunung untuk ke satu tempat yang menjadi mercu tanda dunia sebagai Penghujung Selatan Tanah Besar Asia atau dikenali sebagai The Southernmost Tip Of The Mainland Asia Continent. Aku ke sana ada beberapa sebab. Sebab pertama sebab ada kerinduan aku di situ. Sebab kedua kerana aku suka ke tempat yang belum pernah aku jejak terutamanya kawasan pantai kerana aku adalah pencari pantai. Sebab seterusnya ialah sebab mercu tanda seperti yang aku katakan di atas.

Sebelum aku sampai ke situ, aku singgah dahulu ke Tanjung Piai Resort untuk mengisi perut waktu tengahari dengan menjamu makanan nasi goreng berlaukkan makanan laut iaitu udang dan sotong seperti biasa apabila kawasan laut pastinya makanan laut menjadi sajian setiap restoran. Harga makanan di situ agak menarik.

Tinggalkan dahulu cerita makanan. Angin tengkujuh mungkin tempias yang sampai ke sini terlalu kuat tetapi ia menyegarkan suasana. Tempias laut dan kadangkala rintik hujan menjadikan suasana nyaman. Pergerakkan aku ke titik paling hujung tersebut mulanya agak terbantut disebabkan seperti banjir menggenangi jalan ke arah Taman Negara Tanjung Piai (di mana titik tersebut terletak di situ). Aku melalui jalan lain iaitu jalan utama untuk menuju ke situ. Rupanya ada dua jalan yang menuju ke arah tersebut di mana jalan yang selari dengan laut digenangi air, manakala jalan yang dalam sedikit iaitu jalan utama elok untuk dilalui. Sampainya aku di depan pintu masuk ke Taman Negara tersebut, aku dikejutkan lagi jalan masuk ke pintu utama di situ digenangi air separas lutut. Perlukah aku mengarungnya? 

Pengunjung-pengunjung yang mahu pulang membantu aku dengan menyarankanku supaya mengambil jalan darat yang lain yang mana tidak jauh dari situ yang tidak dibanjiri air. Lantas aku mengambil jalan darat yang berselut yang merupakan seperti laluan titi besar bertanah selut yang memisahkan aliran air seperti kawasan mengabang, seperti tali air yang besar. Setelah itu aku melalui jalan berlantaikan konkrit yang telah rosak dan perlu berhati-hati.

Perjalanan untuk ke pintu masuk mengambil masa dalam 5-10 minit dengan bahagian tepi sebelah kanan dipenuhi dengan pokok paya bakau dan diiringi dengan kawanan kera dan lotong cekung (sejenis monyet). Dinasihati anda buat tak tahu sahaja dan jangan mengacau mereka. Sampai di pintu masuk, anda akan teruja melihat mercu tanda batu menunjukkan peta dunia dan ukiran daun pokok piai. Bagi meneruskan perjalanan ke kawasan mercu tanda anda perlu membayar RM5 untuk dewasa, warga tua RM3, dan kanak-kanak bawah umur 6 tahun adalah percuma.

Aku melalui jalan yang disediakan iaitu jambatan kayu yang dikelilingi dengan hutan paya bakau. Laluan ini agak licin kerana hujan. Ditemani dengan rintik-rintik hujan perjalanan menuju ke titik tersebut mengambil masa dalam bawah 10 minit. Di sepanjang perjalanan anda akan dapat membaca pelbagai kata-kata dan ayat nasihat (seperti ayat tidak boleh membuang sampah merata-rata) yang diletakkan pada tiang kayu dan pada jambatan. Sedikit merunsingkan aku ialah jambatan kayu ini banyak yang rosak, reput, ada yang berlubang dan ada yang hilang sekeping lantai kayunya di kawasan yang berbeza. Ia agak mengganggu perjalanan dan membahayakan pengunjung-harap ada pihak yang memperbaikinya.

