Monday, November 29, 2010

S.M.E.T.E

Smete. Buoh Smete. Manggis nama formalnya. Kenapakah orang Terengganu memanggilnya dengan nama Smete? Buah manggis ini banyak ditanam oleh orang-orang dahulu kala di Terengganu di laman rumah mereka yang sangat luas. Sama ada di belakang dapur, di isisi tepi rumah. Boleh kata sebagai landskap kebun buah-buahan tempatan. Berbeza dengan orang sekarang yang suka menanam rumput kapet, berpegola dan dipenuhi dengan tanaman bunga serta pohon-pohon palma dan pinang.

Buah ini sungguh manis. Isinya yang putih berulas sungguh manis. Perlu diingat, jangan biarkan kulitnya yang berair terkena baju. Nanti warna berubah. Betulkah?

Sunday, November 28, 2010

Kawaguchi No Machi




Bandar Muara Sungai, 河口の町 atau Kawaguchi No Machi. Inilah Bandar Dungun atau Bandar Kuala Dungun, satu bandar lama sebelum pembangunan di Sura Gate mengambil alih peranan bandar dari Kuala Dungun. Walaubagaimanapun Awang tetap memilih Kuala Dungun sebagai Bandar Dungun sesuai dengan sejarahnya, sesuai dengan kedudukan geografi negeri Terengganu di mana bandar-bandar atau pekan terletak dan bermula di sebelah muara sungai, dan juga sesuai dengan keunikan panorama persekitarannya serta sejarahnya yang telah lama bermula dari zaman kerajaan silam. Pelbagai catatan sejarah sama ada dari negara China dan dari kerajaan Majapahit mahupun dalam sejarah lama tempatan kita menunjukkan kewujudan daerah Dungun ini. Malah daerah Dungun ini terkenal dengan tokoh Panglima Hitam Tambun dan tokoh-tokoh Ulama serta guru-guru pondok ajaran Islam. Begitu hebat sejarah Dungun ini sama ada dengan sejarah Ulama, pejuang, pendekar dan pahlawan serta kerajaan silam.

Kini blog @Dungun menggunakan banner baru sebagai menyambut Ulangtahun Kedua Blog @Dungun ini pada 8 Oktober yang lalu.

Wednesday, November 17, 2010

Salam Aidil Adha 1431Hijrah

Selamat Hari Raya Aidil Adha
Maaf Zahir Dan Batin

Thursday, November 11, 2010

KL The Guide-Terengganu

Kepada penumpang-penumpang di KLIA, boleh dapatkan buku percuma KL The Guide yang memaparkan Pelancongan Di Terengganu bagi keluaran Ogos-November 2010. Ruangan Special Feature ini terpapar dalam dari mukasurat 105 hingga 111.Dapatkannya di kaunter pertanyaan @KLIA.

Tuesday, November 9, 2010

Dungun : Lirik Lagu Tak Bermelodi II

Aku nukilkan satu lirik yang tiada melodi. Mungkin ada sesiapa ingin untuk menggangkat lirik lagu pantun ini bermelodi ala lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee?

Damai Di Dungun

Aku kuceritakan perihal rinduku....Dungun...

Kita berlari di sini
Teluk Bidara indah berseri
Biru laut bayu sepi
Nyiur menghijau menyeri bumi...

Sepanjang ini kaki berjalan
Susuri pantai ke Tanjung Jara
Tempat bermain bukan mimpian
Kita ketawa riang dan ria

Kuala Dungun muka muara
Angin laut meniup tenang
Suara bising dek nelayan
Sukanya hati perahu pulang

Hati tenang sekali
Rantau Abang damai sepi
Teluk Gadung hujung sini
Teluk Lipat tiang opalnya tinggi

Bukit Besi kenangan kita
Tasik Puteri senyum senang
Cemerung Pasir dan Bumbung Raja
Air sungai mengalir tenang

Kuala Dungun muka muara
Angin laut meniup tenang
Suara bising dek nelayan
Sukanya hati perahu pulang

Friday, November 5, 2010

Samah

Samah? Bukan nama orang. Bukan nama gelar. Bukan nama pena (ada ke?). Samah adalah nama panggilan rakyat Terengganu terhadap duit syiling 50 sen. SA atau maksudnya SE atau dalam bahasa formalnya satu. AMAH adalah bermaksud kepingan duit 50 sen tersebut. Samah adalah sekeping duit syiling 50 sen. Kata nama yang popular dan yang selalu menjadi kata bual semasa
proses jual beli
barang di Terengganu ialah Samah dan Tige Amah. Tige Amah bermaksud tiga keping Amah iaitu tiga keping duit syiling 50 sen yang bersamaan dengan RM1.50 sen.



Samah!



Tige Amah!



