Monday, July 27, 2009

Terengganu Dalam Potret Filem

Beberapa filem telah meletakkan wajah Terengganu sebagai latar belakang. Terkini filem Wayang lakonan Eman Manan kelahiran Terengganu telah mengambil daerah Dungun sebagai potret filem. Pencarian di dalam internet mengatakan bahawa kawasan penggambarannya adalah di Pantai Batu Pelanduk, Kuala Abang.

Sebelum ini filem Wanita Melayu Terakhir mengambil kawasan Kuala Terengganu dan sekitar Kuala Ibai sebagai latar belakang. Filem Debu-Debu Kasih lakonan Sham Visa dan Aida Aris juga mengambil panorama negeri Terengganu. Filem ini ada sedikit dialek Terengganu, yang agak menarik walaupun bercampur baur sedikit dengan dialek Kuala Lumpur.

Filem Kotak Pejabat ( Box Office ) iaitu filem Fenomena, yang mengisahkan sedikit sejarah Bukit Besi, tetapi penulis percaya kawasan tersebut bukanlah Bukit Besi, tetapi kawasan lain dalam negeri Terengganu dan hanya mengambil sejarah bukit besi sebagai jalan ceritanya. Agak pelik apabila Bukit Besi digambarkan berhampiran dengan pantai dalam cerita tersebut.

Filem-filem lain ialah Spinning Gasing yang mengambil imej Bandar Kuala Dungun tetapi sayangnya filem ini mempunyai Adegan Yang Tak Ingin Kita Lihat. Filem lama iaitu Sepi Itu Indah lakonan Lidyawati juga mengambil latar belakang negeri Terengganu.

Bagi filem iklan pula, terdapat satu iklan lama Petronas untuk hari raya - yang menceritakan kakitangannya yang pulang ke kampung setelah turun dari helikopter dan lalu menaiki kereta melalui jambatan Sungai Paka. Satu lagi iklan Petronas untuk hari raya yang dikenali dengan dialog Ombak Jahat, mungkin mengambil imej di sekitar pantai Terengganu? Mungkin. Dahulu dalam tahun 80an, ada satu iklan Lucky Strike yang mengambil imej di tepi pantai - dikatakan kawasan tersebut ialah di sekitar pantai Kuala Abang.

Selepas ini...di mana lagi Terengganu Dalam Potret Filem?

Sunday, July 19, 2009

Pantun : Sajian dan Tempat

[Pembuka Kata]

Ikan Aye dibuat singgang,
Cicah pula tempoyak belacan,
Kuala Dungun ombak tak renggang,
Pemula daerah bermula pekan...

[Cerita]

Ketupat sotong bukan dianyam,
Dimakan begitu kuahnya menimbun,
Ke Tanah Lot jumpa bersalam,
Tempat mastautin keturunan Tambun...

Mencari rempah daun pisang semua,
Bakar Otak-otak ikan tenggiri,
Moyang Mahmud membuka Sura,
Kini bermula bandar berseri...

Nasi Minyak hidangan pengantin,
Dicari jua setiap pagi,
Kalau ke Sura membeli kain,
Pesan kita bertandanglah lagi...

Sata dibakar berdaun pisang,
Dijual di pasar setiap Khamis,
Ke Sura Hujung Jumaat petang,
Mencuba cinta mengayat manis...

Kuih Nganang kuih lama,
Hidangan jiran dan tetamu,
Tiga Sura kampung lama,
Makin masyhur madrasah ilmu...

Nasi Dagang acar mentimun,
Pulut lepe asalnya panggang,
Ke Teluk Lipat jangan mengelamun,
Cubalah main wau layang-layang...

Nasi Kunyit nama diberi,
Pulut Kuning nama lainan,
Hati sayu memandang sepi,
Sungai Dungun tempat mandi-mandian...

Lékor dan Göndé asalnya sama,
Itulah keropok nama diberi,
Sungai Udang bukan hanya Melaka,
Nama seiras tempat tidak seperti...

