Wednesday, June 24, 2009

Bukit Tebuk





Bukit Tebuk. Terletak di dalam Kampung Nibong Kubur, tetapi ada yang memanggil kawasan di situ sebagai Kampung Bukit Tebuk Tebuk. Kawasan in bersebelah dengan Kampung Bukit Chatak, Kampung Tanjong Pagar dan Kampung Nibong Bawah. Plak Monumen yang disediakan oleh Tourism Malaysia menyatakan Terowong Bukit Tebuk ini terletak di dalam Kampung Che Lijah. Penulis merasakan di situ ada kesilapan terhadap penerangan yang tertera di dalam plak momunem tersebut ini kerana Kampung Che Lijah adalah berada di kawasan yang jauh dari Bukit Tebuk ini. Penulis berharap ada pihak berkuasa menukar plak tersebut dengan menyatakan semula kedudukan sebenar Bukit Tebuk ini.

Secara ringkasnya bukit ini ditebuk oleh pihak Jepun melalui satu syarikat yang melombong bijih besi di Bukit Besi. Terowong ini dibina adalah sebagai laluan keretapi sama ada keretapi yang membawa penumpang atau keretapi yang membawa bijih besi dari kawasan perlombongan bukit besi ke kawasan pengumpulan bijih besi di Sura Gate. Keretapi penumpang membawa pekerja dan penduduk sekitar sebagai pengangkutan utama pada waktu itu bagi memudahkan perjalanan dari setiap stesen/hentian seumpama komuter di Kuala Lumpur,Selangor dan Negeri Sembilan.

Di dalam terowong ini terdapat dua bilik kecil tak berpintu di tepi dinding terowong. Jarak di antara dua bilik kecil ini agak jauh. Orang Dungun memanggilnya lubang. Muka pintu masuk bilik kecil ini berbentuk separuh bulatan atau 180 darjah di sebelah atas. Dikatakan bilik ini sebagai tempat orang menyorok jika semasa berjalan kaki melalui landasan keretapi di dalam terowong ini, dan ada keretapi melaluinya, bilik tersebut digunakan sebagai tempat keselamatan untuk menyorokkan diri buat sementara waktu.

Selepas zaman penutupan perlombongan Bukit Besi, jalan di kawasan terowong ini berbatu dan tidak berturap tar seperti sekarang. Laluan di situ pada waktu tersebut bukanlah seperti sekarang ini di mana ada kenderaan yang lalu lalang sebagai jalan pintas untuk ke jalan besar Dungun ke Kuala Terengganu. Dahulu kampung di belakang Bukit Tebuk ini dahulunya sepi dan penempatan yang berselerak dan tidak banyak rumah. Sekarang ini ada sedikit perubahan dengan pembinaan taman perumahan di kawasan tersebut, tetapi kawasan tersebut masih seperti dulu - sepi dan aman.

Bukit tebuk ini sewaktu kecil adalah tempat penulis bermain, bukitnya dipanjat untuk melihat panorama dan melihat remaja bermain bola di satu padang yang terletak di Kampung Nibong Bawah pada waktu itu, dan di kawasan lembah bukit ini banyak terdapat pokok buluh, yang diambil oleh kanak-kanak waktu itu semasa musim bermain bedil-satu senapang berpeluru buah kecil atau kertas surat khabar yang dibasahkan dan digentel menadi bulat. Bedil ini bentuknya seumpama picagari di mana ombohnya berperanan seperti picu untuk menembak peluru yang di isi ke dalam sarung buluh.

Friday, June 19, 2009

Makam Diraja Kesultanan Siak - Makam Sultan Yahya Siak






Makam Diraja Kesultanan Siak iaitu Almarhum Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah yang memerintah Kerajaan Siak ( sekarang ia berada dalam Negara Indonesia ) dari tahun 1782-1784. Almarhum Sultan Yahya Siak digelar sebagai Marhum Mangkat di Dungun. Plak monumen yang disediakan oleh Tourism Malaysia menyatakan Makam ini terletak di dalam Kampung Che Lijah, begitupun penulis mengagak Makam Diraja ini terletak di antara sempadan Kampung Binjai dengan Kampung Che Lijah. Kampung Che Lijah adalah berjiran dengan Kampung Binjai. Di dalam plak monumen tersebut juga menyebut Tanjung Pati. Tanjung Pati adalah nama lama bagi Kampung Che Lijah.

Tuesday, June 16, 2009

Kampung Binjai


Kawasan Kampung Binjai - jalan kecil kampung berturap tar. Dahulu ia merupakan laluan landasan keretapi dari Bukit Besi ke Pekan Sura Gate. Kampung Binjai merupakan kampung di tepi sungai, aman dan sunyi. Kampung ini bersebelahan dengan Kampung Che Lijah.

