Tiang-tiang Opal di Pantai Teluk Lipat - Kampung Sura Jeti.

Gambar lama menunjukkan tiang-tiang opal yang masih kukuh sebagai jambatan membawa bijih besi ke tongkang di tengah laut luar pantai Dungun sebelum di bawa ke Kapal Besar yang menunggu jauh di tengah laut sebelum dieksport.

Tinggalan tiang opal yang masih ada di Sura Jeti, mungkin menunggu masa untuk runtuh dihakis ombak. Perlu dilakukan sesuatu oleh pihak berwajib sama ada memagar kawasan ini, mewartakan tiang ini sebagai tinggalan sejarah dan memlihara dan memuliharanya. Ini sahaja tiang opal yang tinggal yang masih


Sisa-sisa tiang-tiang kayu yang telah patah dan masih tertanam di dasar pasir pantai.

Tiang dan simen konkrit (slap) yang telah runtuh dek saban tahun dihakis ombak tengkujuh.

Konkrit yang runtuh yang jelas berada di gigi laut pantai.

Di kejauhan di tengah laut, ternampak dua tiang yang masih setia digasak dengan ombak.

Kesimpulannya, @Dungun mengharapkan pihak berwajib, seperti Kementerian Kebudayaan Kesenian & Warisan, Kementerian Pelancongan/Tourism Malaysia, mana-mana Persatuan Sejarah, pihak berkuasa negeri mengambil langkah yang tepat bagi memelihara dan memulihara kawasan ini.

imbauan oleh, AWANG Sunday, December 6, 2009 0 orang royak doh

Banjir. Terkejut sebenarnya semasa melalui jalan depan Hospital Dungun pada awal pagi 2 Disember yang lalu. Jalan utama ke Kemaman melalui kawasan depan Hospital Dungun ke Kampung Batu 49 melaut dengan air banjir. Seingat aku sehingga aku meninggalkan Dungun untuk merantau keluar ke negeri lain, laluan tersebut tidak pernah digenangi air. Sungguh pelik! Mungkin sistem perparitan yang tidak betul? Tanah di situ rendah dan tiada aliran air keluar disebabkan takungan hujan yang tidak berhenti selama 3 hari?

Selain isu banjir yang tidak disangka-sangka yang terjadi di Bandar Dungun (kata orang Hulu Dungun bersyukur kerana banjir kurang melanda di kawasan ulu), ialah isu jalan pecah-pecah berlubang dari Kemaman hinggalah ke sempadan Jambu Bongkok, Marang. Isu jalan pecah dan berlubang pada musim tengkujuh memang selalu terjadi sejak dahulu lagi, cumanya pembaikian jalan tersebut tidak dipercepatkan-mungkin kerana hujan yang tidak berhenti tetapi peluang hari dan waktu yang cerah atau cuaca yang sedikit baik perlu direbut untuk mempercepatkan proses pembaikian jalan.

Kalau ditinjau jalan dari Pintu Gerbang Sempadan Terengganu-Pahang di Kemaman, jalan utama negeri mulai pecah dan berlubang. Kesesakan di jalan utama Bandar Chukai Kemaman disebabkan kerosakan jalan. Lebih teruk sesak di antara berdekatan Masjid Sultan Ahmad hingga ke simpang empat lampu isyarat Bukit Kuang. Ini kerana jambatan di antara jalan tersebut pecah dan berlubang. Hanya satu arah sahaja yang dibenarkan digunakan dalam satu-satu masa, dan setiap kenderaan perlu bergerak dengan berhati-hati lantaran setiap permukaan tar di jambatan tersebut pecah dan berlubang. Kenderaan dari arah Kuala Lumpur dan dari arah Kuala Terengganu perlu bergilir-gilir menggunakan laluan ini dengan mengikut arahan polis trafik yang menjaga kawasan tersebut.

Bergerak ke arah Dungun memang perlu berhati-hati. Terlalu banyak jalan pecah dan berlubang. Diharapkan pada masa hadapan di setiap musim tengkujuh, ada pihak berwajib akan bersiap sedia untuk mempercepatkan proses pembaikian jalan. Melalui jalan raya dari Kampung Jambu Bongkok ke Kuala Terengganu, jalan rayanya berada dalam keadaan yang baik kerana proses pembaikian mungkin cepat. Cuma kena berhati-hati di kawasan Merchang, jalan raya di situ akan digenangi air yang agak dalam bila musim hujan yang tidak berhenti serta lebat.

