Showing posts with label Slanga Terengganu : Nama Benda. Show all posts
Showing posts with label Slanga Terengganu : Nama Benda. Show all posts

Saturday, January 4, 2014

Joh Atu!



Joh atu!
Masuk tahun baru, masuklah darjah satu. Joh Atu!

Gambar di atas adalah getah pemadam pensel. Bangsa Terengganu memanggilnya sebagai ROBA. Inggeris memanggil getah sebagai rubber. Asimilasi bahasa menjadikan getah pemadam disebut roba oleh Bangsa Terengganu. Bentuk roba zaman sekarang ini ada pelbagai bentuk dan ragam. Di atas ini adalah pokok kaktus berpasu. Dulu roba kebanyakkannya hanya berbentuk segi empat dan bulat. Ada gambar bendera pelbagai , dan gambar watak kartun rancangan di tv. 

Assalamualaikum cikgu!

Friday, November 5, 2010

Samah

Samah? Bukan nama orang. Bukan nama gelar. Bukan nama pena (ada ke?). Samah adalah nama panggilan rakyat Terengganu terhadap duit syiling 50 sen. SA atau maksudnya SE atau dalam bahasa formalnya satu. AMAH adalah bermaksud kepingan duit 50 sen tersebut. Samah adalah sekeping duit syiling 50 sen. Kata nama yang popular dan yang selalu menjadi kata bual semasa
proses jual beli
barang di Terengganu ialah Samah dan Tige Amah. Tige Amah bermaksud tiga keping Amah iaitu tiga keping duit syiling 50 sen yang bersamaan dengan RM1.50 sen.



Samah!



Tige Amah!



Singgah sekejap makan mee rebus,
Sebelum ke pasar membeli lada,
Selesai makan Tiga Amah dibayar terus,
Samah sahaja harga ladanya.

Friday, October 23, 2009

Misteri : Selök & Jetak

Pintu pejabat dibuka. Tiba-tiba jetak sendiri. Oh! Ada mekanikal spring di atas pintu, jika dibuka akan tertutup sendiri-dia terlupa sedangkan rutinnya pintu itulah yang dibuka akan tertutup sendiri. Pintu itu sepatutnya tertutup sendiri secara perlahan-lahan, tetapi tertutup terlalu cepat kerana sudah beberapa lama belum dibaiki. Dia masuk ke dalam pejabatnya. Diselak jendela tingkap. Langit di luar begitu gelap."Mahu ribut hujan mungkin", getus hatinya. Dia bergerak ke arah kerusi. Duduk empuk lalu membelek beberapa fail yang perlu diselesaikan.

"Gggum..."bunyi guruh kuat di luar. Petir kilat sekali-sekali selang-menyelang. Hatinya tidak tenteram. Dentuman guruh petir. Biliknya tiba-tiba gelap. Dia bergelap. "Electric Circuit Breaker jetak agaknya", cuba menyedapkan hati sendiri. "Hahaha,heee...heee....hui...hui...huii" suara di luar nyaring, gelak tawa, suke selök tiba-tiba kedengaran. Dia berpeluh. Dia tahu hanya dia seorang di pejabat ini. Kesemua orang lain sudah pulang lebih sejam yang lalu. Dia diam. Memikirkan apa yang perlu dibuat.

Pintu dibuka dari luar perlahan-lahan. Bunyi kuak pintu kedengaran. Dia terpaku. Menutup muka dengan tangannya. Mulut terkunci. Jarinya yang menekup muka dibuka sedikit mengintai siapa yang bermain pintu. "Kalau aku tahu, aku akan selök pintu tadi", hatinya berkata dan memikirkan moga-moga JAGA bangunan cepat datang, walau dia tahu dia tidak menelefon Bilik JAGA supaya JAGA datang. Harap-harap datang sendiri.

Pintu tidak terbuka luas. Hanya sedikit dan tidak jetak tertutup sendiri. Kelihatan nyalaan api dari luar. Bayang api dan asap."Huh!", hatinya makin tidak tenteram. Apa misteri hari ini. "Hahaha,heee...heee....hui...hui...huii", kedengaran semula.

"Kuakkk" tiba-tiba pintu dibuka besar. Nyalaan api makin dekat menerjah masuk ke bilik. Dia menekup rapat mukanya dengan buku. Sekelip mata lampu pejabatnya menyala. "Selamat Ulang Tahun Bossssssssss!!!!.", ucap suara beramai-ramai.

"Oiii!!! Hari ni bukan hari lahir aku laaaaaaaa", dia menjerit dengan muka separuh pucat.

"Ikut bulan Hijrah Bosss,bulan Islam", pegawainya menjelaskan.

"Kah...kah...kah..., terima kasih,terima kasih, Kah,kah,kah", suke selök akan dia. "Lain tahun jangan buat macam ni, guna trick lain pulak, kah...kah...kah...", sambung ketawa akan dia.

"Ok! Bosss....tahun depan kita masuk TV, kita panggil Bam Bam Boom TV3", cadang pegawainya.

"Gulp!", debar hati dia.

NOKTAH.

