Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Thursday, December 29, 2011

Pantai Teluk Lipat Dilambung Ombak

Gambar di atas adalah gambar yang aku ambil untuk entri GP Joran yang diadakan pada 02.10.2011. Pantai Teluk Lipat kelihatan seperti biasa pada hari-hari yang biasa sebelum dilanda ombak air pasang besar. Gambar-gambar di bawah ini adalah gambar-gambar selepas peristiwa fenomena ombak air pasang besar yang berlaku pada 25.12.2011. Gambar diambil pada tengahari 28.12.2011 oleh kerabat aku. Terima kasih dan kredit untuknya.







Doa kami : Ya Allah, lindungilah kami daripada bencana, jauhkanlah kami daripada bencana, selamatkanlah pantaiMU ini, kurniakanlah kepada kami rahmatMU, dan dengan kekuasaanMU pulihkanlah kembali pantaiMU ini dan selalu dilindungi olehMU. Amin.

Monday, December 12, 2011

Istiadat Keberangkatan Balik DYMM Seri Paduka Baginda

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.

Istiadat Keberangkatan Balik Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke XIII, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Baginda berdua berangkat pulang ke negeri Terengganu Darul Iman tercinta pada 12.12.2011 setelah menyempurnakan kewajipan-kewajipan pemerintahan dalam tempoh lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke 13 Malaysia.


Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.



Hitam Putih berkibar megah
Bulan Bintang papar bertanda
Pulang Tuanku senegeri sohorlah
Selamat Berangkat ke negeri Baginda

Sunday, June 26, 2011

Opal Lama. Furui Oparu. Old O-file.

Justify FullOpal lama (Rumi Melayu). Furui Oparu (Romaji Jepun). Old Opal (Inggeris). Satu gambar lama jambatan yang merentangi pantai dan laut di Sura Jetty (Sura Jeti). Jambatan bertiang konkrit yang disebut-sebut oleh penduduk Dungun sebagai Opal. Aku mencari-cari nama sebenar opal ini. Adakah ia nama sebenar sebagaimana yang disebut-sebut oleh penduduk setempat atau ada nama lain dari segi terma senibina? Pencarian aku berhenti pada satu nama iaitu O-File. Benarkah nama sebenar opal ini adalah O-File. Setakat ini mungkin opal itu adalah O-File, satu terma dalam senibina,mungkin!

Thursday, October 7, 2010

Pasir Purnama

Hari-hari awal Aidil Fitri yang lalu, aku menziarah kerabat keluarga di Paka. Bertanya khabar dalam suasana menyambut hari raya sambil menjamu kuih-muih raya. Entah bermula dari mana timbul penceritaan tentang kawasan memancing di satu sungai di pedalaman Paka. Kerabat penulis ini memberitahu kawasan memancing yang dia pernah pergi adalah merupakan kawasan yang pernah menjadi pelabuhan pada zaman silam. Menurutnya dari cerita orang-orang lama Paka, kawasan tersebut dipanggil Pasir Purnama. Kerabat penulis mengukuhkan lagi buktinya dengan mengatakan beliau menjumpai kulit/cangkerang siput laut di kawasan berhampiran sungai tersebut.

Pasir Purnama. Nama begitu indah dan klasik. Mungkin benar kata-katanya. Mungkin ia merupakan pelabuhan yang ada pada zaman Paka menjadi wilayah Majapahit mengikut Negarakertagama. Ataupun Pasir Purnama ini wujud selepas zaman tersebut atau dalam zaman awal Kesultanan Melayu Terengganu. Mana satukah?

Monday, May 24, 2010

Kompleks Muzium Negeri Terengganu

Sila klik ke : Kompleks Muzium Negeri Terengganu

Tuesday, May 11, 2010

Perkarangan Muzium Terengganu

Sila klik ke : Perkarangan Muzium Terengganu

Saturday, February 20, 2010

Asal-usul orang Dungun dan Terengganu.