imbauan oleh, AWANG Saturday, December 5, 2009 0 orang royak doh

Di Dungun ada beberapa kedai buku yang menjadi tumpuan masyarakat pelajar sekolah, siswa-siswi, guru-guru, peminat buku/novel dan sebagainya. Antara kedai-kedai tersebut ialah:

Kedai Buku Wan Ariffin merupakan kedai yang menjual buku-buku terbitan DBP daripada novel, ensiklopedia, sejarah dan pelbagai majalah. Buku-buku lama dijual dengan harga diskaun yang berpatutan mengikut tarikh terbitan buku tersebut. Menyinggah ke kedai buku ini agak terkejut kerana terlalu banyak buku yang menarik yang mahu dibeli. Biasanya aku mengeledah (belémbang) buku berkenaan sejarah, sejarah Terengganu dan Melayu terutamanya. Terbitan DBP adalah yang terbaik untuk buku-buku sejarah dan berwibawa. Kedai buku ini terletak di Kampung Tanah Lot berhampiran dengan Jalan Besar Dungun mengikut arah ke Kuala Dungun.

Kedai Buku Wan Ariffin antara kedai buku tertua di Dungun ini selain daripada satu kedai dimiliki keturunan Cina di Jalan Lim Teck Wan di Kuala Dungun (telah tidak beroperasi aku rasa) dan kedai Buku Gazanim (rasanya dulu dikenali kedai buku Ghani) yang terletak di sebelah Pasar Raya Ju Jaya-sekarang telah menjadi kedai lain. Kedai Buku Gazanim ini terletak berhadapan dengan Stesen Minyak Shell dan ia terletak berhampiran ke Kampung Sura Jetty. Kedai Buku Gazanim ini tidak lagi beroperasi di situ-agaknya telah berpindah ke tempat lain? Kedai buku ini dahulu amat popular untuk mendapat majalah komik wira-wira daripada Hong Kong seperti Pedang Setiawan selain boleh didapati di Kedai Buku Public yang terletak di Jalan Tambun, Kuala Dungun.

Berbalik ke Kedai Buku DBP Wan Ariffin, kedai ini dahulu aktif untuk mengadakan Pesta Buku yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Dungun yang terletak sebelah rumah Pegawai Daerah Dungun (satu pertanyaan sekarang ini Pesta Buku Dungun masih ada? dan siapa penganjurnya?).

Dalam tahun-tahun 90an bertambah kedai buku dan alat-tulis antaranya ialah Kedai Buku Bentalib, Kedai Buku Al-Fatihah, dan sekarang ini Pustaka Seri Intan pula membuka cawangannya di Dungun yanmg terletak di bangunan baru di Sura Gate yang berhadapan dengan Pasar Raya Salwa. PSI atau Pustaka Seri Intan ini amat popular di Kuala Terengganu sebagai kedai buku untuk mendapatkan buku-buku teks sekolah bagi yang tidak mendapat pinjaman buku teks bantuan sekolah pada tahun-tahun sebelum ini.

Selepas ini aku ingin menyinggah lagi Kedai Buku DBP Wan Ariffin, beberapa buku lagi perlu aku mencari dan perlu dibeli.

imbauan oleh, AWANG Wednesday, December 2, 2009 3 orang royak doh

(Keterangan gambar : Majlis Korban Perdana Parlimen Dungun yang diadakan di Kampung Jerangau Sungai, Dungun)

Salam Aidil Adha 1430H. Di Malaysia, Hari Raya Korban/Hari Raya Haji selalu dikatakan disambut dengan meriah di negeri Pantai Timur terutama di Terengganu dan Kelantan dan negeri Kelantan lebih dilabelkan sebagai negeri yang menyambut Aidil Adha dengan meriah. Kenapa ini terjadi dan menjadi sebutan seantero Malaysia?

Agak menghairankan sebagai warga perantau apabila hampir tiba Aidil Adha, ramai warga perantau negeri Terengganu dan Kelantan akan mengambil cuti untuk pulang ke kampung untuk berhari raya. Tiada sambutan dari warga perantau dari negeri-negeri lain dan mereka faham dan melabelkan negeri Terengganu dan terutamanya negeri Kelantan menyambut Aidil Adha dengan meriah malah besar-besaran.

Hari Raya Aidil Adha adalah hari kebesaran dalam Agama Islam selain daripada Hari Raya Aidil Fitri. Kemeriahan di Malaysia untuk sambutan Hari Raya Aidil Adha agak berkurangan tidak seperti Hari Raya Aidil Fitri. Adakah ini kerana jumlah cuti umum yang sehari sahaja yang diberikan di negeri-negeri di Malaysia kecuali Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis? Maka ini untuk menambah hari bercuti dari cuti tahunan tidak diambil, hanya sekadar menyambutnya untuk satu hari sahaja.

