Thursday, September 24, 2009

Salam Aidilfitri 1430H

Berbuka Nekbat dan Ketupat Palas,
Jangan dilupa Lambuk Terengganu,
Akhir Ramadhan juadah berbalas,
Salam Aidilfitri Maaf Zahir Batin dari aku...

Thursday, September 17, 2009

Pra Aidil Fitri : Balik Kampung

Balik kapong. Balik kampung.

Balik la weiii. Balik raye. Balik la ke kapong. Raye kapong dok same dengang raye bando. Sebelum ini, istilah balik ke Dungun adalah istilah sebagai balik ke kampung, sebagai anak rantau maka istilah inilah yang terbaik dan selalu menjadi soalan, perbualan atau perkataan yang mempunyai rating yang tertinggi apabila hampir raya. Sekarang ini Dungun telah dinaikkan taraf ke Perbandaran. Maka jadilah balik bando (?), atau sesiapa yang pulang ke Kuala Terengganu, jadilah balik bandoraye (Perbandaran Kuala Terengganu telah dinaiktaraf menjadi Bandaraya Warisan Pesisir Air).

Tradisi balik kapong menjadi ikutan sedari dulu. Tradisi balik kapong tidak sama rasa terujanya dengan balik kampung sebulan sekali, 2 bulan sekali atau 6 bulan sekali (mana yang kerap mungkin). Ini kerana balik kapong untuk aidil fitri adalah penuh dengan semangat keterujaan ingin berhari raya bersama ayahanda dan bonda di samping keluarga yang tercinta. Semangat bergotong-royong menyediakan sajian, juadah dan makanan di Aidil Fitri. Semangat berjumpa rakan taulan yang masih setia di kampung. Semangat berjumpa dengan cikgu-cikgu yang pernah mendidik kita sama ada yang masih mengajar atau yang sudah pencen.

Laluan utama balik kapong ke Dungun dari arah Lembah Klang biasanya adalah Lebuh Raya Karak - Lebuh Raya Pantai Timur. Laluan alternatif yang boleh diambil tetapi jauh adalah laluan jalan lama Karak-Temerloh seterusnya ke Kuantan-Dungun. Bagi anak rantau dari arah selatan terutama dari Negeri Sembilan bolehlah menggunakan laluan Senawang-Bukit Putus-Kuala Pilah-Muadzam-Kuantan-Dungun (orang dari arah Selangor dan sekitar KL boleh juga melalui laluan alternatif ini). Terdapat juga laluan dari arah Kuala Klawang-Jelebu kemudian ambil jalan ke arah Muadzam-Kuantan-Dungun. Ada juga laluan Bahau-Karak kemudian ambil jalan ke arah Kuantan-Dungun. Pelbagai jalan dan pelbagai jarak.

Anok Dungung. Balikla ke kapong. Balikla beraye dengan mok ayoh kite, dengang keluarga kite.

Pesanan dari aku : Jangan beli tiket keretapi, tiket komuter, Dungun belum ada keretapi lagi dari Kolupo, bile la ade, dok tahu agi...

Wednesday, September 16, 2009

Pra Aidil Fitri : Uniknya Sahur

Saho di Dungung. Sahur Di Dungun.

Pada waktu sahur yang telah tiba waktu imsak di Dungun (jika anda penduduk di kampung di sekitar Bandar Dungun) pasti anda akan mendengar suara Tok Bilal/Muazin masjid yang akan memberikan kata-kata peringatan waktu sahur hampir berakhir iaitu imsak.

"Wahai kaum Muslimin dan Muslimat, sekarang telah tiba waktu imsak"

Suara berkumandang dari masjid. Memperingatkan umat Islam di Dungun tentang masuk waktu imsak. Unik! Setakat pengalaman aku tinggal di beberapa tempat tidak pernah aku mendengar muazin mengucapkan kata-kata peringatan ini. Berada di sekitar kampung yang hampir dengan Bandar Dungun pada waktu sahur, akan kedengaran Tok Bilal mengaji. Apabila waktu Imsak, Tok Bilal akan mengalunkan kata-kata ini. Beberapa minit kemudian azan Subuh berkumandang. Indah! Itulah prosesnya. Maka bermulalah saat Puasa yang penuh dugaan.

Ramadhan hadapan, harapnya pengalaman dan proses kehidupan Ramadhan serta alunan kata suara peringatan Imsak masih berkumandang. Kekalkan ia sebagai tanda unik waktu sahur di Dungun.

Monday, September 14, 2009

Pra Aidil Fitri : Kad Raya

Dapak dok agi kak raye? Dapat tak lagi kad raya?

