Thursday, December 31, 2009

Dungun Dalam Lipatan Sejarah

Pemberitahuan.

Setiap maklumat dan fakta-fakta yang dicatat di dalam artikel di bawah ini di dalam @Dungun ini perlu dikaji mendalam kerana @Dungun tidak mempunyai maklumat yang banyak dan setiap maklumat yang dicatat di sini bolehlah dijadikan kajian, samaada tepat atau tidak, @Dungun tidak bertanggungjawab atas kesilapan fakta-fakta tersebut. Jika ada kesilapan, setiap pembaca boleh memperbetulkannya dan sila berkongsi bersama.

Dungun-merupakan satu daerah yang tertua di dalam negeri Terengganu yang terletak arah selatan dari ibu negeri Kuala Terengganu. Dungun dikatakan daerah tertua kerana namanya disebut dalam Negarakertagama milik kerajaan Majapahit yang mana Dungun merupakan di bawah kuasa kerajaan Majapahit satu masa dahulu.

Ini bermakna Dungun telah lama berada di dalam peta sejarah. Kuala Dungun pula dikaitkan dengan perintis pembukaannya oleh Allahyarham Panglima Hitam Tambun. Di sekitar Kuala Dungun dan Tanah Lot ada antara nama jalan dinamakan dengan nama kerabat dan pengikut Allahyarham Panglima Hitam Tambun iaitu Jalan Tambun, Allahyarham Pak Dagang (Jalan Pak Dagang), Allahyarham Daud Panglima (Jalan Panglima), dan Allahyarham Sulaiman (Jalan Sulaiman).

Sekarang ini ada satu nama yang telah hilang di Dungun ini iaitu Jalan Abdul Jalil. Papan tanda nama jalan ini yang terletak berhampirkan dengan Kedai Runcit Cina yang bernama Kedai Kiok (anak kepada mendiang Mek Ah Moi) tidak kelihatan lagi. Adakah nama jalan ini telah ditukar kepada Jalan Pengkalan Macang?-kerana papan tanda nama Jalan Pengkalan Macang dapat dilihat berdekatan dengan laluan pintas ke Kampung Nibong Bawah (jalan ke bekas tapak Club Hewitt dan bekas kem askar). Jika tidak silap @Dungun, jarak Jalan Abdul Jalil ini ialah antara papan tanda nama Jalan Abdul Jalil yang telah hilang itu hinggalah ke papan tanda nama baharu yang dinamakan Jalan Pengkalan Macang.

Jalan Abdul Jalil ini terletak dari simpang tiga Jalan Nibong hingga bersambung ke kawasan Pengkalan Macang. Jika benar nama jalan ini telah bertukar kepada nama Jalan Pengkalan Macang, @Dungun merasakan nama jalan yang sebelumnya iaitu Jalan Abdul Jalil dikekalkan. Jalan Abdul Jalil ini seperti yang diketahui @Dungun (jika pembaca mengetahui fakta ini salah sila perbetulkan @Dungun) diberikan bersempena nama Allahyarham Yang Mulia Tengku Abdul Jalil yang merupakan kerabat istana Terengganu. Antara ceritanya ialah nama jalan tersebut diberi dengan nama beliau kerana jalan tersebut merupakan laluan beliau ke arah Kampung Niboh Bawah dan ke seberang Pulau Serai.

Selain itu Dungun mempunyai kisah-kisah kepahlawanan. Antaranya zaman kepahlawanan Allahyarham Panglima Hitam Tambun (dikenali dengan cerita pengangkapan Helang Merah), zaman Allahyarham Tengku Jaafar (dikenali dengan cerita terjumpanya payung kuning dan buaya putih di Sungai Buaya), dan Allahyarham Jusoh Kumpal (dikenali dengan cerita dikambus dalam keadaan bernyawa oleh tentera Jepun). Apa yang menarik di sini ialah daerah Dungun juga menjadi tempat persembunyian Allahyarham Mat Kilau dan Allahyarham Datuk Bahaman iaitu di Pasir Raja.

