Thursday, September 24, 2009

Salam Aidilfitri 1430H

Berbuka Nekbat dan Ketupat Palas,
Jangan dilupa Lambuk Terengganu,
Akhir Ramadhan juadah berbalas,
Salam Aidilfitri Maaf Zahir Batin dari aku...

Thursday, September 17, 2009

Pra Aidil Fitri : Balik Kampung

Balik kapong. Balik kampung.

Balik la weiii. Balik raye. Balik la ke kapong. Raye kapong dok same dengang raye bando. Sebelum ini, istilah balik ke Dungun adalah istilah sebagai balik ke kampung, sebagai anak rantau maka istilah inilah yang terbaik dan selalu menjadi soalan, perbualan atau perkataan yang mempunyai rating yang tertinggi apabila hampir raya. Sekarang ini Dungun telah dinaikkan taraf ke Perbandaran. Maka jadilah balik bando (?), atau sesiapa yang pulang ke Kuala Terengganu, jadilah balik bandoraye (Perbandaran Kuala Terengganu telah dinaiktaraf menjadi Bandaraya Warisan Pesisir Air).

Tradisi balik kapong menjadi ikutan sedari dulu. Tradisi balik kapong tidak sama rasa terujanya dengan balik kampung sebulan sekali, 2 bulan sekali atau 6 bulan sekali (mana yang kerap mungkin). Ini kerana balik kapong untuk aidil fitri adalah penuh dengan semangat keterujaan ingin berhari raya bersama ayahanda dan bonda di samping keluarga yang tercinta. Semangat bergotong-royong menyediakan sajian, juadah dan makanan di Aidil Fitri. Semangat berjumpa rakan taulan yang masih setia di kampung. Semangat berjumpa dengan cikgu-cikgu yang pernah mendidik kita sama ada yang masih mengajar atau yang sudah pencen.

Laluan utama balik kapong ke Dungun dari arah Lembah Klang biasanya adalah Lebuh Raya Karak - Lebuh Raya Pantai Timur. Laluan alternatif yang boleh diambil tetapi jauh adalah laluan jalan lama Karak-Temerloh seterusnya ke Kuantan-Dungun. Bagi anak rantau dari arah selatan terutama dari Negeri Sembilan bolehlah menggunakan laluan Senawang-Bukit Putus-Kuala Pilah-Muadzam-Kuantan-Dungun (orang dari arah Selangor dan sekitar KL boleh juga melalui laluan alternatif ini). Terdapat juga laluan dari arah Kuala Klawang-Jelebu kemudian ambil jalan ke arah Muadzam-Kuantan-Dungun. Ada juga laluan Bahau-Karak kemudian ambil jalan ke arah Kuantan-Dungun. Pelbagai jalan dan pelbagai jarak.

Anok Dungung. Balikla ke kapong. Balikla beraye dengan mok ayoh kite, dengang keluarga kite.

Pesanan dari aku : Jangan beli tiket keretapi, tiket komuter, Dungun belum ada keretapi lagi dari Kolupo, bile la ade, dok tahu agi...

Wednesday, September 16, 2009

Pra Aidil Fitri : Uniknya Sahur

Saho di Dungung. Sahur Di Dungun.

Pada waktu sahur yang telah tiba waktu imsak di Dungun (jika anda penduduk di kampung di sekitar Bandar Dungun) pasti anda akan mendengar suara Tok Bilal/Muazin masjid yang akan memberikan kata-kata peringatan waktu sahur hampir berakhir iaitu imsak.

"Wahai kaum Muslimin dan Muslimat, sekarang telah tiba waktu imsak"

Suara berkumandang dari masjid. Memperingatkan umat Islam di Dungun tentang masuk waktu imsak. Unik! Setakat pengalaman aku tinggal di beberapa tempat tidak pernah aku mendengar muazin mengucapkan kata-kata peringatan ini. Berada di sekitar kampung yang hampir dengan Bandar Dungun pada waktu sahur, akan kedengaran Tok Bilal mengaji. Apabila waktu Imsak, Tok Bilal akan mengalunkan kata-kata ini. Beberapa minit kemudian azan Subuh berkumandang. Indah! Itulah prosesnya. Maka bermulalah saat Puasa yang penuh dugaan.

Ramadhan hadapan, harapnya pengalaman dan proses kehidupan Ramadhan serta alunan kata suara peringatan Imsak masih berkumandang. Kekalkan ia sebagai tanda unik waktu sahur di Dungun.

Monday, September 14, 2009

Pra Aidil Fitri : Kad Raya

Dapak dok agi kak raye? Dapat tak lagi kad raya?

