Wednesday, July 27, 2011

Mari ke Muzium Dungun

Muzium Dungun antara muzium muda di negara kita yang baru menapak dan baru beroperasi dalam Negeri Terengganu. Ia merupakan bekas Rumah Pegawai Daerah yang dibina pada tahun 1941. Ia menyimpan pelbagai khazanah dan sejarah Dungun yang telah lama wujud di sebelah Pantai Timur Semenanjung di Kepulauan Alam Melayu ini.


Terletak di Jalan Besar Yahya Ahmad (Allahyarham Yahya Ahmad merupakan seorang bekas guru dan tokoh koporat di negara kita yang berasal dari Dungun) yang dibuka pada setiap hari Sabtu hingga Khamis dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang dan masuk adalah percuma. Ia ditutup pada hari kelepasan am dan Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha - Hari Raya yang pertama dan kedua sahaja. Aku menggalakkan penduduk setempat terutama anak-anak muda ziarah ke sini untuk mengetahui dan menambah pengetahuan berkenaan sejarah daerah sendiri. Galakkan untuk mengenali sejarah daerah kita sendiri patut dipupuk kepada anak-anak muda sekarang.


Papan tanda menarik di muka pintu masuk.


Kaunter salam menyambut pengunjung.


Paparan sejarah Rumah Pegawai Daerah Dungun yang kini menjadi Muzium Dungun.


Biodata daerah kita.


Sedikit sentuhan sejarah awal.


Hasil khazanah yang dipaparkan.


Tembikar-tembikar yang ditemui dalam Kapal Wanli yang karam di perairan Dungun.


Perhatikan tembikar sebelah kiri dari Dinasti Ming. Terukir Doa Makan!


Lagi hasil khazanah yang dipamerkan.


Hasil mineral dan alatan dari tinggalan Perlombongan Bukit Besi.


Sejarah ringkas tentang Peristiwa Penting dan tokoh-tokoh silam di daerah Dungun, antaranya Almarhum Sultan Yahya Siak dan Allahyarham Panglima Tambun.


Penerangan tentang Rantau Abang dan Pulau Tenggol.


Menarik! Ikan terkecil di dunia dijumpa Hutan Simpan Bukit Bauk. Ikan terkecil di dunia jenis Paedocypris yang berukuran 7.9mm.

Rel landasan keretapi zaman Bukit Besi yang dijumpai semasa kerja-kerja ubahsuai jalan di Bandar Dungun di kawasan Sura Gate.


Setelah tamat meneroka sejarah Dungun, jangan lupa menulis sedikit catatan pengalaman anda dan pendapat yang membina bagi menambahbaikan muzium kita ini. Sepanjang perjalanan meneroka sejarah di muzium ini anda akan dipandu oleh kakitangan muzium ini dan memberi sedikit penerangan kepada anda bagi mendapat maklumat dan pengetahuan yang lebih jelas. Gambat-gambar yang dipamerkan di blog @Dungun ini hanya sebahagian dari apa yang dipamerkan di Muzium Dungun. Nak tengok lagi, jom pakat gi Muzium Dungun!

Monday, July 11, 2011

Sarang di Sungai Udang

Sarang apakah ini?


Aku agak lama mencari-cari sarang ini. Sungguh payah untuk menemui sarang ini. Berlainan pada tahun 80an ke awal 90an dahulu. Agak banyak. Sekarang agak risau kalau-kalau haiwan ini telah pupus.


Pencarian aku berakhir di Kampung Sungai Udang. Hanya sarang-sarang sahaja yang dapat ditangkap gambar. Haiwan yang bersarang di tepi sungai kecil ini tidak aku ketemui. Sarang pun jadilah. Apakah nama haiwan ini disebut di Terengganu?


Haiwan tersebut namanya Udang Ketok. Bukan udang ketok laut. Ini sarang udang ketok darat. Gemar membuat sarang di tepi sungai kecil, kawasan berpaya dan alur. Udang Ketok ini berwarna putih merah, badannya panjang tirus dan mempunyai sepit kiri dan kanan seperti ketam.


