Sunday, December 21, 2008

Pasar Minggu

Pasar Minggu.

Di Dungun ini jatuh hari apa pun akan dipanggil Pasar Minggu. Tidak seperti di Pantai Barat dipanggil Pasar Malam. Di Dungun ini kalau hari Isnin dipanggil Pasar Minggu. Jatuh hari Jumaat pun macam tu. Jatuh hari Ahad pun macam tu ( di Terengganu hari minggu adalah hari Jumaat) .

Antara Awang ingat hari-hari Pasar Minggu di Dungun :

Jumaat : Pasar Minggu Kampung Seberang Pintasan

Sabtu : Pasar Malam Kampung Sungai Buaya

Ahad : Pasar Minggu The Mel

Isnin : Pasar Minggu Kampung Batu 49

Khamis : Pasar Minggu Sura Gate


Hari Jumaat. Pasar Minggu Kampung Seberang Pintasan terletak di jalan utama kampung tersebut. Selari di kiri kanan jalan tersebut. Banyak makanan tradisional dijual. Minuman sejuk, air kelapa - coconut shake. Makanan bergoreng - ayam celup tepung, sosej dan juga segala bebola dari ikan hingga ketam.

Hari Sabtu ialah Pasar Minggu di Kampung Sungai Buaya. Terletak di dalam kawasan pagar Balai Raya kampung tersebut yang bersempadan dengan Kampung Sungai Udang. Di sini juga banyak menjual dan menyajikan makanan dan minuman. Barang dapur seperti bawang juga ada dijual. Sekarang Awang tidak tahu sama ada Pasar Minggu tersebut masih ada lagi atau pun tidak?

Hari Ahad adalah Pasar Minggu di The Mel yang berhadapan dengan kawasan Rumah Murah Nibong. Ia merupakan kawasan lapang yang menjadi tempat Pasar Malam pada hari Ahad dan kosong pada hari-hari biasa, cuma di situ terletak beberapa deretan kedai, Tabika Kemas Nibong.

Hari Isnin Pasar Minggu di Kampung Batu 49 ada Pasar Minggu yang kecil, sama seperti di The Mel. Ia terletak berhampiran di Jalan Utama dari Kuala Lumpur Ke Kuala Terengganu.

Hari Khamis merupakan hari riuh-rendah di Sura Gate. Merupakan hari semua warga Dungun berduyun-duyun turun ke Sura Gate untuk ke Pasar Minggu. Dikatakan Pasar Minggu ini pernah menjadi yang terbesar di Terengganu. Ia terletak berdekatan dengan Perputakaan Daerah Dungun. Dahulu kawasan menjual pakaian terletak di atas tanah lapang tetapi sekarang ini telah dibina kawasan deretan kedai. Kawasan menjual pakaian terlatak selari kiri dan kanan Jalan Merbuk.

Kawasan menjual makanan memang terasing sejak dari dahulu lagi. Ia merupakan kawasan lapang yang memang dikhaskan untuk menjual makanan. Satu deretan panjang tempat menjual makanan yang berbentuk huruf U, berlantai simen dan mempunyai pangkin atau seperti serambi tempat meletakkan makanan diperbuat daripada kayu.

Di Pasar Minggu ini ada sajian jualan makanan, barang pasar seperti sayuran, bawang, pakaian - t-shirt bundle RM 10 = dua atau tiga helai. Ada juga pakaian yang baru, tudung, seluar, baju, barangan keperluan rumah, dan mainan.

Penuh sesak malam tersebut. Jika dulu budak-budak student ITM ( UiTM Sura Hujung ), pelajar asrama Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, dan Sekolah Menengah Sains Dungun, memenuhi Pasar Minggu ini. Mungkin sekarang pengunjung sudah bertambah dengan kewujudan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun dan juga Sekolah Menengah Teknik Dungun.

Di Pasar Minggu ini amat mudah untuk anda mendapati Sata, Sarok Lada, Keropok Lekor Rebus/Goreng dan Keropok Keping. Pais, Nasi Minyak, dan Nasi Dagang - semua ada.