Bagi aku tidak kiralah kita di mana, sambutlah Aidil Adha dengan meriah. Biarlah cuti satu hari yang diberikan oleh kerajaan (kecuali negeri-negeri yang disebutkan di atas), kita tetaplah menyambutnya dengan meriah, beribadah dengan melakukan ibadah Korban-jika mampu, ziarah kaum keluarga seperti biasa seperti apa yang disambut pada Hari Raya Aidil Fitri. Apa-apa pun janganlah lagi melabelkan negeri-negeri tertentu dengan mengatakan sambutan Hari Raya Aidil Adha paling meriah. Ini kerana apa sahaja hari kebesaran dalam agama Islam, kita sambutlah dengan sebaiknya, bukannya lesu setakat bersolat raya kemudian berkurung di rumah.

Salam Aidil Adha dari @Dungun. Maaf Zahir dan Batin.

imbauan oleh, AWANG Sunday, November 29, 2009 0 orang royak doh

Padang Astaka yang bertempat di Bandar Kuala Dungun yang berhadapan dengan Stesen Bas Dungun dari arah Sungai Dungun/Pasar Besar Dungun adalah padang yang biasanya digunakan untuk acara ekspo seperti Pekan Budaya, acara sukan rakyat/permainan tradisional rakyat, dan boleh kata pernah menjadi tempat ceramah politik.

Padang ini juga terletak berhadapan dengan Ibu Pejabat Polis Dungun yang lama/yang telah dikosongkan dengan berek polis yang bertingkat tinggi ditinggal begitu usang ( tidak tahu kenapa ditinggalkan dan dibiarkan begitu sahaja setelah Ibu Pejabat Polis Dungun yang baru telah dibuka di Kampung Batu 49 dan apa perancangan selepas ini untuk kawasan tersebut tidak diketahui). Di berek lama inilah ramai kenalan sekolah aku yang tinggal di situ. Rata-rata kenalan aku dahulu adalah anak-anak polis. Selain itu padang ini juga berhadapan dengan Bangunan TNB dan Pejabat Immigresen Malaysia (bekas Pejabat Pos lama). Di sebelah pantai pula ia berhadapan dengan bekas bangunan RTM.

Dulu Padang Astaka ini juga terdapat gelanggang bola jaring yang biasa digunakan oleh golongan muda Tionghua yang tinggal di sekitar Bandar Kuala Dungun. Padang ini juga biasanya menjadi tempat bermain/berlatih bola sepak anak-anak muda dari kampung sekitar iaitu Kampung Bijangga. Sekarang ini aku tidak tahu ia masih digunakan atau tidak sebagai tempat bermain bola sepak. Padang Astaka ini tidak dikelilingi pagar. Ia hanya dikelilingi tempat duduk konkrit berbentuk seperti anak tangga-dalam 2 atau 3 anak tangga. Ia mengelilingi padang berbentuk segi empat tepat. Luas.

Dulu dari arah Ibu Pejabat Polis Dungun yang lama terdapat satu pentas berbumbung yang digunakan sebagai tempat berucap dan acara penyampaian hadiah, kini pentas tersebut beralih ke sebelah arah dari Pejabat Immigresen Malaysia. Padang ini cuma satu yang kurang, rumput tidak terjaga, jika hujan, tanah menjadi becak dan lecöh (tanah berair-air bertakung). Rumput yang tidak sekata dan tumbuh jarang-jarang menjadikan ia bukan seperti padang. Jika bermain bola sepak dan kalau rebah jatuh, pasti tercalar luka dek tanah yang keras.

Musim Tengkujuh dan hujan lebat yang berterusan begini, pada waktu malam biasanya kawasan yang bertanah rendah di sekitar Kuala Dungun/Kampung Bijangga akan dibanjiri air sungai yang melimpah. Ini kerana paras air Sungai Dungun yang naik melimpah, dan kalau tak silap aku air sungai akan melimpah sampai ke padang ini. Seingat akulah!

imbauan oleh, AWANG Saturday, November 21, 2009 2 orang royak doh

Sebelum zink merah itu dirobohkan pelbagai kenangan banyak tersimpan di belakang pagar berzink berwarna merah tersebut. Ia merupakan padang bola sepak yang utama bagi daerah Dungun. Ia juga merupakan gelanggang utama bagi Liga Daerah Dungun yang setiap pasukan datang dari pelbagai kampung. Ia dipanggil oleh penduduk setempat dengan nama Padang Zink Merah kerana padang utama tersebut dikelilingi dan dipagari dengan zink yang berwarna merah yang ketinggiannya hampir setinggi pohon kelapa. Padang Zink Merah ini seumpama stadium untuk penduduk daerah Dungun tetapi rekabentuknya tidaklah seperti stadium yang mempunyai kerusi dan bangunan konkrit.