Kini sungguh sukar sekali untuk mencari bagi menangkap gambar haiwan ini. Malah sarang-sarang yang ada hanya sedikit. Aku risau kalau-kalau ia pupus di Dungun ini. Haiwan yang dahulunya banyak bersarang di Jalan Lembah dan Sungai Buaya. Budak-budak sekarang kenalkah haiwan ini? Nanti kalau aku berjaya menangkap gambar haiwan ini, aku kongsikan di sini. Kalau boleh ada pihak yang mewartakan haiwan ini sebagai haiwan lindungan. Harap-harap haiwan ini ada yang diternak di Zoo. Ada ke?

Sunday, July 10, 2011

Dok rase saloh ke...?

TAK RASA BERSALAH KE...? BUANG SAMPAH DARI KENDERAAN ANDA?


Papan tanda sindiran yang diletakkan di jalan utama Dungun, dari arah PAKA-DUNGUN dan arah DUNGUN-KUALA TERENGGANU di kawasan lampu isyarat depan Pasar Buah Dungun. Harap-harap kita faham-faham sendiri. Sayangi Dungun.

Thursday, July 7, 2011

Di mana Kuala Dungun?

Jeragang tanya, "nak tanya mung se awang acu jawab molek..... kuala dungung tu sebeno2 nyer duk kat aner gok?"

Aku jawab, "Huh! Soalang cepu mas tu, dari segi geo ambe dok tahu sangak, tapi ambe cube teka, kuala tu adalah kawasan air yang berbeza warna dia antara sunga dengang laut. Kene duduk tengok kat tanjung hujung kuala tu baru napok. Ye dok?"

Jeragang jawab, "sebenonye ambe pung dok tahu jugak tapi ambe berasa setentang antara ujung tanjung dengan bukit lepas teluk ddare bukit belah orang panggil."


Aku rasa jawapan Jeragang betul, kerana kalau tak silap aku, kawasan tersebut adalah kawasan sempadan laut dan sungai di mana airnya berbeza dan menandakan ia sebagai sempadan sungai laut. Kalau anda berada di tanjung kuala sebelah Kuala Dungun, anda akan dapat melihat ombak kecil di sebelah daratan tebing sungai yang berpasir seumpama pantai. Kawasan yang menghadap jeti LKIM ini seumpama kawasan pantai mungkin kerana ia merupakan kawasan yang berhampiran dengan pantai laut-maka tempias ombak sedikit menjadikan arus sungai di sini berombak kecil. Tambah lagi laluan bot-bot nelayan pergi dan pulang yang menjadikan arus sungai berombak.

Wednesday, July 6, 2011

Pembangunan Pantai Di Dungun

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini pelbagai Homestay, Hotel, Resort tumbuh bagai cendawan di sepanjang pantai dari bermula jalan Muzium Dungun hinggalah ke Sura Hujung. Perniagaan berteraskan perhotelan ini semakin bertambah dan panorama di sini hampir-hampir mirip di sepanjang pantai Port Dickson (walau tidak segah PD). Ini mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Cumanya aku rasa kurangnya promosi tentang hotel-hotel di sini. Mungkin baru merangkak dan pantai-pantai di Dungun ini masih lagi memerlukan sedikit sentuhan pembangunan tanpa perlu mengacau keaslian keindahannya.

Cakap-cakap kampung mengatakan tanah-tanah pantai ini akan dibangunkan, mungkin untuk tujuan pelancongan. Bagi aku ia bagus tapi seperti yang aku katakan tadi, diharapkan sentuhan pembangunan tidak menjadi pengacau kepada keindahan yang asal di sini. Jangan rosakkan landskap pantai di sini. Mungkin pantai PD boleh dijadikan penanda aras, tetapi terlalu banyak hotel yang meninggi langit, pelbagai deretan bangunan telah menjadikan pemandangan di sana tidak sesyahdu pemandangan pantai-pantai di Dungun. Pendek kata-sesak. Mungkin boleh dibuat kuota jumlah hotel dan resort yang boleh dibina di sepanjang pantai di Dungun bagi memudahkan pihak PBT mengawasi pembangunan di sini di samping dapat mengekalkan keaslian keindahan pantai.

