Sunday, November 29, 2009

Di mana meriah? (Aidil Adha 1430Hijrah)

(Keterangan gambar : Majlis Korban Perdana Parlimen Dungun yang diadakan di Kampung Jerangau Sungai, Dungun)

Salam Aidil Adha 1430H. Di Malaysia, Hari Raya Korban/Hari Raya Haji selalu dikatakan disambut dengan meriah di negeri Pantai Timur terutama di Terengganu dan Kelantan dan negeri Kelantan lebih dilabelkan sebagai negeri yang menyambut Aidil Adha dengan meriah. Kenapa ini terjadi dan menjadi sebutan seantero Malaysia?

Agak menghairankan sebagai warga perantau apabila hampir tiba Aidil Adha, ramai warga perantau negeri Terengganu dan Kelantan akan mengambil cuti untuk pulang ke kampung untuk berhari raya. Tiada sambutan dari warga perantau dari negeri-negeri lain dan mereka faham dan melabelkan negeri Terengganu dan terutamanya negeri Kelantan menyambut Aidil Adha dengan meriah malah besar-besaran.

Hari Raya Aidil Adha adalah hari kebesaran dalam Agama Islam selain daripada Hari Raya Aidil Fitri. Kemeriahan di Malaysia untuk sambutan Hari Raya Aidil Adha agak berkurangan tidak seperti Hari Raya Aidil Fitri. Adakah ini kerana jumlah cuti umum yang sehari sahaja yang diberikan di negeri-negeri di Malaysia kecuali Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis? Maka ini untuk menambah hari bercuti dari cuti tahunan tidak diambil, hanya sekadar menyambutnya untuk satu hari sahaja.

Bagi aku tidak kiralah kita di mana, sambutlah Aidil Adha dengan meriah. Biarlah cuti satu hari yang diberikan oleh kerajaan (kecuali negeri-negeri yang disebutkan di atas), kita tetaplah menyambutnya dengan meriah, beribadah dengan melakukan ibadah Korban-jika mampu, ziarah kaum keluarga seperti biasa seperti apa yang disambut pada Hari Raya Aidil Fitri. Apa-apa pun janganlah lagi melabelkan negeri-negeri tertentu dengan mengatakan sambutan Hari Raya Aidil Adha paling meriah. Ini kerana apa sahaja hari kebesaran dalam agama Islam, kita sambutlah dengan sebaiknya, bukannya lesu setakat bersolat raya kemudian berkurung di rumah.

Salam Aidil Adha dari @Dungun. Maaf Zahir dan Batin.

Saturday, November 21, 2009

Padang Astaka

Padang Astaka yang bertempat di Bandar Kuala Dungun yang berhadapan dengan Stesen Bas Dungun dari arah Sungai Dungun/Pasar Besar Dungun adalah padang yang biasanya digunakan untuk acara ekspo seperti Pekan Budaya, acara sukan rakyat/permainan tradisional rakyat, dan boleh kata pernah menjadi tempat ceramah politik.

Padang ini juga terletak berhadapan dengan Ibu Pejabat Polis Dungun yang lama/yang telah dikosongkan dengan berek polis yang bertingkat tinggi ditinggal begitu usang ( tidak tahu kenapa ditinggalkan dan dibiarkan begitu sahaja setelah Ibu Pejabat Polis Dungun yang baru telah dibuka di Kampung Batu 49 dan apa perancangan selepas ini untuk kawasan tersebut tidak diketahui). Di berek lama inilah ramai kenalan sekolah aku yang tinggal di situ. Rata-rata kenalan aku dahulu adalah anak-anak polis. Selain itu padang ini juga berhadapan dengan Bangunan TNB dan Pejabat Immigresen Malaysia (bekas Pejabat Pos lama). Di sebelah pantai pula ia berhadapan dengan bekas bangunan RTM.

Dulu Padang Astaka ini juga terdapat gelanggang bola jaring yang biasa digunakan oleh golongan muda Tionghua yang tinggal di sekitar Bandar Kuala Dungun. Padang ini juga biasanya menjadi tempat bermain/berlatih bola sepak anak-anak muda dari kampung sekitar iaitu Kampung Bijangga. Sekarang ini aku tidak tahu ia masih digunakan atau tidak sebagai tempat bermain bola sepak. Padang Astaka ini tidak dikelilingi pagar. Ia hanya dikelilingi tempat duduk konkrit berbentuk seperti anak tangga-dalam 2 atau 3 anak tangga. Ia mengelilingi padang berbentuk segi empat tepat. Luas.

Dulu dari arah Ibu Pejabat Polis Dungun yang lama terdapat satu pentas berbumbung yang digunakan sebagai tempat berucap dan acara penyampaian hadiah, kini pentas tersebut beralih ke sebelah arah dari Pejabat Immigresen Malaysia. Padang ini cuma satu yang kurang, rumput tidak terjaga, jika hujan, tanah menjadi becak dan lecöh (tanah berair-air bertakung). Rumput yang tidak sekata dan tumbuh jarang-jarang menjadikan ia bukan seperti padang. Jika bermain bola sepak dan kalau rebah jatuh, pasti tercalar luka dek tanah yang keras.

Musim Tengkujuh dan hujan lebat yang berterusan begini, pada waktu malam biasanya kawasan yang bertanah rendah di sekitar Kuala Dungun/Kampung Bijangga akan dibanjiri air sungai yang melimpah. Ini kerana paras air Sungai Dungun yang naik melimpah, dan kalau tak silap aku air sungai akan melimpah sampai ke padang ini. Seingat akulah!