Terjemahan.

Cerpen yang lebih pendek dari cerpen. Selök & Jetak. Orang Terengganu menyebut Selök untuk menggambarkan perbuatan MENYELAK, SELAK pintu/mengunci pintu dengan selak, penyelak/selök, penyelök. Suke Selök pula adalah bermaksud ketawa yang melampau-lampau.

Jetak membawa maksud sesuatu benda seperti pintu yang bermekanikal spring akan tertutup sendiri/auto tetapi dengan kelajuan yang cepat. Jetak juga selalu digunakan untuk menggambarkan suis kotak fius elektrik dirumah, apabila petir menyambar di kawasan kita, Suis Pemutus Bekalan Elektrik/Electric Circuit Breaker akan tertutup sendiri atau Jetak sendiri.

Jangan biarkan diri anda di-Selök & Jetak oleh rakan-rakan anda.

Saturday, October 17, 2009

Teksi ke beca?

Jika sampai ke Terengganu jangan pelik, jangan hairan. Teksi (kereta sewa) yang tiada meter dipanggil teksi, beca roda tiga dipanggil teksi. Tiada beca di Terengganu. Noktah. Sebenarnya ada. Beca roda tiga dikayuh golongan veteran dipanggil teksi. Di Dungun sendiri pada waktu ini telah tiada (atau masih ada tapi tinggal dua tiga beca sahaja?) Dulu-dulu beca digunakan oleh makcik-makcik dan kakak-kakak di sekitar kampung untuk turun ke kuala/Pasar Besar Dungun, atau ke pekan Sura Gate/De Gate - Maaf! Bunyinya macam Perancis tetapi itulah, orang Dungun memanggil Sura Gate sebagai De Gate.

Beralih ke cerita beca. Sekarang amat payah untuk melihat beca-beca di Dungun. Di daerah-daerah lain di Terengganu, tidaklah aku tahu.

Mök cik yang duduk atas lambo : Höh! Nök gi duane tuh?
(Hoh! Nak ke mana tu?) Jerit Mok cik kepada rakannya yang duduk dalam beca roda tiga.

Mök Cik yang duduk dalam beca : Nök gi darakk, makang gula...
(Nak ke darat sana, makan kenduri). Jawab Mök cik yang duduk dalam beca - dengan nada jerit agak-agak dalam 8 desibel.

N
ök gi darakk, makang gula... orang Dungun menyebut nök gi darrak adalah nak ke Kampung Gong Pasir/Kampung Pak Sabah, makang gula pula bukanlah bermaksud makan gula yang manis, tetapi makan gulai iaitu lauk pauk kenduri kahwin (nasi minyak gulai ayam gulai daging).

Monday, September 14, 2009

Pra Aidil Fitri : Kad Raya

Dapak dok agi kak raye? Dapat tak lagi kad raya?

Kad raya satu budaya nostalgia yang sekarang masih ada tetapi tidak tahu seutuh mana. Kemajuan teknologi perhubungan yang jauh makin dekat, khabar berita senang dapat dan semuanya dengan istilah Di Hujung Jari. Kemajuan telefon yang boleh menghantar pesanan ringkas - sms, talian internet dengan menggunakan medium Yahoo Messenger, MSN dan pelbagai medium yang selari dengannya yang memudahkan manusia kini untuk memberi maklumat, ucapan, dan apa saja walaupun hal yang lagha. SMS raya, Email kad raya, dan ucapan raya di web blog memudahkan semua.

Fungsi kad raya mungkin tidak sekuat dahulu tetapi kad raya sebenarnya penuh nostalgia. Antaranya : Tulisan tangan pengirim yang tulen - mungkin boleh mengubat rindu, pihak yang akan menerima pula akan tertunggu-tunggu kedatangan posmen - dan itu adalah perasaan pelik tetapi hebat iaitu rindu. Samaada rindu ibu bapa terhadap anak di rantau, rindu pada orang yang disayangi dan seumpamanya. Kini jika anak jauh di rantau, jika ada komputer pakai sahaja medium perisian perbualan seperti Yahoo Mesengger, dan jika ada telefon bimbit gunakan sahaja teknologi 3G (itu pun sebenarnya untuk kawasan tertentu).

Membincangkan tentang kad raya sebenarnya kad raya mempunyai pelbagai bentuk dan pelbagai ucapan bergantung kepada siapa yang kita ingin kirimkan. Ada kad raya yang mengeluarkan bunyi irama lagu raya apabila helaiannya dibuka. Ada yang ringkas sahaja. Ada yang buat sendiri kad raya kerana darah seni lukis dan kreatif yang ada pada diri. Walau bagaimanapun kad raya seharusnya menjadi budaya yang terus menerus bertakhta apabila tiba musimnya. Jangan biarkan ia hanya sebagai kad yang digantung sebagai hiasan di rumah atau di pejabat apabila musim raya tiba. Jangan biarkan ia tenggelam dengan pelbagai teknologi yang ada. Jika tidak ia mungkin akan menjadi satu lagi budaya yang mungkin didokumenkan dan berbingkai untuk menjadi tatapan di muzium.

