Showing posts with label Cerpen : Jangan Tendang Bola Itu. Show all posts
Showing posts with label Cerpen : Jangan Tendang Bola Itu. Show all posts

Monday, October 13, 2008

C-Louge : Jangan Tendang Bola Itu! (Tujuh)

"Arwah abang kau bukan hanya kemalangan..."

Ayah tunduk ke bawah memandang ke lantai. Mak mendiamkan diri. Aku mengerut dahi. Aku lihat muka mak berubah. Air mata mak mula menitis. Hati aku tiba-tiba sayu...

"Setelah arwah pulang dari perlawanan akhir, arwah kemalangan jalanraya. Arwah dalam perjalanan pulang ke rumah. Arwah masuk ICU selama beberapa hari sebelum meninggal dunia. Arwah cedera parah.Keretanya remuk. Pihak polis asalnya melaporkan mungkin arwah mengantuk lalu terbabas melanggar pokok,tapi.." Ayah berhenti sekejap melepaskan nafas. Mak menangis. Dikesatnya air mata agar tak bergenang.

"Sabotaj !Arwah abang kau sebenarnya dilanggar dari belakang. Dilanggar oleh lori. Sebelum perlawanan akhir beberapa bookie perlawanan cuba merasuah abang kau. Arwah abang kau menolak. Bookie keparat tersebut beri kata dua; DUIT atau MATI. Jika arwah menerima duit bermakna arwah menjual perlawanan jika tidak padah. Masa di ICU abang kau selalu menyebutJangan tendang bola itu..." Aku setia menunggu.Ayah berhenti lagi melepaskan nafas bercampur batuk. Keras batuk ayah.

"Polis akhirnya menyiasat dan bookie tersebut ditangkap kerana bukan arwah sahaja yang ditawarkan duit tapi dua tiga orang lagi. Mereka menolak kerana semangat untuk menang pada perlawanan akhir. Ayah tak tahu sebenarnya kisah ini.Arwah tak pernah beritahu kepada ayah dan tak melaporkan hal ini kepada pihak polis. Setelah kematian arwah barulah mereka yang pernah ditawarkan duit melaporkan kepada pihak polis. Jangan tendang bola itu... itulah kata-kata arwah yang ayah ingat sampai bila-bila. Ayah masih tidak faham kenapa arwah menyebut kata-kata itu... sampailah sekarang... tapi ayah rasa sedih arwah meninggal dunia saat gemilang yang arwah kecapi. Memenangi perlawanan akhir..."kata-kata ayah terhenti setakat itu.

"Sebab itulah mak dan ayah menghalang kau dari terus bermain. Mak dan ayah bimbang peristiwa dulu terjadi, tapi Cikgu Mat datang berbincang dengan ayah dan memujuk ayah. "Mak akhirnya bersuara. Aku menganguk. Kini telah aku faham satu persatu. Selama ini aku tak tahu menahu perkara ini.Melalui akhbar aku tak tahu. Televisyen jauh sekali tapi ayah mengatakan bahawa pihak polis dan pihak persatuan bola sepak negeri tak mahu mengwar-warkan perkara ini di dalam media. Entah mengapa ayah sendiri tak tahu. Itu kata ayah.

"Ayah dah fikir semasak-masaknya. Cikgu Mat dah pujuk ayah dan ayah bersetuju untuk tidak menghalang kau dari terus bermain. Walaupun Cikgu Mat memberi jaminan, walaupun ayah masih ada sedikit risau ayah tetap beri... tapi ayah harap kau akan bersungguh-sungguh. Kematian arwah abang kau ayah harap dapat kau tebus..." Aku mengangguk tanda faham kata-kata ayah. Malam itu berlalu dengan esakan mata mak dan batuk keras ayah... ayah meneruskan cerita-cerita lama tentang arwah abang...

"Abang percayalah...adik akan menendang bola itu hingga hujung duniaaa...". Hati aku berteriak. Esok aku akan ke pusara abang...