Asam Gumpal Asang Gupa,
Rasa manis bila dimakan,
Kampung nelayan Kampung Bijangga
Di tepi sungai rumah kediaman...

Laksam dihidang membuka selera,
Röjök Katéh pedas sekali,
Bakar ikan di Sungai Buaya,
Pengkalan Macang siapa kenali?

Nasi Kapik Nasi Himpit asalnya
Pagi pula dibawa bekalan,
Pengkalan Tengku Jaafar di mana pula?
Silalah kita bertanya jalan...

Keping dihiris dijemur mentari,
Keropok Keping dipanggil nama,
Nibong Bawah jauh sekali,
The Mel pula di situ sahaja...

Roti Payang di dalam Tempayan,
Di sebelah barat Nan namanya,
Ke Padang Jambu mencari sarapan,
Warung kedai enak makanannya...

Pasar Ahad menjual juadah,
Ada tepung bungkus tepung pelita,
Bukit Tebuk laluan berubah,
Ditar dilampu tiada gelap gelita

Murah sekali Tepung Pasung,
Dibeli juga paih inti tenggiri,
Hebat juga Pulau Serai ditanggung,
Pulaunya air tiada dikelilingi...

Asang glugo timun cina,
Asam keping buah tembikai,
Rajawali kampung lama,
Dalamnya dekat Masjid Pulau Serai...

Gulai kuning pekat ikan kembung,
Nasi acar kobis makan bersudu,
Alor Rekam Tok Kah semua berkampung,
Tempat orang belajar memandu...

Pulut Gaul Nyö santapan pagi,
Lepas makan mata pun kuyu,
Bemban, Lintang, dan Bukit Pak suri,
Semua itu Kampung Melayu...

Temose dan Karipap macam sama,
Kecil besar hidangan tetamu,
Datuk Nakhoda datang ke sana,
Bukit Lambor membuka tanah baharu...

Sayur Téné dan Sambal Sotong,
Aye dicicah kicap berlada,
Ke Sungai Pimpin singgah Batu Tiong,
Kampung Pelandang jangan dilupa...

Ketupat Palas digoreng petang,
Berbuka Nekbat di bulan Ramadhan,
Kertas Pulas, Kuala dan Rantau Abang...
Kampung berpantai semuanya berjiran...

Lompat Tikam selalu dicari,
Terlalu manis makanlah sikit,
Kampung Rhu Batil aman sekali,
Tempat berpaya berpasak bukit...

Kuih Hasidah dan Brönök Sagu,
Dihidang petang manis rasanya,
Petang hari ke pantai selalu,
Ke Tanjong Jara juga Teluk Bidara...

Bingka Ubi kuih tradisi,
Kopi panas hidang bersama,
Seberang Pintasan dekat sekali,
Jambatan baru tinggi terasa...

Röjök Keling Röjök Betik buah,
Makanannya lain awalannya serupa,
Kampung Göng Pasir Kampung Pak Sabah,
Se Masjid kita dikongsi bersama...

Aiskrim Goreng pelik namanya,
Roti ais berbalut santapan baru,
Tanjung Pati nama lamanya,
Makam Diraja terletak di situ...

Makan Akök petang selalu,
Akök dibeli pasar Isnin,
Binjai, Serdang, Delong dan Keliu,
Semua Melayu tidaklah lain...

Sedap sungguh kuih Nganang,
Habis dijual dibeli ramai,
Padang Pulut, Pinang Mas, dan Dendang,
Kampung lama di tepi sungai...

Tok Aji Serban bukanlah orang,
Nama kuih sedap santapan,
Kampung Wa simpang Kuala Berang,
Ke Jerangau Sungai satu jalan...

Koleh Kacang ada tak lagi?
Puas mencari sini dan sana,
Zaman lombong zaman keretapi,
Bukit Besi itulah sejarahnya...

Kuih Slemang dan Belede namanya,
Makanan lama bukannya baru,
Al-Muktafi Billah Shah di mana letaknya?
Disebut Durian Mas baru tahu...