Di hadapan Padang Zink Meroh ini atau nama sebenarnya ialah Padang Dewan Merdeka terletaknya deretan teres rumah kerajaan dan rumah kayu sebuoh-sebuoh yang diduduki oleh kakitangan kerajaaan dan GLC samaada JKR, TNB dan kakitangan Kerajaan Tempatan. Di hadapan berhampiran bulatan terdapat satu tanah lapang dan di bawah pokoknya terdapat gerai kayu yang menjual jemput-jemput/cekodok, keropok lekor dan air pelbagai rasa berais. Ia merupakan tempat singgahan pelajar sekolah selepas waktu persekolahan untuk makan dan minum sebelum pulang ke rumah. Anak pemilik warung tersebut adalah kenalan aku. Rata-rata pelajar-pelajar sekolah menengah di situ memanggilnya sebagai Kedai Buja/Bujal. Di hadapan pintu besar Padang Zink Meroh terdapatnya gerai kecil menjual air pelbagai rasa berais, keropok lekor dan rojak nenas serta buahan-buahan yang lain yang dimakan dengan mencucuk lidi yang tajam . Biasanya gerai ini dibuka ketika perlawanan bola sepak diadakan.

Harga tiket pada waktu itu tidak aku ingati. Untuk masuk ke dalam padang, penonton perlu beratur di luar muka pintu masuk yang hampir dengan jalan raya. Seorang pak cik menunggu untuk melihat tiket dan mengoyakkan tiket tersebut sebagai tanda boleh masuk ke dalam padang. Agak pelik, tiket hanya diperiksa sebelum perlawanan bermula. Apabila perlawanan telah bermula, penonton/orang yang berada di dalam Padang Zink Meroh boleh keluar masuk sesuka hati sama ada singgah membeli air dahulu di gerai kecil tadi ataupun ke mana sahaja. Disebabkan tiada orang yang memeriksa tiket dan menjaga pintu masuk selepas perlawanan bermula, agaknya orang yang tidak bertiket boleh keluar masuk dengan bebas untuk menyaksikan perlawanan bola sepak liga daerah. Oleh itu tak perlu membeli tiket jika ingin menonton boleh sepak, tunggu sahaja selang 10-20 minit selepas perlawanan berlangsung, masuk sahajalah dengan percuma!

Bangku-bangku tempat penonton tidak cukup di dalam kawasan Padang Zink Merah tersebut. Bangku-bangku kayu yang usang dan hampir roboh tidak ditukarkan hampir beberapa tahun lamanya. Aku suka duduk di bangku kayu ini-bangku kayu ini kiranya grand stand kalau di stadium. Ramai penonton lebih suka duduk di tepi padang ataupun berdiri sahaja sambil bersorak (kadang bercampur maki-hamun). Di dalam kawasan padang ini juga mempunyai satu pentas berbumbung yang diperbuat daripada kayu dan hampir roboh. Pentas inilah tempat berucap dan upacara memberi hadiah. Di tepi padang pula terdapat juga satu bangunan yang telah usang.

Pasukan yang biasa aku tonton ialah Pasukan Kampung Sungai Buaya dan Pasukan Jalan Delima. kedua-dua pasukan ini umpama adik-beradik yang mana Pasukan kampung Sungai Buaya adalah abang dan Pasukan Jalan Delima adalah adik. Ini kerana kedua-duanya merupakan pasukan dari tempat yang sama. Jalan Delima terletak di dalam Kampung Sungai Buaya. Ia ditubuhkan lantaran Kampung Sungai Buaya terlalu besar dan mempunyai belia-belia yang suka untuk bermain bola. Oleh kerana hanya satu pasukan sahaja ditubuhkan, maka satu pasukan lagi ditubuhkan bagi memberi peluang kepada belia-belia tersebut. Pernah sekali kalau tak silap aku terdapatnya perlawanan akhir Piala FA antara Kampung Sungai Buaya dan Pasukan Jalan Delima dan ia digelar perlawanan abang dan adik. Perlawanan tersebut disudahi dengan kemenangan si abang iaitu Pasukan Kampung Sungai Buaya.