Friday, November 20, 2009

Padang Zink Merah

Sebelum zink merah itu dirobohkan pelbagai kenangan banyak tersimpan di belakang pagar berzink berwarna merah tersebut. Ia merupakan padang bola sepak yang utama bagi daerah Dungun. Ia juga merupakan gelanggang utama bagi Liga Daerah Dungun yang setiap pasukan datang dari pelbagai kampung. Ia dipanggil oleh penduduk setempat dengan nama Padang Zink Merah kerana padang utama tersebut dikelilingi dan dipagari dengan zink yang berwarna merah yang ketinggiannya hampir setinggi pohon kelapa. Padang Zink Merah ini seumpama stadium untuk penduduk daerah Dungun tetapi rekabentuknya tidaklah seperti stadium yang mempunyai kerusi dan bangunan konkrit.

Di hadapan Padang Zink Meroh ini atau nama sebenarnya ialah Padang Dewan Merdeka terletaknya deretan teres rumah kerajaan dan rumah kayu sebuoh-sebuoh yang diduduki oleh kakitangan kerajaaan dan GLC samaada JKR, TNB dan kakitangan Kerajaan Tempatan. Di hadapan berhampiran bulatan terdapat satu tanah lapang dan di bawah pokoknya terdapat gerai kayu yang menjual jemput-jemput/cekodok, keropok lekor dan air pelbagai rasa berais. Ia merupakan tempat singgahan pelajar sekolah selepas waktu persekolahan untuk makan dan minum sebelum pulang ke rumah. Anak pemilik warung tersebut adalah kenalan aku. Rata-rata pelajar-pelajar sekolah menengah di situ memanggilnya sebagai Kedai Buja/Bujal. Di hadapan pintu besar Padang Zink Meroh terdapatnya gerai kecil menjual air pelbagai rasa berais, keropok lekor dan rojak nenas serta buahan-buahan yang lain yang dimakan dengan mencucuk lidi yang tajam . Biasanya gerai ini dibuka ketika perlawanan bola sepak diadakan.

Harga tiket pada waktu itu tidak aku ingati. Untuk masuk ke dalam padang, penonton perlu beratur di luar muka pintu masuk yang hampir dengan jalan raya. Seorang pak cik menunggu untuk melihat tiket dan mengoyakkan tiket tersebut sebagai tanda boleh masuk ke dalam padang. Agak pelik, tiket hanya diperiksa sebelum perlawanan bermula. Apabila perlawanan telah bermula, penonton/orang yang berada di dalam Padang Zink Meroh boleh keluar masuk sesuka hati sama ada singgah membeli air dahulu di gerai kecil tadi ataupun ke mana sahaja. Disebabkan tiada orang yang memeriksa tiket dan menjaga pintu masuk selepas perlawanan bermula, agaknya orang yang tidak bertiket boleh keluar masuk dengan bebas untuk menyaksikan perlawanan bola sepak liga daerah. Oleh itu tak perlu membeli tiket jika ingin menonton boleh sepak, tunggu sahaja selang 10-20 minit selepas perlawanan berlangsung, masuk sahajalah dengan percuma!

Bangku-bangku tempat penonton tidak cukup di dalam kawasan Padang Zink Merah tersebut. Bangku-bangku kayu yang usang dan hampir roboh tidak ditukarkan hampir beberapa tahun lamanya. Aku suka duduk di bangku kayu ini-bangku kayu ini kiranya grand stand kalau di stadium. Ramai penonton lebih suka duduk di tepi padang ataupun berdiri sahaja sambil bersorak (kadang bercampur maki-hamun). Di dalam kawasan padang ini juga mempunyai satu pentas berbumbung yang diperbuat daripada kayu dan hampir roboh. Pentas inilah tempat berucap dan upacara memberi hadiah. Di tepi padang pula terdapat juga satu bangunan yang telah usang.

Pasukan yang biasa aku tonton ialah Pasukan Kampung Sungai Buaya dan Pasukan Jalan Delima. kedua-dua pasukan ini umpama adik-beradik yang mana Pasukan kampung Sungai Buaya adalah abang dan Pasukan Jalan Delima adalah adik. Ini kerana kedua-duanya merupakan pasukan dari tempat yang sama. Jalan Delima terletak di dalam Kampung Sungai Buaya. Ia ditubuhkan lantaran Kampung Sungai Buaya terlalu besar dan mempunyai belia-belia yang suka untuk bermain bola. Oleh kerana hanya satu pasukan sahaja ditubuhkan, maka satu pasukan lagi ditubuhkan bagi memberi peluang kepada belia-belia tersebut. Pernah sekali kalau tak silap aku terdapatnya perlawanan akhir Piala FA antara Kampung Sungai Buaya dan Pasukan Jalan Delima dan ia digelar perlawanan abang dan adik. Perlawanan tersebut disudahi dengan kemenangan si abang iaitu Pasukan Kampung Sungai Buaya.

Pasukan Kampung Sungai Buaya ini sebenarnya rata-rata diwakili oleh belia yang merupakan nelayan. Mungkin stamina bekerja di laut, menarik pukat, berpanas berhujan menjadikan mereka kuat di padang bola sepak. Tak perlu ke gim, hanya sesekali waktu petang berlatih sebelum menghadapi perlawanan. Biasanya Pasukan Kampung Sungai Buaya ini juga pantang berjumpa dengan Pasukan Kampung Seberang Pintasan yang juga rata-rata nelayan. Pantang jumpa dan mungkin adegan kekasaran dan sedikit pergaduhan terjadi. Belum lagi bab penonton fanatik. Adegan gocoh (bergaduh), maki-hamum dan sebagainya yang dikategorikan 18SG, 18PL selalu terjadi samada pemain atau penonton. Pernah sekali Pasukan Kampung Sungai Buaya digantung daripada bermain di dalam Liga Daerah Dungun dek kerana perlawanan yang selalu diakhiri dengan bergocoh. Maka Pasukan Jalan Delima yang tinggal untuk disokong.