Kedua-kedua pejuang ini juga bertemu dengan Allahyarham Panglima Hitam Tambun, juga bertemu dengan Allahyarham Jusoh Kumpal. Secara ringkas, @Dungun mendapat cerita dan juga melalui pembacaan, Allahyarham Jusoh Kumpal tidak mati dikambus Jepun, tetapi telah diselamatkan oleh orang-orang tertentu-dan kini cerita ini masih menjadi misteri. Paling menarik ialah pejuang Jusoh Kumpal ini adalah anak murid kepada Allahyarham Panglima Hitam Tambun (jika sesiapa pembaca mempunyai maklumat yang boleh mengesahkannya boleh dikongsi bersama). Allahyarham Jusoh Kumpal (@Dungun menggunakan perkataan Allahyarham Jusoh Kumpal kerana berita pejuang ini masih hidup masih menjadi misteri) ini adalah pejuang bersama-sama dengan Allahyarham Mat Kilau dan Allahyarham Datuk Bahaman dalam menentang penjajah.

Paling unik lagi ialah Allahyarham Helang Merah (@Dungun tidak mengetahui nama sebenarnya beliau, mungkin ini nama gelaran), Allahyarham Panglima Hitam Tambun, Allahyarham Mat Kilau dan Allahyarham Datuk Bahaman adalah pengikut Allahyarham Tok Ku Paloh Terengganu dalam menentang penjajah Inggeris.

Satu lagi maklumat yang @Dungun perolehi ialah Allahyarham Pak Sabah iaitu orang yang mempunyai kaitan dengan Kampung Pak Sabah dikatakan adalah Mat Salleh pejuang dari Sabah yang menentang penjajah. Ini menjadikan sejarah menjadi misteri dan unik kerana Allahyarham Mat Kilau, Allahyarham Datuk Bahaman, Allahyarham Jusoh Kumpal dan Allahyarham Mat Salleh telah diisytiharkan meninggal dunia oleh penjajah, walhal dalam zaman perjuangan mereka, mereka masih hidup, cuma dibuat cerita dan ada yang ditukarkan dengan orang lain sehingga telah diisytiharkan meninggal dunia, sedangkan mereka semua meneruskan perjuangan untuk menentang penjajah. Setakat ini yang mengisytiharkan diri sebagai pejuang yang masih hidup dan keluar dari persembunyian identiti dalam akhir tahun 70an dahulu ialah Allahyarham Mat Kilau dan Allahyarham Datuk Bahaman.

Dungun, satu lagi yang menjadi uniknya dan anehnya daerah ini ialah selalu menjadi kubu, tempat mengumpul kekuatan perang malah menjadi tempat pengunduran semasa perang zaman dahulu kala sama ada berkaitan dengan negeri Terengganu sendiri dan negeri Pahang. Ia juga menjadi pilihan pedagang dan angkatan perang dari Sumatera dan sekitarnya yang mengundur dalam perang menentang penjajah untuk bermastautin dan membuka kampung.

Itulah Dungun, daerah yang masih banyak lagi misterinya, dari dunia kependekaran, dunia persilatan hinggalah cerita-cerita sejarah yang masih belum dirungkai sepenuhnya. Bagi semua anak Dungun, berbanggalah diri anda sebagai anak Dungun, jangan rosakkan tanah ini tempat kita berpijak, jagailah ia.

Terengganu Dalam Buku & Novel


Di atas ini adalah koleksi @Dungun. Ada antara buku dan novel ini ada kaitan sejarah dan menceritakan perihal silam negeri Terengganu Darul Iman.

Wednesday, December 30, 2009

Edisi Bukit Besi : Stor Dinamit & Rumah Pejabat

Di bawah ini @Dungun memarkan beberapa bangunan lama tinggalan zaman perlombongan bijih Besi yang terletak di Bukit Besi.


Papan tanda.


Stor Dinamit.


Stor Dinamit.

Stor Dinamit.

Rumah Pejabat.

Rumah Pejabat.

Rumah Pejabat.

Rumah Pejabat.