Dulu dengan member-member kampung berjalan kaki dari rumah ke Pasar Minggu, roung-roung ( round ) sehingga hujung jalan Pasar Minggu, dan cuit tiang kat situ sebagai tanda sudah sampai hujung jalan Pasar Minggu. Kemudian patah semula roung-roung tempat jual makanan.

Wednesday, December 17, 2008

Jenis-jenis panas

Jenis-jenis Panas.

Sso oh.
Jika Pok Ku mengatakan sso oh ini adalah berasal daripada "socks off!" ( Pok Ku mengejakannya sebagai sok oh - sila rujuk ke entri panah sok oh di blog Pok Ku ), tetapi Awang pernah mendengar asal panah sso oh ialah daripada so hot ( Awang mengejakan sebagai sso oh ). Panah sso oh ini adalah bermaksud cuaca yang terik yang menyebabkan badan terasa panas dan berlengas peluh atau lengit yang menyebabkan kita tidak selesa.

Ddering.
Panah Ddering. Bermaksud cuaca yang terlalu panas atau dipanggil panas terik. Cuaca tengahari atau cuaca di musim kering akan dipanggil panah ddering.

Panah ssang.
Hati atau perasaan yang marah. Kepanasan atau marah kepada seseorang disebabkan sesuatu perkara yang menyebabkab kemarahan. Panah ssang juga boleh bermaksud sama dengan panah sso oh iaitu cuaca yang panas menyebabkan badan berpeluh dan tidak selesa.

"Buke kipah kuat-kuat sikek, panah ssang nih", kata seorang budak kampung sambil membuka baju t-shirt tak berkolar membiarkan muka ditampar angin kipas sambil air masak sejuk peti ais diletakkan di sebelahnya. Entah tak tahu sama ada hatinya yang tengah panas dek marah kerana apa? atau memang cuaca yang panas.

Bila musim tengkujuh tamat, musim kering dan panah ddering dan sso oh akan datang ke tanah pantai timur.

Sunday, December 14, 2008

Godé, Cokéh, Ghodok

Godé, Cokéh, Ghodok.


Kata kerja. Istilah-istilah ini adalah untuk menunjukkan kata kerja.

Godé.

"Godé dengan kayu tuh...".
( Kuis dengan kayu tu...)

Godé. Menguis, menggoyang dengan tangan, kaki, kayu atau apa sahaja sebagai alat untuk mencapai sesuatu benda.

Contoh :

  • Situasi satu : Satu barang jatuh ke dalam longkang dan terlindung dengan sampah-sarap. Jadi perbuatan godé adalah perbuatan menguis dengan kayu untuk mengalihkan sampah-sarap untuk mencari barang yang terjatuh.
  • Situasi dua : Televisyen tidak mendapat siaran. Pemancar televisyen - arial dalam rumah yang diletakkan atas tv. Perlu digoyang dan digodé sehingga mendapat siaran.

Cokéh.

"Congkeh paku atah kayu tuh..."
( Cungkil paku di atas kayu tu... )

Cokéh. Cungkil. Mencungkil - tetapi untuk ayat mencungkil bakat tidak boleh disebut mencokéh bakat.


Ghodok.

"Ghodok paip tu...sumbat tu..."
( Rodok paip tu...paip tersumbat tu... )

Ghodok. Rodok. Membawa maksud merodok.


Godé. Mungkin kata asalnya go there.

Saturday, December 13, 2008

Pelawok, Nawok, Nipu, Lebong dan Wak lolok

Pelawok
Penipu

Nnawok, Nnipu / Cakak nnawok, Cakak nnipu
Menipu / Bercakap bohong

Llebong / Kena llebong
Tipu / Kena tipu

Wak lolok
Bergurau dengan bercakap bohong - dengan tidak berniat berbohong bersungguh-sungguh.

Semua perangai yang disebutkan di atas adalah sifat yang tidak baik. Penutur slanga Terengganu mengelar perbuatan berbohong dengan istilah-istilah tersendiri. Asal perkataan-perkataan tersebut tidak diketahui kecuali nnipu kata ialah daripada perkataan tipu. Bercakap bohong - pelawok, nnawok, llebong, sekali dibuat mungkin sukar untuk dipercayai oleh orang lain.

Wak lolok ini adalah satu gurauan melalui percakapan dengan berbohong.