Pasukan Kampung Sungai Buaya ini sebenarnya rata-rata diwakili oleh belia yang merupakan nelayan. Mungkin stamina bekerja di laut, menarik pukat, berpanas berhujan menjadikan mereka kuat di padang bola sepak. Tak perlu ke gim, hanya sesekali waktu petang berlatih sebelum menghadapi perlawanan. Biasanya Pasukan Kampung Sungai Buaya ini juga pantang berjumpa dengan Pasukan Kampung Seberang Pintasan yang juga rata-rata nelayan. Pantang jumpa dan mungkin adegan kekasaran dan sedikit pergaduhan terjadi. Belum lagi bab penonton fanatik. Adegan gocoh (bergaduh), maki-hamum dan sebagainya yang dikategorikan 18SG, 18PL selalu terjadi samada pemain atau penonton. Pernah sekali Pasukan Kampung Sungai Buaya digantung daripada bermain di dalam Liga Daerah Dungun dek kerana perlawanan yang selalu diakhiri dengan bergocoh. Maka Pasukan Jalan Delima yang tinggal untuk disokong.

Aku juga teringat di padang ini pernah sekali kenderaan BIG FOOT melakukan aksi pertunjukkan yang ditaja oleh PALL MALL. Waktu itu pasukan kenderaan aksi BIG FOOT ini melakukan pertunjukan seluruh Malaysia dan antara venuenya adalah daerah Dungun. Pada waktu itu habis rumput rosak dengan aksi-aksi kenderaan tersebut.

Sekarang ini pagar zink merah tersebut telah dirobohkan. Deretan rumah teres di hadapan Padang Zink Merah telah dirobohkan. Sekarang ia ditukar nama daripada Padang Dewan Merdeka menjadi Dataran Merdeka. Padang ini tidak lagi berpagar, oleh itu aku tidak tahu sama ada perlawanan liga daerah masih ada diadakan, jika ada maka ia tidak bertiket jika diadakan di situ.

Satu kisah sedih bagi pihak keluarga aku, kerana di padang inilah salah satu ahli keluarga aku ditembak mati. Beliau adalah Allahyarham Mohd/Wan Khalid, yang merupakan D.O/Pegawai Daerah bagi daerah Dungun. Kata keluarga, Allahyarham Mohd/Wan Khalid ditembak oleh tentera Jepun, dan ada yang mengatakan ditembak oleh Komunis.

imbauan oleh, AWANG Friday, November 20, 2009 3 orang royak doh

Sekarang musim banjir. Sekarang musim bah. Di kaca tv selalu berpesan, "Hindari anak anda dari bermain banjir", lebih kurang pesan-pesan tersebut. Pengalaman banjir di kampung Sungai Buaya dan Kampung Gong Pasir, banjir adalah seperti pesta. Rakit dibuat. Bermain rakit ke ulang alik dari jalan raya yang bertanah tinggi (biasanya jalan raya berkedudukan tinggi dari kawasan rumah) ke rumah. Tidak pun tiub pelambung bulldozer dijadikan seperti pelampung mandi manda di kolam renang mewah di hotel pusat pelancungan. Tidak pun tiub besar dijadikan pelampung itu dijadikan rakit dengan hanya meletakkan sekeping papan di tengah-tengah bulatan pelampung. Ke hulu, ke hilir hingga puas hingga petang.

Musim banjir. Musim mencari ikan juga. Ikan sepat, haruan, dan puyu bermain di longkang kecil. Ikan kecil berkepala putih setompok. Anak ikan sumbing yang rupanya sepeti ikan tidok atau layaran. Semuanya bermain di longkang-longkang kecil sekitar Kampung Sungai Buaya. Menaguk ikan. Itulah kerjanya. Musim tengkujuh bermakna musim cuti sekolah. Itulah kerjanya anak-anak dahulu. Iyalah kami tiada playstation portable, kami tiada playstation di rumah. Nak dapatkan game watch bukan senang di kampung. Kami tidak memerap di rumah selalu. Hanya memerap sementara menunggu hujan berhenti. Main rakit, main pelampung, dan menaguk ikan.