Dari manakah asal orang Dungun ataupun soalan yang lebih besar dari manakah asal orang Terengganu? Apakah asal dan asas bagi bahasa dan budaya asal orang tanah berpanji hitam putih ini? Terengganu sebuah negeri maritim atau kerajaan maritim yang terkenal sejak dahulu bermula dari Kerajaan Fo-loan (dipercayai bertapak di Kuala Berang), kemudian menjadi sebahagian jajahan Kerajaan Melayu Melaka, dan kemudian berkerajaan sendiri di bawah naungan Al-Marhum Sultan Zainal Abidin Pertama putera kepada Tun Habib Abdul Majid dari kerajaan Johor dinasihati oleh Wali Allah Sheikh Abdul Malik sehinggalah negeri ini dinaungi oleh Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sejarah Terengganu yang tertulis di mana-mana buku atau tesis atau dicatat mana-mana sekalipun pasti akan ada sejarah yang belum tersingkap, tersirat dan terungkai. Persoalan pertamanya asal usul orang Terengganu. Perlu ada kajian terperinci asal usul orang negeri ini yang mana rata-rata cerita lisan orang tua-tua mengatakan nenek moyang mereka ada dari Patani, Jambi, Palembang, ada dari Pagar Ruyung-Minangkabau, ada dari Siak, ada dari kepulauan Riau dan Sulawesi dan malah ada dari kepulauan Jawa yang mana mereka membawa darah sebagai Melayu Patani, Melayu Jambi, Melayu Minang, Melayu Siak, Melayu Riau, Melayu Bugis dan Jawa.

Menjadi misteri, ialah kebanyakkan orang-orang yang berdagang, berhijrah malah berundur alah perang ke sini pasti membawa budaya asalnya sendiri akan tetapi budaya itu tidak berkembang sepenuhnya. Apa yang ternampak ialah batik, dan tenunan songket. Dua budaya seni ini berkembang di sini. Yang tidak nampak atau mungkin di luar pengetahuan itu persoalan yang lain yang mungkin membawa kepada jawapan ia mungkin diturun menurun dan berkembang hanya bersifat setempat atau telah ditelan luput pupus dengan arus kemodenan sekarang ini.

Selain daripada itu, tidak ternampak budaya Minangkabau di sini sebagaimana yang diamalkan di Negeri Sembilan (mungkin disebabkan negeri ini tidak beraja asal dari Pagar Ruyung). Tidak ternampak juga budaya dan makanan Jawa di sini (selain batik). Berkaitan dengan pembuatan bot mungkin ada kaitan dengan budaya dan kerja asal etnik Melayu yang lain dan pembuatan tembaga mungkin berkaitan dengan orang dari benua China. Misteri?

Bercerita tentang bahasa, dari asal manakah bahasa atau slanga Terengganu. Didapati tadi pelbagai etnik Melayu yang bercampur di sini. Mungkin struktur bahasa Terengganu terbina daripada percampuran bahasa kesemua bahasa etnik Melayu tersebut dan bercampur pula dengan orang benua China, Arab, penjajah Inggeris dan Jepun. Maka percampuran Melayu dengan bangsa lain menambahkan lagi prosa dan istilah lalu digunakan sehingga kini. Perkataan seperti Röhök, Köhör dan Sengeléng-dari manakah asalnya? Bunyinya pelik tapi setiapnya mempunyai makna. Röhök-susah/payah, Köhör-perlahan-lahan, Sengeléng-sengaja, inilah maksud setiap perkataan tadi. Dari mana asal perkataan-perkataan ini? Misteri?

Itulah sedikit persoalan asal dan usul penduduk tanah hitam putih ini. Percampuran manusia, perkahwinan campur, pertuturan yang berbeza lalu mewujudkan satu bangsa tersendiri iaitu Melayu Terengganu dan terbinanya struktur unik bahasa slanga Melayu Terengganu. Mungkin tema Satu Malaysia ini sebenarnya telah lama wujud di Negeri Darul Iman ini. Temanya Satu Terengganu. Bangsa, seni budaya, bahasa dan makanannya dimiliki satu negeri. 1 Terengganu.

Tuesday, January 19, 2010

Edisi Bukit Besi : Kawasan Perlombongan

Gambar di atas ialah kawasan perlombongan yang dipagar dan mempunyai pintu besar. Kawasan ini tidak boleh dimasuki lantaran pintu itu bermangga dan hanya boleh dilihat dari jauh di luar pagar sahaja.

Kawasan perlombongan dari kejauhan. Tinggalan konkrit umpama kubu perang.

Tebing bukit.

Kawasan kaki bukit.