" Selipa mung tadok tanoh" ( Selipar kau tak ada kat luar rumah ) .
Seorang kawan dengan muka serius berkerut memberitahu kawan serumahnya.

" Eh! Takdi aku baru napok tanoh " ( Eh! Tadi aku baru nampak kat luar rumah ) .
Tuan punya selipar terkejut kehairanan.

"Aku wak lolok aje...hehehe" ( Aku tipu aje...hehehe ) .
Kawannya mengaku bergurau menipu.



Ada satu dialog... A : "Seli cari mung" . B : "Seli mane? " A : " Selipar, hahaha... ". B : " Dok kelako pong ".

Friday, December 12, 2008

Lagu Kanak-Kanak Terengganu ( iii )

Satu lagi kanak-kanak Terengganu yang udoh bunyinya ( hodoh-tidak baik dari segi maksud dan perkataan yang digunakan ). Jangan katakan ini satu penghinaan tapi ini hanyalah lagu kanak-kanak Terengganu satu masa dahulu. Lagu ini dinyanyikan apabila berlaku perbalahan mulut - bertekak, antara dua kanak-kanak supaya kanak-kanak seorang lagi berhenti dari berbalah mulut - senyap/diam, tetapi mungkin sukar, mereka tetap bertekak . Sekarang mungkin tidak kedengaran lagi lagu pantun ini. Dengarkanlah lagu pantun ini...


Ling ling ling
Basika langgo rok
Mung kate aku keling
Mung cine dok basuh berok


Kepada pembaca, jangan menyanyikan lagu ini untuk mengata orang, ini sekadar kenangan lagu kanak-kanak Terengganu.

Thursday, December 11, 2008

Memori Bukit Besi


Novel Remaja yang bertajuk Memori Bukit Besi hasil karya Awang Abdullah yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1993. Beliau adalah seorang pendidik di daerah Dungun. Dulu Awang tahu yang penulis novel ini-Awang Abdullah adalah seorang cikgu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Intan Zaharah Dungun.

Novel remaja ini adalah sebuah kisah yang berlatarbelakangkan fakta sejarah zaman perlombongan Bukit Besi di daerah Dungun. Sebuah kisah yang didedikasikan kepada semua bekas pekerja lombong Bukit Besi.

Sebuah novel yang menarik untuk dibaca, menjadikan kita seolah-olah berada pada zaman Bukit Besi tersebut. Banyak gambar-gambar yang dilampirkan di dalam novel ini sebagai bukti sejarah dan tanda kenangan.


Sura jeti, Bijih, Sura Gate, Kampung Alur Jejawi, The Mel Nibong Stesen, Bukit Tebuk, Kampung Che Lijah, Kampung Binjai, Kampung Serdang, Kampung Kumpal, Kampung Keliu, Kampung Padang Pulut, Kampung Pinang dan Bukit Besi - itulah laluan jalan rel keretapi.

Wednesday, December 10, 2008

Salam Aidil Adha 1429Hijrah

Salam Aidil Adha.


Berape ekor ghebang?


Tangbak kak pokok nyo tuh.


Terik tali tuh.


Pereboh.


Itulah ayat-ayat semasa menjalankan ibadah Korban di Terengganu. Orang kampung saling menjerit satu sama lain. Mengikat haiwan yang ingin dikorbankan di pokok. Menarik tali untuk merebahkan haiwan ke tanah. Melakukan korban, dan melapah daging-daging. Membahagi-bahagikan ( sedekah ) daging.

Itulah kemeriahan sambil menghayati ibadah Korban. Orang pantai timur - Hari Raya Aidil Adha adalah hari yang disambut semeriah Aidil Fitri. Takbir yang begitu mengesankan jiwa. Riuh menjalankan ibadah korban dari kanak-kanak hingga ke orang-orang tua. Kenduri kendara. Perkumpulan keluarga. Pada waktu inilah digunakan sepenuhnya. Menyambut Aidil Adha dan mengeratkan hubungan silaturrahim.


Harap-harap negeri pantai barat dapat cuti umum dua hari juga seperti negeri pantai timur. Salam Aidil Adha buat kaum Muslimin dan Muslimat.

Saturday, December 6, 2008

Speaking Inggerih

Speaking Inggerih.