Kad raya satu budaya nostalgia yang sekarang masih ada tetapi tidak tahu seutuh mana. Kemajuan teknologi perhubungan yang jauh makin dekat, khabar berita senang dapat dan semuanya dengan istilah Di Hujung Jari. Kemajuan telefon yang boleh menghantar pesanan ringkas - sms, talian internet dengan menggunakan medium Yahoo Messenger, MSN dan pelbagai medium yang selari dengannya yang memudahkan manusia kini untuk memberi maklumat, ucapan, dan apa saja walaupun hal yang lagha. SMS raya, Email kad raya, dan ucapan raya di web blog memudahkan semua.

Fungsi kad raya mungkin tidak sekuat dahulu tetapi kad raya sebenarnya penuh nostalgia. Antaranya : Tulisan tangan pengirim yang tulen - mungkin boleh mengubat rindu, pihak yang akan menerima pula akan tertunggu-tunggu kedatangan posmen - dan itu adalah perasaan pelik tetapi hebat iaitu rindu. Samaada rindu ibu bapa terhadap anak di rantau, rindu pada orang yang disayangi dan seumpamanya. Kini jika anak jauh di rantau, jika ada komputer pakai sahaja medium perisian perbualan seperti Yahoo Mesengger, dan jika ada telefon bimbit gunakan sahaja teknologi 3G (itu pun sebenarnya untuk kawasan tertentu).

Membincangkan tentang kad raya sebenarnya kad raya mempunyai pelbagai bentuk dan pelbagai ucapan bergantung kepada siapa yang kita ingin kirimkan. Ada kad raya yang mengeluarkan bunyi irama lagu raya apabila helaiannya dibuka. Ada yang ringkas sahaja. Ada yang buat sendiri kad raya kerana darah seni lukis dan kreatif yang ada pada diri. Walau bagaimanapun kad raya seharusnya menjadi budaya yang terus menerus bertakhta apabila tiba musimnya. Jangan biarkan ia hanya sebagai kad yang digantung sebagai hiasan di rumah atau di pejabat apabila musim raya tiba. Jangan biarkan ia tenggelam dengan pelbagai teknologi yang ada. Jika tidak ia mungkin akan menjadi satu lagi budaya yang mungkin didokumenkan dan berbingkai untuk menjadi tatapan di muzium.

Sunday, September 13, 2009

Pra Aidil Fitri : 7 Liko

Tujuh Liko. Itu Terengganu. Tujuh Likur di luar Terengganu. Betul ke 7 malam sebelum raya? Malam tujuh liko malam budak-budak main mercun, main meriam buluh, main bunga api. Ada ngecung keluang, ngecung lidi, ngecung jarung, ngecung lalak, ngecung tali, ngecung bawang, ngecung dah, ngecung hok keluo payung terjung, ngecung gasing, , ngecung katok, ngecung ulo, dan ngecung tupak.Nati aku cerita se... se...(cerita mercun akhir 80an ke awal 90an).

Ngecung atau mercun dalam bahasa formal. Ngecung keluang adalah mercun apa bila ia dinyalakan akan naik ke atas (ke udara) sambil mengeluarkan bunyi seumpama bunyi keluang kemudian apabila sumbu yang berapi sampai ke peringkat pangkalnya akan mengeluarkan dentuman yang kuat di udara. Ngecung lidi bentuk sama seperti ngecung keluang tetapi tidak mengeluarkan bunyi seumpama haiwan keluang. Soal dentuman itu aku sudah lupa - telah lama meninggalkan aktiviti main ngecung ni. Modus operandi ngecung ini sama dengan ngecung iaitu apabila ia dinyalakan ia akan naik ke udara. Syaratnya, sebelum ia dinyalakan ngecung keluang dan ngecung lidi harus dipacakkan hujung lidinya di atas tanah.

Ngecung jarung atau mercun jarum. Bentuk mercun ini sama seperti mercun yang orang Cina pasang masa Tahun Baru Cina. Cuma ia kecil, kulit bungkus kertasnya ada macam-macam warna, yang biasanya warna hijau. Ia tidak diikat seperti mercun orang Cina tetapi ia berasingan seperti dinamit. Cara untuk menyalakan mercun ini yang paling berani ialah patahkan ubat nyamuk tetapi jangan terlalu pendek. Ambil sedikit lingkaran ubat nyamuk yang dipatahkan ini dan nyalakan. Tangan kanan memegang ubat nyamuk yang menyala, Tangan kiri memegang mercun jarum. Nyalakan mercun jarum dan lempar jauh-jauh dan dentuman yang kuat terhasil apabila nyalaan sumbu berjumpa dengan pangkal yang berbungkus kertas berbelerang atau agen letupan. Awas! Jangan Tiru! Jangan Buat! Kalau salah timing, jari anda menjadi kebas jika meletup di tangan, jika tak kebas, jari yang hilang. Cara yang agal cool nak main mercun ni ialah letakkan ia di dalam kertas surat khabar, bakarkan surat khabar. Duduk jauh-jauh. Kemudian mercun ini akan menyala dan meletup.

