Wednesday, July 27, 2011

Mari ke Muzium Dungun

Muzium Dungun antara muzium muda di negara kita yang baru menapak dan baru beroperasi dalam Negeri Terengganu. Ia merupakan bekas Rumah Pegawai Daerah yang dibina pada tahun 1941. Ia menyimpan pelbagai khazanah dan sejarah Dungun yang telah lama wujud di sebelah Pantai Timur Semenanjung di Kepulauan Alam Melayu ini.


Terletak di Jalan Besar Yahya Ahmad (Allahyarham Yahya Ahmad merupakan seorang bekas guru dan tokoh koporat di negara kita yang berasal dari Dungun) yang dibuka pada setiap hari Sabtu hingga Khamis dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang dan masuk adalah percuma. Ia ditutup pada hari kelepasan am dan Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha - Hari Raya yang pertama dan kedua sahaja. Aku menggalakkan penduduk setempat terutama anak-anak muda ziarah ke sini untuk mengetahui dan menambah pengetahuan berkenaan sejarah daerah sendiri. Galakkan untuk mengenali sejarah daerah kita sendiri patut dipupuk kepada anak-anak muda sekarang.


Papan tanda menarik di muka pintu masuk.


Kaunter salam menyambut pengunjung.


Paparan sejarah Rumah Pegawai Daerah Dungun yang kini menjadi Muzium Dungun.


Biodata daerah kita.


Sedikit sentuhan sejarah awal.


Hasil khazanah yang dipaparkan.


Tembikar-tembikar yang ditemui dalam Kapal Wanli yang karam di perairan Dungun.


Perhatikan tembikar sebelah kiri dari Dinasti Ming. Terukir Doa Makan!


Lagi hasil khazanah yang dipamerkan.


Hasil mineral dan alatan dari tinggalan Perlombongan Bukit Besi.


Sejarah ringkas tentang Peristiwa Penting dan tokoh-tokoh silam di daerah Dungun, antaranya Almarhum Sultan Yahya Siak dan Allahyarham Panglima Tambun.


Penerangan tentang Rantau Abang dan Pulau Tenggol.


Menarik! Ikan terkecil di dunia dijumpa Hutan Simpan Bukit Bauk. Ikan terkecil di dunia jenis Paedocypris yang berukuran 7.9mm.

Rel landasan keretapi zaman Bukit Besi yang dijumpai semasa kerja-kerja ubahsuai jalan di Bandar Dungun di kawasan Sura Gate.


Setelah tamat meneroka sejarah Dungun, jangan lupa menulis sedikit catatan pengalaman anda dan pendapat yang membina bagi menambahbaikan muzium kita ini. Sepanjang perjalanan meneroka sejarah di muzium ini anda akan dipandu oleh kakitangan muzium ini dan memberi sedikit penerangan kepada anda bagi mendapat maklumat dan pengetahuan yang lebih jelas. Gambat-gambar yang dipamerkan di blog @Dungun ini hanya sebahagian dari apa yang dipamerkan di Muzium Dungun. Nak tengok lagi, jom pakat gi Muzium Dungun!

Monday, July 11, 2011

Sarang di Sungai Udang

Sarang apakah ini?


Aku agak lama mencari-cari sarang ini. Sungguh payah untuk menemui sarang ini. Berlainan pada tahun 80an ke awal 90an dahulu. Agak banyak. Sekarang agak risau kalau-kalau haiwan ini telah pupus.


Pencarian aku berakhir di Kampung Sungai Udang. Hanya sarang-sarang sahaja yang dapat ditangkap gambar. Haiwan yang bersarang di tepi sungai kecil ini tidak aku ketemui. Sarang pun jadilah. Apakah nama haiwan ini disebut di Terengganu?


Haiwan tersebut namanya Udang Ketok. Bukan udang ketok laut. Ini sarang udang ketok darat. Gemar membuat sarang di tepi sungai kecil, kawasan berpaya dan alur. Udang Ketok ini berwarna putih merah, badannya panjang tirus dan mempunyai sepit kiri dan kanan seperti ketam.


Kini sungguh sukar sekali untuk mencari bagi menangkap gambar haiwan ini. Malah sarang-sarang yang ada hanya sedikit. Aku risau kalau-kalau ia pupus di Dungun ini. Haiwan yang dahulunya banyak bersarang di Jalan Lembah dan Sungai Buaya. Budak-budak sekarang kenalkah haiwan ini? Nanti kalau aku berjaya menangkap gambar haiwan ini, aku kongsikan di sini. Kalau boleh ada pihak yang mewartakan haiwan ini sebagai haiwan lindungan. Harap-harap haiwan ini ada yang diternak di Zoo. Ada ke?

Sunday, July 10, 2011

Dok rase saloh ke...?

TAK RASA BERSALAH KE...? BUANG SAMPAH DARI KENDERAAN ANDA?


Papan tanda sindiran yang diletakkan di jalan utama Dungun, dari arah PAKA-DUNGUN dan arah DUNGUN-KUALA TERENGGANU di kawasan lampu isyarat depan Pasar Buah Dungun. Harap-harap kita faham-faham sendiri. Sayangi Dungun.

Thursday, July 7, 2011

Di mana Kuala Dungun?

Jeragang tanya, "nak tanya mung se awang acu jawab molek..... kuala dungung tu sebeno2 nyer duk kat aner gok?"

Aku jawab, "Huh! Soalang cepu mas tu, dari segi geo ambe dok tahu sangak, tapi ambe cube teka, kuala tu adalah kawasan air yang berbeza warna dia antara sunga dengang laut. Kene duduk tengok kat tanjung hujung kuala tu baru napok. Ye dok?"

Jeragang jawab, "sebenonye ambe pung dok tahu jugak tapi ambe berasa setentang antara ujung tanjung dengan bukit lepas teluk ddare bukit belah orang panggil."


Aku rasa jawapan Jeragang betul, kerana kalau tak silap aku, kawasan tersebut adalah kawasan sempadan laut dan sungai di mana airnya berbeza dan menandakan ia sebagai sempadan sungai laut. Kalau anda berada di tanjung kuala sebelah Kuala Dungun, anda akan dapat melihat ombak kecil di sebelah daratan tebing sungai yang berpasir seumpama pantai. Kawasan yang menghadap jeti LKIM ini seumpama kawasan pantai mungkin kerana ia merupakan kawasan yang berhampiran dengan pantai laut-maka tempias ombak sedikit menjadikan arus sungai di sini berombak kecil. Tambah lagi laluan bot-bot nelayan pergi dan pulang yang menjadikan arus sungai berombak.

Wednesday, July 6, 2011

Pembangunan Pantai Di Dungun

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini pelbagai Homestay, Hotel, Resort tumbuh bagai cendawan di sepanjang pantai dari bermula jalan Muzium Dungun hinggalah ke Sura Hujung. Perniagaan berteraskan perhotelan ini semakin bertambah dan panorama di sini hampir-hampir mirip di sepanjang pantai Port Dickson (walau tidak segah PD). Ini mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Cumanya aku rasa kurangnya promosi tentang hotel-hotel di sini. Mungkin baru merangkak dan pantai-pantai di Dungun ini masih lagi memerlukan sedikit sentuhan pembangunan tanpa perlu mengacau keaslian keindahannya.

Cakap-cakap kampung mengatakan tanah-tanah pantai ini akan dibangunkan, mungkin untuk tujuan pelancongan. Bagi aku ia bagus tapi seperti yang aku katakan tadi, diharapkan sentuhan pembangunan tidak menjadi pengacau kepada keindahan yang asal di sini. Jangan rosakkan landskap pantai di sini. Mungkin pantai PD boleh dijadikan penanda aras, tetapi terlalu banyak hotel yang meninggi langit, pelbagai deretan bangunan telah menjadikan pemandangan di sana tidak sesyahdu pemandangan pantai-pantai di Dungun. Pendek kata-sesak. Mungkin boleh dibuat kuota jumlah hotel dan resort yang boleh dibina di sepanjang pantai di Dungun bagi memudahkan pihak PBT mengawasi pembangunan di sini di samping dapat mengekalkan keaslian keindahan pantai.

Satu lagi ialah promosi. Peningkatan promosi mungkin menjana ekonomi di Dungun. Aku rasa sekalian blogger-blogger atau jurnalis jati Dungun atau berpangkalan di Dungun boleh membantu dengan mempromosi secara percuma di blog dan laman sesawang anda. Apa salahnya membantu anak setempat kita sendiri? Selain daripada itu, aktiviti-aktiviti pelancongan di Dungun mungkin boleh dipertingkatkan, dan aku rasa anak setempat kita di dalam PBT atau dalam kerajaan mempunyai perancangan yang baik bagi meningkatkan pelancongan di sini.

Sedikit cadangan aku :

  • Jadikan Pasar Besar Dungun segah Pasar Kedai Payang atau Pasar Siti Khadijah di Kelantan. Jadikan pasar ini bukan semata-mata menjual barang masakan, dapur dan hasil darat dan laut, tetapi juga intergrasikan juga dengan hasil seni tempatan seperti batik canting-dengan membina kawasan mengusahakan batik canting (Rumah Batik Canting), kawasan pembuatan keropok lekor/keping (Rumah Keropok Lekor), kawasan mengusahakan makanan tradisional seperti akok, nasi dagang, rojak kateh dan sebagainya-namakan ia sebagai Rumah Juadah Terengganu. Popularkannya walau mungkin mengambil masa.
  • Jadikan Melaka sebagai penanda aras dalam menjaga kebersihan dan menjadikan pelancongan sebagai sumber ekonominya.
  • Temakan daerah Dungun dengan satu nama yang memudahkan pelancong untuk mengenalinya- umpamanya sebelum ini Dungun pernah digelar Dungun Bandar Tenggiri. Aku pula lebih suka dikenali sebagai Bandar Muara Sungai.
  • Slogan JOM PAKAT GI DUNGUN, begitu menarik, cuma perlukan seseorang yang pakar untuk membuat logo bagi menusuk ingatan para pelancong. Aku pula gemar menggunakan Tiang OPAL sebagai tanda pengenalan Dungun. Mungkin anda mempunyai pendapat yang berbeza?
Itu sahaja? Mungkin.