Onde-onde buah melaka,
Sama kuihnya namanya lain,
Kita ke sungai ke Bumbung Raja,
Pelbagai ikan berenang bermain...

Kayu Khamak nama diberi,
Cakoi pula kuihnya serupa,
Ke Pasir Raja kita ziarahi,
Kubu Mat Kilau ada di sana...

Makan Ikan Celup Tepung,
Mari makan di tepi sungai,
Kampung Shukor, Sungai Loh dan Chemerung,
Tempat berkelah dikenali ramai...

Di dalam kertas Sagöng dibungkus,
Suka dimakan oleh budak-budak,
Nak ke Paka jalannya lurus,
Dulunya berbelok berhati bergerak...

Air Nira dibeli lepas bersalam,
Dengan penjual di tepi jalan,
Durian Mentangau simpang ke dalam,
Tempat ladang tanam tanaman...

Taik Itik jangan disalah
Itu nama makanan kita
Kampung Nyiur, Pinang Merah dan Tebing Tembah
Tercatat dulu banjir melanda...

Tergigit lada pedas sekali,
Bila makan Sarok Lada
Kampung Santong tidak menyepi,
Lalu lalang orang bekerja...

Pukat Buruk itu makanan,
Kalau nak makan ambil di dapur,
Dari Paka terus ke depan,
Jalan Kemaman Ke Kuala Lumpur...

[Penutup]

Goreng Sotong Bercelup Tepung,
Untuk dimakan selepas berkebun,
Jauh di lubuk hati kita di kampung,
Sayangi Dungun kian membangun...

Tuesday, July 14, 2009

Pantun : Hati Terendap di Dungun

[Pengenalan]

Bunga alamanda tiada wanginya
Berwarna kuning laksana pulut di hari raya,
Ku tanam cinta pada pantainya,
Berwarna emas indah biru ombaknya…

Loceng alamanda tanda dalam negeri,
Hijau daun renek pohonnya,
Aku hirup hembusan bayu sepi,
Di depan luas pantai teluknya…

[Dungun]

Dari pohon nama diberi,
Tidak ternampak dalam daerah,
Kenapa hati sayu begini,
Terkenangkan ikan aye dan merah…

[te duduk]

Kuala Dungun bertanjung api,
Panduan orang laut ke darat muara,
Aku berdiri di tepi terendap di hati,
Merindu saat te duduk mainan lama…

[Uitm Dungun]

Kampung Gong Pasir orangnya tidaklah Gong ,
Begitu orangnya di Kuala dan Rantau Abang,
Saat bunga ilmu mekar di Teluk Gadong ,
Mungkin cinta si penuntut tiada lekang…

[Jambatan Dungun]

Tiada jalan berbukit lagi,
Ke Bukit Besi teruh ke lurus,
Jambatan Dungun telah diganti,
Jambatan lama jangan dilupa terus…

[Bukit Besi,Rantau Abang dan…]

Bukit besi kian suram,
Rantau Abang penyu merajuk perasaan,
Hati ini kian geram,
Mengapa tiada pasaran pekerjaan…

[Penutup]

Gate, Jetty , Hujung semuanya Sura,
Kampung lama silam sejarahnya,
Hati ini masih terendap rasa,
Pada kuala di buka Panglima…

Wednesday, June 24, 2009

Bukit Tebuk





Bukit Tebuk. Terletak di dalam Kampung Nibong Kubur, tetapi ada yang memanggil kawasan di situ sebagai Kampung Bukit Tebuk Tebuk. Kawasan in bersebelah dengan Kampung Bukit Chatak, Kampung Tanjong Pagar dan Kampung Nibong Bawah. Plak Monumen yang disediakan oleh Tourism Malaysia menyatakan Terowong Bukit Tebuk ini terletak di dalam Kampung Che Lijah. Penulis merasakan di situ ada kesilapan terhadap penerangan yang tertera di dalam plak momunem tersebut ini kerana Kampung Che Lijah adalah berada di kawasan yang jauh dari Bukit Tebuk ini. Penulis berharap ada pihak berkuasa menukar plak tersebut dengan menyatakan semula kedudukan sebenar Bukit Tebuk ini.