Sunday, September 13, 2009

Pra Aidil Fitri : 7 Liko

Tujuh Liko. Itu Terengganu. Tujuh Likur di luar Terengganu. Betul ke 7 malam sebelum raya? Malam tujuh liko malam budak-budak main mercun, main meriam buluh, main bunga api. Ada ngecung keluang, ngecung lidi, ngecung jarung, ngecung lalak, ngecung tali, ngecung bawang, ngecung dah, ngecung hok keluo payung terjung, ngecung gasing, , ngecung katok, ngecung ulo, dan ngecung tupak.Nati aku cerita se... se...(cerita mercun akhir 80an ke awal 90an).

Ngecung atau mercun dalam bahasa formal. Ngecung keluang adalah mercun apa bila ia dinyalakan akan naik ke atas (ke udara) sambil mengeluarkan bunyi seumpama bunyi keluang kemudian apabila sumbu yang berapi sampai ke peringkat pangkalnya akan mengeluarkan dentuman yang kuat di udara. Ngecung lidi bentuk sama seperti ngecung keluang tetapi tidak mengeluarkan bunyi seumpama haiwan keluang. Soal dentuman itu aku sudah lupa - telah lama meninggalkan aktiviti main ngecung ni. Modus operandi ngecung ini sama dengan ngecung iaitu apabila ia dinyalakan ia akan naik ke udara. Syaratnya, sebelum ia dinyalakan ngecung keluang dan ngecung lidi harus dipacakkan hujung lidinya di atas tanah.

Ngecung jarung atau mercun jarum. Bentuk mercun ini sama seperti mercun yang orang Cina pasang masa Tahun Baru Cina. Cuma ia kecil, kulit bungkus kertasnya ada macam-macam warna, yang biasanya warna hijau. Ia tidak diikat seperti mercun orang Cina tetapi ia berasingan seperti dinamit. Cara untuk menyalakan mercun ini yang paling berani ialah patahkan ubat nyamuk tetapi jangan terlalu pendek. Ambil sedikit lingkaran ubat nyamuk yang dipatahkan ini dan nyalakan. Tangan kanan memegang ubat nyamuk yang menyala, Tangan kiri memegang mercun jarum. Nyalakan mercun jarum dan lempar jauh-jauh dan dentuman yang kuat terhasil apabila nyalaan sumbu berjumpa dengan pangkal yang berbungkus kertas berbelerang atau agen letupan. Awas! Jangan Tiru! Jangan Buat! Kalau salah timing, jari anda menjadi kebas jika meletup di tangan, jika tak kebas, jari yang hilang. Cara yang agal cool nak main mercun ni ialah letakkan ia di dalam kertas surat khabar, bakarkan surat khabar. Duduk jauh-jauh. Kemudian mercun ini akan menyala dan meletup.

Ngecung lalak. Mercun lalat tetapi bentuk mercun ini seperti lebah. Ada lukisan belang lebah dan mempunyai bersayap seperti serangga pada mercun ini. Mercun ini apabila dinyalakan akan terbang ke udara seperti serangga dan mengeluarkan bunyi seperti kibasan sayap serangga; zussssssssssssss...Tiada dentuman. Tiada letupan. Terbang hilang entah ke mana.

Ngecung tali ini ialah mercun yang bertali di kanan dan di kiri. Di tengah-tengahnya adalah bungkusan berbelerang atau agen letupan. Mercun ini amat mudah untuk diletupkan. Hanya memegang tali di kanan dan kiri dengan cara menggendurkan ia dahulu, kemudian menarik dengan sekuatnya. Letupan kecil akan berlaku. Ngecung bawang ialah mercun yang berbungkus seperti bawang putih. Ia kecil dan di dalam bungkusannya mempunyai ketulan seperti batu dan ia adalah agen letupan. Caranya ialah dengan melemparkan ia ke permukaan yang keras dan letupan kecil akan berlaku.

Ngecung dah. Mercun ini ialah mercun seperti bunga api yang dimainkan semasa menyambut tahun baru ke, malam merdeka ke, seperti itulah. Ngecung dah bermaksud mercun das. Das diambil daripada bunyinya seperti das tembakan yang keluar dari bungkusan berbentuk silinder yang kurus. Ada yang berani menyalakan mercun ini dengan memegangnya ditangan dan hujungnya ditunjuk ke udara. Kemudian setiap das bunga api yang keluar adalah berwarna warni dan ada sedikit bunyi letupan. Ada yang memacaknya di atas tanah. Nyalakan. Kemudian keluarlah das-das bunga api yang berwarna-warni, cantik ke udara. Ngecung yang hok keluo payung terjun. Mercun ini adalah sama seperti mercun das. Kalau tak silap aku modus operandinya sama cuma das yang terakhir ialah payung terjun yang keluar ke udara dan terbang perlahan-lahan lalu jatuh ke tanah.