TAMAT

*JANGAN TENDANG BOLA ITU! bersempena Piala Dunia 2002

C-Louge : Jangan Tendang Bola Itu! (Nang)

"Man tahu tak kenapa arwah abang kau kemalangan...?" Aku menggeleng kepala apabila ayah bertanya satu soalan yang aku rasa mungkin merungkai satu rahsia. "Arwah abang kau bukan hanya kemalangan..."

C-Louge : Jangan Tendang Bola Itu! (Lime)

"Man..."Sayup suara mak dari beranda memanggil aku. Akhirnya mak bersuara sejak asyik berbual dengan ayah. "Ayah ada hal nak jumpa dengan kau kejap". Ayah pula bersuara lemah. Ini adalah kali pertama ayah memanggil aku setelah membisu hampir seminggu. Aku berlalu dari kerusi malas ke beranda.

Aku duduk bersila menatap wajah mak dan ayah. Ayah membuka kilas kain pelekatnya. Diambilnya segulung rokok daun yang diikat dengan getah merah. Dibukanya daun rokok dibubuh tembakau perang hitam. Digulungnya kembali. Ayah mengambil mancis lalu membakar hujung daun rokok yang sedia termuncung di depan mulutnya.

Aku sabar menunggu ayah bersuara. Aku sabar sehingga ayah melepaskan asap rokok ke langit. "Man...ayah tahu kau bingung sejak akhir-akhir ni. Ayah tahu kau rasa aneh kenapa mak kau selalu berdiam diri dengan kau? Ayah tahu kau hairan mengapa Cikgu Mat kerap benar datang berbincang dengan ayah tanpa kau turut sama? Ayah tahu semuanya dan ayah tahu kau turut terdengar igauan ayah yang bukan sekali dua. Jangan tendang bola itu?!!! Ayah tahu...Man." Ayah mula berbicara tanpa putus-putus katanya. Rokok itu kembali dihisap. Asap dilepas ke langit semula. Aku tetap bersabar menanti penjelasan ayah.

"Jangan tendang bola itu?!!! Itu kisah dulu. Sewaktu arwah abang kau menjadi pemain negeri. Waktu tu kau berada di asrama.Kisah arwah abang kau banyak ayah rahsiakan. Ayah cukup berahsia dengan kau sebab tak mahu ganggu pelajaran kau. Sekarang kau adalah anak tunggal ayah setelah kematian arwah abang kau. Kau tahu arwah abang kau meninggal kemalangan jalan raya selepas pulang dari perlawananan.

Hummmmm..." Ayah mengeluh panjang dan aku mengangguk faham.

C-Louge : Jangan Tendang Bola Itu! (Ppak)

Ayah duduk di beranda dengan mak. Menghirup kopi dan menjamu keropok keping goreng cicah air lada sambil berehat mengambil angin malam. Aku hanya duduk di kerusi malas. Membelek majalah bola sepak. Meneliti profail pemain-pemain liar negara. Fikiran aku serabut sebenarnya. Serabut seperi tali-tali sabut yang menggumpal membelit sauh bot. Jangan tendang bola itu?!!! Aku masih bingung. Otak berputar. Sekejap membaca majalah sekejap kata-kata igauan itu menerjah saling bertukar. Huh!!!

Aku cuba memaksa mata dan otak untuk membaca setiap patah tulisan di majalah ini. Aku ingin lupakan sekejap kata-kata igauan ayah. Meneliti profail Zidane, Luis Figo dan Beckham. Menarik.

Meneliti pula profail pemain tempatan. Aku cuba memahami setiap tulisan walhal ia bukan cerita hikayat. Ini kerana aku tak berjaya menepis kata-kata igauan ayah. Aku cuba memasang telinga. Mungkin cara ini berkesan untuk aku lupakan sekejap sikap aneh aku hari ini. Cuba mendengar perbualan mak dan ayah sambil tetap menatap majalah tersebut.