Acara lain di musim bah? Main lumba speed boat mainan. Bukan kawalan jauh tetapi dijanakuasa bateri saiz D. Saiz D terlalu berat, kami menukar dengan saiz AA. Ringan speed boat itu. Harga speed boat ini dalam RM 5 pada waktu itu. Berwarna putih di sebelah bawah, berwarna coklat di sebelah atas di hadapan pemandu. Mempunyai kemudi dan kipas yang mudah tercabut. Kawasan permainan lumba ini hanyalah di kawasan longkang kecil. Dua hingga empat biji akan diletakkan ke dalam longkang dan berlumba. Tiada modification dibuat, tiada motor ditukar, hanya saiz bateri sahaja ditukar. Kelajuan bot hanya bersandarkan kekuatan bateri. Siapa yang mempunyai bateri yang lama yang telah digunakan, alamat kalah. Siapa yang speed boatnya berlanggar dengan speed boat lain atau terlanggar dinding longkang, atau tersangkut kayu, alamatnya kalah. Siapa yang laju sampai ke garis penamatnya-dialah pemenang. Mudah sahaja peraturannya.

Acara lain lagi? Tiada. Hanya ngarung banjir sambil berpayung atau berbaju hujan atau hanya berseluar sahaja. Sekarang? Ingat jangan main banjir walau mengarung banjir. Sebenarnya bahaya!

Ngarung/mengarung - mengharungi dengan cara berjalan di dalam sungai/laut di tepi pantai, air banjir/bah.

imbauan oleh, AWANG Friday, November 13, 2009 2 orang royak doh

Dari negeri Terengganu terdapat beberapa artis terkenal yang pernah mewarnai seni suara di tanah air Malaysia. Di antaranya ialah Komposer Manan Ngah yang berasal dari Dungun (Sura Gate/Kampung Teluk Lipat). Beliau begitu terkenal dalam tahun awal 80an. Adik-beradik beliau (abang kepada beliau?) yang terkenal dalam seni lukis kartun/komik adalah Kartunis Abdul Fatah yang terkenal dengan watak kartun hasil karyanya Lagak A.Mahmud yang tersiar dalam majalah Gila-Gila. Blog ini mendapat maklumat yang watak A.Mahmud itu sebenarnya ada di daerah Dungun (aku pernah tersua-dan pernah bersalam) tetapi sejauh manakah watak dan jalan cerita dalam komik tersebut serupa dengan pak cik A.Mahmud itu tidaklah aku ketahui, mungkin hanya mengambil namanya sahaja. Apa yang pasti pakcik A.Mahmud memang mempunyai vespa!

Antara artis lain ialah Kumpulan Panji yang dalam tahun awal 90an dahulu begitu meningkat naik dengan penampilan album pertama sahaja. Orang yang mungkin bertanggungjawab dalam kejayaan Kumpulan ini mungkin cikgu Azam (Azam Dungun - asal dari Dungun-Seberang Pintasan/Pulau Serai-Kampung Rajawali). Penyanyi kumpulan Panji berasal dari Jerangau (merupakan penyanyi untuk album pertama-Senang tahun 1993), Pemain gitar tak silap aku yang bernama Norman (juga merupakan penyanyi untuk album kedua-Ada Lagi tahun 1996 dan lagu popular-Sayap Terluka) berasal dari Dungun. Antara lagu yang menjadi Killer pada waktu itu ialah Kasih Yang Tak Pasti (duet dengan Ameng Spring), Semilir dan Maizo. Kata kawan aku orang Seberang Pintasan, nama Maizo itu wujud dan merupakan orang dari Kampung Seberang Pintasan. Di dalam album pertama terdapat beberapa lagu yang menyelitkan irama etnik Melayu dan menyelitkan lagu-lagu pantun Kanak-Kanak Terengganu iaitu Pék li watako lang dan Mak ming tongjo.

Kumpulan lain ialah Iklim. Seperti yang telah diketahui umum, kumpulan ini merukan band yang paling berjaya dari Terengganu. Rata-rata ahli kumpulan ini berasal dari Terengganu dengan Saleem/Setiu, Umarul/Ladang?Bukit Besi?-kurang pasti. Bab Umarul pernah aku dapat cerita yang beliau kehilangan kasutnya (kena curi?) ketika datang ziarah hari raya di rumah saudaranya di Kampung Gong Pasir, Dungun-untuk nota : kalau cerita ini aku dengar tidak betul dan tidak benar, sila maafkan aku!

Antara orang yang menaikkan nama kumpulan Iklim ialah Wan Zul seorang komposer berasal dari daerah Kemaman. Kalau tak silap aku Wan Zul mempunyai sepupu?/hubungan kekeluargaan yang juga merupakan seorang komposer dan aktif dalam penulisan lirik puitis iaitu Dr. Wan Zawawi.