Ngecung lalak. Mercun lalat tetapi bentuk mercun ini seperti lebah. Ada lukisan belang lebah dan mempunyai bersayap seperti serangga pada mercun ini. Mercun ini apabila dinyalakan akan terbang ke udara seperti serangga dan mengeluarkan bunyi seperti kibasan sayap serangga; zussssssssssssss...Tiada dentuman. Tiada letupan. Terbang hilang entah ke mana.

Ngecung tali ini ialah mercun yang bertali di kanan dan di kiri. Di tengah-tengahnya adalah bungkusan berbelerang atau agen letupan. Mercun ini amat mudah untuk diletupkan. Hanya memegang tali di kanan dan kiri dengan cara menggendurkan ia dahulu, kemudian menarik dengan sekuatnya. Letupan kecil akan berlaku. Ngecung bawang ialah mercun yang berbungkus seperti bawang putih. Ia kecil dan di dalam bungkusannya mempunyai ketulan seperti batu dan ia adalah agen letupan. Caranya ialah dengan melemparkan ia ke permukaan yang keras dan letupan kecil akan berlaku.

Ngecung dah. Mercun ini ialah mercun seperti bunga api yang dimainkan semasa menyambut tahun baru ke, malam merdeka ke, seperti itulah. Ngecung dah bermaksud mercun das. Das diambil daripada bunyinya seperti das tembakan yang keluar dari bungkusan berbentuk silinder yang kurus. Ada yang berani menyalakan mercun ini dengan memegangnya ditangan dan hujungnya ditunjuk ke udara. Kemudian setiap das bunga api yang keluar adalah berwarna warni dan ada sedikit bunyi letupan. Ada yang memacaknya di atas tanah. Nyalakan. Kemudian keluarlah das-das bunga api yang berwarna-warni, cantik ke udara. Ngecung yang hok keluo payung terjun. Mercun ini adalah sama seperti mercun das. Kalau tak silap aku modus operandinya sama cuma das yang terakhir ialah payung terjun yang keluar ke udara dan terbang perlahan-lahan lalu jatuh ke tanah.

Ngecung gasing. Mercun ini berbentuk bulat. Apabila ia dinyalakan ia akan berpusing seperti gasing dan mengeluarkan bunga api yang cantik, cuma hati-hati, pusingannya agak laju dan perlu dielakkan daripada terkena diri kita. Ngecung katok atau mercun katak pula, bungkusan seperti dilipat dengan tali kalau tak silap aku dan bungkusannya berwarna hijau. Apabila ia dinyalakan ia akan melompat seperti katak walhal tidaklah seperti sungguh macam katak. Soal mengeluarkan bunyi dentuman aku sudah lupa.

Ngecung ulo atau mercun ular. Ia bewarna hitam, kecil dan berbentuk silinder pendek. Tiada sumbu hanya terus nyalakan pada permukaan mercun ini. Kemudian ia akan mengeluarkan asap hitam dan ia akan mengeluarkan bentuk seperti tali seperti ular menyusur di batang pokok naik ke atas sehinggalah bahagian bawah silinder pendek ini habis menjadi seperti ular.

Ngecung tupak. Mercun ini mungkin dipanggil sedemikian kerana ia berbentuk seperti ketupat palas, lebih-lebih lagi ia berwarna coklat-warna koko kata orang Terengganu. Mungkin juga ia dipanggil sedemikian kerana ketumpatan (tumpat) agen letupannya di dalam bungkusannya dan mengeluarkan bunyi dentuman seperti bom apabila ia dinyalakan. Bunyinya boleh riuh sekampung.

Ade banyok lagi jenih ngecung tapi dok berape ingat doh....

Sekarang ini cukup pasang pelita sahajalah. Main mercun sekarang, polis tangkap. Dah haram. Bahaya. Aku rasa budaya tujuh liko hanyalah budaya kanak-kanak. Nostalgia kanak-kanak. Sekarang inipun tidak pasti sama ada kanak-kanak masih ketahui akan budaya ini atau nanti hanya menjadi tatapan di muzium sebagai dokumen yang dibingkaikan....

Paling penting carilah Malam Lailatul Qadar...

Thursday, September 10, 2009

Pra Aidil Fitri : Duik Raye, Pitih Raye

Aha! Kanak-kanak mesti suka. Pergi rumah orang sentuh kuih ala kadar. Minum air sirap atau oren sikit-sikit. Tunggu tuan rumah bagi sampul duit raya. Kan! Itulah!

Budok-budok jalan-g sekapong gi kumpu duik raye. Ade hok bagi ge siling, ade hok bagi seria, buleh belake, ambik belake. Dapak sampo dok gaga kok luo, rase-rase duit siling, mungking pitih seria. Tu dulu mase pitih seria betuk siling, lening tadök döh. Dök payöh gaga, buke teruh tengok berape ria dapak.