Gambar di atas ini dipercayai ketulan besi atau mungkin bijih besi. Penulis cuba melagakan atau mengetuk kedua-dua benda ini namun tidak pecah seperti pecahan batu tetapi ia mengeluarkan bunyi umpama besi yang dilagakan.

Lagi ketulan bijih besi.

Thursday, December 31, 2009

Dungun Dalam Lipatan Sejarah

Pemberitahuan.

Setiap maklumat dan fakta-fakta yang dicatat di dalam artikel di bawah ini di dalam @Dungun ini perlu dikaji mendalam kerana @Dungun tidak mempunyai maklumat yang banyak dan setiap maklumat yang dicatat di sini bolehlah dijadikan kajian, samaada tepat atau tidak, @Dungun tidak bertanggungjawab atas kesilapan fakta-fakta tersebut. Jika ada kesilapan, setiap pembaca boleh memperbetulkannya dan sila berkongsi bersama.

Dungun-merupakan satu daerah yang tertua di dalam negeri Terengganu yang terletak arah selatan dari ibu negeri Kuala Terengganu. Dungun dikatakan daerah tertua kerana namanya disebut dalam Negarakertagama milik kerajaan Majapahit yang mana Dungun merupakan di bawah kuasa kerajaan Majapahit satu masa dahulu.

Ini bermakna Dungun telah lama berada di dalam peta sejarah. Kuala Dungun pula dikaitkan dengan perintis pembukaannya oleh Allahyarham Panglima Hitam Tambun. Di sekitar Kuala Dungun dan Tanah Lot ada antara nama jalan dinamakan dengan nama kerabat dan pengikut Allahyarham Panglima Hitam Tambun iaitu Jalan Tambun, Allahyarham Pak Dagang (Jalan Pak Dagang), Allahyarham Daud Panglima (Jalan Panglima), dan Allahyarham Sulaiman (Jalan Sulaiman).

Sekarang ini ada satu nama yang telah hilang di Dungun ini iaitu Jalan Abdul Jalil. Papan tanda nama jalan ini yang terletak berhampirkan dengan Kedai Runcit Cina yang bernama Kedai Kiok (anak kepada mendiang Mek Ah Moi) tidak kelihatan lagi. Adakah nama jalan ini telah ditukar kepada Jalan Pengkalan Macang?-kerana papan tanda nama Jalan Pengkalan Macang dapat dilihat berdekatan dengan laluan pintas ke Kampung Nibong Bawah (jalan ke bekas tapak Club Hewitt dan bekas kem askar). Jika tidak silap @Dungun, jarak Jalan Abdul Jalil ini ialah antara papan tanda nama Jalan Abdul Jalil yang telah hilang itu hinggalah ke papan tanda nama baharu yang dinamakan Jalan Pengkalan Macang.

Jalan Abdul Jalil ini terletak dari simpang tiga Jalan Nibong hingga bersambung ke kawasan Pengkalan Macang. Jika benar nama jalan ini telah bertukar kepada nama Jalan Pengkalan Macang, @Dungun merasakan nama jalan yang sebelumnya iaitu Jalan Abdul Jalil dikekalkan. Jalan Abdul Jalil ini seperti yang diketahui @Dungun (jika pembaca mengetahui fakta ini salah sila perbetulkan @Dungun) diberikan bersempena nama Allahyarham Yang Mulia Tengku Abdul Jalil yang merupakan kerabat istana Terengganu. Antara ceritanya ialah nama jalan tersebut diberi dengan nama beliau kerana jalan tersebut merupakan laluan beliau ke arah Kampung Niboh Bawah dan ke seberang Pulau Serai.

Selain itu Dungun mempunyai kisah-kisah kepahlawanan. Antaranya zaman kepahlawanan Allahyarham Panglima Hitam Tambun (dikenali dengan cerita pengangkapan Helang Merah), zaman Allahyarham Tengku Jaafar (dikenali dengan cerita terjumpanya payung kuning dan buaya putih di Sungai Buaya), dan Allahyarham Jusoh Kumpal (dikenali dengan cerita dikambus dalam keadaan bernyawa oleh tentera Jepun). Apa yang menarik di sini ialah daerah Dungun juga menjadi tempat persembunyian Allahyarham Mat Kilau dan Allahyarham Datuk Bahaman iaitu di Pasir Raja.

