Showing posts with label Slanga Terengganu : Nama Haiwan. Show all posts
Showing posts with label Slanga Terengganu : Nama Haiwan. Show all posts

Monday, March 26, 2012

Labe



Sahabat yang sama menghantar email gambar burung enggang juga menghantar gambar serangga labah-labah di pohon tepi pantai. Labah-labah ini aku tidak tahu dari spesis mana dan apa namanya. Kalau di Terengganu serangga ini dipanggil LABE atau kadang kita jarang-jarang dengar orang panggil laboh-laboh.Terang sahabat aku ini labe spesis ini banyak di kawasan pantai sekitar Terengganu, manakala aku pulak tidak ingat sama ada aku permah tengok atau tidak, cuma seingat aku di pohon-pohon di belakang rumah tokki aku banyak labe buat sarang.

Kalau tuan-tuan/puan-puan pembaca budiman-budiwan sekelian jika ada cerita berkenaan labe dari jenis spesis ini, moleklah kita berkongsi-kongsi cerita. Mungkin ada nostalgia ketika kalian masa kecil di kampung mahupun di pantai sekitar sepanjang negeri Terengganu.


Tepi pata ssarang labe,
Beso sangak atah dahang,
Puahsang ngantuk duduk saje,
Turunglah tanoh kemah barang.


Monday, March 19, 2012

Ngekéng Terengganu

Baru-baru ini sahabat aku memberikan gambar burung enggang yang diambil sendiri dengan menggunakan kamera beliau. Burung enggang tersebut sedang hinggap di dahan pohon di kampung beliau di Kuala Terengganu. Aku rasa di Kampung Batu Rakit. Maknanya spesis ini ada juga di kampung beliau selain di Dungun walau sekarang ini jarang aku lihat di Dungun berbeza di tahun 80an dan 90an dahulu. Gambar di atas itulah Burung Ngekéng Terengganu.

Entri Ngekéng sebelum ini :

Tuesday, January 24, 2012

Ngekéng

Ingat tak entri dulu-dulu...? Kali ini baru dapat menangkap gambar Burung Ngekéng. Entri dulu di sini. Nota ; Gambar diambil di Taman Burung Kuala Lumpur.

Tuesday, August 9, 2011

Che Ghu? Apa tuh?

Che Ghu.


Bukan nama orang. Bukan nama siapa-siapa. Ia sejenis haiwan darin kalangan serangga yang begitu kecil. Bersarang di kawasan pasir debu putih kelabu di bawah rumah, tepi gök ayam atau di bawah tangga rumah. Serangga ini tidaklah aku ketahui kenapa orang Terengganu memanggilnya sebagai Che Ghu, atau Cik Ru ataupun Cik Rhu. Ejaannya aku meneka-neka sendiri dan sebutannya ialah seperti menyebut nama pokok Rhu. Aku lebih suka kepada ejaan Che Ghu.


Serangga ini adalah pemakan semut. Sarangnya yang berbentuk seperti kawah dibuat supaya serangga seperti semut terperangkap apabila jatuh ke kawah tersebut. Kesukaran semut untuk naik ke atas menyebabkan pasir-pasir halus bergerak-gerak ke bawah, dan peluan tersebut diambil oleh Che Ghu yang bersembunyi di dalam kawah berpasir tersebut dan menangkap semut sebagai makanan.

Bagaimana aku menangkap Che Ghu ini? Caranya aku pelajari sejak kecil lagi. Pertama aku gunakan semut hitam kecil atau semut merah kecil (orang Terengganu panggil semut gata), lalu aku letakkannya di dalam kawah tersebut. Apabila semut tersebut bergerak-gerak dan aku perhatikan Che Ghu mula beraksi untuk menangkap semut tersebut aku cepat-cepat mengaut pasir kawah tersebut dengan jari untuk menangkap Che Ghu. Pasir yang dikaut di tangan perlu dikuis dengan hati-hati sehingga Che Ghu kelihatan di tapak tangan.