Wednesday, June 10, 2009

Edisi Bukit Besi : Klasik 09


Gambar ini adalah keratan daripada buku cenderahati sempena hari Upacara Permasyhuran Majlis Perbandaran Dungun. Gambar yang dirakamkan di atas adalah kawasan Sura iaitu kawasan antara Sura Gate hingga ke Sura Jeti. Timbunan hitam berbukit itu ialah bijih besi. Zaman persekolahan penulis dahulu, kawasan ini dikenali dan dipanggil BIJIH. Banyak pokok gelang tumbuh di sini dan kawasan ini bertanah merah. Ia bermula dari belakang deretan kedai Bandar Dungun Sura Gate hingga ke sempadan jalan raya di tepi pantai. Semua tanahnya merah. Beberapa tinggalan struktur konkrit juga boleh dilihat pada waktu itu (dalam tahun-tahun 90an).

Kawasan ini di sebelah kanannya berhampiran dengan Sekolah Imtiaz Bawah Dungun (dahulu ialah Asrama Yayasan Terengganu kemudian menjadi Maktab Rendah Yayasan Terengganu kemudian berubah menjadi Sekolah Imtiaz Bawah Dungun). Di sebelah kiri pula kawasan Bijih ini berhampiran dengan Sekolah Imtiaz Atas Dungun (dahulu adalah kampus lama ITM Dungun kemudian Kolej Teras Timur dan kemudian barulah menjadi Sekolah Imtiaz Atas Dungun), dan Rumah Tamu Daerah Dungun.

Kini kawasan Bijih ini semakin sempit, pembangunan kedai-kedai baru di Bandar Dungun di kawasan Sura Gate melimpah sampai ke Sura Jeti. Berhampiran dengan jalan pantai pula di bina satu kawasan tempat rekreasi/bersenam yang berhadapan dengan Sekolah Imtiaz Bawah Dungun. Kawasan tersebut juga dibina deretan kedai makan berhadapan dengan jalan.

Sekarang ini masih adakah lagi tinggalan struktur konkrit zaman bijih besi di situ?

Tuesday, June 9, 2009

Edisi Klasik : Jambatan

Gambar yang dirakamkan ini tidak diketahui tahunnya. Penulis tiada fakta tentang tahun berkenaan gambar ini. Lokasi ini dipercayai sama ada Sungai Dungun yang menghubungkan kawasan Kampung Tanjung Pagar dengan Kampung Pulau Serai atau lokasi ini adalah di sekitar Sungai Paka yang berhampiran dengan muara Sungai Paka?

Monday, June 8, 2009

Edisi Bukit Besi : Klasik 08














Kapal besar. Kapal yang membawa bijih perlombongan dari Bukit Besi untuk di bawa ke tempat lain ( luar negara mungkinnya ). Kapal besar ini dahulu mungkin dapat dilihat dari sekitar Pantai Teluk Lipat hingga ke Sura Hujung. Sekarang tidak lagi. Generasi baru hanya akan melihat kapal sebesar ini hanya dari pantai Paka dan Kertih. Kapal-kapal yang dapat dilihat sekarang di sekitar pantai Paka dan Kertih mungkin adalah kapal-kapal yang terlibat dengan industri petroleum/petrokimia.

Saturday, June 6, 2009

Edisi Bukit Besi : Klasik 07















Di luar pantai Dungun. Bijih besi ditarik dengan tongkang menuju ke tengah laut untuk dipunggah ke kapal besar.

Menurut cerita daripada keluarga, salah seorang Allahyarham bapa saudara penulis di sebelah bapa penulis adalah salah seorang pemandu bot tongkang yang membawa bijih dari pantai ke tengah laut Dungun sebelum dipunggah ke kapal besar pengangkut bijih.

Friday, June 5, 2009

Edisi Bukit Besi : Klasik 06

Opal atau jeti dari darat ke tengah laut. Ia berada di dalam kawasan Sura. Kawasan ini dikenali dengan nama Sura Jeti bersempena jeti tempat pemunggahan bijih besi ke laut untuk dihantar ke kapal besar. Gambar ini dirakamkan pada tahun 1965 ( mengikut catatan dari sebuah kedai makan di Kampung Padang Jambu ).

Thursday, June 4, 2009

Edisi Bukit Besi : Klasik 05

Klasik. Bukit Besi. Dungun.

Wednesday, June 3, 2009

Edisi Bukit Besi : Klasik 04

Gambar tak bertarikh. Pemandangan kawasan perlombongan.

Tuesday, June 2, 2009

Edisi Bukit Besi : Klasik 03

Gambar yang tidak diketahui tarikh. Gambar ini menunjukan suasana di tempat kerja perlombongan di Bukit Besi.