Kedua-kedua pejuang ini juga bertemu dengan Allahyarham Panglima Hitam Tambun, juga bertemu dengan Allahyarham Jusoh Kumpal. Secara ringkas, @Dungun mendapat cerita dan juga melalui pembacaan, Allahyarham Jusoh Kumpal tidak mati dikambus Jepun, tetapi telah diselamatkan oleh orang-orang tertentu-dan kini cerita ini masih menjadi misteri. Paling menarik ialah pejuang Jusoh Kumpal ini adalah anak murid kepada Allahyarham Panglima Hitam Tambun (jika sesiapa pembaca mempunyai maklumat yang boleh mengesahkannya boleh dikongsi bersama). Allahyarham Jusoh Kumpal (@Dungun menggunakan perkataan Allahyarham Jusoh Kumpal kerana berita pejuang ini masih hidup masih menjadi misteri) ini adalah pejuang bersama-sama dengan Allahyarham Mat Kilau dan Allahyarham Datuk Bahaman dalam menentang penjajah.

Paling unik lagi ialah Allahyarham Helang Merah (@Dungun tidak mengetahui nama sebenarnya beliau, mungkin ini nama gelaran), Allahyarham Panglima Hitam Tambun, Allahyarham Mat Kilau dan Allahyarham Datuk Bahaman adalah pengikut Allahyarham Tok Ku Paloh Terengganu dalam menentang penjajah Inggeris.

Satu lagi maklumat yang @Dungun perolehi ialah Allahyarham Pak Sabah iaitu orang yang mempunyai kaitan dengan Kampung Pak Sabah dikatakan adalah Mat Salleh pejuang dari Sabah yang menentang penjajah. Ini menjadikan sejarah menjadi misteri dan unik kerana Allahyarham Mat Kilau, Allahyarham Datuk Bahaman, Allahyarham Jusoh Kumpal dan Allahyarham Mat Salleh telah diisytiharkan meninggal dunia oleh penjajah, walhal dalam zaman perjuangan mereka, mereka masih hidup, cuma dibuat cerita dan ada yang ditukarkan dengan orang lain sehingga telah diisytiharkan meninggal dunia, sedangkan mereka semua meneruskan perjuangan untuk menentang penjajah. Setakat ini yang mengisytiharkan diri sebagai pejuang yang masih hidup dan keluar dari persembunyian identiti dalam akhir tahun 70an dahulu ialah Allahyarham Mat Kilau dan Allahyarham Datuk Bahaman.

Dungun, satu lagi yang menjadi uniknya dan anehnya daerah ini ialah selalu menjadi kubu, tempat mengumpul kekuatan perang malah menjadi tempat pengunduran semasa perang zaman dahulu kala sama ada berkaitan dengan negeri Terengganu sendiri dan negeri Pahang. Ia juga menjadi pilihan pedagang dan angkatan perang dari Sumatera dan sekitarnya yang mengundur dalam perang menentang penjajah untuk bermastautin dan membuka kampung.

Itulah Dungun, daerah yang masih banyak lagi misterinya, dari dunia kependekaran, dunia persilatan hinggalah cerita-cerita sejarah yang masih belum dirungkai sepenuhnya. Bagi semua anak Dungun, berbanggalah diri anda sebagai anak Dungun, jangan rosakkan tanah ini tempat kita berpijak, jagailah ia.

Wednesday, December 30, 2009

Edisi Bukit Besi : Stor Dinamit & Rumah Pejabat

Di bawah ini @Dungun memarkan beberapa bangunan lama tinggalan zaman perlombongan bijih Besi yang terletak di Bukit Besi.


Papan tanda.


Stor Dinamit.


Stor Dinamit.

Stor Dinamit.

Rumah Pejabat.

Rumah Pejabat.

Rumah Pejabat.

Rumah Pejabat.

Friday, December 25, 2009

Edisi Bukit Besi : Sura Gate - Taman Monumen Keretapi



Plak keterangan monumen keretapi dan zaman perlombongan bijih besi di Bukit Besi.


Monumen keretapi: Gambar dari arah sisi depan.


Monumen keretapi : Gambar dari arah sisi sipi.


Monumen keretapi : Gambar dari arah sisi belakang.