Ameng dari kumpulan Spring yang berasal dari Besut, Terengganu. Lagu yang pernah melonjakkan kumpulannya ialah Sejiwa dan Sampai Hati. Sham/Batu Burok? dari kumpulan Visa yang popular dengan lagu Dalam Gerimis. Eman Manan seorang pelakon berkarisma dari Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu-profail dan karisma lakonan beliau tidak perlu diceritakan lagi kerana anda tentunya tahu. Senarai lain : Azian Mazwan Safwan, Tengku Anis Suraya dan abangnya-Shawn Bahrin. Faizal : Juara AF4. Zizan : Raja Lawak Final Tempat Kedua. Halim Othman : DJ Era /Sinar dan hos Roda Impian-berasal dari Kertih/Kemaman. Wan Kamaruddin : NTV7 & Astro Awani terkenal dengan tagline APA KEJADAH Edisi Siasat NTV7-berasal dari Ladang?/Kuala Terengganu.

Bagi bidang seni lukis anak Terengganu mempunyai Chan Fee Ming yang merupakan anak Dungun yang berjaya. Dalam bidang arkitek kita mempunyai Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah-Masjid Terapung Kuala Ibai (Masjid Tengku Tengah Zaharah) dan Muzium Negeri Terengganu. Dalam bidang penulisan novel/cerpen : Awang Abdullah/MEMORI BUKIT BESI/Dungun, dan Tuan Faridah Syed Abdullah/SETEGUH KARANG/Sungai Buaya, Dungun-masa kecil dulu aku selalu lepak rumah keluarganya.

Dalam bidang sukan : Pemain bolasepak dari Dungun yang pernah mengukir nama dahulu ialah Ariffin Osman/Kampung Seberang Pintasan. Pelumba Basikal (Keirin) yang sensasi kini : Azizulhasni Awang/Dungun. Larian : Nazmizan Muhammad/Kampung Durian Mentangau/Dungun. Penyair/Penyajak yang hebat Allahyarham J.M Aziz (Rumah Puisi/Kampung Seberang Takir/Kuala Terengganu).


Aku : sekadar menulis.

imbauan oleh, AWANG Wednesday, November 11, 2009 4 orang royak doh


Di atas ini adalah ikon atau logo rasmi bagi blog @Dungun. Setelah setahun blog ini muncul , buat sekian kalinya blog ini akan menggunakan logo di atas sebagai mercu rasmi untuk mengenali blog @Dungun. Daun kelapa digunakan sebagai unsur dalam logo ini kerana daerah Dungun mempunyai pantai dan kampung-kampung yang dipenuhi dengan pokok kelapa. Unsur warna hijau digunakan bagi melambangkan kedamaian daerah Dungun ini yang penuh dengan kehijauan tumbuh-tumbuhan dan hutan. Noktah.

imbauan oleh, AWANG Wednesday, November 4, 2009 0 orang royak doh

Bukan budu. Bukan anak berudu yang ditambah NG dibelakang perkataannya. Bacalah cerita ini.

Seorang lelaki. Memakai baju T-Shirt kegemarannya-mungkin jersi ragbi tertulis perkataan VIKING. Berlegar-legar di sekitar pekan Sura Gate. Pada waktu ini Pasar Raya Salwa adalah pasar raya yang utama di pekan itu. Di depan Medan Selera terletak sebuah bangunan kayu ala Balai Raya yang dijadikan Balai Pusat Rukun Tetangga tetapi tidak tahu milik kampung mana. Bangunan tersebut berwarna putih, tetapi bukan bangunan ini yang akan diceritakan di sini, tetapi tentang lelaki itu.

Memakai cermin mata hitam. Memandang kiri dan kanan, tetapi anak matanya tidak diketahui memandang ke arah mana lantaran dia memakai cermin mata hitam bergaya-harapnya bukan dibeli dari Pasar Minggu Hari Khamis. Sesekali dia memandang ke arah pokok besar seberang jalan setentang dengan Pasar Raya Salwa. Di sebelah pokok itu terdapat satu kedai majalah dan buku berbentuk Botol Susu dan sebuah pondok menunggu bas loncat - Kompeni, Himda, dan Thong Aik. Dia memandang ke sana kerana ramai gadis ayu bertudung litup sopan lagi ayu menunggu bas di situ.