Kad raya satu budaya nostalgia yang sekarang masih ada tetapi tidak tahu seutuh mana. Kemajuan teknologi perhubungan yang jauh makin dekat, khabar berita senang dapat dan semuanya dengan istilah Di Hujung Jari. Kemajuan telefon yang boleh menghantar pesanan ringkas - sms, talian internet dengan menggunakan medium Yahoo Messenger, MSN dan pelbagai medium yang selari dengannya yang memudahkan manusia kini untuk memberi maklumat, ucapan, dan apa saja walaupun hal yang lagha. SMS raya, Email kad raya, dan ucapan raya di web blog memudahkan semua.

Fungsi kad raya mungkin tidak sekuat dahulu tetapi kad raya sebenarnya penuh nostalgia. Antaranya : Tulisan tangan pengirim yang tulen - mungkin boleh mengubat rindu, pihak yang akan menerima pula akan tertunggu-tunggu kedatangan posmen - dan itu adalah perasaan pelik tetapi hebat iaitu rindu. Samaada rindu ibu bapa terhadap anak di rantau, rindu pada orang yang disayangi dan seumpamanya. Kini jika anak jauh di rantau, jika ada komputer pakai sahaja medium perisian perbualan seperti Yahoo Mesengger, dan jika ada telefon bimbit gunakan sahaja teknologi 3G (itu pun sebenarnya untuk kawasan tertentu).

Membincangkan tentang kad raya sebenarnya kad raya mempunyai pelbagai bentuk dan pelbagai ucapan bergantung kepada siapa yang kita ingin kirimkan. Ada kad raya yang mengeluarkan bunyi irama lagu raya apabila helaiannya dibuka. Ada yang ringkas sahaja. Ada yang buat sendiri kad raya kerana darah seni lukis dan kreatif yang ada pada diri. Walau bagaimanapun kad raya seharusnya menjadi budaya yang terus menerus bertakhta apabila tiba musimnya. Jangan biarkan ia hanya sebagai kad yang digantung sebagai hiasan di rumah atau di pejabat apabila musim raya tiba. Jangan biarkan ia tenggelam dengan pelbagai teknologi yang ada. Jika tidak ia mungkin akan menjadi satu lagi budaya yang mungkin didokumenkan dan berbingkai untuk menjadi tatapan di muzium.

Sunday, September 13, 2009

Pra Aidil Fitri : 7 Liko

Tujuh Liko. Itu Terengganu. Tujuh Likur di luar Terengganu. Betul ke 7 malam sebelum raya? Malam tujuh liko malam budak-budak main mercun, main meriam buluh, main bunga api. Ada ngecung keluang, ngecung lidi, ngecung jarung, ngecung lalak, ngecung tali, ngecung bawang, ngecung dah, ngecung hok keluo payung terjung, ngecung gasing, , ngecung katok, ngecung ulo, dan ngecung tupak.Nati aku cerita se... se...(cerita mercun akhir 80an ke awal 90an).

Ngecung atau mercun dalam bahasa formal. Ngecung keluang adalah mercun apa bila ia dinyalakan akan naik ke atas (ke udara) sambil mengeluarkan bunyi seumpama bunyi keluang kemudian apabila sumbu yang berapi sampai ke peringkat pangkalnya akan mengeluarkan dentuman yang kuat di udara. Ngecung lidi bentuk sama seperti ngecung keluang tetapi tidak mengeluarkan bunyi seumpama haiwan keluang. Soal dentuman itu aku sudah lupa - telah lama meninggalkan aktiviti main ngecung ni. Modus operandi ngecung ini sama dengan ngecung iaitu apabila ia dinyalakan ia akan naik ke udara. Syaratnya, sebelum ia dinyalakan ngecung keluang dan ngecung lidi harus dipacakkan hujung lidinya di atas tanah.

Ngecung jarung atau mercun jarum. Bentuk mercun ini sama seperti mercun yang orang Cina pasang masa Tahun Baru Cina. Cuma ia kecil, kulit bungkus kertasnya ada macam-macam warna, yang biasanya warna hijau. Ia tidak diikat seperti mercun orang Cina tetapi ia berasingan seperti dinamit. Cara untuk menyalakan mercun ini yang paling berani ialah patahkan ubat nyamuk tetapi jangan terlalu pendek. Ambil sedikit lingkaran ubat nyamuk yang dipatahkan ini dan nyalakan. Tangan kanan memegang ubat nyamuk yang menyala, Tangan kiri memegang mercun jarum. Nyalakan mercun jarum dan lempar jauh-jauh dan dentuman yang kuat terhasil apabila nyalaan sumbu berjumpa dengan pangkal yang berbungkus kertas berbelerang atau agen letupan. Awas! Jangan Tiru! Jangan Buat! Kalau salah timing, jari anda menjadi kebas jika meletup di tangan, jika tak kebas, jari yang hilang. Cara yang agal cool nak main mercun ni ialah letakkan ia di dalam kertas surat khabar, bakarkan surat khabar. Duduk jauh-jauh. Kemudian mercun ini akan menyala dan meletup.