Sebelum terbinanya monumen keretapi ini di depan Stesen Minyak Shell yang tertua di Dungun, ada satu Taman Monumen Tudung Saji yang telah lama dibina di sebelah Taman Monumen Keretapi ini yang berhampiran dengan Stesen Minyak Caltex. Taman Monumen Tudung Saji itu dibina sebagai tanda pengenalan daerah Dungun kerana perusahaan tudung saji dan yang berkaitan dengan kraftangan mengkuang yang terletak di Paka.

Monumen Tudung Saji ini telah usang, buruk rupanya dan seolah tiada penyelengaraan mahupun jagaan, pokok-pokok bunga di sekitar Taman Monumen Tudung Saji ini juga nampak semakin semak meninggi. Pihak tertentu harus mengubah imej di kawasan Taman Monumen Tudung Saji biar nampak segah, segak, secantik, dan seindah seperti di kawasan Taman Monumen Keretapi .

Daerah Dungun juga terkenal dengan pendaratan penyu belimbing di Rantau Abang, dan tanda pengenalan daerah ini dengan lambang penyu juga begitu sinonim sekali. Kini monumen keretapi zaman Bukit Besi mengambil alih tanda pengenalan daerah bersempena mengingati zaman kegemilangan perlombongan bijih besi di Bukit Besi.

Bagi pelancong-pelancong yang memandu dari arah Kuala Lumpur dan Pahang, ke arah Kuala Terengganu jika melalui jalan utama Dungun Ke Kuala Terengganu, singgahlah sebentar ke sini untuk melihat-lihat taman ini dari dekat, dan jika melalui jalan dari arah Jabor-Jerangau ke simpang tiga Ajil-Kuala Berang, Ajil-Bukit Payong, singgahlah dahulu di Bukit Besi untuk melihat dari dekat kawasan Chimney di tepi jalan tersebut.

Thursday, December 10, 2009

Edisi Bukit Besi : Sura Jeti - Tinggalan Konkrit




Inilah tinggalan konkrit di Sura Jeti (berhampiran dengan Pantai Teluk Lipat depan Sekolah Imtiaz-dahulu dikenali dengan nama Asrama Yayasan Terengganu). Tinggalan zaman perlombongan Bukit Besi ini juga tidak dipagar, terbiar dan ada kesan contengan budak-budak nakal yang tidak bertanggungjawab. Tinggalan konkrit ini terletak di kawasan pengumpulan bijih dan masa aku sekolah dahulu kawasan ini dipanggil BIJIH. Anda masih boleh melihat tinggalan konkrit ini yang terletak di simpang 3 jalan ke pantai yang berdekatan dengan taman rekreasi (bekas tapak bijih). Seingat aku dahulu, masih banyak lagi tinggalan konkrit di kawasan ini, yang dilindungi dengan pokok-pokok gelang yang banyak tumbuh di sini dahulu. Namun sekarang tidak nampak lagi, sudah hilang, mungkin dibuang kerana pembangunan deretan kedai dari depan jalan besar di Sura Gate hingga hampir dengan kawasan pagar Rumah Tetamu Dungun, juga kerana dengan terbinanya taman rekreasi di situ.

Sunday, December 6, 2009

Edisi Bukit Besi : Opal

Tiang-tiang Opal di Pantai Teluk Lipat - Kampung Sura Jeti.

Gambar lama menunjukkan tiang-tiang opal yang masih kukuh sebagai jambatan membawa bijih besi ke tongkang di tengah laut luar pantai Dungun sebelum di bawa ke Kapal Besar yang menunggu jauh di tengah laut sebelum dieksport.

Tinggalan tiang opal yang masih ada di Sura Jeti, mungkin menunggu masa untuk runtuh dihakis ombak. Perlu dilakukan sesuatu oleh pihak berwajib sama ada memagar kawasan ini, mewartakan tiang ini sebagai tinggalan sejarah dan memlihara dan memuliharanya. Ini sahaja tinggalan tiang opal yang masih ada di Sura Jeti.


Sisa-sisa tiang-tiang kayu yang telah patah dan masih tertanam di dasar pasir pantai.

Tiang dan simen konkrit (slap) yang telah runtuh dek saban tahun dihakis ombak tengkujuh.

Konkrit yang runtuh yang jelas berada di gigi laut pantai.

Di kejauhan di tengah laut, ternampak dua tiang yang masih setia digasak dengan ombak.