Sebuah bas Kompeni berhenti di pondok tunggu bas tersebut. Dia tidak dapat melihat gadis-gadis tadi kerana ditutupi dengan susuk bas kuning tersebut. Mungkin gadis-gadis tersebut telah menaiki bas tersebut dan mungkin ada gadis-gadis lain yang turun pula di pekan ini. Agakannya benar. Selepas susuk bas bergerak dia terlihat seorang gadis lain yang bertudung litup ayu sopan yang mungkin baru turun dari bas tadi. "Cantik!" Getus hatinya.

Matanya tak terhenti memandang gadis itu yang berjalan bergerak menuju ke arahnya-tetapi bukan lurus ke arahnya cuma sedikit lari 1 darjah ke arah Pasar Raya Salwa. Gadis itu berjalan sopan dengan payung dijadikan tongkat. Bergerak menuju ke kaunter menyimpan barang-barang di luar pasar raya. Seorang pakcik yang menjaga kaunter tersebut menyambut payung tersebut. Gadis itu senyum dan masuk menuju ke dalam pasar raya. Dia mengekori dari jauh. Mengekori mahu menuju ke dalam pasar raya. Sampai di muka pintu pasar raya, dia berhenti sekejap, melilau-lilau mencari kelibat gadis tadi sambil membetulkan baju mengeringkan peluh di bawah aircond-almaklum aircond pintu masuk Pasar Raya Salwa memang sejuk.

Dengan peluh yang agak kering, lelaki itu menuju ke arah tangga untuk menuju ke tingkat 1 kerana gerak hatinya mungkin gadis tadi berada di tingkas atas. Dia menaiki tangga dengan langkah satu persatu dengan memandang ke arah anak tangga. Baru empat anak tangga, dia mendongak kembali setelah seperti ternampak kelibat bayang di anak tangga. Dia mendongak mahu mengelak bimbang selisih terlanggar, rupanya tidak sempat. Kelibat bayang tersebut adalah gadis tadi. Lelaki itu agak terkejut, malu merah padam-orang putih kata blushing. Kakinya seperti tidak berpijak bumi, sebenarnya tidak memijak tangga. Dia jatuh berudung/berrudung/beghudung...dung...dung...dung...ke belakang. Lelaki itu jatuh tanpa pekik, yang menjerit gadis tadi-hilang ayunya sekejap. Kecoh, tapi nasib baik lelaki itu tidak cedera, bangun tapi terhincut-hincut mungkin kerana sengal.

"Budi..........bakpe bunyi berudung/berrudung/beghudung tuh...bunyi bende puku pak pagi nih," satu suara menegur.
(Budi..........kenapa bunyi jatuh tuh...bunyi apa pukul empat pagi ni).

"Takdök mende mök...jatuh katil, bicuk sikek kat buku lali ni", jawab lelaki tu.
(Tak ada apa mak...jatuh katil, bengkak sikit kat buku lali ni).

"Tuh la...tido dök bace, dök basuh kaki...", sambung tegur nasihat dari luar bilik lelaki itu.
(Itulah...tidur tak baca ayat Al-Quran, tak basuh kaki...).

Noktah.

Terjemahan.

Berudung. Berrudung. Beghudung.

Berudung
/berrudung/beghudung adalah salah satu perkataan yang menggambarkan keadaan JATUH selain daripada ssugung dan ttumuh. Jatuh berudung/berrudung/beghudung adalah jatuh seperti jatuh tangga dengan tiba-tiba, juga jatuh dari tempat yang tinggi. Ia juga membawa maksud sesuatu bende yang berat yang tiba-tiba jatuh dari tempat yang tinggi - orang Terengganu kata semmerak jatuh, ( satu beban yang berat jatuh berdebik dengan tiba-tiba). Mungkin bunyi dung! (DUM!) disebabkan jatuh menjadi satu perkataan iaitu berudung. Mungkin.

Kalau jatuh hati jangan sampai jatuh berudung/berrudung di tangga.

imbauan oleh, AWANG Tuesday, November 3, 2009 4 orang royak doh

Subscribe here

AWANG

My Photo
AWANG
jatinya dari dungun. menjelajah ke selatan. namun jiwa tetap di tanah pantai timur itu.
View my complete profile

HURUF TERENGGANU

ö
Bunyian : Kömputer

Slanga Terengganu
Perkataan : Bradöng

é
Bunyian : Mol
ék

Slanga Terengganu
Perkataan : Nebéng

GEROBOK BATIK

Sudi-sudikanlah belembang ke Gerobok Batik.

Kami menawarkan batik sutera didatangkan dari terengganu, dan pelbagai jenis fabrik bercorak khusus batik.

KOMEN MUTAKHIR