Secara ringkasnya bukit ini ditebuk oleh pihak Jepun melalui satu syarikat yang melombong bijih besi di Bukit Besi. Terowong ini dibina adalah sebagai laluan keretapi sama ada keretapi yang membawa penumpang atau keretapi yang membawa bijih besi dari kawasan perlombongan bukit besi ke kawasan pengumpulan bijih besi di Sura Gate. Keretapi penumpang membawa pekerja dan penduduk sekitar sebagai pengangkutan utama pada waktu itu bagi memudahkan perjalanan dari setiap stesen/hentian seumpama komuter di Kuala Lumpur,Selangor dan Negeri Sembilan.

Di dalam terowong ini terdapat dua bilik kecil tak berpintu di tepi dinding terowong. Jarak di antara dua bilik kecil ini agak jauh. Orang Dungun memanggilnya lubang. Muka pintu masuk bilik kecil ini berbentuk separuh bulatan atau 180 darjah di sebelah atas. Dikatakan bilik ini sebagai tempat orang menyorok jika semasa berjalan kaki melalui landasan keretapi di dalam terowong ini, dan ada keretapi melaluinya, bilik tersebut digunakan sebagai tempat keselamatan untuk menyorokkan diri buat sementara waktu.

Selepas zaman penutupan perlombongan Bukit Besi, jalan di kawasan terowong ini berbatu dan tidak berturap tar seperti sekarang. Laluan di situ pada waktu tersebut bukanlah seperti sekarang ini di mana ada kenderaan yang lalu lalang sebagai jalan pintas untuk ke jalan besar Dungun ke Kuala Terengganu. Dahulu kampung di belakang Bukit Tebuk ini dahulunya sepi dan penempatan yang berselerak dan tidak banyak rumah. Sekarang ini ada sedikit perubahan dengan pembinaan taman perumahan di kawasan tersebut, tetapi kawasan tersebut masih seperti dulu - sepi dan aman.

Bukit tebuk ini sewaktu kecil adalah tempat penulis bermain, bukitnya dipanjat untuk melihat panorama dan melihat remaja bermain bola di satu padang yang terletak di Kampung Nibong Bawah pada waktu itu, dan di kawasan lembah bukit ini banyak terdapat pokok buluh, yang diambil oleh kanak-kanak waktu itu semasa musim bermain bedil-satu senapang berpeluru buah kecil atau kertas surat khabar yang dibasahkan dan digentel menadi bulat. Bedil ini bentuknya seumpama picagari di mana ombohnya berperanan seperti picu untuk menembak peluru yang di isi ke dalam sarung buluh.

Friday, June 19, 2009

Makam Diraja Kesultanan Siak - Makam Sultan Yahya Siak






Makam Diraja Kesultanan Siak iaitu Almarhum Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah yang memerintah Kerajaan Siak ( sekarang ia berada dalam Negara Indonesia ) dari tahun 1782-1784. Almarhum Sultan Yahya Siak digelar sebagai Marhum Mangkat di Dungun. Plak monumen yang disediakan oleh Tourism Malaysia menyatakan Makam ini terletak di dalam Kampung Che Lijah, begitupun penulis mengagak Makam Diraja ini terletak di antara sempadan Kampung Binjai dengan Kampung Che Lijah. Kampung Che Lijah adalah berjiran dengan Kampung Binjai. Di dalam plak monumen tersebut juga menyebut Tanjung Pati. Tanjung Pati adalah nama lama bagi Kampung Che Lijah.

Tuesday, June 16, 2009

Kampung Binjai


Kawasan Kampung Binjai - jalan kecil kampung berturap tar. Dahulu ia merupakan laluan landasan keretapi dari Bukit Besi ke Pekan Sura Gate. Kampung Binjai merupakan kampung di tepi sungai, aman dan sunyi. Kampung ini bersebelahan dengan Kampung Che Lijah.