(Budak-budak berjalan seluruh kampung untuk kumpul duit raya. Ada yang bagi duit syiling, ada yang bagi seringgit, boleh belaka, ambil belaka. Dapat sampul raya, raba-raba di luar sampul, rasa-rasa duit syiling, mungkin duit syiling seringgit. Itu dahulu masa duit seringgit berbentuk syiling, sekarang tak ada lagi. Tak payah raba, buka terus tengok berapa ringgit dapat).

Bukan main budak-budak Terengganu, dapat duit raya nilai RIYAL bukan RM...

Wednesday, September 9, 2009

Pra Aidil Fitri : Kerabat Keluarga

Di musim raya nanti maka kelibat sanak-saudara yang jarang bertemu mungkin bertemu sama ada kita bertandang rasa atau mereka bertandang raya ke rumah kita atau berkumpul di rumah tok tok ki kita.Ada Ayoh We/Ayoh Long, Mok We/Mok Long, Ayoh Ngoh dan Cik Ngoh, Ayoh De dan Mok De/Cik De, Ayoh Téh dan Mok Téh, Ayoh Tang, Ayoh Cik, Ayoh Su dan Mok Su/Cik Su. Inilah antara gelaran pangkat dalam keluarga.

Ada tidak menggunakan gelaran pangkat tetapi menggunakan nama dan ditambah AYOH di depan. Contohnya bapa saudara bernama Ismail, makanya dipanggil Ayoh Wé.

Ayoh We/Ayoh Long, Mok We/Mok Long - adalah pangkat Tertua dan Sulung dalam keluarga ibu bapa kita. Ayoh Ngoh dan Cik Ngoh - adalah anak tengah, (biasanya anak nombor 2). Ayoh De dan Mok De/Cik De- mungkin singkatan kepada perkataan MUDA, yang muda tapi bukan bongsu dalam keluarga, mungkin juga yang Tengah, sama dengan pangkat dengan Ayoh Ngoh/Cik Ngoh.

Ayoh Téh dan Mok Téh - adalah pangkat selepas Tengah, mungkin no 3 atau 4 (lihat berapa adik beradik). Ayoh Tang - adalah pangkat mungkin adik yang kedua sebelum bongsu ( Tang - ada negeri lain di Malaysia memanggilnya Tam, Pak Tam).

Ayoh Cik - adalah pangkat mungkin adik pertama sebelum bongsu. Ayoh Su dan Mok Su/Cik Su - adalah adik yang bongsu. Bagi gelaran Cik dan Su, ada juga dalam keluarga bagi anak yang bongsu tidak digelar Su, tapi menggunakan gelaran Cik, singkatan kepada kecik/kecil.

Ayoh - Ayah.
Mok - Mak.

Panggilan pangkat di dalam satu keluarga adalah berbeza dengan satu keluarga yang lain sama ada mengikut negeri atau kenalan kita sendiri mahupun dalam keluarga mentua kita. Ia adalah subjektif dan tertakluk kepada penggunaan rasmi dalam keluarga itu sendiri. Jika ada sesiapa yang tahu pangkat ahli dalam keluarga mengikut slanga Terengganu sila maklumkan kepada aku, kalau salah tolong maklumkan.

Tuesday, September 8, 2009

Pra Aidil Fitri : Ténöng


Ini Ténöng plastik cap Tupperware. Moden. Berwarna-warni. Dulu-dulu malah sekarang ini masih ada lagi yang menggunakan Ténöng besi yang berukir timbul di permukaan luar. Terkenang Aidil Fitri pasti terkenangkan Ténöng pada awal pagi raya. Juadah makanan raya diletakkan di dalam Ténöng ini dan di bawa ke rumah-rumah jiran sebagai aktiviti berbalas juadah sesama jiran (sekarang ada lagi?). Selain itu Ténöng yang berisi juadah raya dibawa jika bertandang/berziarah Tok dan Tokki, rumah saudara-mara dan kenalan.

Itu cerita raya. Ténöng juga digunakan pada masa-masa lain. Boleh di bawa ke kebun sebagai bekalan makanan tatkala berehat makan. Unik juga orang Terengganu memanggilnya sebagai Ténöng. Jika di luar Terengganu biasanya ia dipanggil sebagai Mangkuk Tingkat. Satu patah perkataan dalam slanga Terengganu, dua patah perkataan dalam Bahasa Melayu formal.