Ngecung gasing. Mercun ini berbentuk bulat. Apabila ia dinyalakan ia akan berpusing seperti gasing dan mengeluarkan bunga api yang cantik, cuma hati-hati, pusingannya agak laju dan perlu dielakkan daripada terkena diri kita. Ngecung katok atau mercun katak pula, bungkusan seperti dilipat dengan tali kalau tak silap aku dan bungkusannya berwarna hijau. Apabila ia dinyalakan ia akan melompat seperti katak walhal tidaklah seperti sungguh macam katak. Soal mengeluarkan bunyi dentuman aku sudah lupa.

Ngecung ulo atau mercun ular. Ia bewarna hitam, kecil dan berbentuk silinder pendek. Tiada sumbu hanya terus nyalakan pada permukaan mercun ini. Kemudian ia akan mengeluarkan asap hitam dan ia akan mengeluarkan bentuk seperti tali seperti ular menyusur di batang pokok naik ke atas sehinggalah bahagian bawah silinder pendek ini habis menjadi seperti ular.

Ngecung tupak. Mercun ini mungkin dipanggil sedemikian kerana ia berbentuk seperti ketupat palas, lebih-lebih lagi ia berwarna coklat-warna koko kata orang Terengganu. Mungkin juga ia dipanggil sedemikian kerana ketumpatan (tumpat) agen letupannya di dalam bungkusannya dan mengeluarkan bunyi dentuman seperti bom apabila ia dinyalakan. Bunyinya boleh riuh sekampung.

Ade banyok lagi jenih ngecung tapi dok berape ingat doh....

Sekarang ini cukup pasang pelita sahajalah. Main mercun sekarang, polis tangkap. Dah haram. Bahaya. Aku rasa budaya tujuh liko hanyalah budaya kanak-kanak. Nostalgia kanak-kanak. Sekarang inipun tidak pasti sama ada kanak-kanak masih ketahui akan budaya ini atau nanti hanya menjadi tatapan di muzium sebagai dokumen yang dibingkaikan....

Paling penting carilah Malam Lailatul Qadar...

Thursday, September 10, 2009

Pra Aidil Fitri : Duik Raye, Pitih Raye

Aha! Kanak-kanak mesti suka. Pergi rumah orang sentuh kuih ala kadar. Minum air sirap atau oren sikit-sikit. Tunggu tuan rumah bagi sampul duit raya. Kan! Itulah!

Budok-budok jalan-g sekapong gi kumpu duik raye. Ade hok bagi ge siling, ade hok bagi seria, buleh belake, ambik belake. Dapak sampo dok gaga kok luo, rase-rase duit siling, mungking pitih seria. Tu dulu mase pitih seria betuk siling, lening tadök döh. Dök payöh gaga, buke teruh tengok berape ria dapak.

(Budak-budak berjalan seluruh kampung untuk kumpul duit raya. Ada yang bagi duit syiling, ada yang bagi seringgit, boleh belaka, ambil belaka. Dapat sampul raya, raba-raba di luar sampul, rasa-rasa duit syiling, mungkin duit syiling seringgit. Itu dahulu masa duit seringgit berbentuk syiling, sekarang tak ada lagi. Tak payah raba, buka terus tengok berapa ringgit dapat).

Bukan main budak-budak Terengganu, dapat duit raya nilai RIYAL bukan RM...

Tuesday, September 8, 2009

Pra Aidil Fitri : Ténöng


Ini Ténöng plastik cap Tupperware. Moden. Berwarna-warni. Dulu-dulu malah sekarang ini masih ada lagi yang menggunakan Ténöng besi yang berukir timbul di permukaan luar. Terkenang Aidil Fitri pasti terkenangkan Ténöng pada awal pagi raya. Juadah makanan raya diletakkan di dalam Ténöng ini dan di bawa ke rumah-rumah jiran sebagai aktiviti berbalas juadah sesama jiran (sekarang ada lagi?). Selain itu Ténöng yang berisi juadah raya dibawa jika bertandang/berziarah Tok dan Tokki, rumah saudara-mara dan kenalan.

Itu cerita raya. Ténöng juga digunakan pada masa-masa lain. Boleh di bawa ke kebun sebagai bekalan makanan tatkala berehat makan. Unik juga orang Terengganu memanggilnya sebagai Ténöng. Jika di luar Terengganu biasanya ia dipanggil sebagai Mangkuk Tingkat. Satu patah perkataan dalam slanga Terengganu, dua patah perkataan dalam Bahasa Melayu formal.

Saturday, May 9, 2009

Ada apa dalam Bekah Kalang? ( Siri vi )

Péng.

Péng. Ada yang masuk darjah empat baru boleh pakai pen. Ada yang masuk darjah lima baru boleh pakai pen. Darjah enam sememangnya boleh pakai pen. Pakai pen lambang dewasa.

Sedikit pantun dulu-dulu...

Péng meroh,
Péng biru,
Mok maroh...
i love u...

Sayangi dan cintai ibu anda walau anda kena marah sebab conteng dinding rumahnya...

Thursday, May 7, 2009

Ada apa dalam Bekah Kalang? ( Siri v )

Kayu Rö.

