Friday, April 23, 2010

Nama Orang Terengganu

Pernah tak kita ada kawan yang namanya kita panggil atau memang nama sebenar mereka ini ialah Jusoh, Awang, Mamak (Mamat), Wang (Wan), Tuang (Tuan), Teku (Tengku), Che, Che, Ku, dan Engku. Nama-nama ini sebenarnya begitu sinonim dan melambangkan asal orang tersebut.

Nama seperti Jusoh dan Awang banyak digunapakai di sebelah Terengganu dan Kelantan. Begitu juga dengan nama Mamat (ikut slanga Terengganu-Mamak). Nama-nama ini memudahkan orang lain untuk mengetahui asal usulnya, cuma bertanya asal dari Terengganu atau Kelantan.

Nama Wan pula mungkin di Malaysia ini lebih mengetahui asalnya dari keturunan bangsawan dari negeri Kelantan, tetapi sebenarnya di negeri Terengganu juga mempunyai keturunan Wan yang bertaburan di sini. Cuma perlu bertanya Wan Terengganu atau Wan Kelantan. Mungkin dari sejarahnya keturunan Wan di Terengganu ada hubungan salasilah dengan keturunan Wan di Kelantan. Mungkin juga keturunan Wan yang berhijrah dari Kelantan dan titih-titihnya bertaburan di seluruh negeri Terengganu. Begitu juga dengan nama Megat walaupun kita jarang mengenali nama Megat di negeri Terengganu kerana ia lebih dikenali dan lebih rapat dengan keturunan megat Terawis di negeri Perak. Dari segi sejarah, nama Megat telah lama ada di negeri Terengganu iaitu Megat Panji Alam.

Orang yang mempunyai pangkal namanya Tuan sama ada lelaki atau wanita juga banyak digunapakai di negeri Terengganu. Kata orang nama Tuan ini adalah keturunan Rasullullah. Awang sendiri ada mengenali beberapa nama orang yang mempunyai pangkal nama Tuan berasal dari Dungun sendiri dan dari Kuala Berang.

Keturunan Tengku pula agak banyak bertaburan di daerah Dungun ini. Semasa zaman persekolahan, Awang sendiri mempunyai ramai rakan sekolah yang mempunyai pangkal nama Tengku. Mereka semua adalah keturunan istana (mungkin dari kerabat istana Terengganu). Nama-nama (pangkal nama) Che, Che Ku, dan Engku juga melambangkan nama-nama orang Terengganu. Nama-nama gelaran ini asalnya ialah dari golongan bangsawan istana Terengganu. Jika nama mereka panjang sekalipun, ramai orang suka memanggil mereka dengan pangkal nama sahaja iaitu seperti Che sahaja atau Che Ku sahaja. Jika yang lebih tua ada yang memanggil mereka dengan gelaran Ayoh Ku (Ayah Ku-bukan ayahku), Pok Ku (Pak Ku/Pak Engku), atau Mok Ku (Mak Ku/ Mak Engku). Gelaran ini juga digelar kepada orang yang berketurunan Tengku.

Nama-nama lain seperti Sulaiman orang Terengganu menyebutnya sebagai Slémang, Saiful-Sépo, Man-Mang, Idris-Derih, Ismail-Wé dan pelbagai lagi. Kebanyakkan nama disebut pendek dan mengikut slanga.

Seeloknya nama dipanggil penuh, sesuai menghormati orang itu.

Thursday, April 22, 2010

Tuntutan Bagasi E & F

Kalau anda tiba dari luar negara mendarat di KLIA dan mengambil bagasi di Carousel E atau F (Baggage Reclaim E/F - Tuntutan Bagasi E/F) anda pasti terpandang dan terpesona dengan paparan iklan yang menggambarkan keindahan dan budaya negeri Terengganu Darul Iman. Promosi sebegini amat bijak kerana KLIA adalah pintu masuk negara dan first impression atau tanggapan awal pelancong ke Malaysia pasti tertarik, teruja dan tertanya-tanya di manakah gterletak tempat menarik ini dan pastinya mahu ke negeri Terengganu Darul Iman. Bagi anak jati Terengganu yang baru pulang dari luar negara dan mendarat ke KLIA pasti teruja untuk pulang ke tanah kelahiran dengan segera setelah melihat beberapa paparan iklan promosi pelancongan negeri Terengganu. Pasti rindu...








Tuesday, April 20, 2010

Buoh Pusing Keda

Budak itu umurnya 11 tahun. Tidak pernah keluar dari kampung kelahirannya di satu kawasan pedalaman dalam satu daerah dalam negeri Terengganu Darul Iman. Satu masa sekolahnya mengadakan lawatan ke Muzium Losong dan sekitar bandar Kuala Terengganu. Lalu dia mencanang kepada ibu bapanya dan atuk neneknya. Satu surat keizinan yang memerlukan tandatangan kebenaran daripada ibu bapanya telah didapatinya. Menjelang beberapa hari sebelum hari lawatan tersebut yang mungkin bermakna kepada budak itu, neneknya menyapa budak itu sedang budang itu mengemas beberapa barang dan pakaian ke dalam beg kecil.