Friday, July 1, 2011

Tanjong Pagar

Semalam tertutuplah satu stesen Tanah Melayu yang membelah ditengah Singapura. Stesen Keretapi Tanah Melayu Tanjong Pagar, Singapura. Sila baca di sini Tanjong Pagar, Tanjong Pagar dan Tanjong Pagar. Kaitan peristiwa ini tidaklah relevan dengan @Dungun cumanya nostalgianya apabila membaca berita-berita tersebut. Satu lagi di Dungun juga ada nama tempat/nama kampung yang sama iaitu Tanjong Pagar. Ia di kawasan jambatan lama yang menghubungkan Tanjong Pagar dengan Pulau Serai. kalau anda tahu Dungun Timber/Sawmill atau penduduk setempat memanggilnya soméng, di kawasan yang berhadapan Sawmill tersebutlah terletaknya Tanjong Pagar yang juga berhadapan bertebing dengan Sungai Dungun.

Dulu-dulu pada waktu kecil aku diajar sebut kawasan Tanjong pagar ini sebagai ulu. Ia bukan bermaksud merendahkan martabat kawasan tersebut, tetapi bagi membezakan antara kawasan Kampung Nibong Bawah yang lebih menghilir ke muara sungai dengan kawasan Tanjong Pagar yang ke kawasan yang dalam sedikit, tetapi sebenarnya Kampung Nibong Bawah dengan Tanjong Pagar hanyalah berjiran.

Mungkin inilah uniknya orang Dungun ini bagi memudahkan kata menyebut tempat, maka dibezakan begitu, pada zaman motokar hanya boleh dibeli oleh golongan berada dan kakitangan kerajaan, pada masa masih ramai lagi orang berbasikal berbanding dengan bermotorsikal, tatkala masih ada lagi beca yang kuat membawa penumpang ke darak (Gong Pasir/Pak Sabah) atau ke kuale (Pasar Besar Dungun) dan tatkala ada yang masih lagi berjalan kaki ke degate (Sura Gate).

Thursday, June 30, 2011

Ulasan : Nelayan Kuala Dungun sokong dalamkan muara

Petikan daripada Berita Harian
(http://www.bharian.com.my/articles/NelayanKualaDungunsokongdalamkanmuara/Article/)

Nelayan Kuala Dungun sokong dalamkan muara

2011/06/27


DUNGUN: Hampir 1,000 nelayan di Kuala Dungun melahirkan perasaan gembira selepas Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi mendalamkan muara Kuala Dungun.

Kebanyakan nelayan yang ditemui Berita Harian melahirkan terima kasih kepada kerajaan yang sanggup membantu mereka menyelesaikan masalah kesukaran untuk keluar masuk melalui muara itu berikutan mendapan pasir yang semakin serius sejak beberapa tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Dungun, Mohamad Abd Ghani, 55, berkata persatuan berterima kasih kepada Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh yang berusaha sehingga peruntukan itu diluluskan.

Katanya, ini membuktikan kerajaan mengambil berat masalah yang dihadapi nelayan di daerah ini yang berhadapan dengan masalah itu sejak sekian lama.

“Kami berterima kasih dan berharap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mempercepatkan pengeluaran tender dan kerja mendalamkan muara dapat dijalankan dengan segera sebelum tiba musim tengkujuh,” katanya.

Pemilik bot nelayan, Omar Mohamad, 51, berkata, dia beberapa kali berdepan kejadian botnya karam di muara terbabit dan langkah kerajaan mendalamkan muara itu dapat menyelesaikan masalah yang sudah lama dihadapi golongan sepertinya.

“Sekiranya muara itu tidak didalamkan, banyak lagi kejadian bot karam boleh berlaku sehingga menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian yang banyak.

“Kesan muara yang cetek itu juga menyebabkan nelayan terpaksa melabuhkan bot di luar kuala kerana tidak dapat memasuki jeti Kuala Dungun untuk berlabuh dan mendaratkan hasil tangkapan terutamanya ketika air surut.

“Keadaan itu pernah mengorbankan seorang nelayan, Ami Amri Abu Bakar pada 2004, selepas bot gentian kaca yang dinaikinya karam dipukul ombak apabila bot pukut jerutnya tidak dapat masuk berikutan muara yang cetek,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh berkata, JPS akan mengeluarkan tender dengan seberapa segera dan kerja mendalamkan muara itu akan bermula selewat-lewatnya Ogos ini.



Ulasan :

Alhamdulillah. Harapan @Dungun dengan penambahbaikan projek ini akan membantu penduduk setempat. Satu lagi isu iaitu dari pemerhatian @Dungun sebelum ini di sekitar sepanjang pantai dari Kuala Dungun hingga ke Sura Hujung terutamanya di kawasan Teluk Lipat dan Sura Jeti hakisan pantai juga agak kritikal, pantai menjadi semakin pendek dan laut semakin hampir dengan jalan. Landskap pantai di kawasan ini amat berubah berbanding dengan tahun-tahun dahulu. Seingat @Dungun landskap ini berubah sejak atau sedikit sebelum tahun 2008. Sungguh berbeza sekali. Diharapkan juga projek menambak laut menampan ombak dilakukan dengan segera bagi mengelakkan pantai makin terhakis. Mungkin selepas ini pantai boleh ditambah timbun semula dengan pasir supaya landskapnya mungkin boleh sama bentuknya seperti dahulu. Cumanya agar ia dibuat elok dan bukan ditambah pasir dengan menjadi landai seperti Pantai Batu Buruk, pantainya berubah seperti padang pasir -terlalu landai dan jauh ke tengah. Mungkin kita tidak dapat melaksanakannya dengan menjadikan ia seperti dahulu. Kita hanya berikhtiar dan merancang, hanya Allah sahaja yang menentukan segalanya.

Sunday, June 26, 2011

Opal Lama. Furui Oparu. Old O-file.

Justify FullOpal lama (Rumi Melayu). Furui Oparu (Romaji Jepun). Old Opal (Inggeris). Satu gambar lama jambatan yang merentangi pantai dan laut di Sura Jetty (Sura Jeti). Jambatan bertiang konkrit yang disebut-sebut oleh penduduk Dungun sebagai Opal. Aku mencari-cari nama sebenar opal ini. Adakah ia nama sebenar sebagaimana yang disebut-sebut oleh penduduk setempat atau ada nama lain dari segi terma senibina? Pencarian aku berhenti pada satu nama iaitu O-File. Benarkah nama sebenar opal ini adalah O-File. Setakat ini mungkin opal itu adalah O-File, satu terma dalam senibina,mungkin!

Monday, June 20, 2011

Bersihnya Dungun!

Rasa terharu. Kenapa? Tanggungjawab pihak yang berkaitan dalam mengendalikan kerja pembersihan dan cara menguruskan kebersihan di daerah Dungun. Kepulangan aku ke Dungun dan jengah aku ke beberapa kawasan pantai, kampung dan temubual membicarakan tentang pengurusan pengutipan sampah membuatkan aku rasa tertarik dan cara ini telah berubah berbanding dahulu.

Aku difahamkan setiap zon di kampung-kampung mempunyai kontraktor yang berlainan dalam menjaga kebersihan dan proses mengutip sampah. Cara mereka mengendalikan kerja pembersihan membuatkan aku rasa puashati. Di sekitar pantai pekerja-pekerja ini begitu tekun dan rajin dalam melaksankan menjaga kebersihan. Jika ada kenduri, dengan melihat khemah sahaja yang di pasang depan atau di halaman Tuan Rumah, maka dua tong besar diberi secara pinjaman sementara (tanpa bayar, tanpa duit pendahuluan atau duit sewa) untuk digunakan oleh pihak tuan rumah bagi memudahkan membuang sampah terus ke dalam tong besar beroda ini. Menarik!

Kontraktor-kontraktor yang berbeza yang dianugerahkan kontrak pembersihan mungkin mewujudkan sifat daya saing untuk menunjukkan komitmen dalam mengendalikan perniagaan berbentuk perkhidmatan pembersihan ini. Selain itu mungkin pihak kontraktor mudah untuk mengawal Manning (kakitangan pekerja pembersihan) dalam melaksanakan tugas kerana diperuntukan kawasan yang tidak begitu besar dan tidak memerlukan ramai pekerja. Mungkin juga pihak Majlis Perbandaran Dungun mudah untuk mengawal dan berurusan dengan kontraktor apabila proses penilaian kualiti (QA/QC) yang dibuat mengikut jadual dan skop kerja sebelum proses pembayaran dibuat. Ini semua teori aku berdasarkan pengamatan yang singkat dan pengalaman aku sendiri.