Kayu Rö. Ada besi. Ada kayu. Ada plastik.Ia tetap dipanggil Kayu Rö. Ada yang panjang. Ada yang pendek. Atasnya di lukis garis-garis. Sebelah kanan kanan unit cm. Sebelah kiri unit mm. Ada yang yang unit inchi. Macam-macam. Sekolah rendah. Unit cmnya hanya sampai 15cm. Masuk sekolah menengah, unit cmnya sampai 30cm. Sekolah rendah, berwarna-warni Kayu Rö-nya.

Ada Kayu Rö di tengah-tengahnya ada ruang khas yang di dalamnya ada air yang bertakung dan air perade yang bergenang di dalamnya. Air perade ( air perada atau dalam bahasa Inggeris dipanggil gold dust ) ini ialah cebisan kertas yang berkelip-kelip berwarna-warni.

Adakah sekarang ini masih ada orang yang memangil Kayu Rö? Atau lebih senang memanggilnya dengan nama Pengbarih? Bahasa rasminya kita panggil Pembaris.

Monday, May 4, 2009

Ada apa dalam Bekah Kalang? ( Siri iv )

Kalang Pécék / Péték.

Anda sekolah rendah? Pastinya anda akan menggunakan pensil 2B Staedtler. Anda sekolah rendah? Mungkin menginjak sedikit darjah, anda menukar pensil kayu biasa ke pensil plastik yang perlu diisi ubatnya? Pensil mekanikal, yang perlu diisi ubatnya, yang perlu ditekan umpama butang di sebelah atasnya. Anda sekolah menengah? Pensil mekanikal ini mungkin anda memakai yang berjenama.

Senang sahaja, orang Terengganu memanggilnya Kalang Pécék / Péték, ubatnya dipanggail Ubat Kalang Pécék / Péték. Pécék / Péték bermaksud tekan, atau picit. Sudah cukupkah isi dalam bekah kalang anda? Nantikan entri seterusnya.

Saturday, May 2, 2009

Ada apa dalam Bekah Kalang? ( Siri iii )

Görék.

Racung kalang tuh. Apa maksudnya? Racung kalang tuh gune pisa. Apa maksudnya?

Ayat di atas jika ditulis dalam bahasa Melayu formal ialah mengasah pensil, mengasah pensil dengan menggunakan pisau. Ada yang menggunakan sharpener atau pengasah pensil. Bagi kanak-kanak di Terengganu nama pengasah pensil ini disebut sebagai Görék. Mungkin nama ini disebut daripada kata dasar bagi Pengorek. Pengorek menjadi görék.

Dulu görék yang masyhur ialah görék yang berbentuk bulat dan mempunyai cermin di depan, lubang pengasah di tepi, dan pengasah di belakang. Apakah fungsi cermin ini tidaklah diketahui. Mungkin untuk memudahkan murid lelaki untuk memicit jerawat di muka, dan untuk murid perempuan membetulkan tudung selepas waktu PJ ( Pendidikan Jasmani ).

Monday, April 27, 2009

Ada apa dalam Bekah Kalang? ( Siri ii )

Roba.

Roba. Pakai pensil kuning belang hitam. Nak kena asah bila tumpul. Roba. Bila salah tulis, salah eja kena roba. Jangan kuat-kuat. Nanti koyak kertas. Roba.

Roba. Dibuat daripada getah agaknya. Dalam bahasa Inggeris getah dipanggil rubber. Agaknya apabila diistilahkan dalam slanga Terengganu menjadi Roba iaitu pemadam.

Roba yang mashyur adalah cap Staedtler, dan cap Faber-Castell. Ini biasanya golongan pelajar menengah yang pakai. Kalau murid sekolah rendah beli yang harga 10 sen sahaja. Harga 20 sen pun ada. Ada yang menjadikan menyimpan roba sebagai hobi. Pelbagai gambar bendera, dan macam-macam lagi.

Roba. Sekarang bila dah besar pakai pen. Jarang pakai roba. Salah tulis pakai liquid paper.


KBSR-Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Budak-budak dulu panggil Kalau Boleh Sepuluh Ringgit.

Wednesday, April 22, 2009

Ada apa dalam Bekah Kalang? ( Siri i )

Ada apa dalam Bekah Kalang? ( Siri i )

Pada masa kita kecil apa yang penting bila masuk sekolah? Selain buku, kanak-kanak minat dengan bekas pensel - kata baku. Kanak-kanak Terengganu menyebutnya dengan nama bekah kalang. Bekah yang bermasud bekas dan kalang bermaksud pensel. Kalang adalah daripada bahasa Arab iaitu Kalam. Kaitan bahasa Arab dengan budaya dan slanga Terengganu amat rapat sekali.

Bekas kalang yang menarik dan canggih pada waktu dulu-dulu ialah bekah kalang yang mempunyai kunci atau kod nombor yang pemiliknya sahaja yang boleh membukanya. Ini boleh mengelakkan kawan daripada meminjam pensel tanpa pengetahuan pemilik dan juga yang suka mengambil terus tanpa bertanya.