Tuesday, December 29, 2009

Pembangunan Di Dungun: Suatu Komentar

Pembangunan di Dungun agak perlahan jika dilihat dari awal tahun 80an hingga akhir 90an. Negeri Terengganu mempunyai beberapa fasa projek pembangunan dan Dungun termasuk di dalam pelan pembangunan tersebut yang dimulai setelah kerancakan dan tempias ekonomi di Kertih kesan daripada penemuan minyak dan gas di luar pantai Terengganu.

Awal tahun 2000 pembangunan sedikit berubah dengan wujud kedai-kedai baru di kawasan bekas tapak bijih yang berhampiran dengan kawasan Sura Jeti. Di Paka deretan bangunan kedai dibuka berhampiran dengan Masjid Paka dan Residence Resort Paka yang dahulunya merupakan tanah padang yang kosong.

Pembangunan fizikal dari segi bangunan deretan kedai, pembesaran jalan raya dan pertambahan pusat pembelajaran seperti Politeknik dan Sekolah Menengah Teknik di Dungun merancakkan ekonomi penduduk di Dungun. Buktinya dahulu di kawasan Kampung Balai Besar hingga ke Batu 5, tiada pembangunan fizikal dan tiada kedai makan mahupun taman perumahan, tetapi kini pelbagai projek telah muncul di situ.

Pembinaan masjid : Beberapa masjid baharu atau pembesaran masjid (harap dipenuhi dengan jemaah) telah dibina, antara yang penulis mengingatinya ialah pembesaran Masjid Tengku Intan Zaharah, daripada setingkat menjadi dua tingkat (teringat dahulu sewaktu masjid ini dalam proses pembinaan pembesaran, kala hari Jumaat, sebelum solat Jumaat bermula, penulis mengambil peluang dengan rakan-rakan menaiki menara azan masjid dengan menaiki tangga konkrit yang berpusing sehingga ke kawasan speaker di atas menara azan untuk melihat panorama sekitar Dungun).

Selepas siapnya pembinaan Masjid Tengku Intan Zaharah, Masjid Nurul Huda Kampung Padang Jambu pula mengalami perubahan dengan pembangunan masjid baharu menggantikan masjid yang lama tersebut. Selang lama beberapa tahun Masjid Biru di Sura Jeti pula muncul siap dibina dan kini Masjid Baru Kampung Sungai Udang masih dalam pembinaan untuk menggantikan masjid yang lama.

Jambatan baru di Sungai Dungun juga telah dibina baru yang menghubungkan Kampung Seberang Pintasan/Kampung Rajawali dengan Kampung Bijangga/Kampung Sungai Udang. Pembesaran jalan dari Kuala Dungun hingga ke Sura Gate masih dalam pembinaan.

Kesemua di atas adalah pembangunan fizikal. Contoh seperti deretan kedai yang baru dibuka, mungkin merancakkan peluang pekerjaan di Dungun seperti peluang pekerjaan menguruskan kedai tersebut seperti daripada Jurujual/Juruwang hinggalah ke Pengurus Stor. Akan tetapi dari manakah kuasa dan kekuatan membeli? Mungkin daripada kesan tempias pembangunan koridor minyak dan gas di Kertih dan Paka yang mana kakitangan atau pekerja gergasi minyak dan gas yang berpendapatan besar membantu kuasa membeli di daerah Dungun.

Peluang Pekerjaan: Seperti yang disebut di atas tadi, dengan terbina deretan dan pembukaan kedai-kedai baharu yang berjenama global dari restoran makan segera hingga ke farmasi dan kedai serbaneka, peluang pekerjaan untuk anak tempatan telah bertambah, sedikit menampakkan kerancakkan ekonomi dan mungkin itu melayakkan daerah Dungun menjadi Majlis Perbandaran. Kini yang masih menjadi isu kepada anak Dungun ialah peluang pekerjaan profesional. Ada yang medapat rezeki murah dengan mendapat peluang berkhidmat dengan gergasi gas dan minyak di sekitar Paka Di dungun, Kertih, dan Telok Kalong (KSB) di Kemaman sama ada kakitangan secara kontrak mahupun tetap. Kerancakkan ekonomi hanya bergantung kepada kesan tempiasan tersebut. Ada juga yang masih setia dengan laut menjadi nelayan, peniaga sayur, peniaga ikan dan membuka kedai makan-kesemuanya berniaga sendiri. Kuasa membeli juga hasil tempias dari selatan negeri.