Aku juga teringat di padang ini pernah sekali kenderaan BIG FOOT melakukan aksi pertunjukkan yang ditaja oleh PALL MALL. Waktu itu pasukan kenderaan aksi BIG FOOT ini melakukan pertunjukan seluruh Malaysia dan antara venuenya adalah daerah Dungun. Pada waktu itu habis rumput rosak dengan aksi-aksi kenderaan tersebut.

Sekarang ini pagar zink merah tersebut telah dirobohkan. Deretan rumah teres di hadapan Padang Zink Merah telah dirobohkan. Sekarang ia ditukar nama daripada Padang Dewan Merdeka menjadi Dataran Merdeka. Padang ini tidak lagi berpagar, oleh itu aku tidak tahu sama ada perlawanan liga daerah masih ada diadakan, jika ada maka ia tidak bertiket jika diadakan di situ.

Satu kisah sedih bagi pihak keluarga aku, kerana di padang inilah salah satu ahli keluarga aku ditembak mati. Beliau adalah Allahyarham Mohd/Wan Khalid, yang merupakan D.O/Pegawai Daerah bagi daerah Dungun. Kata keluarga, Allahyarham Mohd/Wan Khalid ditembak oleh tentera Jepun, dan ada yang mengatakan ditembak oleh Komunis.

Friday, November 13, 2009

Ngarung

Sekarang musim banjir. Sekarang musim bah. Di kaca tv selalu berpesan, "Hindari anak anda dari bermain banjir", lebih kurang pesan-pesan tersebut. Pengalaman banjir di kampung Sungai Buaya dan Kampung Gong Pasir, banjir adalah seperti pesta. Rakit dibuat. Bermain rakit ke ulang alik dari jalan raya yang bertanah tinggi (biasanya jalan raya berkedudukan tinggi dari kawasan rumah) ke rumah. Tidak pun tiub pelambung bulldozer dijadikan seperti pelampung mandi manda di kolam renang mewah di hotel pusat pelancungan. Tidak pun tiub besar dijadikan pelampung itu dijadikan rakit dengan hanya meletakkan sekeping papan di tengah-tengah bulatan pelampung. Ke hulu, ke hilir hingga puas hingga petang.

Musim banjir. Musim mencari ikan juga. Ikan sepat, haruan, dan puyu bermain di longkang kecil. Ikan kecil berkepala putih setompok. Anak ikan sumbing yang rupanya sepeti ikan tidok atau layaran. Semuanya bermain di longkang-longkang kecil sekitar Kampung Sungai Buaya. Menaguk ikan. Itulah kerjanya. Musim tengkujuh bermakna musim cuti sekolah. Itulah kerjanya anak-anak dahulu. Iyalah kami tiada playstation portable, kami tiada playstation di rumah. Nak dapatkan game watch bukan senang di kampung. Kami tidak memerap di rumah selalu. Hanya memerap sementara menunggu hujan berhenti. Main rakit, main pelampung, dan menaguk ikan.

Acara lain di musim bah? Main lumba speed boat mainan. Bukan kawalan jauh tetapi dijanakuasa bateri saiz D. Saiz D terlalu berat, kami menukar dengan saiz AA. Ringan speed boat itu. Harga speed boat ini dalam RM 5 pada waktu itu. Berwarna putih di sebelah bawah, berwarna coklat di sebelah atas di hadapan pemandu. Mempunyai kemudi dan kipas yang mudah tercabut. Kawasan permainan lumba ini hanyalah di kawasan longkang kecil. Dua hingga empat biji akan diletakkan ke dalam longkang dan berlumba. Tiada modification dibuat, tiada motor ditukar, hanya saiz bateri sahaja ditukar. Kelajuan bot hanya bersandarkan kekuatan bateri. Siapa yang mempunyai bateri yang lama yang telah digunakan, alamat kalah. Siapa yang speed boatnya berlanggar dengan speed boat lain atau terlanggar dinding longkang, atau tersangkut kayu, alamatnya kalah. Siapa yang laju sampai ke garis penamatnya-dialah pemenang. Mudah sahaja peraturannya.

Acara lain lagi? Tiada. Hanya ngarung banjir sambil berpayung atau berbaju hujan atau hanya berseluar sahaja. Sekarang? Ingat jangan main banjir walau mengarung banjir. Sebenarnya bahaya!

Ngarung/mengarung - mengharungi dengan cara berjalan di dalam sungai/laut di tepi pantai, air banjir/bah.

Wednesday, November 4, 2009

Ikon @Dungun


Di atas ini adalah ikon atau logo rasmi bagi blog @Dungun. Setelah setahun blog ini muncul , buat sekian kalinya blog ini akan menggunakan logo di atas sebagai mercu rasmi untuk mengenali blog @Dungun. Daun kelapa digunakan sebagai unsur dalam logo ini kerana daerah Dungun mempunyai pantai dan kampung-kampung yang dipenuhi dengan pokok kelapa. Unsur warna hijau digunakan bagi melambangkan kedamaian daerah Dungun ini yang penuh dengan kehijauan tumbuh-tumbuhan dan hutan. Noktah.

Tuesday, November 3, 2009

Berudung. Berrudung. Beghudung. di Salwa

Bukan budu. Bukan anak berudu yang ditambah NG dibelakang perkataannya. Bacalah cerita ini.

Seorang lelaki. Memakai baju T-Shirt kegemarannya-mungkin jersi ragbi tertulis perkataan VIKING. Berlegar-legar di sekitar pekan Sura Gate. Pada waktu ini Pasar Raya Salwa adalah pasar raya yang utama di pekan itu. Di depan Medan Selera terletak sebuah bangunan kayu ala Balai Raya yang dijadikan Balai Pusat Rukun Tetangga tetapi tidak tahu milik kampung mana. Bangunan tersebut berwarna putih, tetapi bukan bangunan ini yang akan diceritakan di sini, tetapi tentang lelaki itu.