Ini pula cadangan aku :
  • Pihak Majlis Perbandaran Dungun perlu menyediakan tong-tong beroda yang besar dan dibezakan dengan kategori sampah. Mungkin dipecahkan untuk besi, sampah plastik/makanan/botol, kaca dan tin aluminium. Sampah berbentuk barangan elektronik seperti telefon bimbit (handphone), monitor komputer dan televisyen juga perlu diurus dengan cermat dan betul.
  • Mewujudkan perkhidmatan untuk mengutip sampah berupa dahan pokok yang besar, batang pokok dan sepertinya sebagaimana seperti contoh menyediakan tong sampah beroda secara pinjam percuma apabila ada kenduri-kendara. Mungkin boleh dibuat secara talian untuk memudahlan penduduk memangil pihak kontraktor dalam menguruskan sampah kategori pokok ini. Ini perlu kerana daerah Dungun masih dalam dunia kampung klasik yang masih utuh dengan keindahan landskap pokok-pokok tanaman.
  • Membuat tinjauan (Survey) secara rambang (Random) dengan penduduk-penduduk kampung berkenaan kepuashatian atau tidak dengan perkhidmatan yang diberikan oleh setiap kontraktor. Setiap tinjauan ini boleh diekstrak menjadi satu keputusan untuk melihat sejauh mana keberkesanan perkhidmatan yang diberikan. Selitkan juga ruang cadangan (BANK OF IDEA) bagi mendapatkan idea-idea rakyat bagi membantu mengindahkan daerah Dungun dan juga menjaga kebersihan daerah ini bersama-sama.
  • Banyakkan papan tanda (Signboard/Signage) berkenaan kebersihan. Ini satu psikologi! Hari-hari nampak, hari-hari baca takkan tak berdetik di hati untuk menjaga kebersihan. Letakkan papan tanda ini di segenap pelusuk kampung, bukan di tepi jalan besar sahaja. Itu sekurang-kurangnya satu cara untuk mendidik masyarakat melalui papan tanda.
Cukup setakat ini. Mungkin ada idea nanti aku tulis lagi. MENUJU BERSIHNYA DUNGUN!

Friday, June 17, 2011

J.e.b.é.n.g

Satu perkataan yang agak lama aku tidak dengar. Tiba-tiba terdengar, "Oh! Yea, dah lama tak dengar perkataan tuh!". Jebéng! Apakah maksud perkataan ini. Muka di pipi yang dipenuhi dengan rambut-rambut halus. Ada yang nampak bengis, ada yang nampak manis. Ada yang nampak selekeh, ada yang nampak kacak. Sungguh subjektif!

Jebéng di Terengganu adalah jambang.

Sunday, June 12, 2011

Terengganu Juara Piala Fa 2011

PETEH TERANUNG PETEH : KITE SENYUNG DI STADIUNG
(Sajak Sempena TERENGGANU JUARA PIALA FA 2011)

Sultan kite gembire senyung
Tengok bola di stadiung
Gol penyamaang taing nok abih doh pung!
Terkejuk ilang debö perlawanang disambung

MB kite senyung senang
Bile seri ade harapang buleh menang
Gété bola sane sini bola tinggi terbang
Kene peteh bangung smula bola ditendang

Coach kite berpeluh basoh berjeruk
Beri arahang maing jangang teruk
Biar sakik peluh dang jangang tersengguk
Biar menang gol bukang penalti yang buak debö peruk

Hasil tendangang sepakang suduk
Dari Ashaari sepak bola ke tengoh padang Joseph Kalang Tie tukangla tanduk
Ahmad Nordin Alias teruh sambung menendang masuk
Gol! Gol! Gol! Teranung juare kite pung suke sambuk

Kepada semua pemaing yang berjaye
Kite ucapkang tahniah atah usahe
Hok jatuh sakik sapa daroh kite dok seke
Semangak juang jerebba sepak tendang kite bangge

Sunday, May 29, 2011

Taman Tasik Tanjung Sura Dungun

Friday, May 20, 2011

Sukar

Agak sukar untuk aku membezakan dua blog kepunyaan aku yang mengaitkan dengan negeri Terengganu. Blog-blog aku ialah :
Aku pernah menjelaskan bahawa kemungkinan kedua-dua blog ini akan ada dua entri atau artikel yang sama dan akan ada artikel yang berbeza. Mungkin kali ini aku perlu membezakan kedua-dua blog ini. Blog journeyterengganu akan aku perbanyakkan gambar-gambar yang berkaitan dengan negeri Terengganu (walau termasuk perihal daerah Dungun), dan blog @Dungun akan menumpukan perihal Dungun, pengalaman aku, dan slanga bahasa Terengganu.

Walaubagaimanapun selitan dan selingan slanga bahasa Terengganu dan pengalaman aku juga perlu ditulis di blog journeyterengganu. Ianya perlu kerana tak dapat tidak negeri Terengganu ini penuh keunikkan dengan bahasanya. Walaubagaimanapun aku cuba untuk membezakannya.

Apa-apapun sila lawat juga ke blog aku ini : Kembara ke journeyterengganu (Pemenang Hadiah Saguhati daripada Kerajaan Negeri Terengganu dalam Pertandingan Blog Pelancongan 2010).

Thursday, May 19, 2011

Eh! Dah lama Tak Dengar

Menjadi perantau (atau istilah orang dagang pada zaman dahulu) menjadikan slanga yang dicintai kurang digunakan lantaran pelbagai orang yang datang dari pelbagai negeri. Maka bahasa orang KL digunakan sebagai bahasa komunikasi. Sekali-sekala menggunakan bahasa ibunda sendiri apabila bertemu rakan senegeri mahupun rakan negeri jiran yang mengadap Laut China Selatan.

Walau slanga berbeza tapi asas dan gaya masih boleh difahami. Apa yang menjadikan ia menarik ialah apabila kita jarang menggunakan bahasa ibunda sendiri, secara tidak sedar kita terlupa beberapa istilah atau perkataan yang telah lama tidak disebut...


"Eh! Lame dok dengor ayak (ayat) tuh...."

"Eh! Lame dok sebuk (sebut) perkataang tuh...."


Inilah dialog yang tiba-tiba terpacul keluar dari mulut apabila tiba-tiba mendengar rakan senegeri menyebut perkataan-perkataan yang dulu kita pernah guna, kita cakap dan kita dengar hari-hari di negeri sendiri.


Antaranya...

Bocong air - bekas air atau termos (bocong air panah).

Kérék telage - bulatan konkrit untuk binaan telaga/perigi.

Gelécoh - kaki tersadung.


Anda sebagai perantau bagaimana?



Wednesday, May 18, 2011

Tidur Orang Terengganu

Khelak. Ngatuk mate. Jeneghe. Tido seposeng.

Itulah kata-kata orang Terengganu tatkala ingin beradu atau melelapkan mata sekejap cuma. Semuanya bab tidur merehatkan diri.

Perbualan....

"Aku nok khelak kejak", dia berkata dalam loghat negerinya. Matanya terpejam sejenak bagi merehatkan badan yang mungkin terlalu letih setelah melaksanakan pekerjaan.

"Ngatuk mate weiii...", itulah yang dingomelkan oleh kawannya sejak pagi tadi. Kata ganda irama menyatakan dia begitu mengantuk pada mata bukan pada abdomen badan yang lain. Masing-masing mengungkapkan perkataan ingin tidur.

"Malang takdi tido dok jeneghe...", sambut bual oleh rakan seorang lagi. Entah mengapa sudah tiga orang mengungkapkan perihal yang sama. Rakan yang ini tidurnya tidak lena.

"Aku pung tidur dok jeneghe malang takdi, dakpe aaa, aku nok tido seposeng", rakan yang keempat pula menilaikan tidurnya dengan duit sepuluh sen. Maksudnya dia ingin melelapkan mata sebentar.


Imbas kembali...

"GOLLLLLLLLLLLLLLLLLLL............pasukan kelab dari Sepanyol telah berjaya menjaringkan gol kemenangan ke atas kelab lawan senegara maka mereka layak ke perlawanan akhir bagi musim kali ini....", kata komentator dalam Bahasa Melayu seawal jam 4.30 pagi. Bunyi bising dan cahaya dari televisyen teknologi LED ber-BEYOND ASTRO diselangi dengan suara sorak dua sahabat baik. Dua orang lagi rakan mereka terasa tidur diganggu dengan bunyi bising sorakan mereka.


Nasihat : Tengok bola berpadalah....Ingati kawan yang tido dok jeneghe...


Tuesday, May 17, 2011

Bila Orang Terengganu Bercinta?

Mandi - dok basoh... (padahal habis air se koloh...)

Makan - dok kenyang... (konon dok lalu makang tapi lalu je sapa peruk sééh...)

Tidur - dok jeneghe/jenere... (cukuk taing tedo gök...)


Monday, May 16, 2011

Ganda Irama : Rasa (Apa rasa Terengganu?)

[Pahik-Lepang] [Manih-Leting] [Masang-Ghebang] [Tawo-Hebe]
[Masing-Pekok] [Pedah-Desik]


Itulah rasa lidah orang Terengganu tatkala merasa juadah harian. Apa rasa anda di negeri lain?

SELAMAT HARI GURU! C.H.E.K.G.U

Thursday, May 5, 2011

Koleksi Terkini @Dungun : A Map Of Terengganu

Agak lama aku mengambil masa untuk membeli buku ini. Kekangan masa dan pelbagai alasan yang mungkin orang kata aku sengaja beri atau tidak. Peluang yang ada aku menjengah ke satu MPH. Alang-alang sudah sampai, aku mencari beberapa buku novel kegemaran aku dan ada beberapa genre buku atau novel yang aku ingin beli. Kini aku mencari-cari novel karya novelis Terengganu iaitu Ali Jusoh. Aku mahu buat koleksi. Buku terbaru Tuan AG@Awang Goneng yang terdahulu iaitu GUiT (Growing Up In Trengganu) telah dibeli dan kini aku mencari AMOT (A Map Of Trengganu). Peluang yang ada aku terus membelek buku ini.