Apabila orang Terengganu bercakap dalam bahasa Inggeris, maka asas slanga Terengganu pun juga dicampur-adukan. Lihatlah...


Wak is yo néng?
( What is your name? )

Wak happeng?
( What happened? )

Wang, Sebeng, Téng, Eleveng... - apa yang akhiran ejaannya N ditambah G.
( One, Seven, Ten, Eleven... )

Satu lagi cerita, kalau tak silap, awang pernah baca satu buku mengatakan asal perkataan lonjong. Dikatakan seorang lelaki Inggeris yang bernama John telah datang ke Tanah Melayu, khususnya di Terengganu. Lelaki ini sungguh tinggi berbanding dengan orang-orang tempatan. Lelaki ini digelar Long John disebabkan ketinggiannya. Maka apa yang yang tinggi dan panjang akan disebut long jong - mengambil dari kata gelar lelaki Inggeris tersebut.

Di Dungun ada nama satu kampung. Nama kampung ini ialah kampung Delong. Kampung ini juga adalah tempat laluan keretapi membawa bijih besi dari Bukit Besi ke Sura Gate, Bandar Dungun. Persoalannya, adakah kampung Delong ini berasal dari bahasa Inggeris, The Long? Dulu di kampung ini mempunyai tempat yang sesuai untuk berkhemah mahupun mandi-manda dan berkelah. Nama tempat ini ialah Pasir Pulai.


Seorang cikgu selalu menyebut perkataan ini untuk menggambarkan sesuatu yang tidak disangka, iaitu - unsangkareable.

Friday, December 5, 2008

LRT/Komuter Di Dungun

LRT/Komuter Di Dungun.

Sewaktu bekerja di Kertih dahulu pernah sembang-sembang dengan kawan-kawan sekerja. Berfikir-fikir bagaimana? dan alangkah eloknya LRT atau Komuter ada dari Dungun hingga ke Kertih mahupun terus ke Kemaman. Khas untuk pekerja Petronas dan syarikat minyak, gas dan petrokimia yang lain dapat menaiki untuk pergi ke tempat kerja dengan mudah. Mudah juga untuk pekerja-pekerja maincon atau subcon. Mudah juga untuk pekerja-pekerja syarikat yang tidak berkaitan dengan perusahaan minyak, gas dan petrokimia. Selain itu pengguna/penumpang biasa pun boleh menggunakannya untuk ke destinasi yang ingin dituju.

Cuma, bayangkan nama kampung yang akan bakal disebut dalam LRT mahupun Komuter :

"Stesen berikutnya...Sunga Boye..."

"Stesen berikutnya...Kampung Nyo..."

"Stesen berikutnya...Kampung Tebing Temboh..."

Ataupun dialog ini:

"Train ini akan meneruskan perjalanan ke Kemamang..."


Keretapi yang tinggal sejarah ( Bukit Besi ), Monumen Lokomotive di depan Jalan Besar Utama Bandar Dungun. Keretapi yang beroperasi, dari Kertih - Petlin ke Pelabuhan Kuantan, membawa LDPE ( Low Density Polyethylene ) untuk dieksport.

Thursday, December 4, 2008

Musim Buah Mempelam

Musim Buah Mempelam.

Teringat masa kecil-kecil. Di Kampung Nibong Bawah. Musim buah mempelam masak. Arwah tok ki akan mengumpul guni gula dan gandum. Buka jahitannya menjadi satu lembaran. Dari karung menjadi satu hamparan . Setiap hamparan guni ini akan dijahit dengan satu sama lain dan menjadi besar seperti hamparan kain éla ataupun permaidani yang besar. Setiap sudut hujung hamparan guni yang besar ini dijahit dengan tali dan tali ini dibiarkan berjulur.

Kemudian hamparan guni yang besar ini akan diikat ( menggunakan tali yang berjulur) kepada tiang dan pokok mempelam. Ia akan nampak terapung dan tinggi dari tanah. Hamparan guni yang besar ini harus diikat di bawah pokok mempelam yang rendang dengan buah putik muda dan yang masak ranum.