Memakai cermin mata hitam. Memandang kiri dan kanan, tetapi anak matanya tidak diketahui memandang ke arah mana lantaran dia memakai cermin mata hitam bergaya-harapnya bukan dibeli dari Pasar Minggu Hari Khamis. Sesekali dia memandang ke arah pokok besar seberang jalan setentang dengan Pasar Raya Salwa. Di sebelah pokok itu terdapat satu kedai majalah dan buku berbentuk Botol Susu dan sebuah pondok menunggu bas loncat - Kompeni, Himda, dan Thong Aik. Dia memandang ke sana kerana ramai gadis ayu bertudung litup sopan lagi ayu menunggu bas di situ.

Sebuah bas Kompeni berhenti di pondok tunggu bas tersebut. Dia tidak dapat melihat gadis-gadis tadi kerana ditutupi dengan susuk bas kuning tersebut. Mungkin gadis-gadis tersebut telah menaiki bas tersebut dan mungkin ada gadis-gadis lain yang turun pula di pekan ini. Agakannya benar. Selepas susuk bas bergerak dia terlihat seorang gadis lain yang bertudung litup ayu sopan yang mungkin baru turun dari bas tadi. "Cantik!" Getus hatinya.

Matanya tak terhenti memandang gadis itu yang berjalan bergerak menuju ke arahnya-tetapi bukan lurus ke arahnya cuma sedikit lari 1 darjah ke arah Pasar Raya Salwa. Gadis itu berjalan sopan dengan payung dijadikan tongkat. Bergerak menuju ke kaunter menyimpan barang-barang di luar pasar raya. Seorang pakcik yang menjaga kaunter tersebut menyambut payung tersebut. Gadis itu senyum dan masuk menuju ke dalam pasar raya. Dia mengekori dari jauh. Mengekori mahu menuju ke dalam pasar raya. Sampai di muka pintu pasar raya, dia berhenti sekejap, melilau-lilau mencari kelibat gadis tadi sambil membetulkan baju mengeringkan peluh di bawah aircond-almaklum aircond pintu masuk Pasar Raya Salwa memang sejuk.

Dengan peluh yang agak kering, lelaki itu menuju ke arah tangga untuk menuju ke tingkat 1 kerana gerak hatinya mungkin gadis tadi berada di tingkas atas. Dia menaiki tangga dengan langkah satu persatu dengan memandang ke arah anak tangga. Baru empat anak tangga, dia mendongak kembali setelah seperti ternampak kelibat bayang di anak tangga. Dia mendongak mahu mengelak bimbang selisih terlanggar, rupanya tidak sempat. Kelibat bayang tersebut adalah gadis tadi. Lelaki itu agak terkejut, malu merah padam-orang putih kata blushing. Kakinya seperti tidak berpijak bumi, sebenarnya tidak memijak tangga. Dia jatuh berudung/berrudung/beghudung...dung...dung...dung...ke belakang. Lelaki itu jatuh tanpa pekik, yang menjerit gadis tadi-hilang ayunya sekejap. Kecoh, tapi nasib baik lelaki itu tidak cedera, bangun tapi terhincut-hincut mungkin kerana sengal.

"Budi..........bakpe bunyi berudung/berrudung/beghudung tuh...bunyi bende puku pak pagi nih," satu suara menegur.
(Budi..........kenapa bunyi jatuh tuh...bunyi apa pukul empat pagi ni).

"Takdök mende mök...jatuh katil, bicuk sikek kat buku lali ni", jawab lelaki tu.
(Tak ada apa mak...jatuh katil, bengkak sikit kat buku lali ni).

"Tuh la...tido dök bace, dök basuh kaki...", sambung tegur nasihat dari luar bilik lelaki itu.
(Itulah...tidur tak baca ayat Al-Quran, tak basuh kaki...).

Noktah.

Terjemahan.

Berudung. Berrudung. Beghudung.

Berudung
/berrudung/beghudung adalah salah satu perkataan yang menggambarkan keadaan JATUH selain daripada ssugung dan ttumuh. Jatuh berudung/berrudung/beghudung adalah jatuh seperti jatuh tangga dengan tiba-tiba, juga jatuh dari tempat yang tinggi. Ia juga membawa maksud sesuatu bende yang berat yang tiba-tiba jatuh dari tempat yang tinggi - orang Terengganu kata semmerak jatuh, ( satu beban yang berat jatuh berdebik dengan tiba-tiba). Mungkin bunyi dung! (DUM!) disebabkan jatuh menjadi satu perkataan iaitu berudung. Mungkin.

Kalau jatuh hati jangan sampai jatuh berudung/berrudung di tangga.

Thursday, October 29, 2009

Huruf-Huruf Terengganu

Jika anda perasan dan sedar, di dalam blog ini ada ditulis beberapa huruf yang bertanda untuk menunjukkan bagaimana untuk membunyikan sesuatu perkataan mengikut slanga Terengganu. Contohnya huruf ö, dan huruf é. Blog @Dungun ini akan menggunakan kedua-dua huruf ini bagi memudahkan dan membezakan cara menyebut perkataan-perkataan mengikut slanga Terengganu.

Bagi huruf ö, sebagai contoh kita ambil perkataan atom, bagi mengetahui bagaimana untuk menyebutnya dan bunyinya ia akan ditulis sebagai atöm. Huruf o mempunyai dua bunyi, contoh : (1) ö - Komputer. Contoh yang kedua ialah : (2) o - Sopan.

Huruf e juga mempunyai dua bunyi. Bagi huruf é, mengambil sebagai contoh perkataan dalam Bahasa Melayu yang formal iaitu elok. Huruf e yang tidak bertanda, contohnya ialah emas.

Secara rasminya blog @Dungun menggunakan penulisan huruf ö dan é ini bagi memudahkan penyebutannya.