Wednesday, June 10, 2009

Edisi Bukit Besi : Klasik 09


Gambar ini adalah keratan daripada buku cenderahati sempena hari Upacara Permasyhuran Majlis Perbandaran Dungun. Gambar yang dirakamkan di atas adalah kawasan Sura iaitu kawasan antara Sura Gate hingga ke Sura Jeti. Timbunan hitam berbukit itu ialah bijih besi. Zaman persekolahan penulis dahulu, kawasan ini dikenali dan dipanggil BIJIH. Banyak pokok gelang tumbuh di sini dan kawasan ini bertanah merah. Ia bermula dari belakang deretan kedai Bandar Dungun Sura Gate hingga ke sempadan jalan raya di tepi pantai. Semua tanahnya merah. Beberapa tinggalan struktur konkrit juga boleh dilihat pada waktu itu (dalam tahun-tahun 90an).

Kawasan ini di sebelah kanannya berhampiran dengan Sekolah Imtiaz Bawah Dungun (dahulu ialah Asrama Yayasan Terengganu kemudian menjadi Maktab Rendah Yayasan Terengganu kemudian berubah menjadi Sekolah Imtiaz Bawah Dungun). Di sebelah kiri pula kawasan Bijih ini berhampiran dengan Sekolah Imtiaz Atas Dungun (dahulu adalah kampus lama ITM Dungun kemudian Kolej Teras Timur dan kemudian barulah menjadi Sekolah Imtiaz Atas Dungun), dan Rumah Tamu Daerah Dungun.

Kini kawasan Bijih ini semakin sempit, pembangunan kedai-kedai baru di Bandar Dungun di kawasan Sura Gate melimpah sampai ke Sura Jeti. Berhampiran dengan jalan pantai pula di bina satu kawasan tempat rekreasi/bersenam yang berhadapan dengan Sekolah Imtiaz Bawah Dungun. Kawasan tersebut juga dibina deretan kedai makan berhadapan dengan jalan.

Sekarang ini masih adakah lagi tinggalan struktur konkrit zaman bijih besi di situ?

Tuesday, June 9, 2009

Edisi Klasik : Jambatan

Gambar yang dirakamkan ini tidak diketahui tahunnya. Penulis tiada fakta tentang tahun berkenaan gambar ini. Lokasi ini dipercayai sama ada Sungai Dungun yang menghubungkan kawasan Kampung Tanjung Pagar dengan Kampung Pulau Serai atau lokasi ini adalah di sekitar Sungai Paka yang berhampiran dengan muara Sungai Paka?

Monday, June 8, 2009

Edisi Bukit Besi : Klasik 08














Kapal besar. Kapal yang membawa bijih perlombongan dari Bukit Besi untuk di bawa ke tempat lain ( luar negara mungkinnya ). Kapal besar ini dahulu mungkin dapat dilihat dari sekitar Pantai Teluk Lipat hingga ke Sura Hujung. Sekarang tidak lagi. Generasi baru hanya akan melihat kapal sebesar ini hanya dari pantai Paka dan Kertih. Kapal-kapal yang dapat dilihat sekarang di sekitar pantai Paka dan Kertih mungkin adalah kapal-kapal yang terlibat dengan industri petroleum/petrokimia.

Saturday, June 6, 2009

Edisi Bukit Besi : Klasik 07















Di luar pantai Dungun. Bijih besi ditarik dengan tongkang menuju ke tengah laut untuk dipunggah ke kapal besar.

Menurut cerita daripada keluarga, salah seorang Allahyarham bapa saudara penulis di sebelah bapa penulis adalah salah seorang pemandu bot tongkang yang membawa bijih dari pantai ke tengah laut Dungun sebelum dipunggah ke kapal besar pengangkut bijih.