Ngecung lalak. Mercun lalat tetapi bentuk mercun ini seperti lebah. Ada lukisan belang lebah dan mempunyai bersayap seperti serangga pada mercun ini. Mercun ini apabila dinyalakan akan terbang ke udara seperti serangga dan mengeluarkan bunyi seperti kibasan sayap serangga; zussssssssssssss...Tiada dentuman. Tiada letupan. Terbang hilang entah ke mana.

Ngecung tali ini ialah mercun yang bertali di kanan dan di kiri. Di tengah-tengahnya adalah bungkusan berbelerang atau agen letupan. Mercun ini amat mudah untuk diletupkan. Hanya memegang tali di kanan dan kiri dengan cara menggendurkan ia dahulu, kemudian menarik dengan sekuatnya. Letupan kecil akan berlaku. Ngecung bawang ialah mercun yang berbungkus seperti bawang putih. Ia kecil dan di dalam bungkusannya mempunyai ketulan seperti batu dan ia adalah agen letupan. Caranya ialah dengan melemparkan ia ke permukaan yang keras dan letupan kecil akan berlaku.

Ngecung dah. Mercun ini ialah mercun seperti bunga api yang dimainkan semasa menyambut tahun baru ke, malam merdeka ke, seperti itulah. Ngecung dah bermaksud mercun das. Das diambil daripada bunyinya seperti das tembakan yang keluar dari bungkusan berbentuk silinder yang kurus. Ada yang berani menyalakan mercun ini dengan memegangnya ditangan dan hujungnya ditunjuk ke udara. Kemudian setiap das bunga api yang keluar adalah berwarna warni dan ada sedikit bunyi letupan. Ada yang memacaknya di atas tanah. Nyalakan. Kemudian keluarlah das-das bunga api yang berwarna-warni, cantik ke udara. Ngecung yang hok keluo payung terjun. Mercun ini adalah sama seperti mercun das. Kalau tak silap aku modus operandinya sama cuma das yang terakhir ialah payung terjun yang keluar ke udara dan terbang perlahan-lahan lalu jatuh ke tanah.

Ngecung gasing. Mercun ini berbentuk bulat. Apabila ia dinyalakan ia akan berpusing seperti gasing dan mengeluarkan bunga api yang cantik, cuma hati-hati, pusingannya agak laju dan perlu dielakkan daripada terkena diri kita. Ngecung katok atau mercun katak pula, bungkusan seperti dilipat dengan tali kalau tak silap aku dan bungkusannya berwarna hijau. Apabila ia dinyalakan ia akan melompat seperti katak walhal tidaklah seperti sungguh macam katak. Soal mengeluarkan bunyi dentuman aku sudah lupa.

Ngecung ulo atau mercun ular. Ia bewarna hitam, kecil dan berbentuk silinder pendek. Tiada sumbu hanya terus nyalakan pada permukaan mercun ini. Kemudian ia akan mengeluarkan asap hitam dan ia akan mengeluarkan bentuk seperti tali seperti ular menyusur di batang pokok naik ke atas sehinggalah bahagian bawah silinder pendek ini habis menjadi seperti ular.

Ngecung tupak. Mercun ini mungkin dipanggil sedemikian kerana ia berbentuk seperti ketupat palas, lebih-lebih lagi ia berwarna coklat-warna koko kata orang Terengganu. Mungkin juga ia dipanggil sedemikian kerana ketumpatan (tumpat) agen letupannya di dalam bungkusannya dan mengeluarkan bunyi dentuman seperti bom apabila ia dinyalakan. Bunyinya boleh riuh sekampung.

Ade banyok lagi jenih ngecung tapi dok berape ingat doh....

Sekarang ini cukup pasang pelita sahajalah. Main mercun sekarang, polis tangkap. Dah haram. Bahaya. Aku rasa budaya tujuh liko hanyalah budaya kanak-kanak. Nostalgia kanak-kanak. Sekarang inipun tidak pasti sama ada kanak-kanak masih ketahui akan budaya ini atau nanti hanya menjadi tatapan di muzium sebagai dokumen yang dibingkaikan....

Paling penting carilah Malam Lailatul Qadar...

Thursday, September 10, 2009

Pra Aidil Fitri : Duik Raye, Pitih Raye

Aha! Kanak-kanak mesti suka. Pergi rumah orang sentuh kuih ala kadar. Minum air sirap atau oren sikit-sikit. Tunggu tuan rumah bagi sampul duit raya. Kan! Itulah!