Dök söh keliru lagi. Blög ni ajör döh gane care nök sebuk pekataang Tranung, sile bace mölék-mölék, dök tahu tanye, selamak membace.

Wednesday, October 28, 2009

Muke bere : Stangbung & Stoték

Pada satu petang di kedai makan petang malam di Sura Hujung berhampiran UITM Dungun, berkumpul satu kumpulan rakan-rakan lama masing-masing berjumpa semasa cuti semester. Peluang yang ada semasa cuti digunakan untuk berkumpul bertemu bertukar cerita.

Keropok goreng dipinta untuk makan beberapa orang. Air minuman dipinta mengikut kemahuan masing-masing dan dicatat oleh pekerja kedai makan. Usai sudah mereka menyambung cerita ceriti sambil muka masing-masing dihembus bayu Laut China Selatan (sambil memandang awek-awek UITM Dungun galak bermain tepian gigi pantai-dan itulah tuan-tuan dan puan-puan kalau anak jantan tuan-tuan dan puan-puan pergi ke Sura Hujung petang hari nak nak petang Jumaat, tak lain dan tak bukan ingin mengayat manis si cantik UITM sambil melakukan aksi motor rempit).

Gelas minuman dan keropok stangbung/stambung dihidang. Terlalu banyak. Makan dan cicah sos lada (orang Terengganu panggil sos itu sebagai cuka/bukan cuka masak cap mangga/Yeos).

Makan dan makan sehinggalah keropok tinggal stoték sahaja. Salah seorang dari mereka masih makan konon ingin menghabiskan keropok yang tinggal stoték itu.

Air minuman di dalam gelas masing-masing telah habis yang tinggal hanya cairan ais yang menjadikan gelas sedikit mempunyai air bewarna putih bercampur cokelat pekat dan ada yang menjadi warna cokelat cair/teh cair. Salah seorang daripada mereka mengunyah ais hingga berkerut muka.

Maka tinggallah keropok sepotong. Tiada yang sentuh untuk menghabiskannya. Rakan yang tadi konon ingin menghabiskan apa yang tinggal menunjukkan isyarat tidak mahu.

Maka berkata satu suara dari belakang,"Sape makang makanang hök tingga ngelah skali, dök bazir, esok-esok bini cöme....". (Siapa makan makanan yang tinggal last sekali, tak membazir, esok-esok dapat isteri comel).

Berebutlah masing-masing inginkan keropok itu yang satu. Dapatlah satu rakan ini keropok yang terakhir.Tiba-tiba...

"Pök, order lagi kepok, dök puah hati ning dök dang ambik kepok ngelah takdi...", kata rakan yang tak puas hati. (Pak, order keropok lagi,tak puas hati tak sempat ambil yang last tadi).

"Weiii..jangan-jangan ini strategi pak cik ni, dia nak laku keropok dia, patutlah dia kena cakap macam tu tadi, yang kita percaya kenapa?", soal salah seorang rakan berlagak cakap KL lantaran baru 6 bulan belajar di salah satu IPTA di ibu negara.

"Pok, dök jadi order", rakan yang tadi membatalkan tempahan. (Pak, tak jadi order).

"Dakpe...aku dapak döh kepok ngelah takdi...esok-esok dapak bini cöme, mane tahu?", gelak rakan yang mendapat keropok yang terakhir. (Takpe, aku dah dapat dah keropok yang last tadi, esok-esok dapat isteri comel).

Tiba-tiba rakan-rakan yang lain bingkas bangun bersurai, sambil masing-masing menunjukkan jari ke arah rakan yang mendapat keropok yang terakhir tadi " Pök, dia bayörrrrrrrrrrr...." kesemuanya bersuara bertempik dan ketawa sekuatnya. (Pak, dia bayar).

Rakan yang keseorangan tertinggal hanya terkebil-kebil dengan muke bere.


NOKTAH.

Terjemahan.

Muka bere adalah satu lagi perlambangan orang Terengganu terhadap air muka yang ditunjukkan oleh seseorang. Sebelum ini blog ini telah memperkataan tentang muke rézak dan muke ccatung. Muka bere adalah bermaksud muka yang merah padam kerana bengang/malu tetapi bukan tersipu malu.

Stangbung/Stambung adalah berasal dari kata dasar tambun atau timbun yang membawa maksud kepada banyak. Stoték pula adalah bermaksud sedikit.

Makan Biar Stoték. Jangan Makan Stangbung. Nanti Sé éh Perut.

Friday, October 23, 2009

Misteri : Selök & Jetak

Pintu pejabat dibuka. Tiba-tiba jetak sendiri. Oh! Ada mekanikal spring di atas pintu, jika dibuka akan tertutup sendiri-dia terlupa sedangkan rutinnya pintu itulah yang dibuka akan tertutup sendiri. Pintu itu sepatutnya tertutup sendiri secara perlahan-lahan, tetapi tertutup terlalu cepat kerana sudah beberapa lama belum dibaiki. Dia masuk ke dalam pejabatnya. Diselak jendela tingkap. Langit di luar begitu gelap."Mahu ribut hujan mungkin", getus hatinya. Dia bergerak ke arah kerusi. Duduk empuk lalu membelek beberapa fail yang perlu diselesaikan.

"Gggum..."bunyi guruh kuat di luar. Petir kilat sekali-sekali selang-menyelang. Hatinya tidak tenteram. Dentuman guruh petir. Biliknya tiba-tiba gelap. Dia bergelap. "Electric Circuit Breaker jetak agaknya", cuba menyedapkan hati sendiri. "Hahaha,heee...heee....hui...hui...huii" suara di luar nyaring, gelak tawa, suke selök tiba-tiba kedengaran. Dia berpeluh. Dia tahu hanya dia seorang di pejabat ini. Kesemua orang lain sudah pulang lebih sejam yang lalu. Dia diam. Memikirkan apa yang perlu dibuat.