Masih menjadi persoalan ialah peluang pekerjaan profesional di Dungun masih terbatas, tetapi penulis rasa isu ini juga terdapat di daerah dan di negeri-negeri lain di Malaysia. Peluang untuk mendapat pekerjaan yang baik di tanah kampung sendiri agak terbatas dan sukar, sama ada dengan kerajaan mahupun swasta. Dungun belum cukup besar pembangunannya untuk memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan. Peluang yang besar ialah berniaga sendiri, untuk makan gaji terpaksa melihat kekosongan jawatan, itupun jawatan yang ada sesuai atau tidak dengan kelulusan dan pengalaman. Makanya rata-rata anak tempatan seperti di daerah ini dan di negeri-negeri lain berhijrah ke bandar-bandar besar yang cabarannya juga adalah besar.

Jadi di Dungun sendiri apa yang penulis dapat menilai ialah pembangunannya masih lagi di dalam tahap pembangunan fizikal, belum mencapai tahap memberi peluang pekerjaan sehingga boleh membuatkan anak tempatan untuk merantau berfikir banyak kali, pendek kata berkerja di kampung sendiri lebih baik daripada bekerja di bandar-bandar besar.

Apa-apa pun pembangunan fizikal dan pembangunan insan mahupun apa sahaja pembangunan yang seumpamanya sama ada membolehkan peluang pekerjaan diwujudkan atau tidak , sejarah dan warisan setempat janganlah dikorbankan dan hilang dari pandangan untuk kita belajar dan untuk menjadi mengenali identiti Dungun dan menjadi anak Dungun yang sejati. Ingatlah pembangunan itu bukan hanya dari segi deretan kedai baharu sahaja, tetapi ia lebih dari itu sebenarnya!

Friday, December 25, 2009

Edisi Bukit Besi : Sura Gate - Taman Monumen Keretapi



Plak keterangan monumen keretapi dan zaman perlombongan bijih besi di Bukit Besi.


Monumen keretapi: Gambar dari arah sisi depan.


Monumen keretapi : Gambar dari arah sisi sipi.


Monumen keretapi : Gambar dari arah sisi belakang.

Sebelum terbinanya monumen keretapi ini di depan Stesen Minyak Shell yang tertua di Dungun, ada satu Taman Monumen Tudung Saji yang telah lama dibina di sebelah Taman Monumen Keretapi ini yang berhampiran dengan Stesen Minyak Caltex. Taman Monumen Tudung Saji itu dibina sebagai tanda pengenalan daerah Dungun kerana perusahaan tudung saji dan yang berkaitan dengan kraftangan mengkuang yang terletak di Paka.

Monumen Tudung Saji ini telah usang, buruk rupanya dan seolah tiada penyelengaraan mahupun jagaan, pokok-pokok bunga di sekitar Taman Monumen Tudung Saji ini juga nampak semakin semak meninggi. Pihak tertentu harus mengubah imej di kawasan Taman Monumen Tudung Saji biar nampak segah, segak, secantik, dan seindah seperti di kawasan Taman Monumen Keretapi .

Daerah Dungun juga terkenal dengan pendaratan penyu belimbing di Rantau Abang, dan tanda pengenalan daerah ini dengan lambang penyu juga begitu sinonim sekali. Kini monumen keretapi zaman Bukit Besi mengambil alih tanda pengenalan daerah bersempena mengingati zaman kegemilangan perlombongan bijih besi di Bukit Besi.