Perbualan mak dan ayah hanyalah berkisar kerja-kerja seharian. Mereka langsung tak menyentuh hal aku. Tak menyentuh tajuk yang aku bakal jadi pemain. Tak menyentuh untuk menarik balik halangan itu. Halangan ayah terhadap aku. Argggggh!!! Tiba-tiba kata-kata igauan itu menjelma semula...

C-Louge : Jangan Tendang Bola Itu! (Tige)

Jangan tendang bola itu?!!! Kenapa dan mengapa ayah berkata begitu? Aku rasa aku perlu menyiasat sesuatu perkara yang kabur. Mak dan ayah sentiasa sembunyikan sesuatu daripada aku. Aku tekad dan nekad untuk merungkai kata-kata ayah dan juga diam mak dan ayah. Mengapa ayah melarang aku dari bermain walaupun ayah tahu ini memang cita-cita aku sejak dari dulu.

Jangan tendang bola itu?!!! Ia masih berlegar-legar di fikiran aku. Ia mengekori setiap langkahku. Kata-kata igauan ayah ini menuntun setiap gerak aku. Adakah mimpi ayah membuatkan ayah menghalang aku. Melintangkan aral ke atas aku. Begitu sukar untuk aku memahaminya.

Jangan tendang bola itu?!!! Huh! Tidak ayah! Berikanlah aku menendang bola itu...

C-Louge : Jangan Tendang Bola Itu! (Due)

Cikgu Mat sudah beberapa kali datang. Cuma datang sewaktu aku tiada di rumah. Sewaktu aku sibuk berkerja di kebun. Kadang-kadang sewaktu aku memanaskan badan di padang kampung yang penuh kemuncup liar yang pasti memenuhi melekat stokin aku. Cikgu Mat adalah jurulatih negeri. Sebenarnya keluarga aku dah lama kenal dengan Cikgu Mat. Sejak arwah abang aku dulu mewakili negeri pada usia cukup muda. 21. Arwah abang cukup cekap mengelecek bola. Arwah abang adalah juara. Arwah abang adalah pemain yang penuh gaya. Itu kata mak. Aku pada waktu itu aku berada di sekolah asrama. Pada waktu itu umur aku 15. Aku tak banyak tahu pasal arwah abang sejak berada di sekolah asrama, yang aku tahu Cikgu Mat lah yang mencungkil bakat arwah abang.

"Mak... Kenapa kerap benar Cikgu Mat datang ke sini. Si Rosli selalu beritahu saya yang Cikgu Mat datang berjumpa dengan ayah, sedangkan saya yang akan menandatangani kontrak nanti. Kenapa Cikgu Mat tak berbincang dengan saya atau berjumpa dengan saya?" Mak berdiam lagi. Aku kelu semula. Tak nak bertanya lagi kerana aku mengagak mak akan tetap begini.

Mungkin ada sesuatu perbicangan serius antara ayah dan Cikgu Mat. Mungkin aku patut tahu. Mungkin patut aku abaikan sahaja. Mungkin aku perlu berasa keanehan. Mengapa Cikgu Mat selalu datang. Takkan datang untuk sekadar bertanya khabar menjadi kerap. Pelik. Mungkin aku perlu bersabar untuk beberapa hari lagi sebelum hari menandatangani kontrak bermula.

Sekarang ini di kaca tv, akhbar, majalah dan poster-poster berjenama rokok mempromosi liga. Liga makin hampir. Pasti meriah. Juara bertahan tetap bertahan kecemerlangan lepas. Tanggungjawab mereka makin besar. Aku dah tak sabar-sabar untuk bermain di stadium negeri kelahiran dan juga stadium-stadium lain. Tak sabar untuk bersama dengan pemain-pemain negeri yang mempunyai bintang gelecek yang menawan. Tak sabar aku untuk menunjukkan skill aku yang mirip Zidane. Ini kata Cikgu Mat. Apa yang perlu aku tunggu ialah mendapat kebenaran dari ayah untuk bersama pasukan dan menanti hari bersejarah itu...