Tujuan hamparan guni ini dibuat untuk mengelakkan buah jatuh ke tanah dan pecah. Buah mempelam masak ini mudah pecah apabila terhempas ke tanah. Oleh itu dengan adanya guni tersebut, buah yang masak akan luruh jatuh ke atas permukaan guni dan tidak pecah. Jika buah yang luruh tersebut jatuh di tengah-tengah hamparan guni, gunakan kayu untuk menguis buah mempelam tersebut ke tepi sudut untuk memudahkan kita mengambil buah tersebut.

Musim hujan dan angin kencang, buah mempelam yang masak lagi mudah luruh. Bunyi buah luruh ini cukup kuat untuk didengar. Buah jatuh luruh dari ranting terkena daun, ranting dan dahan cukup untuk kita tahu - ada buah masak jatuh. Ambil buah, basuh dengan air, hiris dengan pisau untuk buangkan kulit, sedap masam dan manis. Kalau buah mempelam mangga, selepas dibasuh dengan air, terus digigit kulitnya. Kemudian gosokkan asam masin - warna merah atau putih ke atas isi buah, terus gigit dan makan berkunyah lagi, berulang-ulang sehingga habis.


Sedap sungguh! Buleh buak samba belacang atau makang cicoh kicap bergula - colék kicap bergula.

Monday, December 1, 2008

Nganjing, Ngayor

Ngangjing, Ngayor.

Dua perangai yang negatif.

Ngangjing membawa maksud:
1) Suatu percakapan yang tidak serius, bergurau atau main-main , tidak menjawab soalan bersungguh-sungguh apabila ditanya oleh orang lain. Contoh :

Soalan : "Mung makang dok agi?"
( Kamu sudah makan ke belum?" )

Jawapan : "Tahung depang dok makang agi."
( Tahun depan belum makan lagi )

Lain yang ditanya lain yang dijawab. Itulah jawapan cakak ngangjing ( Cakap ngangjing ) .

2) Nganjing juga adalah percakapan yang kasar untuk menjatuhkan air muka orang lain . Lebih senang maksudnya ialah mengata. Contoh :

Seorang kawan sepejabat mengata secara terang-terangan kepada kawannya :
"Mung gaji besor tapi makang ikang kering".


Ngayor membawa maksud:
1) Orang suka bercakap gurau, juga tidak serius akan tetapi lebih kepada orang yang suka bergurau terhadap orang lain sehingga membuatkan terasa hati - kadangnya. Perbualan ngayor ini lebih lembut bunyinya berbanding dengan nganjing. Contoh :

Seorang kawan yang kedekut ( contoh - motorsikal ) apabila ditanya untuk meminjam sesuatu benda, maka kawan-kawannya yang lain suka mengayor terhadapnya :

"Pinjam motorsikal boleh?" Seorang kawan bertanya soalan yang tidak serius, saja-saja untuk melihat situasi atau refleksi/tindakbalas kawan yang kedekut.

2) Orang suka bercakap gurau sahaja, tapi tidak memaksudkannya. Contoh :

"Hari ni gaji, belanjalah makan"


Jagalah hati dan perasaan orang lain
.

Saturday, November 29, 2008

Mmusang, Dono, Cakne

Mmusang, Dono, Cakne.

Mmusang
. Perangai yang merengus. Orang lain tidak boleh buat silap sedikit - pantang silap sikit, dia akan merengus, dan marah-marah. Adakah mungkin perkataan mmusang dipilih atas dasar haiwan musang yang nampak garang?

Dono. Buat tak tahu. Orang putih kata don't no - yang membawa maksud tidak tahu. Bagi orang Terengganu, buat dono ialah buat tak tahu atau tak ambil peduli. Kalau orang pantai barat kata buat dek.

Cakne. Ambil tahu. Ambil peduli. Ambil berat. Ini adalah kontra kepada buat dono.

Janganglah mmusang sangak, pah tu buak dono je, ambik cakne gok skek...

Thursday, November 27, 2008

Lagu Kanak-Kanak Terengganu ( ii )

Lagu kanak-kanak Terengganu, boleh dikatakan ada yang pelik, menarik bunyi ritmanya dan ada juga yang udoh bunyinya ( hodoh-tidak baik dari segi maksud dan perkataan yang digunakan ) . Lagu-lagu ini ada juga dinyanyikan semasa memainkan sesuatu permainan tradisi Terengganu - rujuk entri Permainan Tradisi Terengganu.

