Showing posts with label Slanga Terengganu : Cuaca. Show all posts
Showing posts with label Slanga Terengganu : Cuaca. Show all posts

Friday, December 23, 2011

Hujan Bberék

Musim Tengkujuh ini di Terengganu dan semahunya aku ingin mengatakan di Dungun anda akan terdengar dialog-dialog ini :

Hujang dök serék lagi nih!

Böh naik döh bawöh lemböh nung!

Pata habih rebih, bira jalan-g pata.

Pasir habih naik atah jalan-g dekak rumöh D.O nung!

Orang dök tubik ke lau-k, öngbök besö.

Hah! Itulah kata-kata yang aku rindui saat tengkujuh. Apabila jauh dari Dungun, butir-butir kata tersebut tidak bermain di bibir aku. Lantaran jauh, tengkujuh di tanah hampir Lembah Klang ini tidak terasa. Jikalau hujan, hujanlah. Jikalau berhenti, berhenti. Tiada butiran kata seperti di atas didengar mahupun dibualkan.

Makanya ketika berbual-bual dengan ibuku, terkeluar butir kata Bberék yang jarang sekali aku dengar. Kata orang barat very rare! 

Hujang Bberék nih, dari maréng agi.

Terjemahannya.

Hujan tak berhenti ni, sejak dari semalam lagi.

Perkataan berék adalah sesuai berpasangan dengan hujan. Ianya adalah untuk menggambarkan keadaan hujan yang berterusan yang tidak berhenti berhari-hari.

Nah! Sangat jarang.


Bunyi bising atah atak
Air jatuh payang nage
Hujang Bberék tunggu dök yakak
Sejuk gelepö gigi belage






Monday, January 12, 2009

Musim Hujan

Rhitik.

Lebak.

Serék.

Ketiga-tiga patah perkataan ini menggambarkan suasana hujan. Rhitik ( rintik ) membawa maksud hujan yang renyai-renyai ataupun gerimis. Lebak membawa maksud hujan yang lebat. Serék membawa maksud hujan yang telah berhenti.

Begitulah. Hujung tahun dan awal tahun, musim tengkujuh datang, membawa hujan dan banjir. Budak sekolah memakai baju hujan ke sekolah. Baju hujan kuning, atau hitam, atau biru. Macam-macam ragam warna.

Dulu-dulu kalau hari hujan kalau tiada baju hujan ambil sahaja plastik pembungkus beras yang mana beras telah diisi ke tempat lain. Caranya menggunting bentuk bulatan untuk muat-muat masuk kepala manusia, menggunting bentuk bulatan untuk muat-muat masuk tangan kanan dan kiri. Siap dan pakai. Redah hujan.

Masih basah kuyup. Lupa seluar hujan tak ada. Plastik beras ini hanya untuk baju hujan sahaja.

Hoh!

Wednesday, December 17, 2008

Jenis-jenis panas

Jenis-jenis Panas.

Sso oh.
Jika Pok Ku mengatakan sso oh ini adalah berasal daripada "socks off!" ( Pok Ku mengejakannya sebagai sok oh - sila rujuk ke entri panah sok oh di blog Pok Ku ), tetapi Awang pernah mendengar asal panah sso oh ialah daripada so hot ( Awang mengejakan sebagai sso oh ). Panah sso oh ini adalah bermaksud cuaca yang terik yang menyebabkan badan terasa panas dan berlengas peluh atau lengit yang menyebabkan kita tidak selesa.

Ddering.
Panah Ddering. Bermaksud cuaca yang terlalu panas atau dipanggil panas terik. Cuaca tengahari atau cuaca di musim kering akan dipanggil panah ddering.

Panah ssang.
Hati atau perasaan yang marah. Kepanasan atau marah kepada seseorang disebabkan sesuatu perkara yang menyebabkab kemarahan. Panah ssang juga boleh bermaksud sama dengan panah sso oh iaitu cuaca yang panas menyebabkan badan berpeluh dan tidak selesa.