Ada juga bekas kalang yang mempunyai butang tekan tertentu yang akan secara automatik akan membuka penutup tertentu. Seumpama butang pintar. Contohnya untuk membuka tempat menyimpan pemadam, kita akan menekan butang untuk tempat simpanan pemadam tersebut.

Dulu bekas kalang yang pintar ini adalah lambang kanak-kanak tersebut orang berada. Maka ramai kanak-kanak yang tidak ada bekah kalang tersebut terasa teruja melihat bekah kalang tersebut. Golongan biasa atau marhaen hanyalah menggunakan bekah kalang yang diperbuat daripada kain yang dijahit dengan zip untuk menutupnya. Ada yang menggunakan bekah kalang plastik berwarna merah yang lutsinar berbentuk segiempat tepat sahaja.

Apa-apa pun bekah kalang apa yang dipakai, ilmu yang dipelajari itu yang lebih penting untuk dimanfaatkan.

Monday, March 23, 2009

Ghobok

Ghobok.

Ghobok adalah tempat menyimpan pakaian, atau barang hiasan ( ghobok cermin berkaca ). Ada juga dijadikan sebagai tempat menyimpan alat tulis, fail dan bermacam barang-barang kepunyaan anda.

Ghobok itu kata orang Terengganu. Gerobok kata kamus. Almari kata yang umum digunapakai.

Disilakan ke http://gerobokbatik.blogspot.com/

Friday, March 6, 2009

Cakne dan Lök

Cakne dan Lök

Di serambi rumah yang besar ( tipikal rumah-rumah di Terengganu mempunyai serambi yang besar ) berbual dua orang makcik ( yang takdok kije buak ) di tengahari. Seorang makcik a datang ( niat untuk menggosip ) datang ke rumah makcik b. Maka berbuallah mereka sambil memerhati kenderaan dan orang yang lalu lalang di depan rumah mereka.
Antara perbualan mereka :

Makcik a : Mung wak mende hari ni ?

Makcik b : Wak mende ? Mung tanya aku masok mende pagi takdi ke atau tanya AKU SEDANG BUAT APA?

( Tipikal orang Terengganu, kalau tanya wak mende pada waktu pagi-pagi bermaksud - masak apa untuk sarapan pagi ini ?

Makcik a : Maksud aku mung masok mende pagi tadi ?

Makcik b : Wak jepuk je, malas-h la masok berak-berak. Tengohari masok pulok, kang masok nasi dagang, pagi-pagi gelak-gelak kene bangun-g doh, nok masok nasik lemok kang dök abih, buang saje sebak tengahari makang nasik lauk pulok.

( Jepuk bermaksud jemput-jemput bilis, berak-berak bermaksud berat-berat, gelak-gelak bermaksud gelap-gelap, sebak bermaksud sebab )

Makcik b : Pulok doh, aku pung gitu, masok banyok-banyok bukang ade orang nok makang, kekgi buang saje.

Makcik a : Eh! Mung tengok tuh, budok mane tuh, maing basikal congék basika, jatuh pulok nyusoh ke orang.

( Basika bermaksud basikal )

Makcik b : Ho la...mok bapok dök care, dök cakne, anok jadi gitu lah...

( Dök care ( tak cara ) , dök cakne bermaksud tidak ambil tahu tentang sesuatu, cakne bermaksud ambil tahu atau ambil berat )

Makcik a : Tuh la...laa..mung tengok tuh budok tuh congék motorsika pulok, anok sape tuh...

Makcik b : Ho la...anok orang kaye, beli motor, beri ke anok, dök paka helmet-k, tuh ada lesen-g ke dök tuh?

Makcik a : Ho laa..orang putih kata anok orang lord, anok orang kaye, anok orang besor-besor pangkak ...

( Pangkak bermakud pangkat )

Makcik b : Kalu ikut bahasa Teranung sesuai la kite panggil anok orang lök, same la makne anok orang lord, lök ngate rawe, doh kaye mok bapok sibuk kije, anok-anok lök ngate rawe, beri tu, beri ni, dök cakne lasung...

( Lök bermaksud membiarkan, lasung bermaksud langsung )

Tuk Laki b : Sedak ngate orang...ni nasik nanök dok agi ? ( Suara suami kepada makcik b berkata dari dalam rumah )

( Tok Laki bermaksud suami )

Makcik a : Err...aku balik dulu la yea...laki mung maröh döh tu...

Makcik b : Ok, mung balik dulu lah...


Sunday, March 1, 2009

Mencari S.U.P.I.K di Kuala Lumpur

Mencari S.U.P.I.K di Kuala Lumpur.

Seorang lelaki. Baru pertama kali dapat pergi ke Kuala Lumpur. Dia baru habis belajar. Setakat kolej dalam negeri kelahirannya. Sekarang ini dia baru mendapat kerja di kampung di sebuah syarikat minyak dan gas ( oil and gas ). Satu syarikat bersaiz sederhana tetapi mempunyai kontrak-kontrak besar dalam menyelenggara loji di darat dan di laut.

Satu hari dia pergi ke Kuala Lumpur atas urusan kerja atas arahan syarikat. Dia pergi berdua dengan rakan sekerjanya merangkap ketuanya kerana rakan itu lebih tahu selok belok Kuala Lumpur. Sampainya di Hentian Bas Putra, mereka berdua turun ke hentian bas dari / ke Pantai Timur tersebut.