Satu lagi ialah promosi. Peningkatan promosi mungkin menjana ekonomi di Dungun. Aku rasa sekalian blogger-blogger atau jurnalis jati Dungun atau berpangkalan di Dungun boleh membantu dengan mempromosi secara percuma di blog dan laman sesawang anda. Apa salahnya membantu anak setempat kita sendiri? Selain daripada itu, aktiviti-aktiviti pelancongan di Dungun mungkin boleh dipertingkatkan, dan aku rasa anak setempat kita di dalam PBT atau dalam kerajaan mempunyai perancangan yang baik bagi meningkatkan pelancongan di sini.

Sedikit cadangan aku :

  • Jadikan Pasar Besar Dungun segah Pasar Kedai Payang atau Pasar Siti Khadijah di Kelantan. Jadikan pasar ini bukan semata-mata menjual barang masakan, dapur dan hasil darat dan laut, tetapi juga intergrasikan juga dengan hasil seni tempatan seperti batik canting-dengan membina kawasan mengusahakan batik canting (Rumah Batik Canting), kawasan pembuatan keropok lekor/keping (Rumah Keropok Lekor), kawasan mengusahakan makanan tradisional seperti akok, nasi dagang, rojak kateh dan sebagainya-namakan ia sebagai Rumah Juadah Terengganu. Popularkannya walau mungkin mengambil masa.
  • Jadikan Melaka sebagai penanda aras dalam menjaga kebersihan dan menjadikan pelancongan sebagai sumber ekonominya.
  • Temakan daerah Dungun dengan satu nama yang memudahkan pelancong untuk mengenalinya- umpamanya sebelum ini Dungun pernah digelar Dungun Bandar Tenggiri. Aku pula lebih suka dikenali sebagai Bandar Muara Sungai.
  • Slogan JOM PAKAT GI DUNGUN, begitu menarik, cuma perlukan seseorang yang pakar untuk membuat logo bagi menusuk ingatan para pelancong. Aku pula gemar menggunakan Tiang OPAL sebagai tanda pengenalan Dungun. Mungkin anda mempunyai pendapat yang berbeza?
Itu sahaja? Mungkin.

Friday, July 1, 2011

Tanjong Pagar

Semalam tertutuplah satu stesen Tanah Melayu yang membelah ditengah Singapura. Stesen Keretapi Tanah Melayu Tanjong Pagar, Singapura. Sila baca di sini Tanjong Pagar, Tanjong Pagar dan Tanjong Pagar. Kaitan peristiwa ini tidaklah relevan dengan @Dungun cumanya nostalgianya apabila membaca berita-berita tersebut. Satu lagi di Dungun juga ada nama tempat/nama kampung yang sama iaitu Tanjong Pagar. Ia di kawasan jambatan lama yang menghubungkan Tanjong Pagar dengan Pulau Serai. kalau anda tahu Dungun Timber/Sawmill atau penduduk setempat memanggilnya soméng, di kawasan yang berhadapan Sawmill tersebutlah terletaknya Tanjong Pagar yang juga berhadapan bertebing dengan Sungai Dungun.

Dulu-dulu pada waktu kecil aku diajar sebut kawasan Tanjong pagar ini sebagai ulu. Ia bukan bermaksud merendahkan martabat kawasan tersebut, tetapi bagi membezakan antara kawasan Kampung Nibong Bawah yang lebih menghilir ke muara sungai dengan kawasan Tanjong Pagar yang ke kawasan yang dalam sedikit, tetapi sebenarnya Kampung Nibong Bawah dengan Tanjong Pagar hanyalah berjiran.

Mungkin inilah uniknya orang Dungun ini bagi memudahkan kata menyebut tempat, maka dibezakan begitu, pada zaman motokar hanya boleh dibeli oleh golongan berada dan kakitangan kerajaan, pada masa masih ramai lagi orang berbasikal berbanding dengan bermotorsikal, tatkala masih ada lagi beca yang kuat membawa penumpang ke darak (Gong Pasir/Pak Sabah) atau ke kuale (Pasar Besar Dungun) dan tatkala ada yang masih lagi berjalan kaki ke degate (Sura Gate).