Penamat jambatan kayu ini ialah jambatan konkrit yang menyambungnya hingga ke tengah laut yang menempatkan globe (globe ini seperti telah rosak di mana petanya berlipat-lipat dan berkibar ditiup angin) yang menjadi titik paling selatan bagi tanah benua asia. Sampainya aku ke situ, ia begitu mengujakan aku. Teruja ke satu tempat yang paling selatan bagi tanah besar benua asia, tapi yang paling penting ialah sekiranya cuaca elok dikatakan orang, aku akan dapat memandang tanah moyangku. Hendak aku ke sana tak tersampai. Hanya memandang dan sampai sempadan sahaja yang aku mampu. Memandang ke Karimun. Memandang ke arah pulau seberang yang tidak nampak tapi aku tahu ia berada di situ. Pulau yang dikatakan asal moyang aku. Moyang sebelah ibu kepada ibuku. Ayah kepada nenek aku. Mempunyai kaitan dengan tanah Johor dan Pulau Karimun. Rindu seperti diubati ketika aku di situ seketika. Walaupun aku tidak pernah menjejak ke pulau itu namun ke Tanjung Piau membuat keterujaan aku membuak-buak Pastinya jika ada masa lagi, aku akan kembali ke sini.

Nota : Aku ke situ dengan keluargaku dan rakan karibku (serta keluarganya) yang asalnya juga dari Dungun (Kampung Sungai Buaya) yang tinggal dan bekerja di Johor Bahru. Kawasan masuk ke Taman Negara Tanjung Piai ini digenangi air adalah kerana fenomena air pasang seperti yang ditunjukkan dalam penerangan bergambar yang diletakkan di kawasan berhampiran kaunter pertanyaan/tiket. Pulau Karimun dengan Tanjung Piai dikatakan jaraknya sejauh 64km. Di titik penghujung selatan tersebut jika cuaca elok anda akan dapat melihat Pulau Singapura dan Pulau Karimun. Banyak kapal-kapal besar/kargo berlabuh di sekitar berhadapan dengan Tanjung Piai.

Pautan Google Map : Tanjung Piai



Hendak ke Karimun tak tersampai
Tanjung Piai mengubat hatiku
Tanah moyang jauh tak tergapai
Di sini aku teruja rindu

Monday, December 19, 2011

Oghang Pata

"Walau duduk di mana sekalipun, pantai juga dicari"

Sememangnya pantai juga yang aku cari. Walau aku tinggal jauh dari Dungun, jauh dari pantai, ke pantai jua aku pergi untuk sekali-sekala melepaskan rindu. Walau ombak di sini tidak segah di sana, tidak semerdu, tidak sederu samaada dari deru ombak mahupun deru anginnya, aku cuba jua untuk merasainya seolah-olah berada di Dungun. Aku pernah mengeluarkan kata-kata pada kerabat tua keluarga sebelah ayah aku yang juga merantau  jauh dari Dungun (merupakan orang yang dikenali sekitar bandar di Dungun satu masa dahulu dengan berdasarkan jawatannya dalam pekerjaan di Jabatan Penerangan):

"Kite oghang pata, dokleh tadok pata, nok cari gok pata, beh duk pata"
(Kita orang pantai, tak boleh tak ada pantai, nak cari juga pantai, best duduk kat pantai)

Kata-kata aku dipersetujui olehnya dan beliau juga seperti aku. Beliau juga bercerita ketika tinggal di selatan semenanjung dahulu, beliau kadang-kala mencari pantai, hendak merasai suasana pantai seketika. Mungkin ini perasaan orang-orang Terengganu yang tinggal di pesisir atau pinggir pantai, walau di mana pun berada jauh nun dari pantai, ke pantai juga tempat melepaskan lelah, rehat seketika.

Sunday, November 27, 2011

Selamat Menyambut Awal Muharram 1433Hijrah

Wednesday, October 12, 2011

DRCC : Papan Tanda Telah Diturunkan


Penulis seperjuangan saya iaitu Dungun.Net telah memberitahu di dalam blog beliau berkenaan papan tanda DRCC telah diturunkan. Alhamdulillah. Sila rujuk di sini.

Tuesday, October 4, 2011

Kuala Dungun : Mohon Diperbetulkan

Papan tanda Masjid Kampung Sungai Udang.