Friday, June 5, 2009

Edisi Bukit Besi : Klasik 06

Opal atau jeti dari darat ke tengah laut. Ia berada di dalam kawasan Sura. Kawasan ini dikenali dengan nama Sura Jeti bersempena jeti tempat pemunggahan bijih besi ke laut untuk dihantar ke kapal besar. Gambar ini dirakamkan pada tahun 1965 ( mengikut catatan dari sebuah kedai makan di Kampung Padang Jambu ).

Thursday, June 4, 2009

Edisi Bukit Besi : Klasik 05

Klasik. Bukit Besi. Dungun.

Wednesday, June 3, 2009

Edisi Bukit Besi : Klasik 04

Gambar tak bertarikh. Pemandangan kawasan perlombongan.

Tuesday, June 2, 2009

Edisi Bukit Besi : Klasik 03

Gambar yang tidak diketahui tarikh. Gambar ini menunjukan suasana di tempat kerja perlombongan di Bukit Besi.

Wednesday, May 20, 2009

Edisi Bukit Besi : Klasik 02

Kereta api. Lokomotive. Keretapi. Komuter. LRT. ERL. Bullet Train. Shinkansen. Densha. Maglev.

Kereta api. Api kerana menggunakan arang batu yang membakar . Sekarang dua patah perkataan tersebut digabungkan menjadi keretapi. Di Kuala Lumpur malah di kawasan dunia atau negara yang lain telah mengalami revolusi rekabentuk dan teknologi keretapi. Di dalam keluarga keretapi ini mempunyai pelbagai jenis yang berbeza dan nama pun berbeza. Di Kuala Lumpur sendiri, bermula dengan Komuter, kemudian LRT Star, LRT Putra, kemudian ERL dari KL Sentral ke KLIA, seterusnya teknologi monorel. Di KLIA pula terdapat pengangkutan yang menghubung kan Main Terminal Building KLIA dengan Bangunan Satellite KLIA, yang dipanggil dengan nama Aerotrain ( atau TTS-Track Transit System ) - rekabentuk seperti LRT.

Di Jepun pula ada Bullet Train ( dipanggil Shinkansen yang membawa maksud keretapi laju ) dan Densha iaitu sejenis keretapi yang menggunakan teknologi seperti komuter dan bergerak di antara pekan, bandar dan negeri. Ada yang densha jenis henti-henti, seperti bas lompat-lompat ( transit ) dan ada yang ekspress.

Terdapat satu lagi teknologi di dunia ini iaitu teknologi Maglev yang sekarang ini makin berkembang dan keretapi semakin laju.

Di Dungun, gambar di atas hanya teknologi ini dahulu yang ada. Penduduk-penduduk Dungun dahulu telah mengenal keretapi, yang digunakan dalam laluan domestik. Gambar yang terakam di atas adalah satu nostalgia bagi daerah Dungun. Kini jika siapa rindu ingin melihat keretapi dari dekat, tak perlu sampai ke Pahang, datang sahaja ke Kertih, lihatlah keretapi yang membawa produk petrokimia dari Kertih ke Pelabuhan Kuantan.

Tuesday, May 19, 2009

Edisi Bukit Besi : Klasik 01

Berminat dengan sejarah? Blog ini akan memaparkan gambar beberapa gambar klasik zaman perlombongan Bukit Besi di daerah Dungun, Terengganu Darul Iman.

Gambar di sebelah diambil pada tahun 1950*. *Mengikut tarikh yang ditampal pada gambar ini yang digantung pada dinding di sebuah kedai makan roti canai di Kampung Padang Jambu, ketepatan tarikh tidak dapat dipastikan, tetapi blog ini mengambil tarikh tersebut sebagai rujukan tidak rasmi. Gambar-gambar yang akan dipaparkan lagi, akan mengambil tarikh yang tidak rasmi yang ditampal di kedai tersebut.