Monday, August 31, 2009

Sajak Merdeka : Kite Sah Sah Baru

Kite sah sah baru
Dök penöh rase macang pahlawang gagöh masuk utang (hutan) ulu
Melawang Portugih, Belande, Inggerih dang orang Jepung hök jajöh Tanöh Melayu

Kite sah sah baru
Dök penöh rase makang ubi kayu
Bile? Pade zamang Jepung dulu

Kite sah sah baru
Dök penöh nussuk dalang lubang kubu
Sebak Jepung duk serang dengang peluru

Kite sah sah baru
Dök penöh rase ikak perut macang orang dulu
Perang sane sini lawang penjajöh hök kaca tanöh Tuk Nyang-Tuk Nyang kite dulu

Kite sah sah baru
Dök penöh rase laung merdeka taung 57 dulu
Pagi bute kite hanye duk tengök orang barih dalang tv di tv satu

Kite sah sah baru
Dök penöh rase mende-mende pung perjuangang tokoh pahlawang, dang merdeka dulu-dulu
Tapi kite kene jage warisang kite, sebak nilah tanöh kite, dari Tuk Nyang-Tuk Nyang kite dulu
(Jagelah dengang segale réng yang kite ade, dengang segale jiwe Islam Melayu)

Nota :
Kite Sah Sah Baru bermaksud Kita Saf-Saf Baru. Sah dalam loghtat Terengganu adalah bermaksud Saf di dalam Bahasa Arab (contoh Saf dalam Solat Berjemaah) yang mana ia membawa maksud Baris di dalam Bahasa Melayu.

Oleh itu Kite Sah Sah Baru boleh membawa maksud kepada Kita Barisan-Barisan Baru. Bagi maksud yang tepat dan lebih mudah, perkataan Sah daripada loghat Terengganu kepada Bahasa Melayu ialah generasi. Maka jadinya Kite Sah Sah Baru menjadi Kita Generasi Baru.

Thursday, August 27, 2009

Sajak Merdeka : Anök Teranung Bia Sapöq Jauh

Anök Teranung bia sapöq jauh cari makang
Bia sapa Engleng macang Pök Awang (Awang Goneng)
Bia kenal tepak orang

Anök Teranung bia sapöq jauh gi belajo
Gi tepak orang jangang buak donö
Kutik ilmu wak balik kapong wak ngajö

Anök Teranung bia sapöq jauh gi ngaji
Belajö agame, pahtu wak balik tepak sendiri
Ngajö ke seluruh anök negeri

Anök Teranung bia sapöq jauh gi khije
Kutiklah emas negeri orang sane
Wak beli batu, wak rumöh batu kak (kat) kapong kite

Anök Teranung bia sapöq jauh gi jalan-g
Jangang gi kosong dök tahu haluan-g
Gi lah kutik pengalaman-g

Anök Teranung bia sapöq jauh gi derrak
Gi bukang saje tapi cari ilmu silak (silat)
Buak pertahang bila nök kene sépak

Anök Teranung bia sapöq bile buak satu bende
Jangang sekerak jalan-g sapa dök tahu kale
Kite waklah sunggoh-sunggoh le

Anök Teranung bia sapöq jauh ujung kapong sayuk tinggi letök ddére (bendera)
Letök tinggi ddére Malaysia kite
Nök sambuk merdeka kite sambuk sempurne
(Satu Malaysia Se Malaysia kate orang kite
Maghilah sambuk sekali dengang Bulan Mulia Bulan Pöse)

Nota : Sapöq - membawa maksud teramat (sapöq jauh/jauh sapöq- teramat jauh), dengan kata lain sajak ini membawa maksud kesungguhan, bersungguh, sungguh-sungguh, melampaui kebiasaan atas satu-satu perkara atau pekerjaan yang dilakukan, dan membuat sesuatu perkara lebih dari biasa.

Monday, August 24, 2009

Puisi Sempena Ramadhan : Dök Söh Béng

Dök Söh Béng - Jangan, Jangan Buat, Jangan Lakukan

Hari ni hari pöse
Dök söh béng wak döse
(banyökkang pahale)
Hari ni hari pöse
Dök söh béng muluk banyök cerite
(bende lagha, silak-silak kekgi döse)
Hari ni hari pöse
Dök söh béng beli banyök mende wak buke
(kekgi bazir buang saje)
Hari ni hari pöse
Dök söh béng ngate orang sini sane
(kekgi döse kurang pahale)
Hari ni hari pöse
Dök söh béng gi dderak ngate rawe
(kang dahage, naye)
Hari ni hari pöse
Dök söh béng körek telinge
(kekgi batal pöse)
Hari ni hari pöse
Dök söh béng liö mate
(tengok mende hök dök juruh haröh, kurangla pahale)
Hari ni hari pöse
Dök söh béng duduk ssaje
(banyökkang wak pahale, bace Al-Quran, umpamanye)
Hari ni hari pöse
Dök söh béng makang banyök mase buke
(kekgi tingga ggarék (Maghrib) pah ssahur tibe, sebak ape, tido rupenye)
Hari ni hari pöse
Dök söh béng lepah buke lambak-lambaklah kite
Méh dderah kite gi Terawih same-same..
Hari ni hari pöse
Dök söh béng tingga satu hari pung pöse
Sapa habih pöse, kite ttemu Hari Raye...