C-Louge : Jangan Tendang Bola Itu! (Se)

Aku tak tahu kenapa ayah marah. Marahnya bukan bengis. Marahnya bukan menerajang. Cuma marahnya aku faham. "Ayah marah." kata mak. Ayah marah...

"Mak... Selama ini tak ada marah-marah pun. Saya selalu jadi juara. Ayah kan dulu cukup suka bila saya selalu bawa kemenangan". Aku hairan. Dari semenjak bangku sekolah hingga sekarang trofi, medal, sijil selalu aku bawa pulang. Bahkan aku mewakili negeri bawah 17 dahulu. Kemudian aku berhenti lantaran aku berjaya menjejak ke gunung ilmu. Walaupun begitu aku masih memanaskan padang universiti demi menjaga prestasi agar bakat aku takkan menghilang. Selepas mendapat ijazah aku pulang ke kampung dan mengganggur selama hampir dua tahun. Berpuluh-puluh temuduga aku hadiri namun keputusannya hampa. Akhirnya aku buat kerja-kerja kampung; kadang-kadang ke laut, kadang-kadang jaga kebun kelapa warisan arwah tok dan kadang-kadang mencari daun palas untuk dibuat ketupat pulut-mak amat mahir membuat ketupat pulut berbentuk tigasegi dan cukup laku jualannya di gerai mak waktu petang.

Aku masih kehairanan ayah marah. Aku cuba bertanya soalan yang sama pada mak. Mak kata nanti dulu. Biar ayah sendiri terangkan. Moodnya masih keliru. Marahnya sugul. Marahnya menghalang. Aku cuma ingin tahu kenapa ayah marah aku mewakili negeri kali kedua. Setelah hampir 5 tahun aku tidak mewakili peringkat tertinggi kini peluang muncul kembali. Mungkin gaya permainan aku ada gaya Zidane atau tendangan aku cukup kuat menyilang S. Pemilihan aku adalah berdasarkan kejayaan aku dalam membawa trofi kemenangan perlawanan akhirnya peringkat daerah-daerah. Bahkan aku dianugerah pemain terbaik selain muncul penjaring terbanyak. Jurulatih negeri tertarik kepada aku.

"Mak...kenapa ayah marah?" Mak aku hanya berdiam diri. Menunduk lalu ke dapur sewaktu aku melontarkan pertanyaan yang sama hampir seminggu. Tarikh tandatangan kontrak hampir tiba.Aku dah tak cukup masa. Mak selalu tunduk, diam membisu dan kadang-kadang menjawabnya juga. Mak menasihati aku supaya bersabar sehingga ayah bersedia menerangkan sesuatu. Aku berasa cukup pelik. Kelakuan ayah cukup pelik untuk beberapa minggu ini. Ayah hanya diam seperti mak bila berselisih dengan aku. Aku ingin bertanya mengapa ayah menghalang aku dari mewakili negeri tapi lidah aku kelu.

Aku masih berfikir sejak malam itu. Ayah bertempik mengigau. "Jangan tendang bola itu...!!!" Igauan ayah kini pula menjadi igauan aku. Tanda tanya yang cukup aneh. Bila aku cuba menanyakan soal ini kepada mak, mak tetap membisu tapi aku pernah melihat mak mengesat air matanya di dapur. Disinsingkan lengan baju kebaya kedahnya lalu air mata itu dikesat. Air mata menitis tapi aku masih hairan campur sedih apabila melihat mak. Mak dan ayah mungkin berahsia dengan aku. Hati aku berdetik. Mereka berahsia sesuatu. Takkan ayah sampai seminggu membisu dengan aku. Takkan mak sampai menangis bila aku menanyakan persoalan itu. Malam ayah mengigau pun masih menjadi rahsia...