Pintu dibuka dari luar perlahan-lahan. Bunyi kuak pintu kedengaran. Dia terpaku. Menutup muka dengan tangannya. Mulut terkunci. Jarinya yang menekup muka dibuka sedikit mengintai siapa yang bermain pintu. "Kalau aku tahu, aku akan selök pintu tadi", hatinya berkata dan memikirkan moga-moga JAGA bangunan cepat datang, walau dia tahu dia tidak menelefon Bilik JAGA supaya JAGA datang. Harap-harap datang sendiri.

Pintu tidak terbuka luas. Hanya sedikit dan tidak jetak tertutup sendiri. Kelihatan nyalaan api dari luar. Bayang api dan asap."Huh!", hatinya makin tidak tenteram. Apa misteri hari ini. "Hahaha,heee...heee....hui...hui...huii", kedengaran semula.

"Kuakkk" tiba-tiba pintu dibuka besar. Nyalaan api makin dekat menerjah masuk ke bilik. Dia menekup rapat mukanya dengan buku. Sekelip mata lampu pejabatnya menyala. "Selamat Ulang Tahun Bossssssssss!!!!.", ucap suara beramai-ramai.

"Oiii!!! Hari ni bukan hari lahir aku laaaaaaaa", dia menjerit dengan muka separuh pucat.

"Ikut bulan Hijrah Bosss,bulan Islam", pegawainya menjelaskan.

"Kah...kah...kah..., terima kasih,terima kasih, Kah,kah,kah", suke selök akan dia. "Lain tahun jangan buat macam ni, guna trick lain pulak, kah...kah...kah...", sambung ketawa akan dia.

"Ok! Bosss....tahun depan kita masuk TV, kita panggil Bam Bam Boom TV3", cadang pegawainya.

"Gulp!", debar hati dia.

NOKTAH.

Terjemahan.

Cerpen yang lebih pendek dari cerpen. Selök & Jetak. Orang Terengganu menyebut Selök untuk menggambarkan perbuatan MENYELAK, SELAK pintu/mengunci pintu dengan selak, penyelak/selök, penyelök. Suke Selök pula adalah bermaksud ketawa yang melampau-lampau.

Jetak membawa maksud sesuatu benda seperti pintu yang bermekanikal spring akan tertutup sendiri/auto tetapi dengan kelajuan yang cepat. Jetak juga selalu digunakan untuk menggambarkan suis kotak fius elektrik dirumah, apabila petir menyambar di kawasan kita, Suis Pemutus Bekalan Elektrik/Electric Circuit Breaker akan tertutup sendiri atau Jetak sendiri.

Jangan biarkan diri anda di-Selök & Jetak oleh rakan-rakan anda.

Tuesday, October 20, 2009

Cakduh

Aduh duh duh cakduh
Berjalan kaki cakduh
Terlanggar batu lalu mengaduh

Aduh duh duh cakduh
Menukang kayu cakduh
Tangan tertukul lalu mengaduh

Aduh duh duh cakduh
Jangan kéngé jangan pula cakduh
Dua-dua orang tak suka orang lain yang mengaduh

Aduh duh duh cakduh
Jangan mak nga jangan pula cakduh
Satu cuai satu terlalu laju jangan nanti mengaduh

Aduh duh duh cakduh
Biar köhö-köhö jangan cakduh
Biar lambat asal siap tak ada orang nak mengaduh

Aduh duh duh cakduh
Jangan cepat jangan cakduh
Terlupa semacam yang dikejar tak dapat, dikendong berciciran lalu mengaduh

Terjemahan.

Cakduh adalah perlambangan orang Terengganu terhadap orang yang berperangai dalam melakukan sesuatu atau kerja dengan cuai dan gaduh-gaduh/terkejar-kejar/nak cepat siap.

Kerja jangan cakduh, biar köhö-köhö, asal siap.

Monday, October 19, 2009

Nebéng dan Bradöng

Seorang lelaki yang agak berumur lepak di wakaf. Melihat anak-anak muda umur dalam belasan - sekolah menengah bermain basikal mencongék tanpa jatuh sejauh jarak beberapa tiang letrik TNB.

"Döh puah hiduk mö 'öh budök-budök ni..." dengus orang tua itu.

"Jamang aku mude-mude orang dök maing basika gini...jatuh ggölek macang nangke buruk kekgi...jangang nebéng sangak, jatuh kekgi susoh, umö mude lagi..."tambah dengusnya lagi seorang diri, mahu ditempik budak-budak sekarang nakal keras hatinya, jatuh berkali-kali masih keras hatinya.

Mungkin ini permainan budak-budak sekarang. Ekstrem kata mereka. Mungkin mereka sekarang tidak berminat lagi dengan tradisi rakyat, tarik upih, bitö ketang nipöh, maing wa, atau mencari buah nipah di celah-celah pohon nipah di kawasan paya.

Budak sekarang nebéng sangat, bawa motor tanpa lesen, berlumba rempit sendiri. Budak sekarang nebéng sangat, main mercun tak berhati-hati.

"Jangang tebéng sangak...", sambung dengusnya lagi.

"Pök Long, hoh! Nengung mende tuh, maréng napok bradöng sangak wak kerja, ari ni duk lepak je atah wakah...", tegur rakan lelaki berumur tersebut.

"Ari ni rehaklah, letih duk wak kije maréng, esok sambung pulök...", jawab lelaki berumur tersebut. "Nök wak bok ke lauk ni kene molek sikek, kalu letih jangang wak, kekgi laing jadinya, böcö bok tu kekgi...." sambung lelaki berumur tersebut sambil tersengih-sengih.

"Doh marilah, kite kita kene roti payang dulu...Pök Mang ngang Pök Ding ade gök tuh", ajak rakannya.

"Bereh...bereh", lelaki berumur tersebut beredar dengan rakannya.

NOKTAH.

Terjemahan.