Lagu Satu

Wa wa pék pék,
Wa pék pék ujong galoh,
Masuk keluar masuk hulubalang buke pitu,
Cak la lok, la lok,
Cak la lok, la lok...


Lagu Dua

Pék li watako lang,
Lepék sekali berbulang-bulang...


Lagu Tiga

Mak ming tongjo,
Beranok dalang boto,
Tingbo tenggelang,
Teruh masuk go...

Cak kiok ibu kaki
Ceh... pong!


Lagu Empat

Ping pong,
Motoka Haji Salleh,
Ketuk belepong,
Tahik meneleh...


Lagu Lima

Umbuk-umbuk nyo,
Jalang kédék-kédék,
Sape bunyi muluk,
Kene cobék...


Lagu Enam

Tok-tok bo,
Sape ketuk,
Dok kabo...

Tuesday, November 25, 2008

Cokko! Dan Lumba Lari

Cokko!

Orang putih kata "take a brake". Orang Terengganu kata "cokko". Perkataan ini disebut apabila seseorang pemain dalam sesuatu permainan tradisional contohnya te duduk, te boye atau cuik tiang. Cokko disebut sebagai tanda orang yang menyebutnya meminta kebenaran daripada orang yang jjadi untuk berehat sekejap atau melakukan sesuatu perkara yang lain ( atau mengelat ).


Lumba lari.

"Ong yo mak, gék sék... go...!". Meluncur laju berlari. Lumba lari beramai-ramai. Tiada lane. Tiada tali yang apabila dilanggar terus putus sebagai tanda pemenang. Cuma yang ada penanda garisan penamat. Takpun jadikan tiang atau pokok sebagai tanda penamat lumba lari. Kaki ayam je. Tak ada kasut sprinter yang berpaku. Pecut laju berlari. Siapa sampai dahulu dikira pemenang.

Nostalgia. Main lumba lari di padang yang berumput sedikit, berbatu dan berpasir. Salah seorang kanak-kanak akan berlagak menjadi pengadil dan menjerit "Ong yo mak, gék sék...go...!".

Orang putih kata "On your mark, get set, go...!"

Monday, November 24, 2008

Sokmo dan Slalu

Sokmo dan Slalu.


Dua orang perempuan muda turun dari kereta. Salah seorang daripada mereka , yang muda umurnya sedikit membawa kertas yang banyak. Berjalan kaki ke arah sebuah kedai fotostat.

"Abang, minta fotostat kertas ni..." pelanggan muda tersebut.

"Nak slalu ke...?", tanya pekerja kedai fotostat kerana melihat kertas yang banyak mungkin mengambil masa yang lama.

"Saya taknak selalu...saya nak fotostat yang ni aje...", keliru pelanggan muda itu.

"Kak...dia kata nak selalu...mana ada nak selalu...?", tambah pelanggan muda itu kepada kakaknya.

"Ooo...silap, nak sekarang ke...?", jawab dan tanya pekerja itu semula.

Malu,malu...salah cakap. Pekat sangat-bawa loghat ke KL, ini jadinya. Slalu. Maksudnya ialah sekarang. Bukan bermaksud perbuatan yang berulang-ulang. Bukan tiap-tiap kali.

Perkataan yang membawa kepada maksud selalu dalam slanga Terengganu ialah sokmo. Pendek kata, sokmo bermaksud selalu. Slalu bermaksud sekarang.

Maghi gi kkeda slalu, gi makang roti payang hok kite gi sokmo.

Friday, November 21, 2008

Kisah Ddapo

Kisah Ddapo - air co.

Ddapo bermaksud dapur. Tempat kaum ibu memasak dan membasuh pinggan dan menyimpan pinggan-mangkuk dan barang-barang masakan. Jadi beberapa perkataan yang sinonim dengan ddapo antaranya ialah air co dan térak.