Semasa ingin menuruni bas, tiba-tiba satu beg yang dibawanya terkoyak sedikit ( beg ala-ala bag kain yang bercop Jusco ke atau Maxis ke ). Isi barangnya di dalam plastiknya hanyalah kasut hitam berkilat, ingin dipakai apabila ke ibupejabat di Kuala Lumpur-hasratnya ingin menjaga tahap kekilatan hitamnya kekal berkilat dan tidak kotor.

Oleh itu dia berfikir-fikir ingin mencari-cari beg plastik di kedai-kedai sekitar Hentian Putra itu.

Dia : Bos..beg aku koyok sikék, bos duk sining kejak, aku nok cari supik kat keda-i.

Bos : Ok, molek sikék jalan-g tuh, jangan-g sesat-k pulok kekgi dalam-ng stesen-g ni.

Dia berjalan ke arah deretan kedai di hentian tersebut. Dia pergi ke satu kedai yang menjual makanan ringan, minuman kotak, tin dan botol dan juga majalah.

Dia : Pokcik, ada supik dok?

Tuan Kedai No. 1 : Supik ? Siapa Supik? Supik takde kat sini, Kalau Sapik ada, cuba tanya kedai sebelah.

Dia : Ooo...terima kasih pokcik...

Dia pergi pula ke kedai sebelah. Harapannya agar ada beg plastik yang diingini. Dia ingin membelinya dan kalau dapat percuma lagi bagus.

Dia : Cik, sining ada jua supik dok ?

Tuan Kedai No. 2 : Supik? Supik tu apa? Sapik ada...Tadi ada kat sini, cuba tengok kat kedai hujung sana...

Dia : Hmm...terima kasih cik.

Dia berlalu dan berjalan ke arah kedai hujung seperti yang disebutkan oleh Tuan Kedai No. 2 tadi. Sampai dia ke kedai yang hujung itu dia terus bertanya.

Dia : Encik...supik ade dok?

Pekerja Kedai Hujung : Supik? Supik apaan tuh? Kalo Supir aku tau. Tapi di sini kita gak punya. Ini cuma toko majalah kok. Kalo mau cari supir, ya ke loket bis sana.

Dia : Err...dakpelah...dok paham-ng.

Nampaknya kedai tersebut menggajikan pekerja Indonesia. Makin dia tidak faham, disebut supik orang di sini memanggilnya sapik, orang Indonesia ini pula memanggilnya supir. Dia makin tidak faham . Tiba-tiba ada orang menegur dari belakang...

Sapik : Abang...abang cari saya ke...saya Sapik.

Dia : Eh! Bile saye cari awok? Saye dok kena-l awok.

Sapik : Tadi Tuan Kedai No. 1 yang beritahu saya, dia cakap ada orang cari saya, tapi bahasa loghat dia pelik sikit, macam orang pantai timur. Saya rasa abanglah.

Dia : Eh! Bukan-g saya cari.

Sapik : Emm...takpelah bang. Kalau macam tu saya pergi dululah.

Dia : ( Hanya tersenyum )

Dia kemudian berlalu pergi. Pergi ke arah tempat duduk rakan sekerja merangkap bosnya itu.

Dia : Bos...takdok la jua-l supik sini...aku gi keda-i hok no.1 dan no. 2 dia kata supik takdok, yang ada sapik, tapi dia tunjuk kedai lain, aku gi keda-i hujung nung, tapi aku dok paham-ng mende dia cakap-k. Aku rasa orang sini panggil supik tu sapik la...keda-i hujung tuh panggil supir pulok...pening pale aku...

Bos : Kah...Kah...Kah...Kah...Kah...Kah...Kah...Kah...Kah...Kah...

Dia : ( Berkerut dahi ) Bakpe mung gelok ke aku bos...

Bos : Sini orang dok panggi-l supik laaaaaaaa...orang panggil beg plastik...

Dia : Laa....malu aku weiii...

Bos : Dakpelah, kasut-k mung ni, letok je dalam supik errr sapik aku ni hehehe...supir aku ada lebih ni....

Dia : Dahlaaa bos...jangan-g kutuk aku lagi... ( sambil mengambil supik dari tangan bosnya )


Glosari

Supik
Beg Plastik

Supir
Pemandu

Toko majalah
Kedai majalah

Loket bis
Kaunter Bas / Kaunter Tiket Bas

Friday, November 21, 2008

Kisah Ddapo

Kisah Ddapo - air co.

Ddapo bermaksud dapur. Tempat kaum ibu memasak dan membasuh pinggan dan menyimpan pinggan-mangkuk dan barang-barang masakan. Jadi beberapa perkataan yang sinonim dengan ddapo antaranya ialah air co dan térak.

