Bukit Tebuk. Terletak di dalam Kampung Nibong Kubur, tetapi ada yang memanggil kawasan di situ sebagai Kampung Bukit Tebuk Tebuk. Kawasan in bersebelah dengan Kampung Bukit Chatak, Kampung Tanjong Pagar dan Kampung Nibong Bawah. Plak Monumen yang disediakan oleh Tourism Malaysia menyatakan Terowong Bukit Tebuk ini terletak di dalam Kampung Che Lijah. Penulis merasakan di situ ada kesilapan terhadap penerangan yang tertera di dalam plak momunem tersebut ini kerana Kampung Che Lijah adalah berada di kawasan yang jauh dari Bukit Tebuk ini. Penulis berharap ada pihak berkuasa menukar plak tersebut dengan menyatakan semula kedudukan sebenar Bukit Tebuk ini.
Secara ringkasnya bukit ini ditebuk oleh pihak Jepun melalui satu syarikat yang melombong bijih besi di Bukit Besi. Terowong ini dibina adalah sebagai laluan keretapi sama ada keretapi yang membawa penumpang atau keretapi yang membawa bijih besi dari kawasan perlombongan bukit besi ke kawasan pengumpulan bijih besi di Sura Gate. Keretapi penumpang membawa pekerja dan penduduk sekitar sebagai pengangkutan utama pada waktu itu bagi memudahkan perjalanan dari setiap stesen/hentian seumpama komuter di Kuala Lumpur,Selangor dan Negeri Sembilan.
Di dalam terowong ini terdapat dua bilik kecil tak berpintu di tepi dinding terowong. Jarak di antara dua bilik kecil ini agak jauh. Orang Dungun memanggilnya lubang. Muka pintu masuk bilik kecil ini berbentuk separuh bulatan atau 180 darjah di sebelah atas. Dikatakan bilik ini sebagai tempat orang menyorok jika semasa berjalan kaki melalui landasan keretapi di dalam terowong ini, dan ada keretapi melaluinya, bilik tersebut digunakan sebagai tempat keselamatan untuk menyorokkan diri buat sementara waktu.
Selepas zaman penutupan perlombongan Bukit Besi, jalan di kawasan terowong ini berbatu dan tidak berturap tar seperti sekarang. Laluan di situ pada waktu tersebut bukanlah seperti sekarang ini di mana ada kenderaan yang lalu lalang sebagai jalan pintas untuk ke jalan besar Dungun ke Kuala Terengganu. Dahulu kampung di belakang Bukit Tebuk ini dahulunya sepi dan penempatan yang berselerak dan tidak banyak rumah. Sekarang ini ada sedikit perubahan dengan pembinaan taman perumahan di kawasan tersebut, tetapi kawasan tersebut masih seperti dulu - sepi dan aman.
Bukit tebuk ini sewaktu kecil adalah tempat penulis bermain, bukitnya dipanjat untuk melihat panorama dan melihat remaja bermain bola di satu padang yang terletak di Kampung Nibong Bawah pada waktu itu, dan di kawasan lembah bukit ini banyak terdapat pokok buluh, yang diambil oleh kanak-kanak waktu itu semasa musim bermain bedil-satu senapang berpeluru buah kecil atau kertas surat khabar yang dibasahkan dan digentel menadi bulat. Bedil ini bentuknya seumpama picagari di mana ombohnya berperanan seperti picu untuk menembak peluru yang di isi ke dalam sarung buluh.
2 comments:
Barang baek...
Download sebelum tamat tempoh..
harap tlg sebar gak ya.
http://smksed.blogspot.com/2009/07/lagu-dungun-membangun-dan-pewaris-anak.html
komando_trg
Terima kasih atas promo tersebut.
Post a Comment