Nota : Dök Söh Béng boleh juga dimaksudkan daripada perkataan Tak Usah, Béng pula mungkin membawa maksud penegasan terhadap perkataan Dök Söh, contoh Dök Söh Béng - Jangan Buat Langsung. Ada juga perkataan Dök Söh Tebéng Wak- membawa maksud Tak Usah Buat Langsung/Jangan Buat Langsung.

Friday, August 21, 2009

Edisi Bukit Besi : Chimney








Inilah kesan sejarah. Bekas tinggalan tapak dapur atau kawasan Chimney di Bukit Besi. Serombong tinggi boleh dilihat di tepi jalan laluan Dungun-Bukit Besi-Durian Mas.

Surau Lama Kampung Sungai Buaya


Surau lama. Surau ini bukan yang terletak di tepi jalan Kampung Sungai Buaya yang berhampiran dengan lokang beso (longkang besar inilah yang merupakan Sungai Buaya yang sebenarnya). Surau ini terletak ke dalam perkampungan berhampiran dengan penempatan tersusun yang baru di kampung ini.

Surau ini asalnya dibina oleh Allahyarham Daud seorang pendakwah agama Islam yang berhijrah dari Kepulauan Riau, Indonesia ke daerah Dungun-mungkin antara dalam tahun-tahun 1800 ke 1900. Aku rasa rekabentuk surau ini telah berubah dari bentuk asalnya.

Salam Menyambut Ramadhan 1430 Esok Hari.

Wednesday, August 19, 2009

Anok kang

Anok kang. Pernahkah kita tengok adik-adik kita bermain satu keping kertas yang mempunyai pelbagai gambar dikoyak mengikut urat potongan yang telah dicetak? Satu keping kertas yang mempunyai gambar perempuan, baju-baju pelbagai warna, corak dan fesyen, kasut pelbagai jenis, beg tangan serta aksesori wanita yang lain. Kertas keras ini dibeli dengan harga 20 sen di kedai runcit. Itulah Anok kang. Aku tidak pasti orang di luar Terengganu memanggilnya apa.

Permainan kanak-kanak perempuan ini adalah pengganti kepada kemahalan anak patung Barbie yang sungguh mahal pada satu ketika dahulu. Anak-anak kampung aku rasa sudah cukup gembira dengan permainan anok kang ini. Boleh mengganti pelbagai baju, kasut dan aksesori yang lain. Perkataan Anok kang ini aku rasa adalah dari perkataan anak-anakkan disebabkan ini adalah permainan kanak-kanak perempuan.

Jadi sekarang ada lagikah Anok kang dijual di kedai runcit? Aku rasa macam tidak.

Sunday, August 16, 2009

Buah Sto dan Stapi

Buoh Sto,
Buoh Stapi,
Stak moto,
Tubik api.

Buah Sto,
Buah Stapi,
Start motor (motorsikal),
Keluar api.

Pantun lama ke atau aku yang reka? Buah sto/seto (setengah tempat memanggilnya dengan nama buah setiar/stiar) adalah buah berwarna kuning bersaiz besar, isinya semacam manggis tetapi biji buah sto agak kasar dan keras. Isi putih hanya dihisap, sukar digigit dan jangan telan! Nanti biji buah sto terlekat di tekak. Buah sto pokoknya besar tinggi seperti rambutan. Ukur lilit batangnya seumpama balak di hutan. Buah stapi/setapi adalah sama seperti buah sto seumpama adik beradik tetapi buahnya lebih kecil dan pokoknya tidaklah tinggi sangat dan ukur lilit batangnya tidaklah seumpama balak. Warna buahnya sama, isinya sama cuma saiz buahnya kecil.

Teringat waktu kecil, kulit buah sto ini boleh dibuat lauk. Kulitnya dikupas dibuang kulit luar kuningnya biar tinggal kulit berwarna coklat. Isi di dalam dibuang atau dimakan dan kulit yang telah dibersihkan dibuat masak laur sayur kolok - seperti lauk masak lemak kobis / kobis masak lemak putih. Masak sayur kolok ini juga diletakkan sotong.

Berbalik kepada pantun tadi - aku lupa samada itu pantun lama atau aku yang reka waktu kecil dulu-dulu? Awalan pantun ini menyebut nama buah, dan rangkap ketiga dan keempat menggambarkan seseorang yang menghidupkan motorsikalnya lalu keluar api melalui ekzosnya-itu sahaja!

Buoh Sto,
Buoh Stiar,
Stak moto,
Cabuk taya.

Buah Sto,
Buah Stiar,
Start motor (motorsikal),
Tercabut tayar.

Saturday, August 15, 2009

Kacang Rebuh Makcik Halimah


Kacang rebuh / kacang rebus. Di Dungun ada seorang makcik sejak aku kecil beliau menjual kacang rebus. Lebih-lebih lagi di musim tengkujuh, makan panas-panas. Makcik ini tak silap aku namanya Halimah. Makcik Halimah ini menjual kacang rebus dengan berbasikal yang mempunyai kotak kayu / gerabak berwarna biru - nak kata beca tak juga dan sukar untuk menggambarkannya.