Dahulu rumah-rumah kampung di Terengganu tidak mempunyai sistem perparitan yang baik. dan tidak menyeluruh ke kampung-kampung. Air sinki hasil basuhan pinggan-mangkuk tidak mengalir ke longkang atau ke mana-mana sistem saliran. Sistem aliran air buangan dibuat sendiri oleh penduduk kampung mengikut kawasan rumah masing-masing. Air tersebut turun ke tanah melalui saluran paip. Tanah tersebut menjadi lopak air yang bertakung. Itulah air co.

Haiwan ternakan seperti ayam, itik dan angsa biasa akan mencari makanan di sini. Cacing-cacing tanah juga banyak boleh didapati di sini." Kalu nok gi ngail cari cacing, carilah air co..." ( Kalau nak mengail ikan mencari umpan cacing, carilah air co... ) .

Kisah Ddapo - térak pinggang.

Selepas basuh pinggan-mangkuk, kita akan menyusun pinggan, mangkuk dan gelas pada satu tempat khas-tempat menyimpan dan mengeringkan pinggan-mangkuk. Tempat menyimpan khas ini dipanggil tempat térak pinggang. Térak ini kata asalnya ialah tiarap atau meniarap. Jadi perkataan térak pinggang ialah membawa maksud meniarapkan pinggan yang bertujuan untuk mengeringkan pinggan yang telah dibasuh dan dibilas dengan air.

Selain daripada itu nnérak ( duduk nnérak ) juga kata asalnya ialah meniarap. Ia lebih kepada perbuatan manusia yang meniarap.

"Mmolek skek térak pinggang tuh...arcopal tuh..."

Monday, November 17, 2008

Gateh Basika

Gateh Basika.

Gateh basika - bermaksud menunggang/mengayuh basikal. Gateh basikal. Dulu-dulu belajar menunggang basikal beroda empat cap BMX. Beroda empat? Di sebelah kanan dan kiri tayar belakang basikal telah sedia ada penambahan dua roda kecil. Makin tére ( pandai ), buang satu roda kecil - tinggal tiga tayar. Makin pandai, buang satu roda kecil lagi - tinggal dua tayar, iaitu tayar depan dan tayar belakang seperti basikal biasa.

Bila dewasa pakai basikal lain. Cap Raleigh. Ada orang kata basikal Roamer. Sebelah depan éngda ( handle/pemegang ) ada bakul. Depan bakul ada lampu dijanakuasakan dengan dinamo. Dinamo ini dipasang pada batang sepik udang ( fork/pemegang tayar depan ). Apabila dinamo diaktifkan, ia akan bersentuh dengan tayar depan dan kepala dinamo akan berpusing apabila basikal dikayuh dan lampu depan akan menyala,. Bawah berhampiran péda ( padle/pengayuh ) ada dua besi dipateri berbentuk seperti peluru pemandu, itu trademark basikal Raleigh.

Basuh basikal sokmo-sokmo ( selalu ). Basuh réng ( rim ) sampai kilat. Basuh makgak ( mudguard/penghadang tayar) sampai kilat - makgak warna kerong ( chrome ), karat kena buang, kilat kena jaga. Jangan lupa lampu basikal juga.

Cerita pasal réng. Kalau suka réng lidi ( rim berbatang besi halus ), jaga kilatnya. Kalau mahu sport réng, tukar cap OGK atau OBK. Ada sport réng ni, réng bitang ( bintang, oleh kerana bentuk rim seperti bintang ).

Datang satu masa, basikal mountain bike mengambil alih. Cap LeRUN. Ada banyak gear. Boleh tukar kelajuan kayuhan. Tamat zaman Raleigh. Budak-budak sekarang pakai LeRUN.

Budak kampung ini pandai-pandai, bawa basikal buat congék ( angkat tayar depan ke udara sambil mengayuh basikal ) sampai dua tiga tiang. Lagi banyak tiang, kira baguslah budak itu. Tiang ini ialah tiang letrik TNB. Jarak mencongék basikal ialah antara tiang ke tiang tanpa jatuh- begitulah cara ia dikira . Buat congék ni jangan dibuat, silap-silap jatuh.

Dulu-dulu, kalau mengayuh basikal, tiada lampu basikal, polis tahan, kena saman. Betul ke?

Wednesday, October 29, 2008

Bong


Bong. Satu alat untuk mengopek buah kelapa secara tradisional. Bong diperbuat daripada besi. Dipacakkan bersama satu tiang ke dalam tanah. Permukaan yang tajam di atas seumpama lembing adalah untuk mengoyak sabut kelapa.

"Gi koyok buoh nyo tuh tanoh..tra gune bong tuh.."
(Pergilah kopek buah kelapa kat laman..cuba guna bong lah..)

Ada satu lagi perkataan bong tapi lain maknanya. Bong cikgu. Bong cikgu ini ialah perisik atau spy kepada cikgu untuk melaporkan pelanggaran undang-undang sekolah oleh pelajar lain di sekolah- sebagai contohnya. Boleh jadi bong ini adalah pengaruh perkataan Inggeris juga. Bong..James Bong-Bond.

Awang-budok mude lening panda dok gune bong? Kalau letih selepas guna bong..sila urut badan anda menggunakan Osim. Jangan stress menggunakan bong.