Terdapat tandatangan khas milik penulis buku ini, iaitu nama sebenarnya Wan Hulaimi. Agak terkejut kerana dalam banyak-banyak buku di atas rak terdapat satu buku yang bertandatangan Tuan AG @ Awang Goneng. Apalagi, dalam antara rasa gembira, dan terkejut lalu aku ambil, dan aku bayar dan hati rasa berbunga-bunga.


Maka bertambah lagi koleksi buku dan novel @Dungun. Sukanye ati ambe...

Friday, February 11, 2011

@Satellite KLIA


Tourism Terengganu.Paparan bawah laut Pulau Redang.

Thursday, January 27, 2011

Rumah Chendering

Rumah milik kerabat penulis. Rumah Bujang Berselasar. Kayu cengal yang penuh ukiran, bertiang banyak dan atak bate singgora.

Wednesday, January 26, 2011

Terengganu Delight @Rahimah's Kitchen



@Rahimah's Kitchen, sajian makanan tradisi Terengganu dan juga air buoh gelas besar. Jika anda perantau dan rindukan sajian Terengganu, silalah ke sini.

Tuesday, January 25, 2011

Blues Senyum Sokmo

Lagu nyanyian oleh Faizal AF4 yang menceritakan nama sajian dan juadah tradisi Melayu Terengganu dan diselitkan dengan nasihat. Satu cara untuk memperkenalkan juadah-juadah tradisi Melayu Terengganu. Lirik yang berbentuk seperti pantun ini begitu menarik.

Blues Senyum Sokmo - Faizal AF4



Na..na..na manis sokmo
Na..na..na kita orang timur
Na..na..na senyum sokmo

Nekbak sira tepung pelita
Puteri mandi pulut lepe
Kuih muih orang kita
sudah sohor rate rawe
Lemak manis lemak tawar
Jamu selera di pantai timur
Tempat comel tanah subor makmur
Bekang manis koleh kacang
Asang gupa tok aji serebang
Lazat sungguh hai lopak tikang
Pakat makang pagi petang
Mesra belaka hai adik abang
Ramoh tamoh malang siang
Sopang santung tertib terening terbilang

Orang timur banyak warisan terkenal
Pantai timur banyak resipi tradisional
Comel budaya molek pula budi bahasa
Amalan mulia hiasan jiwa raga

Na..na..na..manis sokmo
Na..na..na kita orang timur
Na..na..na aman makmur

Nekbak sira tepung pelita
Puteri mandi pulut lepe
Kuih muih orang kita
sudah sohor rate rawe
Lemak manis lemak tawar
Jamu selera di pantai timur
Tempat comel tanah subor makmur
Bekang manis koleh kacang
Asang gupa tok aji serebang
Lazat sungguh hai lopak tikang
Pakat makang pagi petang
Mesra belaka hai adik abang
Ramoh tamoh malang siang
Sopang santung tertib terening terbilang

Monday, January 24, 2011

Sakit Orang Lelaki

Satu lagu yang mempunyai pantun slanga Terengganu yang penuh keunikan dicampur dengan senikata moden dengan irama lagu yang rancak . Lagu ini dibawakan oleh Faizal AF4 anak jati Terengganu. Satu cara untuk membudayakan lagu-lagu pantun rakyat Terengganu tetapi masih dalam kawalan dan tidak terkeluar dari nilai-nilai asli asal lagu ini. Ini adalah lirik, jika ingin mendengar lagu ini, anda boleh terus ke youtube atau mana-mana carian di dalam internet dengan menaip carian Sakit Orang Lelaki atau Faizal AF4.



Watimang watimang landak

Watimang watimang landak
Landak sesama landak
Turun ke pantailah dek nandung
Membeli beras
Kalau hendak sesama hendak
Watimang watimang landak
Gajah berantailah dek nandung
Berantai dek nandung
Lagikan terlepas

Watimang watimang landak
Watimang watimang landak
Landak sesama landak heiii...
Turun ke pantailah dek nandung
Membeli beras
Kalau hendak sesama hendak
Watimang watimang landak
Gajah berantailah dek nandung heiii...
Berantai dek nandung
Lagikan terlepas

Nyiur manis pelepah lembut
Watimang watimang landak
Habis dimakanlah dek nandung
Habislah dek nandung
Si gajah gila

Mulut manis hatipun lembut
Watimang watimang landak
Bagaimanalah dek nandung heiii...
Manalah dek nandung
Hatilah dok gila

Sunday, January 23, 2011

To Jel To Wok & Permainan Tradisi Terengganu Dalam Lagu

Iklim, satu band atau kugiran Terengganu yang berjaya dahulu. Ahli-ahlinya semuanya dari negeri Terengganu Darul Iman telah memberikan kita lagu-lagu untuk memperkenalkan negeri Terengganu. Antaranya ialah Blues Terengganu Kita yang telah mempopularkan destinasi dan slanga Terengganu. Di sini penulis ingin berkongsi satu lagu Iklim yang memperkenalkan permainan tradisi Terengganu yang kini mungkin telah kian luput dan tidak mungkin dimainkan oleh kanak-kanak zaman IT sekarang ini. Penulis cuba mendengar lagu ini dan cuba menulis kembali mengikut slanga Terengganu. Penulis ada menulis beberapa huruf dalam kurungan dan ia bermaksud untuk memberikan cara sebutan betul dalam slanga Terengganu. Jika ada kesalahan dalam penulisan lirik ini sila perbetulkan dan sila berkongsi maklumat dengan penulis. Lagu ini berjudul Tojee Towoak (To Jel To Wok). ( Ditulis semula pada 23 Januari 2011-Terima kasih saudara Mohalim Iklim atas lirik yang diberi kepada @Dungun dan Journey Terengganu).

Kata Saudara Mohalim:
"Satu permainan sesetengah tempat panggil..polis sentri...pemainannya berkumpulan antara 10 0rg atau lebih, kemudian di bahagi dua. Dua kumpulan diundi yang mana jadi polis dan yang mana pesalah....pesalah akan lari sembunyi, kemudian polis akan mencari dan bila ditangkap aka n di masuk (dimasukkan ke) penjara, polis akan menjaga penjara...sekira lalai menjaga datang pesalah akan mencuit tubuh member dikira dia boleh keluar dari penjara.....dan gitu la seterusnya. To (ayat lama dulu tahun 70an), maksudnya Game, samalah macam To Duduk. To Kerah, To Wok,.....ok lirik nya:-"

Mari kite pakat(k) dengo cerite
Mainan(g) budok-budok hok peseng lame
Turun(g) menurun(g) pesake kite
Banyok pelik tapi suke…
Dok payoh paka pitih dok nok wak mende
Perabih harte ayoh bonde...


Sayang sungguh lening koho tadok
Pasa besor belake doh budok-budok...
Hok laki jadi pok, hok puan(g) jadi mok
Mase beruboh sedikit sebanyok...
Hok ning la kite nok kabo sikek
Mainan(g) budok-budok mase kechek...

(Ulang)
To jel to wok, To kerah, To duduk,
Petong kupi,
petong selipar, bola katok,
Main(g) cokok, keliling bunge…
Main(g) selambuk, siuk getoh, petik mate…

Woh ipe, cak kekok kaki ayam(ng),
Jetik sage(?) pelage gasing, galoh panjang,
Pisto(l) colok, bedilang peluru sabok….
Belage woh getoh, main(g) titian(g)…

Pakak smula mainan(g) kite hok tinggal lame..
Doksoh tebeng bazir pitih dan(g) buang mase..
Molek kite paka hudoh dok soh kire...
La la la la la la la la la la...To Jel To Wok…

*************************************************************************************

Terima kasih dan Kredit kepada Saudara Mohalim Iklim (Lagu dan Lirik oleh beliau) kerana sudi memberi memberi lirik yang betul dan memberi kebenaran kepada @Dungun dan Journey Terengganu untuk diletakkan di dalam blog-blog penulis.

Tuesday, January 18, 2011

Mencari Wau iii

Pencarian wau masih berjalan. Hanya monumen kecil yang dijumpai. Berbentuk besi berwarna emas. Tidak boleh dianjak terbang. Tiada teraju. Hanya monumen kecil berbingkai sahaja. Hanya sebagai pameran di dinding atau di atas meja. Ah! Aku tidak pun membeli monumen kecil ini. Hanya mengambil gambarnya sahaja. Ah! Monumen sekecil ini tiada bunyi dengungnya. Monumen kecil ini - adalah Wau Bulan.

Monday, January 17, 2011

Mencari Wau ii

Ah! Ingatan kenangan kembali. Wau kita sebenarnya terbang tinggi, malah telah dan selalu ke benua lain. MAS dan lambang Wau Kucing.

Sunday, January 16, 2011

Mencari Wau

Hari ini aku ke padang lapang melihat orang bersantai di hujung minggu. Melihat suasana manusia bermain bola sepak, berjogging, bersantai duduk, dan pelbagai lagi ragam mereka. Kanak-kanak pula sibuk berlari, bermain basikal dan berada di sekitar taman permainan mereka-berterowong gelongsor, buaian, dan pelbagai ragam bentuk lagi.