Dahulu rumah-rumah kampung di Terengganu tidak mempunyai sistem perparitan yang baik. dan tidak menyeluruh ke kampung-kampung. Air sinki hasil basuhan pinggan-mangkuk tidak mengalir ke longkang atau ke mana-mana sistem saliran. Sistem aliran air buangan dibuat sendiri oleh penduduk kampung mengikut kawasan rumah masing-masing. Air tersebut turun ke tanah melalui saluran paip. Tanah tersebut menjadi lopak air yang bertakung. Itulah air co.

Haiwan ternakan seperti ayam, itik dan angsa biasa akan mencari makanan di sini. Cacing-cacing tanah juga banyak boleh didapati di sini." Kalu nok gi ngail cari cacing, carilah air co..." ( Kalau nak mengail ikan mencari umpan cacing, carilah air co... ) .

Kisah Ddapo - térak pinggang.

Selepas basuh pinggan-mangkuk, kita akan menyusun pinggan, mangkuk dan gelas pada satu tempat khas-tempat menyimpan dan mengeringkan pinggan-mangkuk. Tempat menyimpan khas ini dipanggil tempat térak pinggang. Térak ini kata asalnya ialah tiarap atau meniarap. Jadi perkataan térak pinggang ialah membawa maksud meniarapkan pinggan yang bertujuan untuk mengeringkan pinggan yang telah dibasuh dan dibilas dengan air.

Selain daripada itu nnérak ( duduk nnérak ) juga kata asalnya ialah meniarap. Ia lebih kepada perbuatan manusia yang meniarap.

"Mmolek skek térak pinggang tuh...arcopal tuh..."

Thursday, November 20, 2008

Lagu Kanak-Kanak Terengganu ( i )

Tok-tok bo, sapa ketuk, dok kabo...

Masa kecik-kecik. Kalau tidak main kat laman rumah, atah lambo ( serambi rumah ) jadi tempat bermain. Main jetik tudung boto ( jentik tudung botol-tudung botol besi, air botol 7up, sarsi dan bermacam lagi ). Tiba-tiba ada bau busuk. Bau kentut. Ditanya? Tiada yang mengaku. Siapa nak mengaku? Malu.

Jadi salah seorang akan menunjuk-nunjuk jari dari seorang ke seorang diiringi dengan menyanyi lagu pantun...

tok-tok bo, sapa ketuk, dok kabo....
( tok-tok bo, siapa kentut, tak khabar...)

Orang yang terakhir yang kena tunjuk apabila kata lirik terakhir dinyanyikan, dialah yang kentut.

Senangkan. Kalau dalam bas, LRT, ERL, Komuter, mahupun dalam kapal terbang MAS/AirAsia, cubalah...

Wednesday, November 19, 2008

Entri Khas : PESAT-Majlis Ramah Mesra Bersama Menteri Besar Terengganu

Jam hampir 11.00 pagi, hari Sabtu, bertarikh 16 November 2008. Sampai agak awal di RASTA, TTDI. Orang tidak ramai. Mungkin jemputan sedikit-getus hati awang. Terletak di tempat yang agak tinggi, ternampak bukit-bukau di sekeliling, dan seperti ada kabus menyelubungi bukit-bukau tersebut.

RASTA. Berbumbung tinggi. Palang-palang kayu seperti tradisional. Syelek dan varnish-tidak dicat warna-warni. Sememangnya nampak tradisional. Kipas siling tinggi.

Daftar kedatangan, pilih tempat duduk. Kuih-muih, sajian makanan masih lagi dalam persiapan. Ternampak beberapa kakitangan PESAT sedang memotong khepok leko rebus. Mungkin untuk digoreng. Kakitangan Pesat berbaju cantik. Berbatik berkemeja dan berbaju kurung warna keemasan.

Beberapa meja VIP dihias cantik. Datang sebuah kenderaan. Mengeluarkan nasi dagang. "Nasi dagang datang doh...". Dijemput makan. Sempat merasa nasik kapik ( nasi himpit ), kuah kacang dan rendang ayam. Merasa nasi dagang gulai ikan. Merasa khepok leko. Cicah sos cili. Bukan cap dari kilang Maggie, Kimball, atau Yeos. Mungkin buat sendiri, takpun kilang sendiri-agaknya.