Kesimpulannya, @Dungun mengharapkan pihak berwajib, seperti Kementerian Kebudayaan Kesenian & Warisan, Kementerian Pelancongan/Tourism Malaysia, mana-mana Persatuan Sejarah, pihak berkuasa negeri mengambil langkah yang tepat bagi memelihara dan memulihara kawasan ini.

Friday, August 21, 2009

Edisi Bukit Besi : Chimney








Inilah kesan sejarah. Bekas tinggalan tapak dapur atau kawasan Chimney di Bukit Besi. Serombong tinggi boleh dilihat di tepi jalan laluan Dungun-Bukit Besi-Durian Mas.

Thursday, August 13, 2009

Berita Hari Ini

Terbaru akhbar Sinar Harian hari ini :

Program bicara sejarah ditangguhkan

BALAI BESAR - Usaha ahli sejarah menganjurkan bengkel berkaitan sejarah Dungun terbantut apabila lokasi utama, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Intan Zaharah yang akan dijadikan pentas perbincangan program itu terpaksa ditutup serta merta akibat disyaki menularnya wabak selesema babi (H1N1) yang mula dikesan di sekolah itu, semalam.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun, Abdul Wahab Yunus berkata, pihaknya terpaksa menunda tarikh bengkel ke satu tarikh yang difikirkan selamat dan sesuai kelak.

“Pada awalnya, program itu dijadualkan berlangsung esok (hari ini), kami akhirnya terpaksa membatalkan serta merta selepas sekolah itu diarahkan tutup oleh pihak Kementerian Kesihatan berikutan tujuh pelajarnya disyaki menghidapi virus H1N1.

“Bagaimanapun, program itu akan diteruskan. Masa dan tarikhnya akan ditetapkan dan pihak kami akan memaklumkan perubahan itu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah, Zakariah Ali ketika dihubungi mengesahkan penutupan sekolah terbabit.

“Pihak Pejabat Pelajaran Daerah dimaklumkan tujuh pelajar sekolah itu mengalami demam. Selepas pemeriksaan lanjut dilakukan, kesemua mereka disyaki mempunyai simptom H1N1.

“Sebagai langkah pencegahan, pihak Kementerian Kesihatan mengarahkan sekolah itu ditutup serta merta sehingga 18 ogos ini, jika keadaan masih belum pulih, tempoh berkenaan kemungkinan akan dilanjutkan,” katanya.

Tuesday, August 11, 2009

Rumah Di Nibong Bawah

Dua petikan akhbar Sinar Harian, ucapan terima dan kredit atas cakna sekali lagi terhadap warisan Terengganu.


Berita 1

Rumah ‘Pagar Ruyung’ diroboh

NIBONG - Nostalgia manis seorang warga emas di rumah pusaka peninggalan arwah moyangnya bakal berakhir apabila rumah papan berusia lebih 100 tahun itu difahamkan akan dirobohkan tidak lama lagi.

Rumah tradisional bercirikan seni bina Pagar Ruyung yang hanya menggunakan pasak kayu tanpa sebarang paku besi itu akan digantikan dengan sebuah rumah baru bercirikan seni bina lebih moden.

Pemiliknya, Hasiah Sulong, 78, yang masih sihat ketika ditemui berkata, rumah itu dibina moyangnya dikenali sebagai Che Leh yang dipercayai membina rumah itu pada akhir abad ke-18.

“Arwah bapa saya menceritakan bahawa tok ki saya sering belayar. Dia yang dikatakan berasal dari Pagar Ruyung, Indonesia ketika itu singgah di muara Sungai Kuala Dungun lalu membina penempatan di sini sebelum membina sebuah rumah untuk dijadikan tempat berlindung.

“Oleh kerana dia adalah orang Pagar Ruyung, jadi budaya masyarakat di sana dibawa ke sini. Hasilnya, rumah yang dibina mirip kepada seni bina negara seberang itu. Oleh itu, tiada sebarang paku digunakan pada rumah ini, rekaannya juga unik dan jarang kita melihat rumah seperti ini di sini,” katanya.

Isteri bekas pekerja lombong bijih di Bukit Besi yang pernah menjalani kehidupan semasa zaman penjajahan Jepun itu meluahkan, dia amat sedih selepas mengetahui rumah pusaka peninggalan arwah moyangnya itu akan diro-bohkan.