Dalam banyak-banyak ragam suasana ini, aku terpandang beberapa manusia sedang bermain layang-layang moden. Ah! teringat rasanya pada kampung halaman. Melihat beberapa layang-layang yang dinaikkan mengingatkan aku sewaktu kecil bermain layang-layang bergambar kartun yang dibeli hanya beberapa sen sahaja dari kedai runcit cina - Kedai Awang (nama kedai Cina seperti nama Melayu), Kedai Mek Ah Mo atau pun Kedai Kiok. Suasana ini mengingatkan juga aku kepada pakcik yang pakar membuat dan bermain wau tradisional yang bunyinya nyaring berdengung. Suasana di Dungun dari bulan April hingga bulan Julai/Ogos adalah musim bermain wau. Ah! Syahdu dan nostalgia rasanya.

Melihat suasana begini membuatkan aku ingin bermain wau tradisi Melayu di sini. Aku tidak mahu layang-layang moden. Aku tidak mahu layang-layang berlakar watak kartun tv. Aku mahu wau tradisi Melayu. Wau bulan, wau kucing atau wau burung. Agak menarik jika aku menaikkan wau tradisi Melayu di sini, berbeza dengan mereka dengan layang-layang moden. Bunyi nyaring berdegung pasti menarik perhatian.

Aku mencari dan ingin membeli wau tradisi Melayu ini. Siapa yang tahu orang yang menjualnya di Dungun atau di Terengganu sila tinggalkan komen. Aku mencari dan ingin membelinya. Ah! Bunyi nyaring dengung masih seperti kedengaran. Begitulah kenangan!

Wednesday, January 12, 2011

Kelas Cakak Terengganu

Kelas Cikgu Stopa.

Sila klik ke pautan ini : Cerming khete cikgu ppecoh, bukang aku buak.

Friday, January 7, 2011

Muda oleh Hujan (Lagu Sempena Musim HUJAN di Dungun)

Cuba kalian lihat video klip nyanyin kumpulan Hujan dengan lagu bertajuk Muda http://www.youtube.com/watch?v=gDSad7VzocQ. Beberapa tempat dan tanda menunjukkan daerah kita. Kalau kalian anak jati daerah kita, kalian pasti nampak keindahan daerah kita. Lihat minit ke minit :
  • Minit ke 1.12 hingga ke 2.05
  • Minit ke 1.15
  • Minit ke 2.09
Kawasan yang dikenali pasti ialah kawasan pantai Sura Hujung berhampiran berhadapan Kelab Golf Desa Dungun (minit ke 1.15), sepanjang Pantai Teluk Lipat mungkin (minit ke 1.12 hingga ke 2.05) dan paling menarik jambatan baru Sungai Dungun (minit ke 2.09).

Paling unik ialah minit ke 1.01-papan tandanya.

Saturday, January 1, 2011

Selamat Tahun Baru Dua Ribu Sebelas dari @Dungun

Dari Kuala ke Bukit Besi,
Singgah sebentar di Nibong Bawah,
Tahun baru dua ribu sebelas ini,
Azam lepas selesai sudah?



Azam kita hanya pada Kalendar Masehi? Azam pada Kalendar Islam bagaimana? Selamat Tahun Baru Dua Ribu Sebelas dari @Dungun

Thursday, December 30, 2010

Sajak Bakpe : Sempena Kemenangan Malaysia Piala AFF Suzuki 2010

Bakpe?
Bakpe Malaysia Menang?
Sebak suluh laser ke mate goli Vietnang dang goli Jirang?

Bakpe Malaysia Menang?
Sebak penontong lawang sikék dekak stadiung kite?

Bakpe Malaysia Menang?
Sebak ape? doh memang pemaing kite terer belake,
Sebak pléng care maing molek dari jurulatih kite...

Bakpe Malaysia Menang?
Sebak memang gol comey hasil hantarang pemaing asal daeroh Besut kite...
(Norshahrul Idlan Talaha) bui ke Safee Sali, teruh masuk gol pertame...

Bakpe Malaysia Menang?
Sebak memang gol comey hasil tendangang kedue pemaing asal daeroh Besut kite...
(Norshahrul Idlan Talaha) terkene pemaing lawang teruh Budok Marang sepak gol kedue...
Tulah die Budok Bukit Payong kite... (Mohd Ashaari Shamsuddin)

Bakpe Malaysia Menang?
Sebak memang bola hantarang comey dari Mahali Jasuli terus ditanduk Safee Sali...
Masuk gol ketige, teruh kite suke hati...
Ditangboh kuak dengang pertahanang belakang kite ni, ade Anok Teranung lagi...
Namenye Mohd Muslim Ahmad Budok Bando Kay Ti...
He He He...sukenye hati...
Itu cerita Final pertame di KL sebelung ni....


Bakpe Malaysia Menang?
Memang kite kaloh mase maing awal-awal di negeri jirang kite,
Goli kite Mohd Sharbinee Allawee Ramli, walaupung lepah lime utir gol biarlah cite lame,
Kite belajo dari silak saloh kite, keeper baru Negeri Barak sebelah Teranung jadi pengganti,
Molek sunggoh berani benor kawe nok kabo dio ni....
Khairul Fahmi Che Mat namo budok ni...
Huk aloh, panda jjereba sunggoh terer sekali, bukang nok lebong, tengoklah sediri...

Bakpe Malaysia Menang?
Masuk Final kedue di negeri Jirang,
Budok Marang bui bola ke Budok Kajang,
Ashaari pah ke Safee Sali...
Teruh gol jadi aggregate 4-0 sukenye hati kite ni....

Bakpe Malaysia Menang?
Tapi walau kite kaloh kemudiang due-se,
Kite tetak menang aggregate pak-due,
Dapak piale hasil kerjasame semue,
Syukur kepada Allah Taala jua segalanye,
Atas kurniaanNya diberi kemenangan kepade kite
Semoga kite terus berjaya dengang usahe dan doa kite...



Tahniah Malaysia dan anak-anak Terengganu...atas kemenangan Piala Nusantara ini...

Monday, November 29, 2010

S.M.E.T.E

Smete. Buoh Smete. Manggis nama formalnya. Kenapakah orang Terengganu memanggilnya dengan nama Smete? Buah manggis ini banyak ditanam oleh orang-orang dahulu kala di Terengganu di laman rumah mereka yang sangat luas. Sama ada di belakang dapur, di isisi tepi rumah. Boleh kata sebagai landskap kebun buah-buahan tempatan. Berbeza dengan orang sekarang yang suka menanam rumput kapet, berpegola dan dipenuhi dengan tanaman bunga serta pohon-pohon palma dan pinang.

Buah ini sungguh manis. Isinya yang putih berulas sungguh manis. Perlu diingat, jangan biarkan kulitnya yang berair terkena baju. Nanti warna berubah. Betulkah?

Sunday, November 28, 2010

Kawaguchi No Machi




Bandar Muara Sungai, 河口の町 atau Kawaguchi No Machi. Inilah Bandar Dungun atau Bandar Kuala Dungun, satu bandar lama sebelum pembangunan di Sura Gate mengambil alih peranan bandar dari Kuala Dungun. Walaubagaimanapun Awang tetap memilih Kuala Dungun sebagai Bandar Dungun sesuai dengan sejarahnya, sesuai dengan kedudukan geografi negeri Terengganu di mana bandar-bandar atau pekan terletak dan bermula di sebelah muara sungai, dan juga sesuai dengan keunikan panorama persekitarannya serta sejarahnya yang telah lama bermula dari zaman kerajaan silam. Pelbagai catatan sejarah sama ada dari negara China dan dari kerajaan Majapahit mahupun dalam sejarah lama tempatan kita menunjukkan kewujudan daerah Dungun ini. Malah daerah Dungun ini terkenal dengan tokoh Panglima Hitam Tambun dan tokoh-tokoh Ulama serta guru-guru pondok ajaran Islam. Begitu hebat sejarah Dungun ini sama ada dengan sejarah Ulama, pejuang, pendekar dan pahlawan serta kerajaan silam.

Kini blog @Dungun menggunakan banner baru sebagai menyambut Ulangtahun Kedua Blog @Dungun ini pada 8 Oktober yang lalu.

Wednesday, November 17, 2010

Salam Aidil Adha 1431Hijrah

Selamat Hari Raya Aidil Adha
Maaf Zahir Dan Batin

Thursday, November 11, 2010

KL The Guide-Terengganu

Kepada penumpang-penumpang di KLIA, boleh dapatkan buku percuma KL The Guide yang memaparkan Pelancongan Di Terengganu bagi keluaran Ogos-November 2010. Ruangan Special Feature ini terpapar dalam dari mukasurat 105 hingga 111.Dapatkannya di kaunter pertanyaan @KLIA.

Tuesday, November 9, 2010

Dungun : Lirik Lagu Tak Bermelodi II

Aku nukilkan satu lirik yang tiada melodi. Mungkin ada sesiapa ingin untuk menggangkat lirik lagu pantun ini bermelodi ala lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee?

Damai Di Dungun

Aku kuceritakan perihal rinduku....Dungun...

Kita berlari di sini
Teluk Bidara indah berseri
Biru laut bayu sepi
Nyiur menghijau menyeri bumi...