Bagi pelancong-pelancong yang memandu dari arah Kuala Lumpur dan Pahang, ke arah Kuala Terengganu jika melalui jalan utama Dungun Ke Kuala Terengganu, singgahlah sebentar ke sini untuk melihat-lihat taman ini dari dekat, dan jika melalui jalan dari arah Jabor-Jerangau ke simpang tiga Ajil-Kuala Berang, Ajil-Bukit Payong, singgahlah dahulu di Bukit Besi untuk melihat dari dekat kawasan Chimney di tepi jalan tersebut.

Saturday, December 12, 2009

Taman Rekreasi Jalan Nibong

Taman Rekreasi Jalan Nibong. Dulu berpagar sekarang tidak lagi, hanya tembok konkrit hampir separas lutut yang mengelilingi taman ini. Hanya melangkah kaki untuk masuk ke taman ini. Anda nampak tempok biru di dalam gambar di atas? Itu adalah tempat untuk bermain papan selaju atau basikal BMX. Dahulu di situ terbinanya tempat rehat berlantai konkrit yang tinggi seumpama pentas tetapi tiada bumbung. Di bawah lantai ini terdapat satu terowong kecil dan berjarak pendek. Di atas lantai konkrit tersebut diletakkan beberapa kerusi bulat konkrit yang bercorak seumpama batang pokok balak, dan terdapat teduhan yang diperbuat daripada konkrit yang berbentuk cendawan. Sekarang dah kene röngbök (dah dirombak, telah dirobohkan). Jadilah seperti gambar di atas.


Beberapa tempat permainan kanak-kanak seperti tempat menggelongsor, buai-buaian, jongkang-jongket juga ditempatkan di taman ini. Taman rekreasi ini dahulu mempunyai kolam, jambatan atau jejantas yang merentangi kolam, jalan-jalan yang bertar, dan penuh dengan pokok-pokok renek dan pokok bunga. Beberapa model binaan berskala kecil seperti balai polis, dan pejabat pos di tempatkan di bahu jalan yang bertar. Papan tanda jalan seperti di jalan raya sebenar juga diletakkan di sini. Mengapa? Ini kerana pihak Shell Malaysia dan Kementerian Pendidikan (nama kementerian pada waktu itu) mengadakan pertandingan Kempen Keselamatan Lalu Lintas Shell yang mana juaranya ialah Sekolah Kebangsaan Kuala Abang, Naib Juara Sekolah Rendah Sultan Omar-Kumpulan A, dan tempat ketiga ialah juga dari Sekolah Rendah Sultan Omar-Kumpulan B. Selepas pertandingan tersebut, model binaan dan papan tanda jalan raya dikekalkan di taman ini. Sekarang jangan dicari. Semua telah berubah wajah.


Padang Petanque Dungun yang baru wujud mungkin dalam tahun-tahun awal 2000. Ia terletak berhampiran dengan Taman Rekreasi Jalan Nibong. Kini padang ini makin bertambah dan nampak tersusun. Kawasan antara Jalan Nibong dengan Kampung Tanah Lot ini nampak sesuai untuk kawasan beriadah dan bersukan.

Gelanggang tenis yang mungkin yang tertua di daerah Dungun. Ada gelanggang tenis lain ke di Dungun?

Thursday, December 10, 2009

Edisi Bukit Besi : Sura Jeti - Tinggalan Konkrit




Inilah tinggalan konkrit di Sura Jeti (berhampiran dengan Pantai Teluk Lipat depan Sekolah Imtiaz-dahulu dikenali dengan nama Asrama Yayasan Terengganu). Tinggalan zaman perlombongan Bukit Besi ini juga tidak dipagar, terbiar dan ada kesan contengan budak-budak nakal yang tidak bertanggungjawab. Tinggalan konkrit ini terletak di kawasan pengumpulan bijih dan masa aku sekolah dahulu kawasan ini dipanggil BIJIH. Anda masih boleh melihat tinggalan konkrit ini yang terletak di simpang 3 jalan ke pantai yang berdekatan dengan taman rekreasi (bekas tapak bijih). Seingat aku dahulu, masih banyak lagi tinggalan konkrit di kawasan ini, yang dilindungi dengan pokok-pokok gelang yang banyak tumbuh di sini dahulu. Namun sekarang tidak nampak lagi, sudah hilang, mungkin dibuang kerana pembangunan deretan kedai dari depan jalan besar di Sura Gate hingga hampir dengan kawasan pagar Rumah Tetamu Dungun, juga kerana dengan terbinanya taman rekreasi di situ.