Jam hampir 12.00 tengahari. Makin ramai orang yang datang. Ramai rupanya. Dari budok kecik, mokcik-mokcik, sampailah orang-orang tua. Penuh. Mungkin tak cukup meja. Awang beredar ke tempat lain. Memberi peluang orang yang ramai hadir mengambil meja untuk makan-makan. Penuh. Di pentas, salah seorang kakitangan Pesat memberi ucapan. Bergema suara. Semua orang di situ berslanga Terengganu. Terasa kekok dan lain, di tempat orang berslanga Terengganu.

Kedatangan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said memberi peluang kepada Awang untuk berjumpa secara dekat. Tengah melayan anak yang mamai hendak tidur, tiba-tiba beliau menegur, " anok tidur tuh...". Tersengih dan angguk sahaja awang.

Kedatangan ke Rasta ini juga, awang dapat berjumpa warih-waroh awang - Kak Tata , berjumpa mokcik blogger Kama at-Tawaris. Bersembang, berbual, dan bertanya-tanya. Tak lama.

Terima kasih Kak Tata kerana menjemput awang ke majlis tersebut. Mokcik blogger Kama at-Tawaris, terima kasih atas sudi berbual-bual. Ingat bahasa kita, duduk tempat orang pun jangan dilupa, ingak jo'ong, ingak guling-guling, ingak bekok cobong.


Majlis di situ meriah. Sunggoh! Dok lebong skek arang pong!

Babé, Kerah Pale, Kerah Kéng

Babé, Kerah Pale, Kerah Kéng.

Degil. Dok mmakang ssamang, dok dengo kate ( tak makan saman, tak dengar kata ). Semuanya maksudnya sama. Babé bermaksud degil. Kerah pale bermaksud keras kepala. Kerah kéng bermaksud apabila bertegang leher, cakapnya sahaja perlu didengar, bila dinasihati, melawan dengan bersuara keras.

Biasanya budak-budak. Macam itulah. Kalau babé, akan dirotan. Kalau kerah pale, kena tonyoh atah pale, kena kheko' atah pale ( kena tonyoh atas kepala, kena tumbuk atas kepala - tapi jangan buat, tak baik, kepala bukan tempat main-main, atas kepala manusia tempat menjunjung Al-Quran ). Kalau kerah kéng, pipi akan ditampar - kan sakit.

Jangan kerah kéng sangat, nanti bekok kéng ( pipi membengkak ). Nanti bila dah bekok kéng, habis pipi dilumur nila biru.

Tuesday, November 18, 2008

Musim Tengkujuh

Musim Tengkujuh.

Maka timbullah beberapa perkataan yang sering disebut apabila datangnya dengan musim tengkujuh. Antaranya ialah musing boh ( musim bah/banjir). Kalau hujan lebat, longkang-longkang tersumbat, air hulu turun, sungai melimpah, maka bohla di kampung-kampung di Terengganu.

Déné. Ada dua maksud. Kalau kait dengan musim tengkujuh, déné ini bermaksud basah. Basah dek kerana terkena air hujan ataupun terkena lecoh. Apabila hujan turun, kemudian berhenti, tanah-tanah akan bertakung air menjadi déné atau lecoh. Kalau berjalan kaki atas tanah yang becak ini, pastikan berhati-hati. Jangan terpijak, nanti kotor pakaian.

Tanah-tanah becak ini, akan diletakkan kayu/papan atau batu sebagai tempat berpijak. Maka apabila orang kampung keluar berjalan kaki berselipar ( cap Tat Seng ) selepas hujan, kayu/papan atau batu inilah tempat berpijak dengan aksi bagai melompat dan menjungkitkan kaki untuk mengelak daripada terkena tanah yang lecoh.

Maksud déné yang lain ialah manja. Kalau anak kecil, jika dimarah sikit, terus menangis - itulah dipanggil déné - Slanga Terengganu : Perangai .

Musing hujang ( musim hujan ) terutama selepas banjir ini, bermaksud budak-budak kampung pergi menangkap ikang sekila ( ikan sekilau/ikan laga) dan ikan karing ( lebih kurang spesis ikan laga ). Ada juga yang pergi menangkap ikan puyu, ikang sepak ( sepat ), dan ikang rruang ( haruan ). Bukan kira bahaya atau tidak, main redah pergi menangkap ikan- babé sunggoh! - Slanga Terengganu : Perangai .