“Banyak kenangan di rumah ini. Di sinilah saya lahir, dibesarkan malah melangsungkan perkahwinan. Tetapi, apa boleh buat, saya tiada kuasa untuk menghalangnya.

“Jika ada pihak yang boleh memeliharanya, ia adalah satu artifak yang boleh dijadikan bahan sejarah untuk tatapan generasi akan datang. Apa yang makcik tahu, rumah ini sudah dijual kepada seseorang,” kata isteri kepada arwah Mohd Ismail, yang juga seorang nakhoda kapal.


Berita 2

Rumah Pagar Ruyung menyembah bumi

NIBONG BAWAH - Rumah bersejarah Pagar Ruyung yang menjadi kebanggaan Hasiah Sulong, 78, akan menjadi 'padang jarak padang tekukur' apabila harta peninggalan arwah moyangnya itu akhirnya dirobohkan, semalam.

Kisah rumah lebih sedekad itu mendapat perhatian ahli sejarah terkenal di daerah ini, Abdul Wahab Yunus.

Beliau turut berada di lokasi untuk meninjau kerja meleraikan struktur bangunan kayu yang menjadi simbol seni bina masyarakat dari Pagar Ruyung itu.

Abdul Wahab yang juga Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Dungun meluahkan kekecewaannya kerana bahan sejarah itu disifatkannya tidak wajar dilenyapkan, sekali gus menggagalkan usaha pihaknya mengekalkan warisan bersejarah bagi tatapan generasi akan datang.

“Rumah seperti ini tiada lagi berdiri megah di Dungun sebagai daerah yang bersejarah, keaslian seni bina rumah Pagar Ruyung tidak ada tolok bandingnya berbanding kediaman moden lain pada masa kini.

“Rumah Pagar Ruyung juga setanding dengan hasil arkitek lain dan mempunyai nilai komersial lebih tinggi jika martabatnya diangkat serta diberi perhatian sewajarnya dari persepsi individu yang menghargainya,” kata bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan itu.

Beliau yang juga bekas wakil rakyat kawasan Hulu Dungun berpendapat, setiap individu yang mempunyai aset sedemikian mesti memeliharanya daripada pupus kerana setiap bahan lama mempunyai nilai komersial jika dikendalikan dengan baik.

“Ia boleh dijadikan sumber pendapatan untuk tujuan pelancongan, bagaimanapun dalam hal ini saya bersyukur kerana pihak yang membeli rumah Pagar Ruyung ini berhasrat membina semula dengan mengekalkan seni bina asal,”katanya.

Sementara itu, pembeli rumah itu, Nazari Hasan, 45, berkata, dia akan memastikan proses pembinaannya tidak mengetepikan elemen struktur asal kediaman itu.

Bagi Hasiah pula, tiada lagi rumah yang meninggalkan banyak nostalgia dalam hidupnya.

“Rumah ini milik moyang saya, dibina ketika zaman sebelum perang lagi dan sebagai orang tua, saya tidak mampu melakukan apa-apa,” katanya.


Ulasan aku.

Itulah rumah lama. Rumah Allahyarham Moyang Salleh - dalam berita akhbar tersebut ditulis sebagai Che Leh. Berita ini tersiratnya menyatakan kebenaran sejarah tentang pendatang dari Ranah Minang berhijrah ke Terengganu, khususnya ke Dungun. Rumah tersebut telah lama terbiar. Dijual kepada seorang pembeli dan dengar ceritanya bukan diroboh terus tapi dibina semula mengikut asal. Ia diroboh dan pindah, ke mana tak pasti. Rumah tersebut lama berdiri megah di Nibong Bawah. Akhir Jun lalu telah menjadi berita gempar dalam keluarga tentang rumah tersebut bakal dijual dan dipindahkan.

Dulu masa kecil teruja mendengar cerita tok, tentang tokki saudara yang tidur malamnya terkejut bom perang Jepun jatuh di sebelah katil. Rumah inilah. Sedih? Ya aku sedih. Kini tinggal rumah tokki aku sendiri yang mungkin antara rumah lama, mungkin tidak Pagar Ruyung, sekurang-kurangnya adalah rumah lama di perkampungan Nibong Bawah.

Pesan aku kepada pemilik baru, jagalah rumah tersebut sebaiknya.