Sepanjang ini kaki berjalan
Susuri pantai ke Tanjung Jara
Tempat bermain bukan mimpian
Kita ketawa riang dan ria

Kuala Dungun muka muara
Angin laut meniup tenang
Suara bising dek nelayan
Sukanya hati perahu pulang

Hati tenang sekali
Rantau Abang damai sepi
Teluk Gadung hujung sini
Teluk Lipat tiang opalnya tinggi

Bukit Besi kenangan kita
Tasik Puteri senyum senang
Cemerung Pasir dan Bumbung Raja
Air sungai mengalir tenang

Kuala Dungun muka muara
Angin laut meniup tenang
Suara bising dek nelayan
Sukanya hati perahu pulang

Friday, November 5, 2010

Samah

Samah? Bukan nama orang. Bukan nama gelar. Bukan nama pena (ada ke?). Samah adalah nama panggilan rakyat Terengganu terhadap duit syiling 50 sen. SA atau maksudnya SE atau dalam bahasa formalnya satu. AMAH adalah bermaksud kepingan duit 50 sen tersebut. Samah adalah sekeping duit syiling 50 sen. Kata nama yang popular dan yang selalu menjadi kata bual semasa
proses jual beli
barang di Terengganu ialah Samah dan Tige Amah. Tige Amah bermaksud tiga keping Amah iaitu tiga keping duit syiling 50 sen yang bersamaan dengan RM1.50 sen.



Samah!



Tige Amah!



Singgah sekejap makan mee rebus,
Sebelum ke pasar membeli lada,
Selesai makan Tiga Amah dibayar terus,
Samah sahaja harga ladanya.

Wednesday, November 3, 2010

Journey Terengganu Menang Saguhati

Artikel dari blog penulis yang kedua: Journey Terengganu - http://journeyterengganu.blogspot.com/



Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi di atas kemenangan Journey Terengganu dalam Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010. Penulis tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk memenangi pertandingan ini dan tidak menyangka kerana memenangi saguhati. Terima kasih kepada pihak para hakim memilih Journey Terengganu sebagai pemenang saguhati. Terima kasih kepada pengunjung dan pembaca setia yang menjengah blog penulis yang serba ringkas dan biasa-biasa ini. Di sini juga penulis ingin mengucapkan tahniah kepada penulis-penulis blog yang bertanding dan memenangi hadiah tersebut serta penulis juga ingin mengucapkan tahniah kepada blog-blog yang telah layak bertanding.

Penulis hanya menulis sebagai sekadar catatan peribadi di samping untuk berkongsi pengalaman dengan pembaca. Konsep penulis berkenaan blog Journey Terengganu adalah semata-mata blog sahaja bukan seperti web pelancongan yang penuh dengan maklumat yang begitu padat hingga memenuhkan ruang dan keserabutan dalam blog penulis. Ini kerana penulis percaya jika ada para pelancong yang ingin mengetahui lebih lanjut, mereka boleh ke link-link atau web rasmi agensi pelancongan , atau web rasmi hotel, syarikat penerbangan dan sebagainya yang meletakkan harga yang lebih tepat dan maklumat perjalanan yang lebih mudah. Penulis mengganggap pembaca atau pelancong lebih pintar dalam mencari maklumat yang lebih tepat berkenaan sesuatu yang berkaitan dengan harga, maklumat perjalanan dan sebagainya. Lebih-lebih lagi kadar hotel dan kadar tambang adalah perkara yang boleh ubah mengikut musim, mengikut kehendak pihak pengurusan, atau apa sahaja. Oleh itu penulis tidak mahu terikat meletakkkan apa-apa harga atau sumber maklumat seperti nombor telefon dan alamat sesuatu hotel. Ini kerana juga nombor telefon dan alamat boleh berubah malah pemilik pengurusan juga boleh bertukar. Nasihat penulis ialah pelancong-pelancong boleh mendapatkan maklumat yang lebih tepat di laman atau web rasmi sesuatu syarikat pengangkutan dan hotel. Walaubagaimanapun penulis akan meletakkan juga sedikit maklumat tersebut jika ia bersesuaian.

Oleh itu penulis hanya menulis secara diari dan biasa-biasa sahaja dalam blog ini dan hanya ingin memberi maklumat yang perlu sahaja diketahui oleh para pelancong mahupun pembaca. Penulis mengetengahkan konsep penulisan sastera Melayu dan sedikit komedi seperti pantun dan sajak dalam Bahasa Melayu rasmi dan loghat Terengganu. Selain itu perlu diingat, konsep blog dan konsep web adalah berbeza. Blog adalah catatan pengalaman, luahan, diari harian dan juga diselitkan dengan maklumat yang tidak membosankan. Ia bukan seperti web yang padat dengan maklumat dan kadang penuh dengan keserabutan seperti masuk ke laman web milik kerajaan dan web sesuatu syarikat. Blog perlu menarik sama ada dari segi penampilan seperti latar belakang dan sedikit sentuhan gambar, (walaupun ringkas tetapi perlu sedikit daya tarikan dan gambar tidak perlu dipenuhkan sebagai latarbelakang kerana ia akan menggangu tumpuan pembacaan), yang tidak serabut, tidak berat apabila mahu dibuka oleh pelantar pelayar, isi artikelnya menarik dan mempunyai gambar-gambar yang bersesuaian dengan artikel.

Apa yang dipaparkan sebelum ini adalah berkenaan destinasi pelancongan, makanan dan pakaian, budaya, sastera dan loghat Terengganu, lagu dan pantun dan permainan kanak-kanak Terengganu. Penulis percaya bahawa untuk menarik pelancong ke Terengganu bukan hanya semata-mata destinasi sahaja tetapi kesemuanya yang berkaitan dengan negeri dan rakyat berpanji hitam dan putih ini.

Walaubagaimanapun, pertandingan ini telah berjaya mencapai sasaran Kerajaan Negeri Terengganu kerana dengan ada blog-blog ini promosi pelancongan Terengganu telah berjalan secara percuma. Satu cara yang pintar oleh Kerajaan Negeri Terengganu dalam melaksanakan promosi pelancongan negeri Terengganu.



Find yourself in Terengganu, Jupe mung di nung-Terengganu

Thursday, October 28, 2010

Burung Ngekéng

Kéng...Kéng...Kéng...bunyi sayup-sayup dari atas pohon tinggi. Jika makin didekati pohon itu makin kuat bunyinya. Kibasan sayap dan dahan ranting kuat berbunyi dek terjahan singgah. Diintai dari bawah pohon didapati burung ini berparuh besar berwarna kuning lembut. Warna badannya hitam dan sedikit putih pada sayap dan ekornya. Eh! Macam mana burung ini boleh ada di sini. Agak jauh dari bumi kepulauan sana, adakah ia berhijrah atau memang spesis ini juga ada di sini?

Itulah Burung Ngekéng dan itulah pertanyaan penulis pada waktu kecil. Terkejut dengan kewujudan burung ini di Dungun satu waktu dahulu di kawasan Kampung Sungai Buaya. Rata-rata orang di Dungun memanggil burung ini Ngekéng. Penulis tidak pasti di daerah-daerah lain di dalam negeri Terengganu. Dinamakan Ngekéng kerana bunyi suaranya Kéng...Kéng...Kéng. Bunyi suara yang nyaring dan boleh didengari di seluruh pelusuk kampung. Tambahan pula ia bergema dari atas pohonan yang tinggi.

Burung Ngekéng ini nama formalnya ialah Burung Enggang ataupun Hornbill dalam Bahasa Inggeris. Pelikkah atau memang spesisnya ada di Dungun?

Friday, October 8, 2010

Ulangtahun Kedua Blog @Dungun

Ulangtahun Kedua Blog @Dungun.

Doh dua tahung doh blog ni aku tulih. Banyok perkare doh aku tulih. Nantikang ade banyok lagi bende aku nok tulih.

Terima kasih kepada pembaca setia. Terima kasih kepada Followers yang kini telah bertambah jumlahnya kepada 44 orang. Terima kasih kepada yang add dan link blog @Dungun ini. Terima kasih juga kepada pihak Nuffnang yang setia memberi peluang kepada blog untuk mempromosikan iklan-iklan dari pihak Nuffnang. Terima kasih dan teruskan bersama.

Thursday, October 7, 2010

Pasir Purnama

Hari-hari awal Aidil Fitri yang lalu, aku menziarah kerabat keluarga di Paka. Bertanya khabar dalam suasana menyambut hari raya sambil menjamu kuih-muih raya. Entah bermula dari mana timbul penceritaan tentang kawasan memancing di satu sungai di pedalaman Paka. Kerabat penulis ini memberitahu kawasan memancing yang dia pernah pergi adalah merupakan kawasan yang pernah menjadi pelabuhan pada zaman silam. Menurutnya dari cerita orang-orang lama Paka, kawasan tersebut dipanggil Pasir Purnama. Kerabat penulis mengukuhkan lagi buktinya dengan mengatakan beliau menjumpai kulit/cangkerang siput laut di kawasan berhampiran sungai tersebut.

Pasir Purnama. Nama begitu indah dan klasik. Mungkin benar kata-katanya. Mungkin ia merupakan pelabuhan yang ada pada zaman Paka menjadi wilayah Majapahit mengikut Negarakertagama. Ataupun Pasir Purnama ini wujud selepas zaman tersebut atau dalam zaman awal Kesultanan Melayu Terengganu. Mana satukah?

Tuesday, October 5, 2010

Suis Lampu Dulu-Dulu


Hari Raya Pertama yang lalu peluang aku ke rumah sahabat lama di Kampung sungai Buaya, Dungun mengundang rasa teruja aku kepada suis lampu di rumah beliau. Suis lampu lama yang begitu mengundang nostalgia. Lalu aku snap sekeping gambar untuk diletakkan di dalam blog @Dungun. Adakah di rumah kalian masih ada suis lampu begini?