Sunday, December 6, 2009

Edisi Bukit Besi : Opal

Tiang-tiang Opal di Pantai Teluk Lipat - Kampung Sura Jeti.

Gambar lama menunjukkan tiang-tiang opal yang masih kukuh sebagai jambatan membawa bijih besi ke tongkang di tengah laut luar pantai Dungun sebelum di bawa ke Kapal Besar yang menunggu jauh di tengah laut sebelum dieksport.

Tinggalan tiang opal yang masih ada di Sura Jeti, mungkin menunggu masa untuk runtuh dihakis ombak. Perlu dilakukan sesuatu oleh pihak berwajib sama ada memagar kawasan ini, mewartakan tiang ini sebagai tinggalan sejarah dan memlihara dan memuliharanya. Ini sahaja tinggalan tiang opal yang masih ada di Sura Jeti.


Sisa-sisa tiang-tiang kayu yang telah patah dan masih tertanam di dasar pasir pantai.

Tiang dan simen konkrit (slap) yang telah runtuh dek saban tahun dihakis ombak tengkujuh.

Konkrit yang runtuh yang jelas berada di gigi laut pantai.

Di kejauhan di tengah laut, ternampak dua tiang yang masih setia digasak dengan ombak.

Kesimpulannya, @Dungun mengharapkan pihak berwajib, seperti Kementerian Kebudayaan Kesenian & Warisan, Kementerian Pelancongan/Tourism Malaysia, mana-mana Persatuan Sejarah, pihak berkuasa negeri mengambil langkah yang tepat bagi memelihara dan memulihara kawasan ini.

Saturday, December 5, 2009

Banjir dan Jalan Pecah

Banjir. Terkejut sebenarnya semasa melalui jalan depan Hospital Dungun pada awal pagi 2 Disember yang lalu. Jalan utama ke Kemaman melalui kawasan depan Hospital Dungun ke Kampung Batu 49 melaut dengan air banjir. Seingat aku sehingga aku meninggalkan Dungun untuk merantau keluar ke negeri lain, laluan tersebut tidak pernah digenangi air. Sungguh pelik! Mungkin sistem perparitan yang tidak betul? Tanah di situ rendah dan tiada aliran air keluar disebabkan takungan hujan yang tidak berhenti selama 3 hari?

Selain isu banjir yang tidak disangka-sangka yang terjadi di Bandar Dungun (kata orang Hulu Dungun bersyukur kerana banjir kurang melanda di kawasan ulu), ialah isu jalan pecah-pecah berlubang dari Kemaman hinggalah ke sempadan Jambu Bongkok, Marang. Isu jalan pecah dan berlubang pada musim tengkujuh memang selalu terjadi sejak dahulu lagi, cumanya pembaikian jalan tersebut tidak dipercepatkan-mungkin kerana hujan yang tidak berhenti tetapi peluang hari dan waktu yang cerah atau cuaca yang sedikit baik perlu direbut untuk mempercepatkan proses pembaikian jalan.

Kalau ditinjau jalan dari Pintu Gerbang Sempadan Terengganu-Pahang di Kemaman, jalan utama negeri mulai pecah dan berlubang. Kesesakan di jalan utama Bandar Chukai Kemaman disebabkan kerosakan jalan. Lebih teruk sesak di antara berdekatan Masjid Sultan Ahmad hingga ke simpang empat lampu isyarat Bukit Kuang. Ini kerana jambatan di antara jalan tersebut pecah dan berlubang. Hanya satu arah sahaja yang dibenarkan digunakan dalam satu-satu masa, dan setiap kenderaan perlu bergerak dengan berhati-hati lantaran setiap permukaan tar di jambatan tersebut pecah dan berlubang. Kenderaan dari arah Kuala Lumpur dan dari arah Kuala Terengganu perlu bergilir-gilir menggunakan laluan ini dengan mengikut arahan polis trafik yang menjaga kawasan tersebut.