Budok-budok jalan-g sekapong gi kumpu duik raye. Ade hok bagi ge siling, ade hok bagi seria, buleh belake, ambik belake. Dapak sampo dok gaga kok luo, rase-rase duit siling, mungking pitih seria. Tu dulu mase pitih seria betuk siling, lening tadök döh. Dök payöh gaga, buke teruh tengok berape ria dapak.

(Budak-budak berjalan seluruh kampung untuk kumpul duit raya. Ada yang bagi duit syiling, ada yang bagi seringgit, boleh belaka, ambil belaka. Dapat sampul raya, raba-raba di luar sampul, rasa-rasa duit syiling, mungkin duit syiling seringgit. Itu dahulu masa duit seringgit berbentuk syiling, sekarang tak ada lagi. Tak payah raba, buka terus tengok berapa ringgit dapat).

Bukan main budak-budak Terengganu, dapat duit raya nilai RIYAL bukan RM...

Wednesday, September 9, 2009

Pra Aidil Fitri : Kerabat Keluarga

Di musim raya nanti maka kelibat sanak-saudara yang jarang bertemu mungkin bertemu sama ada kita bertandang rasa atau mereka bertandang raya ke rumah kita atau berkumpul di rumah tok tok ki kita.Ada Ayoh We/Ayoh Long, Mok We/Mok Long, Ayoh Ngoh dan Cik Ngoh, Ayoh De dan Mok De/Cik De, Ayoh Téh dan Mok Téh, Ayoh Tang, Ayoh Cik, Ayoh Su dan Mok Su/Cik Su. Inilah antara gelaran pangkat dalam keluarga.

Ada tidak menggunakan gelaran pangkat tetapi menggunakan nama dan ditambah AYOH di depan. Contohnya bapa saudara bernama Ismail, makanya dipanggil Ayoh Wé.

Ayoh We/Ayoh Long, Mok We/Mok Long - adalah pangkat Tertua dan Sulung dalam keluarga ibu bapa kita. Ayoh Ngoh dan Cik Ngoh - adalah anak tengah, (biasanya anak nombor 2). Ayoh De dan Mok De/Cik De- mungkin singkatan kepada perkataan MUDA, yang muda tapi bukan bongsu dalam keluarga, mungkin juga yang Tengah, sama dengan pangkat dengan Ayoh Ngoh/Cik Ngoh.

Ayoh Téh dan Mok Téh - adalah pangkat selepas Tengah, mungkin no 3 atau 4 (lihat berapa adik beradik). Ayoh Tang - adalah pangkat mungkin adik yang kedua sebelum bongsu ( Tang - ada negeri lain di Malaysia memanggilnya Tam, Pak Tam).

Ayoh Cik - adalah pangkat mungkin adik pertama sebelum bongsu. Ayoh Su dan Mok Su/Cik Su - adalah adik yang bongsu. Bagi gelaran Cik dan Su, ada juga dalam keluarga bagi anak yang bongsu tidak digelar Su, tapi menggunakan gelaran Cik, singkatan kepada kecik/kecil.

Ayoh - Ayah.
Mok - Mak.

Panggilan pangkat di dalam satu keluarga adalah berbeza dengan satu keluarga yang lain sama ada mengikut negeri atau kenalan kita sendiri mahupun dalam keluarga mentua kita. Ia adalah subjektif dan tertakluk kepada penggunaan rasmi dalam keluarga itu sendiri. Jika ada sesiapa yang tahu pangkat ahli dalam keluarga mengikut slanga Terengganu sila maklumkan kepada aku, kalau salah tolong maklumkan.

Tuesday, September 8, 2009

Pra Aidil Fitri : Ténöng


Ini Ténöng plastik cap Tupperware. Moden. Berwarna-warni. Dulu-dulu malah sekarang ini masih ada lagi yang menggunakan Ténöng besi yang berukir timbul di permukaan luar. Terkenang Aidil Fitri pasti terkenangkan Ténöng pada awal pagi raya. Juadah makanan raya diletakkan di dalam Ténöng ini dan di bawa ke rumah-rumah jiran sebagai aktiviti berbalas juadah sesama jiran (sekarang ada lagi?). Selain itu Ténöng yang berisi juadah raya dibawa jika bertandang/berziarah Tok dan Tokki, rumah saudara-mara dan kenalan.

Itu cerita raya. Ténöng juga digunakan pada masa-masa lain. Boleh di bawa ke kebun sebagai bekalan makanan tatkala berehat makan. Unik juga orang Terengganu memanggilnya sebagai Ténöng. Jika di luar Terengganu biasanya ia dipanggil sebagai Mangkuk Tingkat. Satu patah perkataan dalam slanga Terengganu, dua patah perkataan dalam Bahasa Melayu formal.