"Buke kipah kuat-kuat sikek, panah ssang nih", kata seorang budak kampung sambil membuka baju t-shirt tak berkolar membiarkan muka ditampar angin kipas sambil air masak sejuk peti ais diletakkan di sebelahnya. Entah tak tahu sama ada hatinya yang tengah panas dek marah kerana apa? atau memang cuaca yang panas.

Bila musim tengkujuh tamat, musim kering dan panah ddering dan sso oh akan datang ke tanah pantai timur.

Tuesday, November 18, 2008

Musim Tengkujuh

Musim Tengkujuh.

Maka timbullah beberapa perkataan yang sering disebut apabila datangnya dengan musim tengkujuh. Antaranya ialah musing boh ( musim bah/banjir). Kalau hujan lebat, longkang-longkang tersumbat, air hulu turun, sungai melimpah, maka bohla di kampung-kampung di Terengganu.

Déné. Ada dua maksud. Kalau kait dengan musim tengkujuh, déné ini bermaksud basah. Basah dek kerana terkena air hujan ataupun terkena lecoh. Apabila hujan turun, kemudian berhenti, tanah-tanah akan bertakung air menjadi déné atau lecoh. Kalau berjalan kaki atas tanah yang becak ini, pastikan berhati-hati. Jangan terpijak, nanti kotor pakaian.

Tanah-tanah becak ini, akan diletakkan kayu/papan atau batu sebagai tempat berpijak. Maka apabila orang kampung keluar berjalan kaki berselipar ( cap Tat Seng ) selepas hujan, kayu/papan atau batu inilah tempat berpijak dengan aksi bagai melompat dan menjungkitkan kaki untuk mengelak daripada terkena tanah yang lecoh.

Maksud déné yang lain ialah manja. Kalau anak kecil, jika dimarah sikit, terus menangis - itulah dipanggil déné - Slanga Terengganu : Perangai .

Musing hujang ( musim hujan ) terutama selepas banjir ini, bermaksud budak-budak kampung pergi menangkap ikang sekila ( ikan sekilau/ikan laga) dan ikan karing ( lebih kurang spesis ikan laga ). Ada juga yang pergi menangkap ikan puyu, ikang sepak ( sepat ), dan ikang rruang ( haruan ). Bukan kira bahaya atau tidak, main redah pergi menangkap ikan- babé sunggoh! - Slanga Terengganu : Perangai .

Friday, November 14, 2008

Jo'ong dan Jangok

Jo'ong dan Jangok.

Cuaca mendung. Musim tengkujuh begini, jika tidak hujan, hari gelap mendung sepanjang hari dipanggil jo'ong. Hari jo'ong, seronok. Lepak di luar rumah, di lambo ( serambi rumah ) ataupun atas geghe ( gazebo atau wakah tak berbumbung ), makan jepuk ( cekodok ) cicah sos lada, hirup teh o panas suam. Takpun makan khepok lekor atau ubi kayu rebus, hirup kopi o panas.

Musim tengkujuh dan hari jo'ong ini hanya pakai jangok sangat, jika hujan, tanah becak, habis pakaian kotor. Jangok, bermaksud berpakaian cantik-cantik atau lawa. "Kalu nok gi makang ggula, paka la jangok skit..." ( Kalau nak pergi ke kenduri kahwin, pakailah lawa sikit). Orang-orang perempuan-kaum ibu, berpayung di tengahari dengan memimpin anak-anak kecil, semua berpakaian jangok. Berkumpulan, berjalan ramai-ramai menuju ke tempat kenduri kahwin. Maka satu kampung ternampaklah mereka semua.

"Nok kuane tuh... rama-rama...", tanya seorang mak cik yang duduk atas lambo rumah.
( Nak ke mana tuh... ramai-ramai...).

"Nok gi makang ggula...", jawab salah seorang wakil kaum ibu.
(Nak ke tempat kenduri kahwin...).


Balik kekgi bulehlah makang telur rebus, hadiah datang makang ggula...