Nenek : Tuk napok mung terketik-ketik nok gi nih.
(Tuk nampak kamu ni teruja nak pergi dah ni).

Budak itu : Ye aaa Tuk, rasa nok gi llalu. Puah oh nunggu nih.
(Yelah tuk, rasa nak pergi sekarang jugak. Dah puas menunggu ni).

Nenek : Gini ah, Tuk nok kiring buoh pusing keda, kalu jupe beli sutir ke Tuk.
(Beginilah, Tuk nak pesan kirim belikan Tuk buah pusing kedai, kalau terjumpa belikan sebiji untuk Tuk).

Budak itu : Buoh mende tu Tuk? Dok rajing dego pung.
(Buah apa tu Tuk? Tak pernah dengar pun).

Nenek : Dakpe, tanye aaa sape-sape tuang keda kekgi.
(Tak apa, tanya aje sapa-sapa tuan kedai tu nanti).

Budak itu : Bulehlah Tuk, nanti ambe beli.
(Bulehlah Tuk, nanti saya belikan).

Nenek : (Tersenyum simpul atas janji cucu kesayangannya).

Hari lawatan telah tiba. Setelah berpusing melihat khazanah bumi sejarah Terengganu di Muzium Losong, rombongan lawatan itu singgah ke Bandaraya Kuala Terengganu-Pasar Besar Kedai Payang.

"Hoh! Sini kuk ade jua buoh pusing keda, buleh cari nih", getus hati budak itu.
(Hoh! sini agaknya ada dijual buah pusing kedai, buleh cari nih).

Maka bermulalah perjalanan budak itu lagak seperti mencari harta tersembunyi. Puas dia berpusing di bahagian bawah Pasar Kedai Payang, ditanya penjual semua menggeleng kepala malah ada yang tersenyum-senyum. Budak itu makin tidak faham malah lagi tiada tanda atau papan yang menyatakan ada dijual buah tersebut. Makin pening budak itu. Naik ke tingkat atas mencari lagi bagi memenuhi hajat Tuknya di kampung. Puas berpusing tapi tak berjumpa. Masa makin suntuk dan guru-guru pengiring mengarahkan murid-murid menaiki bas untuk pulang semula ke sekolah.

Di dalam bas budak itu termenung.

Cikgu : Hoh! Bakpe menung jauh ning?
(Hoh! Kenapa termenung jauh ni).

Budak itu : Dok jupe nok beli barang.
(Tak jupe barang untuk dibeli).

Cikgu : Barang mende?
(Barang apa?).

Budak itu : Buoh Pusing Keda.
(Buah Pusing Keda).

Cikgu : (Menahan ketawa). Dok jupe?
(Tak jumpa?).

Budak itu : Dok jupe cikgu. Ssiang Tuk saya pesang, kekgi kecik ati pulok.
(Tak jumpa cikgu. Kesian Tuk saya dah pesan, nanti kecik hati dia pulak).

Cikgu : (Dengan muka yang masih menahan ketawa). Doh takdi pusing abih doh keda takdi? Cari pusing abih tepak belake doh?
(Dah tadi dah habis pusing semua kedai? Dah cari semua tempat?).

Budak itu : Puah doh cari, dok jupe.
(Puas dah cari, tapi tak jumpa).

Cikgu : Doh takdi pusing habis dok keda tu, buoh pusing keda la tuh.
(Dah tadi dah pusing habis kedai tu kan, buah pusing kedai la tuh).

Budak itu : Dok pahang?
(Tak paham?).

Cikgu : Buoh pusing keda tu takdok dalam dunia ni, tuh Tuk awok tu kenakang awok, buoh pusing keda tu maknanya Tuk awok suruh pusing seme keda, doh awok pusing seme keda tu maknanya awak dapatlah tu, DIKENAKAN oleh Tuk awok suruh pusing semue derek keda. Lebih teruk kekgi awok kene gelok dengang orang.

(Buah pusing kedai tu tak ada dalam dunia ni, itu Tuk awak nak mengenakan awak, buah pusing kedai tu maknanya Tuk awak suruh pusing semua kedai, dah awak dah pusing semua kedai, itu maknanya awak dapatlah tu, DIKENAKAN oleh Tuk awak suruh pusing semua deretan kedai. Lebih teruk lagi awak diketawakan orang).

Budak itu : (Terkejut). Laaaaaaaa............terkene la saya ni cikgu.

____________________________________________________________________

Buoh pusing keda adalah tagline lama atau cara mengenakan orang cara orang-orang tua atau orang lama di negeri Terengganu. Sekarang ini pasti tiada budak-budak muda atau generasi baru tahu apa itu buah pusing keda. Oleh itu ia amat memudahkan orang-orang tua mengenakan (sama seperti rancangan Wakenabeb NTV7 atau Bang Bang Bom TV3) generasi baru terutama cucu mereka.

Kalau anda pertama kali ke Terengganu, jangan tanya atau cari buah pusing keda, nanti anda jadi bahan ketawa. Jangan biarkan anda mencari buah pusing keda.

Monday, April 12, 2010

Terengganu Menggamit Rasa

Tempat jatuh lagi dikenang...
Inikan pula tempat bermain...