Aku pasti penduduk Dungun pasti pernah membeli kacang rebus Makcik Halimah lantaran beliau bergerak berkayuh segenap pelusuk kampung di kawasan Dungun.

Friday, August 14, 2009

Za Batek


Za Batek, satu-satunya perusahaan batek yang ada di Dungun. Seingat aku ia bermula di Jalan Abdul Jalil di satu kedai kayu dalam tahun 90an - aku agak dalam tahun 94/95. Kemudian berpindah ke kedai bangunan kayu juga di Jalan Nibong sebelah kedai runcit Cina - Keda Mek Amo. Ia makin berkembang dan kini berpusat di Kawasan Industri Kecil di Pulau Serai.

Pelbagai produk batik disediakan di sini dan berbaloi-baloi.

Thursday, August 13, 2009

Berita Hari Ini

Terbaru akhbar Sinar Harian hari ini :

Program bicara sejarah ditangguhkan

BALAI BESAR - Usaha ahli sejarah menganjurkan bengkel berkaitan sejarah Dungun terbantut apabila lokasi utama, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Intan Zaharah yang akan dijadikan pentas perbincangan program itu terpaksa ditutup serta merta akibat disyaki menularnya wabak selesema babi (H1N1) yang mula dikesan di sekolah itu, semalam.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun, Abdul Wahab Yunus berkata, pihaknya terpaksa menunda tarikh bengkel ke satu tarikh yang difikirkan selamat dan sesuai kelak.

“Pada awalnya, program itu dijadualkan berlangsung esok (hari ini), kami akhirnya terpaksa membatalkan serta merta selepas sekolah itu diarahkan tutup oleh pihak Kementerian Kesihatan berikutan tujuh pelajarnya disyaki menghidapi virus H1N1.

“Bagaimanapun, program itu akan diteruskan. Masa dan tarikhnya akan ditetapkan dan pihak kami akan memaklumkan perubahan itu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah, Zakariah Ali ketika dihubungi mengesahkan penutupan sekolah terbabit.

“Pihak Pejabat Pelajaran Daerah dimaklumkan tujuh pelajar sekolah itu mengalami demam. Selepas pemeriksaan lanjut dilakukan, kesemua mereka disyaki mempunyai simptom H1N1.

“Sebagai langkah pencegahan, pihak Kementerian Kesihatan mengarahkan sekolah itu ditutup serta merta sehingga 18 ogos ini, jika keadaan masih belum pulih, tempoh berkenaan kemungkinan akan dilanjutkan,” katanya.

Wednesday, August 12, 2009

Surau Kampung Nibong Bawah

Papan Tanda.


Pagar dan pintu pagar di tepi jalan - Jalan Nibong.


Pagar dan pintu pagar di sebelah depan.


Surau Kampung Nibong Bawah. Binaan surau ini telah banyak mengalami perubahan tetapi asasnya masih sama. Teringat dahulu semasa aku kecil pada waktu petang selalu ada aktiviti nnadoh kitak dan gi ddengo / menadah kitab dan mendengar ceramah agama - iaitu aktiviti pembelajaran agama Islam oleh Imam atau Ustaz.

Sejarah bila surau ini bila dibina tidak aku ketahui. Mungkin Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Dungun tahu? Eloknya semua Masjid dan Surau di Dungun didokumenkan sejarah binaannya.

Nota Maklumat : Sila ke sini, dan sini .

Tuesday, August 11, 2009

Rumah Di Nibong Bawah

Dua petikan akhbar Sinar Harian, ucapan terima dan kredit atas cakna sekali lagi terhadap warisan Terengganu.


Berita 1

Rumah ‘Pagar Ruyung’ diroboh

NIBONG - Nostalgia manis seorang warga emas di rumah pusaka peninggalan arwah moyangnya bakal berakhir apabila rumah papan berusia lebih 100 tahun itu difahamkan akan dirobohkan tidak lama lagi.

Rumah tradisional bercirikan seni bina Pagar Ruyung yang hanya menggunakan pasak kayu tanpa sebarang paku besi itu akan digantikan dengan sebuah rumah baru bercirikan seni bina lebih moden.

Pemiliknya, Hasiah Sulong, 78, yang masih sihat ketika ditemui berkata, rumah itu dibina moyangnya dikenali sebagai Che Leh yang dipercayai membina rumah itu pada akhir abad ke-18.

“Arwah bapa saya menceritakan bahawa tok ki saya sering belayar. Dia yang dikatakan berasal dari Pagar Ruyung, Indonesia ketika itu singgah di muara Sungai Kuala Dungun lalu membina penempatan di sini sebelum membina sebuah rumah untuk dijadikan tempat berlindung.