Sedikit cerita pendek. Di sini ada dua istilah yang menggambarkan perangai dan perbuatan dan pekerjaan seseorang. Nebéng dan Bradöng itu adalah perlambangan orang Terengganu terhadap dua sikap negatif dan positif.

Nebéng/Tebéng bermaksud satu perangai yang negatif iaitu melakukan sesuatu perkara yang melampaui batas yang bersifat tidak baik atau membawa kemudaratan dan boleh membuatkan orang tidak suka kepada kita. Contohnya seperti menunggang motor tetapi tiada lesen lalu merempit laju lalu jatuh motor lalu patuh kaki-mujö dök mati. Contoh lain adalah membuat sesuatu pekerjaan yang bersungguh-sungguh tetapi hasilnya tidak baik malah memudaratkan dan kesannya tidak baik ke atas orang tersebut - demam kuat tetapi tebéng pergi kerja, hasilnya demam tak kebah, malah melarat demam tersebut. Antara dialog- (a) Jangang nebéng sangak wak kije tuh, sakik kekgi. (b) Jangang tebéng mandi hujang, demang kekgi. (c) Jangang nebéng sangak suruh orang, kekgi orang dök suke...

Bradöng pula membawa maksud yang lebih kepada positif. Ia lebih berkait dengan pekerjaan iaitu melakukan sesuatu pekerjaan dengan sungguh-sungguh dari kebiasaan tetapi hasilnya baik dan ia membawa kesan yang positif - pekebun/peladang bekerja dengan bradöng, hasilnya tanaman menjadi dan mendapat pulangan yang lumayan.

Hidup Jangan Nebéng. Kerja Biar Bradöng. Itu nasihat orang Terengganu.

Sunday, October 18, 2009

ök & dök dang dang

Peminat : Bila mung nök beli Chamakh nih?
(Bila kamu nak beli Chamakh nih?)

Arséne Wenger : ök dulu...(sambil tangan berpeluk tubuh)
(Tunggu dulu...(sambil tangan berpeluk tubuh))

Peminat : Kekgi dök dang pasukang lain beli sambö dulu...
(Nanti tak sempat pasukan lain beli dan sambar dulu)

Arséne Wenger : Dök dang dang mung nih, sapa mase, aku akan kabö beli ke dök, buke je web rasmi kekgi...
(Tak sempat sempat kamu nih, sampai masa, aku akan beritahu samada beli atau tidak, nanti bukak aje web rasmi...)

Terjemahan.

ök bermaksud sabar, ök dulu - tunggu dulu. Perkataan ök ini bukan bermaksud okay/ok. Dök dang dang bermaksud tak sempat, tak menyempat atau bahasa pasar di tempat lain ialah Tak dan dan.

Saturday, October 17, 2009

Teksi ke beca?

Jika sampai ke Terengganu jangan pelik, jangan hairan. Teksi (kereta sewa) yang tiada meter dipanggil teksi, beca roda tiga dipanggil teksi. Tiada beca di Terengganu. Noktah. Sebenarnya ada. Beca roda tiga dikayuh golongan veteran dipanggil teksi. Di Dungun sendiri pada waktu ini telah tiada (atau masih ada tapi tinggal dua tiga beca sahaja?) Dulu-dulu beca digunakan oleh makcik-makcik dan kakak-kakak di sekitar kampung untuk turun ke kuala/Pasar Besar Dungun, atau ke pekan Sura Gate/De Gate - Maaf! Bunyinya macam Perancis tetapi itulah, orang Dungun memanggil Sura Gate sebagai De Gate.

Beralih ke cerita beca. Sekarang amat payah untuk melihat beca-beca di Dungun. Di daerah-daerah lain di Terengganu, tidaklah aku tahu.

Mök cik yang duduk atas lambo : Höh! Nök gi duane tuh?
(Hoh! Nak ke mana tu?) Jerit Mok cik kepada rakannya yang duduk dalam beca roda tiga.

Mök Cik yang duduk dalam beca : Nök gi darakk, makang gula...
(Nak ke darat sana, makan kenduri). Jawab Mök cik yang duduk dalam beca - dengan nada jerit agak-agak dalam 8 desibel.

N
ök gi darakk, makang gula... orang Dungun menyebut nök gi darrak adalah nak ke Kampung Gong Pasir/Kampung Pak Sabah, makang gula pula bukanlah bermaksud makan gula yang manis, tetapi makan gulai iaitu lauk pauk kenduri kahwin (nasi minyak gulai ayam gulai daging).

Friday, October 16, 2009

Dök Juwéng & Dök Berlage Anging

Adik-beradik, ahli keluarga ada yang tak sehaluan, ahli parti politik ada yang tak boleh jumpa, kalau jumpa pasti bertikam lidah, walhal ahli politik semeja minum kopi walau berlainan manifesto, berlainan objektif dan berlainan filosofi.

Itulah. Di Terengganu kita panggil Dök Juwéng, dan Dök Berlage Anging. Dök Juwéng mungkin berasal dari kata Inggeris - Don't Joint - Tidak Sehaluan.

Itulah di Terengganu, masa pilihanraya, masa perang poster, geng yang dök juwéng dan dök berlage anging akan bertemu buku dan ruas.

Entahlah. Melayu Islam - bersatulah!

Thursday, October 15, 2009

Muke Ccatung

Lagi cerita berkaitan tentang muka, tapi kali ini muke ccatung.

Penemuramah Kerja : Saudara, bekerja di bank ini terutama di kaunter memerlukan tuntutan kesabaran yang tinggi dalam meghadapi kerenah pelanggan, saudara perlu bersabar dan tidak menunjukkan muke ccatung.

Orang Kena Temu Ramah : Err...encik, muke ccatung tu apa?

