Monday, April 27, 2009

Ada apa dalam Bekah Kalang? ( Siri ii )

Roba.

Roba. Pakai pensil kuning belang hitam. Nak kena asah bila tumpul. Roba. Bila salah tulis, salah eja kena roba. Jangan kuat-kuat. Nanti koyak kertas. Roba.

Roba. Dibuat daripada getah agaknya. Dalam bahasa Inggeris getah dipanggil rubber. Agaknya apabila diistilahkan dalam slanga Terengganu menjadi Roba iaitu pemadam.

Roba yang mashyur adalah cap Staedtler, dan cap Faber-Castell. Ini biasanya golongan pelajar menengah yang pakai. Kalau murid sekolah rendah beli yang harga 10 sen sahaja. Harga 20 sen pun ada. Ada yang menjadikan menyimpan roba sebagai hobi. Pelbagai gambar bendera, dan macam-macam lagi.

Roba. Sekarang bila dah besar pakai pen. Jarang pakai roba. Salah tulis pakai liquid paper.


KBSR-Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Budak-budak dulu panggil Kalau Boleh Sepuluh Ringgit.

Wednesday, April 22, 2009

Ada apa dalam Bekah Kalang? ( Siri i )

Ada apa dalam Bekah Kalang? ( Siri i )

Pada masa kita kecil apa yang penting bila masuk sekolah? Selain buku, kanak-kanak minat dengan bekas pensel - kata baku. Kanak-kanak Terengganu menyebutnya dengan nama bekah kalang. Bekah yang bermasud bekas dan kalang bermaksud pensel. Kalang adalah daripada bahasa Arab iaitu Kalam. Kaitan bahasa Arab dengan budaya dan slanga Terengganu amat rapat sekali.

Bekas kalang yang menarik dan canggih pada waktu dulu-dulu ialah bekah kalang yang mempunyai kunci atau kod nombor yang pemiliknya sahaja yang boleh membukanya. Ini boleh mengelakkan kawan daripada meminjam pensel tanpa pengetahuan pemilik dan juga yang suka mengambil terus tanpa bertanya.

Ada juga bekas kalang yang mempunyai butang tekan tertentu yang akan secara automatik akan membuka penutup tertentu. Seumpama butang pintar. Contohnya untuk membuka tempat menyimpan pemadam, kita akan menekan butang untuk tempat simpanan pemadam tersebut.

Dulu bekas kalang yang pintar ini adalah lambang kanak-kanak tersebut orang berada. Maka ramai kanak-kanak yang tidak ada bekah kalang tersebut terasa teruja melihat bekah kalang tersebut. Golongan biasa atau marhaen hanyalah menggunakan bekah kalang yang diperbuat daripada kain yang dijahit dengan zip untuk menutupnya. Ada yang menggunakan bekah kalang plastik berwarna merah yang lutsinar berbentuk segiempat tepat sahaja.

Apa-apa pun bekah kalang apa yang dipakai, ilmu yang dipelajari itu yang lebih penting untuk dimanfaatkan.

Monday, April 6, 2009

Asang Glugo

Asang glugo, kata orang Terengganu. Penambah rasa dalam masakan Melayu. Asam glugo adalah asam keping.

Friday, April 3, 2009

Abang untuk Kakak

Abang untuk Kakak

Uniknya di Terengganu, beberapa generasi lama masih menggunakan gelaran abang untuk panggilan seorang kakak, sebagai contoh :

Dalam satu adik beradik ada seorang kakak yang bernama Asiah. Orang Terengganu akan memanggil nama ini dengan panggilan YAH ( kata pendek dari perkataan IAH). Maka perkataan ABANG digabungkan dengan YAH menjadi BANGYAH. Apabila disebut ia menjadi BAYAH. Huruf NG tidak dibunyikan dan kita tidak mendengar huruf tersebut disebut.

Ini salah satu contoh budaya yang unik di Terengganu dan panggilan ini bukan sahaja akan digunapakai dalam hubungan adik beradik dalam satu keluarga yang kecil, tetapi juga sepupu-sepupu atau ahli keluarga besar yang lain akan juga memanggil seorang Kakak yang tua dalam keluarga dengan panggilan gabungan perkataan Abang dengan nama panggilan pendek dalam keluarga seperti contoh di atas.

Dalam pencarian di internet, budaya panggilan Abang untuk Kakak datangnya dari Pagar Ruyung, Sumatera, Indonesia, jika benar, mungkin kaitan asal orang Terengganu dari sana membawa budaya dan masih mengekalkannya dan membentuk identiti orang Terengganu.

Cuma sekarang, generasi baru tidak lagi menggunakan panggilan Abang untuk Kakak.