Mohon diperbetulkan papan tanda Masjid Kampung Sungai Udang. Penulis merasakan poskod sepatutnya ditulis sebagai 23000 Dungun, Terengganu Darul Iman. Poskod 23000 sepatutnya diikuti dengan perkataan Dungun bukan Kuala Dungun kerana Kuala Dungun adalah nama tempat dan juga merupakan nama Mukim (seperti yang penulis ketahui sejak dari sekolah menengah dahulu-Mukim Kuala Dungun 1 dan Mukim Kuala Dungun 2). Jika Kuala Dungun itu mahu dimaksudkan sebagai Mukim, eloklah ditulis sebagai Masjid Kampung Sungai Udang, Mukim Kuala Dungun, 23000 Dungun, Terengganu Darul Iman. Jikalau alamat di atas papan tanda tersebut memang telah betul, maka maafkan atas khilaf penulis. Penulis mungkin tidak tahu.

Monday, October 3, 2011

DRCC : Mohon Diperbetulkan.

Mohon diperbetulkan.


Penulis rasa papan tanda ini ada salah ejaan yang perlu diperbetulkan. Jika benar perkataan CURCUIT yang ditulis ingin dimaksudkan sebagai LITAR, ia sepatutnya ditulis sebagai CIRCUIT. Mohon pihak berkuasa memperbetulkan papan tanda ini yang terletak di Jalan Nibong berdekatan Taman Reakreasi Jalan Nibong.


Sunday, October 2, 2011

Sekitar GP Joran Dungun Berita Harian

Pagi sekitar Pantai Teluk Lipat...

Khemah GP Joran Berita Harian 02.10.2011 di daerah Dungun.


Di depan Pantai Teluk Lipat.


Joran-joran milik peserta-peserta di sepanjang pantai.


Pemandangan yang menarik.


Pagi yang tenang.

Sunday, July 10, 2011

Dok rase saloh ke...?

TAK RASA BERSALAH KE...? BUANG SAMPAH DARI KENDERAAN ANDA?


Papan tanda sindiran yang diletakkan di jalan utama Dungun, dari arah PAKA-DUNGUN dan arah DUNGUN-KUALA TERENGGANU di kawasan lampu isyarat depan Pasar Buah Dungun. Harap-harap kita faham-faham sendiri. Sayangi Dungun.

Thursday, July 7, 2011

Di mana Kuala Dungun?

Jeragang tanya, "nak tanya mung se awang acu jawab molek..... kuala dungung tu sebeno2 nyer duk kat aner gok?"

Aku jawab, "Huh! Soalang cepu mas tu, dari segi geo ambe dok tahu sangak, tapi ambe cube teka, kuala tu adalah kawasan air yang berbeza warna dia antara sunga dengang laut. Kene duduk tengok kat tanjung hujung kuala tu baru napok. Ye dok?"

Jeragang jawab, "sebenonye ambe pung dok tahu jugak tapi ambe berasa setentang antara ujung tanjung dengan bukit lepas teluk ddare bukit belah orang panggil."


Aku rasa jawapan Jeragang betul, kerana kalau tak silap aku, kawasan tersebut adalah kawasan sempadan laut dan sungai di mana airnya berbeza dan menandakan ia sebagai sempadan sungai laut. Kalau anda berada di tanjung kuala sebelah Kuala Dungun, anda akan dapat melihat ombak kecil di sebelah daratan tebing sungai yang berpasir seumpama pantai. Kawasan yang menghadap jeti LKIM ini seumpama kawasan pantai mungkin kerana ia merupakan kawasan yang berhampiran dengan pantai laut-maka tempias ombak sedikit menjadikan arus sungai di sini berombak kecil. Tambah lagi laluan bot-bot nelayan pergi dan pulang yang menjadikan arus sungai berombak.

Wednesday, July 6, 2011

Pembangunan Pantai Di Dungun

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini pelbagai Homestay, Hotel, Resort tumbuh bagai cendawan di sepanjang pantai dari bermula jalan Muzium Dungun hinggalah ke Sura Hujung. Perniagaan berteraskan perhotelan ini semakin bertambah dan panorama di sini hampir-hampir mirip di sepanjang pantai Port Dickson (walau tidak segah PD). Ini mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Cumanya aku rasa kurangnya promosi tentang hotel-hotel di sini. Mungkin baru merangkak dan pantai-pantai di Dungun ini masih lagi memerlukan sedikit sentuhan pembangunan tanpa perlu mengacau keaslian keindahannya.