Cara yang kedua ialah menggunakan rambut kita yang halus atau benang yang halus dan cuba mengacau dengan perlahan-lahan ke dalam kawan Che Ghu. Perhatikan bila Che Ghu beraksi untuk cuba menangkap hujung rambut atau benang, kaut dengan jari anda. Kedua-dua cara ini bergantung kecekapan anda, kerana Che Ghu juga pandai bersembunyi kembali ke dalam pasir jika kita tersalah kaut. Sarangnya musnah kerana proses penangkapan ini tetapi Che Ghu tetap bersembunyi di dalam pasir dan akan membina semula sarangnya kemudian hari. Nasihat aku, selepas tangkap, lepaslah semula ke pasir, jangan aniaya haiwan, berdosa!

Sila ke sini untuk tahu lebih lanjut tentang Che Ghu: The AntLion. Jika ingin tahu tentang nama serangga ini dalam bahasa bangsa lain sila ke sini : World Of Antlion.

cik ghu oh cik ghu
mung suke jalang berundo
semut jatuh makang slalu
biarpung semut beso macang mmuto

cik ghu oh cik ghu
wak sarang macang kawoh
aku ingat mung cik ghu
rupanye mung larva dalang tanoh

cik ghu oh cik ghu
banyok sungguh bawoh rumoh
duk dalang pasir debu
lepah tu mung terbang sunggoh-sunggoh!

Monday, July 11, 2011

Sarang di Sungai Udang

Sarang apakah ini?


Aku agak lama mencari-cari sarang ini. Sungguh payah untuk menemui sarang ini. Berlainan pada tahun 80an ke awal 90an dahulu. Agak banyak. Sekarang agak risau kalau-kalau haiwan ini telah pupus.


Pencarian aku berakhir di Kampung Sungai Udang. Hanya sarang-sarang sahaja yang dapat ditangkap gambar. Haiwan yang bersarang di tepi sungai kecil ini tidak aku ketemui. Sarang pun jadilah. Apakah nama haiwan ini disebut di Terengganu?


Haiwan tersebut namanya Udang Ketok. Bukan udang ketok laut. Ini sarang udang ketok darat. Gemar membuat sarang di tepi sungai kecil, kawasan berpaya dan alur. Udang Ketok ini berwarna putih merah, badannya panjang tirus dan mempunyai sepit kiri dan kanan seperti ketam.


Kini sungguh sukar sekali untuk mencari bagi menangkap gambar haiwan ini. Malah sarang-sarang yang ada hanya sedikit. Aku risau kalau-kalau ia pupus di Dungun ini. Haiwan yang dahulunya banyak bersarang di Jalan Lembah dan Sungai Buaya. Budak-budak sekarang kenalkah haiwan ini? Nanti kalau aku berjaya menangkap gambar haiwan ini, aku kongsikan di sini. Kalau boleh ada pihak yang mewartakan haiwan ini sebagai haiwan lindungan. Harap-harap haiwan ini ada yang diternak di Zoo. Ada ke?

Thursday, October 28, 2010

Burung Ngekéng

Kéng...Kéng...Kéng...bunyi sayup-sayup dari atas pohon tinggi. Jika makin didekati pohon itu makin kuat bunyinya. Kibasan sayap dan dahan ranting kuat berbunyi dek terjahan singgah. Diintai dari bawah pohon didapati burung ini berparuh besar berwarna kuning lembut. Warna badannya hitam dan sedikit putih pada sayap dan ekornya. Eh! Macam mana burung ini boleh ada di sini. Agak jauh dari bumi kepulauan sana, adakah ia berhijrah atau memang spesis ini juga ada di sini?

Itulah Burung Ngekéng dan itulah pertanyaan penulis pada waktu kecil. Terkejut dengan kewujudan burung ini di Dungun satu waktu dahulu di kawasan Kampung Sungai Buaya. Rata-rata orang di Dungun memanggil burung ini Ngekéng. Penulis tidak pasti di daerah-daerah lain di dalam negeri Terengganu. Dinamakan Ngekéng kerana bunyi suaranya Kéng...Kéng...Kéng. Bunyi suara yang nyaring dan boleh didengari di seluruh pelusuk kampung. Tambahan pula ia bergema dari atas pohonan yang tinggi.

Burung Ngekéng ini nama formalnya ialah Burung Enggang ataupun Hornbill dalam Bahasa Inggeris. Pelikkah atau memang spesisnya ada di Dungun?