Inilah Bukit Besi pada tahun 1950, sebelum merdeka. Dungun telah mempunyai kereta api pada waktu tersebut. Zaman perlombongan Bukit Besi terdapat dua jenis kereta api. Satu dipanggil motor darak ( motor darat ), iaitu kereta api untuk mengangkut bijih besi, bijih timah dan arang batu. Satu lagi kereta api yang mempunyai gerabak untuk membawa penumpang dan pekerja-pekerja lombong yang berulang-alik mengikut stesen-stesen yang ada di Dungun pada waktu itu.

Saturday, May 9, 2009

Ada apa dalam Bekah Kalang? ( Siri vi )

Péng.

Péng. Ada yang masuk darjah empat baru boleh pakai pen. Ada yang masuk darjah lima baru boleh pakai pen. Darjah enam sememangnya boleh pakai pen. Pakai pen lambang dewasa.

Sedikit pantun dulu-dulu...

Péng meroh,
Péng biru,
Mok maroh...
i love u...

Sayangi dan cintai ibu anda walau anda kena marah sebab conteng dinding rumahnya...

Thursday, May 7, 2009

Ada apa dalam Bekah Kalang? ( Siri v )

Kayu Rö.

Kayu Rö. Ada besi. Ada kayu. Ada plastik.Ia tetap dipanggil Kayu Rö. Ada yang panjang. Ada yang pendek. Atasnya di lukis garis-garis. Sebelah kanan kanan unit cm. Sebelah kiri unit mm. Ada yang yang unit inchi. Macam-macam. Sekolah rendah. Unit cmnya hanya sampai 15cm. Masuk sekolah menengah, unit cmnya sampai 30cm. Sekolah rendah, berwarna-warni Kayu Rö-nya.

Ada Kayu Rö di tengah-tengahnya ada ruang khas yang di dalamnya ada air yang bertakung dan air perade yang bergenang di dalamnya. Air perade ( air perada atau dalam bahasa Inggeris dipanggil gold dust ) ini ialah cebisan kertas yang berkelip-kelip berwarna-warni.

Adakah sekarang ini masih ada orang yang memangil Kayu Rö? Atau lebih senang memanggilnya dengan nama Pengbarih? Bahasa rasminya kita panggil Pembaris.

Monday, May 4, 2009

Ada apa dalam Bekah Kalang? ( Siri iv )

Kalang Pécék / Péték.

Anda sekolah rendah? Pastinya anda akan menggunakan pensil 2B Staedtler. Anda sekolah rendah? Mungkin menginjak sedikit darjah, anda menukar pensil kayu biasa ke pensil plastik yang perlu diisi ubatnya? Pensil mekanikal, yang perlu diisi ubatnya, yang perlu ditekan umpama butang di sebelah atasnya. Anda sekolah menengah? Pensil mekanikal ini mungkin anda memakai yang berjenama.

Senang sahaja, orang Terengganu memanggilnya Kalang Pécék / Péték, ubatnya dipanggail Ubat Kalang Pécék / Péték. Pécék / Péték bermaksud tekan, atau picit. Sudah cukupkah isi dalam bekah kalang anda? Nantikan entri seterusnya.

Saturday, May 2, 2009

Ada apa dalam Bekah Kalang? ( Siri iii )

Görék.

Racung kalang tuh. Apa maksudnya? Racung kalang tuh gune pisa. Apa maksudnya?

Ayat di atas jika ditulis dalam bahasa Melayu formal ialah mengasah pensil, mengasah pensil dengan menggunakan pisau. Ada yang menggunakan sharpener atau pengasah pensil. Bagi kanak-kanak di Terengganu nama pengasah pensil ini disebut sebagai Görék. Mungkin nama ini disebut daripada kata dasar bagi Pengorek. Pengorek menjadi görék.

Dulu görék yang masyhur ialah görék yang berbentuk bulat dan mempunyai cermin di depan, lubang pengasah di tepi, dan pengasah di belakang. Apakah fungsi cermin ini tidaklah diketahui. Mungkin untuk memudahkan murid lelaki untuk memicit jerawat di muka, dan untuk murid perempuan membetulkan tudung selepas waktu PJ ( Pendidikan Jasmani ).