Friday, October 1, 2010

Salam Aidil Fitri 1431 Hijrah

Thursday, August 12, 2010

Syahadah Musim ke 6

Rancangan Syahadah Musim Ke 6 di RTM 1 atau TV1 yang telah mula bersiaran pada 1 Ramadhan jam 6.30 petang memaparkan Sejarah dan Tamadun Islam di Terengganu. Rancangan ini ditaja oleh Yayasan Islam Terengganu. Rancangan ini cukup menarik dan memberikan kita keinsafan dan kefahaman tentang sejarah Islam yang telah lama bermula di Terengganu berdasarkan Batu Bersurat Terengganu.

Episod 1 yang bersiaran semalam iaitu pada 11 Ogos 2010 begitu mengujakan kerana ia memaparkan sejarah Batu Bersurat yang dijumpai di Kuala Berang. Batu Bersurat ini telah menerima pengiktirafan antarabangsa melalui Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO) di bawah kategori ”Daftar Memori Antarabangsa”.

Episod kedua pada hari ini iaitu 12 Ogos 2010 ( 2 Ramadhan 1432 Hijrah) memaparkan Mahaad Tahfiz dan Institut Al-Quran di Terengganu, kanak-kanak yang pandai mengaji dan menghafal Al-Quran beserta dengan tafsiran sekali begitu menyentuh hati apabila menonton episod kedua ini dan juga tidak lupa episod kedua ini menyentuh sedikit tentang Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man.



"Syahadah Musim Ke 6 suatu dokumentari yang menjelajah negeri Terengganu, Kedah, dan Melaka, serta negara-negara lain iaitu Indonesia, Kemboja dan India dan di Asia Timur iaitu China, Jepun dan Korea Selatan bagi menjejaki latar belakang dan cara hidup saudara muslim di sana"

Wednesday, August 11, 2010

Salam Ramadhan 1431 Hijrah

@Dungun mengucapkan Salam Ramadhan 1431 Hijrah dan Selamat Menyambut Bulan Puasa. Ampun maaf salah dan silap jika ada mengguris dan terasa serta terkata. Sambutlah Ramadhan ini dengan penuh keinsafan.

Gambar : Masjid Baru Kampung Sungai Udang, Dungun, Terengganu.

Tuesday, July 6, 2010

Bahasa Simbol Perpaduan

Tulisan untuk papan tanda kedai di salah sebuah kedai di Kuala Dungun : Jawi, Cina dan Rumi Melayu.

Bahasa Jiwa Bangsa. Itulah slogan yang digunakan sejak dahulu lagi. Bahasa yang digunakan sesuatu bangsa menggambarkan jiwa bangsa itu. Di Terengganu ini apa yang unik ialah slanga Bahasa Melayu Terengganu ini digunaka pakai oleh semua kaum di sini. Mungkin orang dari luar negeri Terengganu akan terkasima apabila mendengar golongan kaum Tionghua dan India begitu fasih berbahasa dialek Terengganu. Bunyinya tidak kekok malah sama seperti orang Melayu Terengganu. Jikalau singgah ke kedai runcit, kedai makan mahupun ke pasar semuanya menggunakan dialek Terengganu. Perkataan mung, aku, awang, nok beli, kite jua, adalah antara yang kita akan kerap dengar jika singgah di pasar. Semuanya diguna pakai oleh semua kaum. Itulah, dengan bahasa kita boleh menggunakannya menjadi satu simbol perpaduan bagi semua kaum bagi menyampaikan hasrat Satu Malaysia. Rakyat Terengganu telah lama menggunakannya sebagai simbol perpaduan. Terengganu...bereh sokmo!

Wednesday, June 16, 2010

Penyu Rantau Abang : Daerah Sunyi Tanpa Penyu

Menarik hari ini di dalam Kosmo. Penyu Rantau Abang - Daerah sunyi tanpa penyu.

Monday, May 24, 2010

Kompleks Muzium Negeri Terengganu

Sila klik ke : Kompleks Muzium Negeri Terengganu

Tuesday, May 11, 2010

Perkarangan Muzium Terengganu

Sila klik ke : Perkarangan Muzium Terengganu

Friday, April 23, 2010

Nama Orang Terengganu

Pernah tak kita ada kawan yang namanya kita panggil atau memang nama sebenar mereka ini ialah Jusoh, Awang, Mamak (Mamat), Wang (Wan), Tuang (Tuan), Teku (Tengku), Che, Che, Ku, dan Engku. Nama-nama ini sebenarnya begitu sinonim dan melambangkan asal orang tersebut.

Nama seperti Jusoh dan Awang banyak digunapakai di sebelah Terengganu dan Kelantan. Begitu juga dengan nama Mamat (ikut slanga Terengganu-Mamak). Nama-nama ini memudahkan orang lain untuk mengetahui asal usulnya, cuma bertanya asal dari Terengganu atau Kelantan.

Nama Wan pula mungkin di Malaysia ini lebih mengetahui asalnya dari keturunan bangsawan dari negeri Kelantan, tetapi sebenarnya di negeri Terengganu juga mempunyai keturunan Wan yang bertaburan di sini. Cuma perlu bertanya Wan Terengganu atau Wan Kelantan. Mungkin dari sejarahnya keturunan Wan di Terengganu ada hubungan salasilah dengan keturunan Wan di Kelantan. Mungkin juga keturunan Wan yang berhijrah dari Kelantan dan titih-titihnya bertaburan di seluruh negeri Terengganu. Begitu juga dengan nama Megat walaupun kita jarang mengenali nama Megat di negeri Terengganu kerana ia lebih dikenali dan lebih rapat dengan keturunan megat Terawis di negeri Perak. Dari segi sejarah, nama Megat telah lama ada di negeri Terengganu iaitu Megat Panji Alam.

Orang yang mempunyai pangkal namanya Tuan sama ada lelaki atau wanita juga banyak digunapakai di negeri Terengganu. Kata orang nama Tuan ini adalah keturunan Rasullullah. Awang sendiri ada mengenali beberapa nama orang yang mempunyai pangkal nama Tuan berasal dari Dungun sendiri dan dari Kuala Berang.

Keturunan Tengku pula agak banyak bertaburan di daerah Dungun ini. Semasa zaman persekolahan, Awang sendiri mempunyai ramai rakan sekolah yang mempunyai pangkal nama Tengku. Mereka semua adalah keturunan istana (mungkin dari kerabat istana Terengganu). Nama-nama (pangkal nama) Che, Che Ku, dan Engku juga melambangkan nama-nama orang Terengganu. Nama-nama gelaran ini asalnya ialah dari golongan bangsawan istana Terengganu. Jika nama mereka panjang sekalipun, ramai orang suka memanggil mereka dengan pangkal nama sahaja iaitu seperti Che sahaja atau Che Ku sahaja. Jika yang lebih tua ada yang memanggil mereka dengan gelaran Ayoh Ku (Ayah Ku-bukan ayahku), Pok Ku (Pak Ku/Pak Engku), atau Mok Ku (Mak Ku/ Mak Engku). Gelaran ini juga digelar kepada orang yang berketurunan Tengku.

Nama-nama lain seperti Sulaiman orang Terengganu menyebutnya sebagai Slémang, Saiful-Sépo, Man-Mang, Idris-Derih, Ismail-Wé dan pelbagai lagi. Kebanyakkan nama disebut pendek dan mengikut slanga.

Seeloknya nama dipanggil penuh, sesuai menghormati orang itu.

Thursday, April 22, 2010

Tuntutan Bagasi E & F

Kalau anda tiba dari luar negara mendarat di KLIA dan mengambil bagasi di Carousel E atau F (Baggage Reclaim E/F - Tuntutan Bagasi E/F) anda pasti terpandang dan terpesona dengan paparan iklan yang menggambarkan keindahan dan budaya negeri Terengganu Darul Iman. Promosi sebegini amat bijak kerana KLIA adalah pintu masuk negara dan first impression atau tanggapan awal pelancong ke Malaysia pasti tertarik, teruja dan tertanya-tanya di manakah gterletak tempat menarik ini dan pastinya mahu ke negeri Terengganu Darul Iman. Bagi anak jati Terengganu yang baru pulang dari luar negara dan mendarat ke KLIA pasti teruja untuk pulang ke tanah kelahiran dengan segera setelah melihat beberapa paparan iklan promosi pelancongan negeri Terengganu. Pasti rindu...








Tuesday, April 20, 2010

Buoh Pusing Keda

Budak itu umurnya 11 tahun. Tidak pernah keluar dari kampung kelahirannya di satu kawasan pedalaman dalam satu daerah dalam negeri Terengganu Darul Iman. Satu masa sekolahnya mengadakan lawatan ke Muzium Losong dan sekitar bandar Kuala Terengganu. Lalu dia mencanang kepada ibu bapanya dan atuk neneknya. Satu surat keizinan yang memerlukan tandatangan kebenaran daripada ibu bapanya telah didapatinya. Menjelang beberapa hari sebelum hari lawatan tersebut yang mungkin bermakna kepada budak itu, neneknya menyapa budak itu sedang budang itu mengemas beberapa barang dan pakaian ke dalam beg kecil.

Nenek : Tuk napok mung terketik-ketik nok gi nih.
(Tuk nampak kamu ni teruja nak pergi dah ni).

Budak itu : Ye aaa Tuk, rasa nok gi llalu. Puah oh nunggu nih.
(Yelah tuk, rasa nak pergi sekarang jugak. Dah puas menunggu ni).

Nenek : Gini ah, Tuk nok kiring buoh pusing keda, kalu jupe beli sutir ke Tuk.
(Beginilah, Tuk nak pesan kirim belikan Tuk buah pusing kedai, kalau terjumpa belikan sebiji untuk Tuk).