Menjadi anak jati Terengganu sendiri pasti ada yang mengundang rasa bosan, suasana muram, hari-hari yang dilalui selalu seperti biasa seperti di-copy & paste. Tinggal tetap di negeri sendiri, tatkala pada bukan hari kerja pasti mengambil peluang berehat (dan makan juadah dari laut/seafood) di sekitar pantai sepanjang lautan yang mengadap Laut China Selatan tetapi mungkin lama-lama kelamaan mengundang rasa -inikah tiap-tiap hari yang dilalui? Lalu rasa ingin berhijrah timbul dalam hati. Mungkin ingin lari dari rasa kebosanan dan mungkin juga menambah pengalaman baru di tempat orang.

Lalu berhijrah, perasaan itu sebenarnya tidak juga keruan. Tidak juga selesai-selesai dari rasa kebosanan. Pemandangan indah di pantai kembali menggamit rasa. Rindu kepalang timbul di dalam hati. Maka rasa rugi pula meninggalkan tempat jati sendiri. Kesalkah? Ini kerana tinggal di mana-mana pun tempat sendiri akan dikenang jua. Berhijrah ke tempat baru dek kerasa rasa bosan bukan satu cadangan dan penyelesaiaan yang paling baik mahupun terbaik. Ini kerana mungkin penduduk anak jati sesuatu negeri pun mungkin berasa kebosanan berada dalam negeri sendiri dan mengambil peluang berhijrah ke tempat lain.

Akhirnya perasaan yang salah itu sebenarnya memakan diri sendiri. Rindu gamit tempat sendiri akan datang dari hari ke hari walau kadang rasa bosan itu sebenarnya tidaklah kejam kepada kita, cuma kita sendiri yang terasa kejam dengan perasaan itu. Mungkin kepada semua perantau yang merantau, setujuilah tanah berpantai dan berbukit, tanah Perimula berpanji hitam dan putih adalah tempat terbaik untuk kita kan!

Angin bayu pantai sebenarnya tidak membawa bosan pada kita, ia membawa suasana aman dan nyaman lari dari hiruk pikuk di kota. Rindu...

Thursday, April 8, 2010

Journey Terengganu

Salam semua. Awang telah membina satu lagi laman web untuk memeriahkan pertandingan blog pelancongan Terengganu. Entri-entri terbaik dari @Dungun akan Awang letakkan di dalam blog baru di samping entri-entri terbaru, walaubagaimanapun blog @Dungun akan dikemaskini seperti biasa dan mungkin akan ada entri atau artikel yang sama akan dipaparkan di kedua-dua blog ini.

@Dungun mengharapkan mendapat sokongan dari pembaca blog @Dungun semua.

Bersamalah mengembara di http://journeyterengganu.blogspot.com/

Monday, April 5, 2010

Pok Pok Pok Bujang Lapok

Allahyarham Tan Sri P. Ramlee begitu dekat di hati rakyat Malaysia. Lagunya. Filemnya. Aksi silat dan komedinya yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas matahari. Setiap kata dialog, perjalanan cerita filem dan lirik lagunya banyak menggambarkan situasi pada waktu itu malah kadang menyindir ragam orang kita sendiri sama ada dengan cara jujur dan tersirat. Cuma kita yang perlu berfikir sendiri.

Berbincang tentang lagu, rakyat Terengganu sendiri dahulu pernah mengubah lirik asal lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang menjadi siulan kanak-kanak dahulu (kini?Ada lagi?). Lagu pantun kanak-kanak ini mempunyai makna tersirat tetapi bacalah dahulu liriknya.

Pok Pok Pok Bujang Lapok
Naik basika macang beruk
Gi Ppasso curi kepok
Balik ddumoh, sakik peruk
Gi hospita, hospita tutuk
Gi ddumoh Tok Bidang, Tok Bidang ketukkk

Terjemahan :
Pok Pok Pok Bujang Lapok
Naik basikal macam beruk
Pergi ke pasar curi keropok
Balik ke rumah, sakit perut
Pergi Hospital, hospital tutup
Pergi ke rumah Tok Bidan, Tok Bidan pula kentut

Lagu ini menjadi kelucuan kepada kanak-kanak pada lirik akhir iaitu Tok Bidan kentut. Bagi mengetahui sebenarnya makna tersirat lagu ini ialah jangan jadi bujang lapok, jangan pula naik basikal macam beruk. Kita kalau ke pasar adalah untuk membeli bukan mencuri (contoh di sini iaitu keropok lalu dibawa pulang ke rumah untuk dimakan), dan hasilnya kesan memakan makanan curi iaitu keropok membuatkan sakit perut. Kesan dari sakit perut ini maka untuk mengubatinya, bujang lapok ini pergi ke hospital, tetapi hospital pula tutup, lalu pergi ke rumah Tok Bidan untuk tujuan mengurut menghilangkan sakit perut, tetapi Tok Bidan pula memberi balasan kentut kepada bujang lapok ini.

Itulah, jangan mencuri, berdosa, balasan di dunia terus nampak, balasan di akhirat lagi berat.