Singgah sekejap makan mee rebus,
Sebelum ke pasar membeli lada,
Selesai makan Tiga Amah dibayar terus,
Samah sahaja harga ladanya.

Wednesday, November 3, 2010

Journey Terengganu Menang Saguhati

Artikel dari blog penulis yang kedua: Journey Terengganu - http://journeyterengganu.blogspot.com/



Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi di atas kemenangan Journey Terengganu dalam Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010. Penulis tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk memenangi pertandingan ini dan tidak menyangka kerana memenangi saguhati. Terima kasih kepada pihak para hakim memilih Journey Terengganu sebagai pemenang saguhati. Terima kasih kepada pengunjung dan pembaca setia yang menjengah blog penulis yang serba ringkas dan biasa-biasa ini. Di sini juga penulis ingin mengucapkan tahniah kepada penulis-penulis blog yang bertanding dan memenangi hadiah tersebut serta penulis juga ingin mengucapkan tahniah kepada blog-blog yang telah layak bertanding.

Penulis hanya menulis sebagai sekadar catatan peribadi di samping untuk berkongsi pengalaman dengan pembaca. Konsep penulis berkenaan blog Journey Terengganu adalah semata-mata blog sahaja bukan seperti web pelancongan yang penuh dengan maklumat yang begitu padat hingga memenuhkan ruang dan keserabutan dalam blog penulis. Ini kerana penulis percaya jika ada para pelancong yang ingin mengetahui lebih lanjut, mereka boleh ke link-link atau web rasmi agensi pelancongan , atau web rasmi hotel, syarikat penerbangan dan sebagainya yang meletakkan harga yang lebih tepat dan maklumat perjalanan yang lebih mudah. Penulis mengganggap pembaca atau pelancong lebih pintar dalam mencari maklumat yang lebih tepat berkenaan sesuatu yang berkaitan dengan harga, maklumat perjalanan dan sebagainya. Lebih-lebih lagi kadar hotel dan kadar tambang adalah perkara yang boleh ubah mengikut musim, mengikut kehendak pihak pengurusan, atau apa sahaja. Oleh itu penulis tidak mahu terikat meletakkkan apa-apa harga atau sumber maklumat seperti nombor telefon dan alamat sesuatu hotel. Ini kerana juga nombor telefon dan alamat boleh berubah malah pemilik pengurusan juga boleh bertukar. Nasihat penulis ialah pelancong-pelancong boleh mendapatkan maklumat yang lebih tepat di laman atau web rasmi sesuatu syarikat pengangkutan dan hotel. Walaubagaimanapun penulis akan meletakkan juga sedikit maklumat tersebut jika ia bersesuaian.

Oleh itu penulis hanya menulis secara diari dan biasa-biasa sahaja dalam blog ini dan hanya ingin memberi maklumat yang perlu sahaja diketahui oleh para pelancong mahupun pembaca. Penulis mengetengahkan konsep penulisan sastera Melayu dan sedikit komedi seperti pantun dan sajak dalam Bahasa Melayu rasmi dan loghat Terengganu. Selain itu perlu diingat, konsep blog dan konsep web adalah berbeza. Blog adalah catatan pengalaman, luahan, diari harian dan juga diselitkan dengan maklumat yang tidak membosankan. Ia bukan seperti web yang padat dengan maklumat dan kadang penuh dengan keserabutan seperti masuk ke laman web milik kerajaan dan web sesuatu syarikat. Blog perlu menarik sama ada dari segi penampilan seperti latar belakang dan sedikit sentuhan gambar, (walaupun ringkas tetapi perlu sedikit daya tarikan dan gambar tidak perlu dipenuhkan sebagai latarbelakang kerana ia akan menggangu tumpuan pembacaan), yang tidak serabut, tidak berat apabila mahu dibuka oleh pelantar pelayar, isi artikelnya menarik dan mempunyai gambar-gambar yang bersesuaian dengan artikel.

Apa yang dipaparkan sebelum ini adalah berkenaan destinasi pelancongan, makanan dan pakaian, budaya, sastera dan loghat Terengganu, lagu dan pantun dan permainan kanak-kanak Terengganu. Penulis percaya bahawa untuk menarik pelancong ke Terengganu bukan hanya semata-mata destinasi sahaja tetapi kesemuanya yang berkaitan dengan negeri dan rakyat berpanji hitam dan putih ini.

Walaubagaimanapun, pertandingan ini telah berjaya mencapai sasaran Kerajaan Negeri Terengganu kerana dengan ada blog-blog ini promosi pelancongan Terengganu telah berjalan secara percuma. Satu cara yang pintar oleh Kerajaan Negeri Terengganu dalam melaksanakan promosi pelancongan negeri Terengganu.



Find yourself in Terengganu, Jupe mung di nung-Terengganu