“Oleh kerana dia adalah orang Pagar Ruyung, jadi budaya masyarakat di sana dibawa ke sini. Hasilnya, rumah yang dibina mirip kepada seni bina negara seberang itu. Oleh itu, tiada sebarang paku digunakan pada rumah ini, rekaannya juga unik dan jarang kita melihat rumah seperti ini di sini,” katanya.

Isteri bekas pekerja lombong bijih di Bukit Besi yang pernah menjalani kehidupan semasa zaman penjajahan Jepun itu meluahkan, dia amat sedih selepas mengetahui rumah pusaka peninggalan arwah moyangnya itu akan diro-bohkan.

“Banyak kenangan di rumah ini. Di sinilah saya lahir, dibesarkan malah melangsungkan perkahwinan. Tetapi, apa boleh buat, saya tiada kuasa untuk menghalangnya.

“Jika ada pihak yang boleh memeliharanya, ia adalah satu artifak yang boleh dijadikan bahan sejarah untuk tatapan generasi akan datang. Apa yang makcik tahu, rumah ini sudah dijual kepada seseorang,” kata isteri kepada arwah Mohd Ismail, yang juga seorang nakhoda kapal.


Berita 2

Rumah Pagar Ruyung menyembah bumi

NIBONG BAWAH - Rumah bersejarah Pagar Ruyung yang menjadi kebanggaan Hasiah Sulong, 78, akan menjadi 'padang jarak padang tekukur' apabila harta peninggalan arwah moyangnya itu akhirnya dirobohkan, semalam.

Kisah rumah lebih sedekad itu mendapat perhatian ahli sejarah terkenal di daerah ini, Abdul Wahab Yunus.

Beliau turut berada di lokasi untuk meninjau kerja meleraikan struktur bangunan kayu yang menjadi simbol seni bina masyarakat dari Pagar Ruyung itu.

Abdul Wahab yang juga Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Dungun meluahkan kekecewaannya kerana bahan sejarah itu disifatkannya tidak wajar dilenyapkan, sekali gus menggagalkan usaha pihaknya mengekalkan warisan bersejarah bagi tatapan generasi akan datang.

“Rumah seperti ini tiada lagi berdiri megah di Dungun sebagai daerah yang bersejarah, keaslian seni bina rumah Pagar Ruyung tidak ada tolok bandingnya berbanding kediaman moden lain pada masa kini.

“Rumah Pagar Ruyung juga setanding dengan hasil arkitek lain dan mempunyai nilai komersial lebih tinggi jika martabatnya diangkat serta diberi perhatian sewajarnya dari persepsi individu yang menghargainya,” kata bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan itu.

Beliau yang juga bekas wakil rakyat kawasan Hulu Dungun berpendapat, setiap individu yang mempunyai aset sedemikian mesti memeliharanya daripada pupus kerana setiap bahan lama mempunyai nilai komersial jika dikendalikan dengan baik.

“Ia boleh dijadikan sumber pendapatan untuk tujuan pelancongan, bagaimanapun dalam hal ini saya bersyukur kerana pihak yang membeli rumah Pagar Ruyung ini berhasrat membina semula dengan mengekalkan seni bina asal,”katanya.

Sementara itu, pembeli rumah itu, Nazari Hasan, 45, berkata, dia akan memastikan proses pembinaannya tidak mengetepikan elemen struktur asal kediaman itu.

Bagi Hasiah pula, tiada lagi rumah yang meninggalkan banyak nostalgia dalam hidupnya.

“Rumah ini milik moyang saya, dibina ketika zaman sebelum perang lagi dan sebagai orang tua, saya tidak mampu melakukan apa-apa,” katanya.


Ulasan aku.

Itulah rumah lama. Rumah Allahyarham Moyang Salleh - dalam berita akhbar tersebut ditulis sebagai Che Leh. Berita ini tersiratnya menyatakan kebenaran sejarah tentang pendatang dari Ranah Minang berhijrah ke Terengganu, khususnya ke Dungun. Rumah tersebut telah lama terbiar. Dijual kepada seorang pembeli dan dengar ceritanya bukan diroboh terus tapi dibina semula mengikut asal. Ia diroboh dan pindah, ke mana tak pasti. Rumah tersebut lama berdiri megah di Nibong Bawah. Akhir Jun lalu telah menjadi berita gempar dalam keluarga tentang rumah tersebut bakal dijual dan dipindahkan.

Dulu masa kecil teruja mendengar cerita tok, tentang tokki saudara yang tidur malamnya terkejut bom perang Jepun jatuh di sebelah katil. Rumah inilah. Sedih? Ya aku sedih. Kini tinggal rumah tokki aku sendiri yang mungkin antara rumah lama, mungkin tidak Pagar Ruyung, sekurang-kurangnya adalah rumah lama di perkampungan Nibong Bawah.

Pesan aku kepada pemilik baru, jagalah rumah tersebut sebaiknya.