Budak itu : Buoh mende tu Tuk? Dok rajing dego pung.
(Buah apa tu Tuk? Tak pernah dengar pun).

Nenek : Dakpe, tanye aaa sape-sape tuang keda kekgi.
(Tak apa, tanya aje sapa-sapa tuan kedai tu nanti).

Budak itu : Bulehlah Tuk, nanti ambe beli.
(Bulehlah Tuk, nanti saya belikan).

Nenek : (Tersenyum simpul atas janji cucu kesayangannya).

Hari lawatan telah tiba. Setelah berpusing melihat khazanah bumi sejarah Terengganu di Muzium Losong, rombongan lawatan itu singgah ke Bandaraya Kuala Terengganu-Pasar Besar Kedai Payang.

"Hoh! Sini kuk ade jua buoh pusing keda, buleh cari nih", getus hati budak itu.
(Hoh! sini agaknya ada dijual buah pusing kedai, buleh cari nih).

Maka bermulalah perjalanan budak itu lagak seperti mencari harta tersembunyi. Puas dia berpusing di bahagian bawah Pasar Kedai Payang, ditanya penjual semua menggeleng kepala malah ada yang tersenyum-senyum. Budak itu makin tidak faham malah lagi tiada tanda atau papan yang menyatakan ada dijual buah tersebut. Makin pening budak itu. Naik ke tingkat atas mencari lagi bagi memenuhi hajat Tuknya di kampung. Puas berpusing tapi tak berjumpa. Masa makin suntuk dan guru-guru pengiring mengarahkan murid-murid menaiki bas untuk pulang semula ke sekolah.

Di dalam bas budak itu termenung.

Cikgu : Hoh! Bakpe menung jauh ning?
(Hoh! Kenapa termenung jauh ni).

Budak itu : Dok jupe nok beli barang.
(Tak jupe barang untuk dibeli).

Cikgu : Barang mende?
(Barang apa?).

Budak itu : Buoh Pusing Keda.
(Buah Pusing Keda).

Cikgu : (Menahan ketawa). Dok jupe?
(Tak jumpa?).

Budak itu : Dok jupe cikgu. Ssiang Tuk saya pesang, kekgi kecik ati pulok.
(Tak jumpa cikgu. Kesian Tuk saya dah pesan, nanti kecik hati dia pulak).

Cikgu : (Dengan muka yang masih menahan ketawa). Doh takdi pusing abih doh keda takdi? Cari pusing abih tepak belake doh?
(Dah tadi dah habis pusing semua kedai? Dah cari semua tempat?).

Budak itu : Puah doh cari, dok jupe.
(Puas dah cari, tapi tak jumpa).

Cikgu : Doh takdi pusing habis dok keda tu, buoh pusing keda la tuh.
(Dah tadi dah pusing habis kedai tu kan, buah pusing kedai la tuh).

Budak itu : Dok pahang?
(Tak paham?).

Cikgu : Buoh pusing keda tu takdok dalam dunia ni, tuh Tuk awok tu kenakang awok, buoh pusing keda tu maknanya Tuk awok suruh pusing seme keda, doh awok pusing seme keda tu maknanya awak dapatlah tu, DIKENAKAN oleh Tuk awok suruh pusing semue derek keda. Lebih teruk kekgi awok kene gelok dengang orang.

(Buah pusing kedai tu tak ada dalam dunia ni, itu Tuk awak nak mengenakan awak, buah pusing kedai tu maknanya Tuk awak suruh pusing semua kedai, dah awak dah pusing semua kedai, itu maknanya awak dapatlah tu, DIKENAKAN oleh Tuk awak suruh pusing semua deretan kedai. Lebih teruk lagi awak diketawakan orang).

Budak itu : (Terkejut). Laaaaaaaa............terkene la saya ni cikgu.

____________________________________________________________________

Buoh pusing keda adalah tagline lama atau cara mengenakan orang cara orang-orang tua atau orang lama di negeri Terengganu. Sekarang ini pasti tiada budak-budak muda atau generasi baru tahu apa itu buah pusing keda. Oleh itu ia amat memudahkan orang-orang tua mengenakan (sama seperti rancangan Wakenabeb NTV7 atau Bang Bang Bom TV3) generasi baru terutama cucu mereka.

Kalau anda pertama kali ke Terengganu, jangan tanya atau cari buah pusing keda, nanti anda jadi bahan ketawa. Jangan biarkan anda mencari buah pusing keda.

Monday, April 12, 2010

Terengganu Menggamit Rasa

Tempat jatuh lagi dikenang...
Inikan pula tempat bermain...

Menjadi anak jati Terengganu sendiri pasti ada yang mengundang rasa bosan, suasana muram, hari-hari yang dilalui selalu seperti biasa seperti di-copy & paste. Tinggal tetap di negeri sendiri, tatkala pada bukan hari kerja pasti mengambil peluang berehat (dan makan juadah dari laut/seafood) di sekitar pantai sepanjang lautan yang mengadap Laut China Selatan tetapi mungkin lama-lama kelamaan mengundang rasa -inikah tiap-tiap hari yang dilalui? Lalu rasa ingin berhijrah timbul dalam hati. Mungkin ingin lari dari rasa kebosanan dan mungkin juga menambah pengalaman baru di tempat orang.

Lalu berhijrah, perasaan itu sebenarnya tidak juga keruan. Tidak juga selesai-selesai dari rasa kebosanan. Pemandangan indah di pantai kembali menggamit rasa. Rindu kepalang timbul di dalam hati. Maka rasa rugi pula meninggalkan tempat jati sendiri. Kesalkah? Ini kerana tinggal di mana-mana pun tempat sendiri akan dikenang jua. Berhijrah ke tempat baru dek kerasa rasa bosan bukan satu cadangan dan penyelesaiaan yang paling baik mahupun terbaik. Ini kerana mungkin penduduk anak jati sesuatu negeri pun mungkin berasa kebosanan berada dalam negeri sendiri dan mengambil peluang berhijrah ke tempat lain.

Akhirnya perasaan yang salah itu sebenarnya memakan diri sendiri. Rindu gamit tempat sendiri akan datang dari hari ke hari walau kadang rasa bosan itu sebenarnya tidaklah kejam kepada kita, cuma kita sendiri yang terasa kejam dengan perasaan itu. Mungkin kepada semua perantau yang merantau, setujuilah tanah berpantai dan berbukit, tanah Perimula berpanji hitam dan putih adalah tempat terbaik untuk kita kan!

Angin bayu pantai sebenarnya tidak membawa bosan pada kita, ia membawa suasana aman dan nyaman lari dari hiruk pikuk di kota. Rindu...

Thursday, April 8, 2010

Journey Terengganu

Salam semua. Awang telah membina satu lagi laman web untuk memeriahkan pertandingan blog pelancongan Terengganu. Entri-entri terbaik dari @Dungun akan Awang letakkan di dalam blog baru di samping entri-entri terbaru, walaubagaimanapun blog @Dungun akan dikemaskini seperti biasa dan mungkin akan ada entri atau artikel yang sama akan dipaparkan di kedua-dua blog ini.

@Dungun mengharapkan mendapat sokongan dari pembaca blog @Dungun semua.

Bersamalah mengembara di http://journeyterengganu.blogspot.com/

Monday, April 5, 2010

Pok Pok Pok Bujang Lapok

Allahyarham Tan Sri P. Ramlee begitu dekat di hati rakyat Malaysia. Lagunya. Filemnya. Aksi silat dan komedinya yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas matahari. Setiap kata dialog, perjalanan cerita filem dan lirik lagunya banyak menggambarkan situasi pada waktu itu malah kadang menyindir ragam orang kita sendiri sama ada dengan cara jujur dan tersirat. Cuma kita yang perlu berfikir sendiri.

Berbincang tentang lagu, rakyat Terengganu sendiri dahulu pernah mengubah lirik asal lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang menjadi siulan kanak-kanak dahulu (kini?Ada lagi?). Lagu pantun kanak-kanak ini mempunyai makna tersirat tetapi bacalah dahulu liriknya.

Pok Pok Pok Bujang Lapok
Naik basika macang beruk
Gi Ppasso curi kepok
Balik ddumoh, sakik peruk
Gi hospita, hospita tutuk
Gi ddumoh Tok Bidang, Tok Bidang ketukkk

Terjemahan :
Pok Pok Pok Bujang Lapok
Naik basikal macam beruk
Pergi ke pasar curi keropok
Balik ke rumah, sakit perut
Pergi Hospital, hospital tutup
Pergi ke rumah Tok Bidan, Tok Bidan pula kentut

Lagu ini menjadi kelucuan kepada kanak-kanak pada lirik akhir iaitu Tok Bidan kentut. Bagi mengetahui sebenarnya makna tersirat lagu ini ialah jangan jadi bujang lapok, jangan pula naik basikal macam beruk. Kita kalau ke pasar adalah untuk membeli bukan mencuri (contoh di sini iaitu keropok lalu dibawa pulang ke rumah untuk dimakan), dan hasilnya kesan memakan makanan curi iaitu keropok membuatkan sakit perut. Kesan dari sakit perut ini maka untuk mengubatinya, bujang lapok ini pergi ke hospital, tetapi hospital pula tutup, lalu pergi ke rumah Tok Bidan untuk tujuan mengurut menghilangkan sakit perut, tetapi Tok Bidan pula memberi balasan kentut kepada bujang lapok ini.

Itulah, jangan mencuri, berdosa, balasan di dunia terus nampak, balasan di akhirat lagi berat.