Wednesday, June 24, 2009

Bukit Tebuk





Bukit Tebuk. Terletak di dalam Kampung Nibong Kubur, tetapi ada yang memanggil kawasan di situ sebagai Kampung Bukit Tebuk Tebuk. Kawasan in bersebelah dengan Kampung Bukit Chatak, Kampung Tanjong Pagar dan Kampung Nibong Bawah. Plak Monumen yang disediakan oleh Tourism Malaysia menyatakan Terowong Bukit Tebuk ini terletak di dalam Kampung Che Lijah. Penulis merasakan di situ ada kesilapan terhadap penerangan yang tertera di dalam plak momunem tersebut ini kerana Kampung Che Lijah adalah berada di kawasan yang jauh dari Bukit Tebuk ini. Penulis berharap ada pihak berkuasa menukar plak tersebut dengan menyatakan semula kedudukan sebenar Bukit Tebuk ini.

Secara ringkasnya bukit ini ditebuk oleh pihak Jepun melalui satu syarikat yang melombong bijih besi di Bukit Besi. Terowong ini dibina adalah sebagai laluan keretapi sama ada keretapi yang membawa penumpang atau keretapi yang membawa bijih besi dari kawasan perlombongan bukit besi ke kawasan pengumpulan bijih besi di Sura Gate. Keretapi penumpang membawa pekerja dan penduduk sekitar sebagai pengangkutan utama pada waktu itu bagi memudahkan perjalanan dari setiap stesen/hentian seumpama komuter di Kuala Lumpur,Selangor dan Negeri Sembilan.

Di dalam terowong ini terdapat dua bilik kecil tak berpintu di tepi dinding terowong. Jarak di antara dua bilik kecil ini agak jauh. Orang Dungun memanggilnya lubang. Muka pintu masuk bilik kecil ini berbentuk separuh bulatan atau 180 darjah di sebelah atas. Dikatakan bilik ini sebagai tempat orang menyorok jika semasa berjalan kaki melalui landasan keretapi di dalam terowong ini, dan ada keretapi melaluinya, bilik tersebut digunakan sebagai tempat keselamatan untuk menyorokkan diri buat sementara waktu.

Selepas zaman penutupan perlombongan Bukit Besi, jalan di kawasan terowong ini berbatu dan tidak berturap tar seperti sekarang. Laluan di situ pada waktu tersebut bukanlah seperti sekarang ini di mana ada kenderaan yang lalu lalang sebagai jalan pintas untuk ke jalan besar Dungun ke Kuala Terengganu. Dahulu kampung di belakang Bukit Tebuk ini dahulunya sepi dan penempatan yang berselerak dan tidak banyak rumah. Sekarang ini ada sedikit perubahan dengan pembinaan taman perumahan di kawasan tersebut, tetapi kawasan tersebut masih seperti dulu - sepi dan aman.

Bukit tebuk ini sewaktu kecil adalah tempat penulis bermain, bukitnya dipanjat untuk melihat panorama dan melihat remaja bermain bola di satu padang yang terletak di Kampung Nibong Bawah pada waktu itu, dan di kawasan lembah bukit ini banyak terdapat pokok buluh, yang diambil oleh kanak-kanak waktu itu semasa musim bermain bedil-satu senapang berpeluru buah kecil atau kertas surat khabar yang dibasahkan dan digentel menadi bulat. Bedil ini bentuknya seumpama picagari di mana ombohnya berperanan seperti picu untuk menembak peluru yang di isi ke dalam sarung buluh.

Friday, June 19, 2009

Makam Diraja Kesultanan Siak - Makam Sultan Yahya Siak






Makam Diraja Kesultanan Siak iaitu Almarhum Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah yang memerintah Kerajaan Siak ( sekarang ia berada dalam Negara Indonesia ) dari tahun 1782-1784. Almarhum Sultan Yahya Siak digelar sebagai Marhum Mangkat di Dungun. Plak monumen yang disediakan oleh Tourism Malaysia menyatakan Makam ini terletak di dalam Kampung Che Lijah, begitupun penulis mengagak Makam Diraja ini terletak di antara sempadan Kampung Binjai dengan Kampung Che Lijah. Kampung Che Lijah adalah berjiran dengan Kampung Binjai. Di dalam plak monumen tersebut juga menyebut Tanjung Pati. Tanjung Pati adalah nama lama bagi Kampung Che Lijah.