Cakap-cakap kampung mengatakan tanah-tanah pantai ini akan dibangunkan, mungkin untuk tujuan pelancongan. Bagi aku ia bagus tapi seperti yang aku katakan tadi, diharapkan sentuhan pembangunan tidak menjadi pengacau kepada keindahan yang asal di sini. Jangan rosakkan landskap pantai di sini. Mungkin pantai PD boleh dijadikan penanda aras, tetapi terlalu banyak hotel yang meninggi langit, pelbagai deretan bangunan telah menjadikan pemandangan di sana tidak sesyahdu pemandangan pantai-pantai di Dungun. Pendek kata-sesak. Mungkin boleh dibuat kuota jumlah hotel dan resort yang boleh dibina di sepanjang pantai di Dungun bagi memudahkan pihak PBT mengawasi pembangunan di sini di samping dapat mengekalkan keaslian keindahan pantai.

Satu lagi ialah promosi. Peningkatan promosi mungkin menjana ekonomi di Dungun. Aku rasa sekalian blogger-blogger atau jurnalis jati Dungun atau berpangkalan di Dungun boleh membantu dengan mempromosi secara percuma di blog dan laman sesawang anda. Apa salahnya membantu anak setempat kita sendiri? Selain daripada itu, aktiviti-aktiviti pelancongan di Dungun mungkin boleh dipertingkatkan, dan aku rasa anak setempat kita di dalam PBT atau dalam kerajaan mempunyai perancangan yang baik bagi meningkatkan pelancongan di sini.

Sedikit cadangan aku :

  • Jadikan Pasar Besar Dungun segah Pasar Kedai Payang atau Pasar Siti Khadijah di Kelantan. Jadikan pasar ini bukan semata-mata menjual barang masakan, dapur dan hasil darat dan laut, tetapi juga intergrasikan juga dengan hasil seni tempatan seperti batik canting-dengan membina kawasan mengusahakan batik canting (Rumah Batik Canting), kawasan pembuatan keropok lekor/keping (Rumah Keropok Lekor), kawasan mengusahakan makanan tradisional seperti akok, nasi dagang, rojak kateh dan sebagainya-namakan ia sebagai Rumah Juadah Terengganu. Popularkannya walau mungkin mengambil masa.
  • Jadikan Melaka sebagai penanda aras dalam menjaga kebersihan dan menjadikan pelancongan sebagai sumber ekonominya.
  • Temakan daerah Dungun dengan satu nama yang memudahkan pelancong untuk mengenalinya- umpamanya sebelum ini Dungun pernah digelar Dungun Bandar Tenggiri. Aku pula lebih suka dikenali sebagai Bandar Muara Sungai.
  • Slogan JOM PAKAT GI DUNGUN, begitu menarik, cuma perlukan seseorang yang pakar untuk membuat logo bagi menusuk ingatan para pelancong. Aku pula gemar menggunakan Tiang OPAL sebagai tanda pengenalan Dungun. Mungkin anda mempunyai pendapat yang berbeza?
Itu sahaja? Mungkin.

Monday, June 20, 2011

Bersihnya Dungun!

Rasa terharu. Kenapa? Tanggungjawab pihak yang berkaitan dalam mengendalikan kerja pembersihan dan cara menguruskan kebersihan di daerah Dungun. Kepulangan aku ke Dungun dan jengah aku ke beberapa kawasan pantai, kampung dan temubual membicarakan tentang pengurusan pengutipan sampah membuatkan aku rasa tertarik dan cara ini telah berubah berbanding dahulu.

Aku difahamkan setiap zon di kampung-kampung mempunyai kontraktor yang berlainan dalam menjaga kebersihan dan proses mengutip sampah. Cara mereka mengendalikan kerja pembersihan membuatkan aku rasa puashati. Di sekitar pantai pekerja-pekerja ini begitu tekun dan rajin dalam melaksankan menjaga kebersihan. Jika ada kenduri, dengan melihat khemah sahaja yang di pasang depan atau di halaman Tuan Rumah, maka dua tong besar diberi secara pinjaman sementara (tanpa bayar, tanpa duit pendahuluan atau duit sewa) untuk digunakan oleh pihak tuan rumah bagi memudahkan membuang sampah terus ke dalam tong besar beroda ini. Menarik!