Penemuramah Kerja : Muke Ccatung merupakan perlambangan orang Terengganu terhadap orang yang menunjukkan muka masam sama seperti muke rézak. Ok! Saudara gagal mendapat kerja ini, maksuk muke ccatung pong dok tahu... Orang Teranung ssaje...

Orang Kena Temu Ramah : (Blur) (Dalam hati - mak aku orang Terengganu, aku lahir membesar di KL, entah apa-apa dia ni...).

Wednesday, October 14, 2009

Dök ingboh : Warisang Kite (Kenangang di Kapong Ladang)

Dök ingboh sikék pong
Kalu kite röngbök
Kite wak baru
Tapi kite ilang warisang kite

Dök ingboh sikék pong
Kalu kite röngbök
Kite dapak hök baru
Tapi kite ilang warisang kite

Dök ingboh sikék pong
Kalu kite röngbök
Kite dapak bangunang sayuk tinggi
Tapi kite ilang warisang kite

Dök ingboh sikék pong
Kalu kite röngbök
Kite dapak hök cömé
Tapi kite ilang warisang kite

Dök ingboh sikék pong
Kalu kite röngbök
Kite dapak hök lawö name pun naik
Tapi kite ilang warisan kite - kite ilang orang wak batik tembage kite

Dök ingboh sikék pong
Kalu kite röngbök
Kite dök keka warisang kite
Tapi kite ilang warisang kite - kite ilang kapong lame kite

Dök ingboh sikék pong
Kalu kite röngbök
Kite pingdöh tepak lain
Tapi kite ilang warisang kite - name kapong kite döh tadök dalang pete

Dök ingboh sikék pong
Kalu kite röngbök
Kite dök buak kapong kite jadi kapong warisang - batik dang tembage
Tapi kite telah ilang warisang kite...

Nota :
Dök Ingboh bermaksud tiada imbuhan; Dök - tiada/tidak, Ingboh - imbuh/imbuhan. mengikut slanga Terengganu Dök Ingboh lebih tepat dengan maksud tidak berbaloi, tak berbaloi. Dök ingboh sikek pong membawa maksud tidak berbaloi langsung, tidak berbaloi sedikit pun.

Monday, October 12, 2009

Lésék

"Kotoran degil pada baju anak anda? Gunakan pencuci cap Penyu. Caranya ialah lésék sedikit cecair pekat pencuci cap Penyu pada kotoran. Tuangkan cecair pekat pencuci cap Penyu mengikut sukatan tudung bekas pencuci Cap Penyu ke dalam mesin basuh. Lihatlah hasilnya. putih berseri dan suci. Léséklah secukupnya, gunakan tanpa ragu-ragu...."

Itulah iklan pencuci pakaian Cap Penyu (kemungkinan keluaran Bumiputra Terengganu). Seperti penyu berjalan perlahan, pencuci tersebut mencuci dengan perlahan-lahan bagi membersihkan semua kotoran tanpa tertinggal, walaupun perlahan tetapi berkesan, biar lambat asal bersih.

Lésék - ialah perlambangan kerja yang membawa maksud palit, atau lebih tepat sapu. Lésékkang - sapukan.

Sunday, October 11, 2009

Muke Rézak

Perkhidmatan Pelanggan atau customer service tidak kira anda bertugas di kaunter pembayaran samaada di bank, pejabat pos, pejabat tanah/majlis perbandaran mahupun di kaunter pertanyaan, anda harus bertugas dengan muka penuh senyuman dan mesra pelanggan.

Pelanggan A : Diee dök senyung pong, muke rézak je aku tengok...tanye sepatoh, dia tungjuk mulut jebéh je...

Rakan Pelanggan A : Dakpe ah, kite sabo je...diee memang gitu...

Muke rézak itu adalah perlambangan orang Terengganu terhadap orang yang menunjukkan muka yang masam kelat, muke tensen, tidak senyum, tidak mesra dan endah tak endah apabila berhadapan dengan orang lain yang memerlukan bantuan atau khidmat.


Terjemahan Dialog.

Pelanggan a : Dia tak senyum pun, muka masam je aku tengok...tanya sepatah, dia tunjuk dengan mulut juih je...

Rakan Pelanggan a : Tak apalah, kita sabar je, dia memang macam tu...


Apa yang penting...senyung sokmolah...

Friday, October 9, 2009

Rutuh dan Rebih

Gempa bumi melanda. Habis tanah rutuh, bangunan rutuh. Banjir melanda. Habis tebing sungai rebih. Dua situasi yang melanda bumi menjadi binasa. Sekarang gegeran dan gempa bumi melanda di negara seberang. Musim tengkujuh hampir tiba di pantai timur negara kita. Musim banjir dan musim tanah rebih, tebing rebih. Kalau di pantai berpasir bertebing, sekali di pukul ombak besar, pasir habis rebih dikaut masuk ke laut.

Rutuh : tanah runtuh - digunakan untuk menunjukkan keadaan tanah runtuh samaada disebabkan hakisan hujan, gempa bumi yang menyebabkan tanah runtuh dalam skala yang besar, juga digunakan untuk menunjukkan kejadian bangunan runtuh.

Rebih : tebing rebih - digunakan untuk menunjukkan keadaan tanah/pasir di tebing r(di tebing sungai/ atau tebing bukit) runtuh disebabkan banjir, hujan yang menyebabkan tanah/pasir runtuh dalam skala yang kecil.

Doa kita moga selamat serumpun kita di negara seberang - Sumatera.

Thursday, October 8, 2009

Ulangtahun Pertama Blog @Dungun

Ulangtahun Pertama Blog @Dungun.

Doh setahung doh blog ni aku tulih. Banyok perkare doh aku tulih. Nantikang ade banyok lagi bende aku nok tulih.

Terima kasih kepada pembaca setia. Terima kasih kepada Followers. Terima kasih kepada yang add dan link blog @Dungun ini. Terima kasih dan teruskan bersama.