Bergerak ke arah Dungun memang perlu berhati-hati. Terlalu banyak jalan pecah dan berlubang. Diharapkan pada masa hadapan di setiap musim tengkujuh, ada pihak berwajib akan bersiap sedia untuk mempercepatkan proses pembaikian jalan. Melalui jalan raya dari Kampung Jambu Bongkok ke Kuala Terengganu, jalan rayanya berada dalam keadaan yang baik kerana proses pembaikian mungkin cepat. Cuma kena berhati-hati di kawasan Merchang, jalan raya di situ akan digenangi air yang agak dalam bila musim hujan yang tidak berhenti serta lebat.

Wednesday, December 2, 2009

Kedai Buku Di Dungun

Di Dungun ada beberapa kedai buku yang menjadi tumpuan masyarakat pelajar sekolah, siswa-siswi, guru-guru, peminat buku/novel dan sebagainya. Antara kedai-kedai tersebut ialah:

Kedai Buku Wan Ariffin merupakan kedai yang menjual buku-buku terbitan DBP daripada novel, ensiklopedia, sejarah dan pelbagai majalah. Buku-buku lama dijual dengan harga diskaun yang berpatutan mengikut tarikh terbitan buku tersebut. Menyinggah ke kedai buku ini agak terkejut kerana terlalu banyak buku yang menarik yang mahu dibeli. Biasanya aku mengeledah (belémbang) buku berkenaan sejarah, sejarah Terengganu dan Melayu terutamanya. Terbitan DBP adalah yang terbaik untuk buku-buku sejarah dan berwibawa. Kedai buku ini terletak di Kampung Tanah Lot berhampiran dengan Jalan Besar Dungun mengikut arah ke Kuala Dungun.

Kedai Buku Wan Ariffin antara kedai buku tertua di Dungun ini selain daripada satu kedai dimiliki keturunan Cina di Jalan Lim Teck Wan di Kuala Dungun (telah tidak beroperasi aku rasa) dan kedai Buku Gazanim (rasanya dulu dikenali kedai buku Ghani) yang terletak di sebelah Pasar Raya Ju Jaya-sekarang telah menjadi kedai lain. Kedai Buku Gazanim ini terletak berhadapan dengan Stesen Minyak Shell dan ia terletak berhampiran ke Kampung Sura Jetty. Kedai Buku Gazanim ini tidak lagi beroperasi di situ-agaknya telah berpindah ke tempat lain? Kedai buku ini dahulu amat popular untuk mendapat majalah komik wira-wira daripada Hong Kong seperti Pedang Setiawan selain boleh didapati di Kedai Buku Public yang terletak di Jalan Tambun, Kuala Dungun.

Berbalik ke Kedai Buku DBP Wan Ariffin, kedai ini dahulu aktif untuk mengadakan Pesta Buku yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Dungun yang terletak sebelah rumah Pegawai Daerah Dungun (satu pertanyaan sekarang ini Pesta Buku Dungun masih ada? dan siapa penganjurnya?).

Dalam tahun-tahun 90an bertambah kedai buku dan alat-tulis antaranya ialah Kedai Buku Bentalib, Kedai Buku Al-Fatihah, dan sekarang ini Pustaka Seri Intan pula membuka cawangannya di Dungun yanmg terletak di bangunan baru di Sura Gate yang berhadapan dengan Pasar Raya Salwa. PSI atau Pustaka Seri Intan ini amat popular di Kuala Terengganu sebagai kedai buku untuk mendapatkan buku-buku teks sekolah bagi yang tidak mendapat pinjaman buku teks bantuan sekolah pada tahun-tahun sebelum ini.

Selepas ini aku ingin menyinggah lagi Kedai Buku DBP Wan Ariffin, beberapa buku lagi perlu aku mencari dan perlu dibeli.