Kontraktor-kontraktor yang berbeza yang dianugerahkan kontrak pembersihan mungkin mewujudkan sifat daya saing untuk menunjukkan komitmen dalam mengendalikan perniagaan berbentuk perkhidmatan pembersihan ini. Selain itu mungkin pihak kontraktor mudah untuk mengawal Manning (kakitangan pekerja pembersihan) dalam melaksanakan tugas kerana diperuntukan kawasan yang tidak begitu besar dan tidak memerlukan ramai pekerja. Mungkin juga pihak Majlis Perbandaran Dungun mudah untuk mengawal dan berurusan dengan kontraktor apabila proses penilaian kualiti (QA/QC) yang dibuat mengikut jadual dan skop kerja sebelum proses pembayaran dibuat. Ini semua teori aku berdasarkan pengamatan yang singkat dan pengalaman aku sendiri.

Ini pula cadangan aku :
  • Pihak Majlis Perbandaran Dungun perlu menyediakan tong-tong beroda yang besar dan dibezakan dengan kategori sampah. Mungkin dipecahkan untuk besi, sampah plastik/makanan/botol, kaca dan tin aluminium. Sampah berbentuk barangan elektronik seperti telefon bimbit (handphone), monitor komputer dan televisyen juga perlu diurus dengan cermat dan betul.
  • Mewujudkan perkhidmatan untuk mengutip sampah berupa dahan pokok yang besar, batang pokok dan sepertinya sebagaimana seperti contoh menyediakan tong sampah beroda secara pinjam percuma apabila ada kenduri-kendara. Mungkin boleh dibuat secara talian untuk memudahlan penduduk memangil pihak kontraktor dalam menguruskan sampah kategori pokok ini. Ini perlu kerana daerah Dungun masih dalam dunia kampung klasik yang masih utuh dengan keindahan landskap pokok-pokok tanaman.
  • Membuat tinjauan (Survey) secara rambang (Random) dengan penduduk-penduduk kampung berkenaan kepuashatian atau tidak dengan perkhidmatan yang diberikan oleh setiap kontraktor. Setiap tinjauan ini boleh diekstrak menjadi satu keputusan untuk melihat sejauh mana keberkesanan perkhidmatan yang diberikan. Selitkan juga ruang cadangan (BANK OF IDEA) bagi mendapatkan idea-idea rakyat bagi membantu mengindahkan daerah Dungun dan juga menjaga kebersihan daerah ini bersama-sama.
  • Banyakkan papan tanda (Signboard/Signage) berkenaan kebersihan. Ini satu psikologi! Hari-hari nampak, hari-hari baca takkan tak berdetik di hati untuk menjaga kebersihan. Letakkan papan tanda ini di segenap pelusuk kampung, bukan di tepi jalan besar sahaja. Itu sekurang-kurangnya satu cara untuk mendidik masyarakat melalui papan tanda.
Cukup setakat ini. Mungkin ada idea nanti aku tulis lagi. MENUJU BERSIHNYA DUNGUN!

Friday, May 20, 2011

Sukar

Agak sukar untuk aku membezakan dua blog kepunyaan aku yang mengaitkan dengan negeri Terengganu. Blog-blog aku ialah :
Aku pernah menjelaskan bahawa kemungkinan kedua-dua blog ini akan ada dua entri atau artikel yang sama dan akan ada artikel yang berbeza. Mungkin kali ini aku perlu membezakan kedua-dua blog ini. Blog journeyterengganu akan aku perbanyakkan gambar-gambar yang berkaitan dengan negeri Terengganu (walau termasuk perihal daerah Dungun), dan blog @Dungun akan menumpukan perihal Dungun, pengalaman aku, dan slanga bahasa Terengganu.

Walaubagaimanapun selitan dan selingan slanga bahasa Terengganu dan pengalaman aku juga perlu ditulis di blog journeyterengganu. Ianya perlu kerana tak dapat tidak negeri Terengganu ini penuh keunikkan dengan bahasanya. Walaubagaimanapun aku cuba untuk membezakannya.

Apa-apapun sila lawat juga ke blog aku ini : Kembara ke journeyterengganu (Pemenang Hadiah Saguhati daripada Kerajaan Negeri Terengganu dalam Pertandingan Blog Pelancongan 2010).

Thursday, January 27, 2011

Rumah Chendering

Rumah milik kerabat penulis. Rumah Bujang Berselasar. Kayu cengal yang penuh ukiran, bertiang banyak dan atak bate singgora.