Monday, June 20, 2011

Bersihnya Dungun!

Rasa terharu. Kenapa? Tanggungjawab pihak yang berkaitan dalam mengendalikan kerja pembersihan dan cara menguruskan kebersihan di daerah Dungun. Kepulangan aku ke Dungun dan jengah aku ke beberapa kawasan pantai, kampung dan temubual membicarakan tentang pengurusan pengutipan sampah membuatkan aku rasa tertarik dan cara ini telah berubah berbanding dahulu.

Aku difahamkan setiap zon di kampung-kampung mempunyai kontraktor yang berlainan dalam menjaga kebersihan dan proses mengutip sampah. Cara mereka mengendalikan kerja pembersihan membuatkan aku rasa puashati. Di sekitar pantai pekerja-pekerja ini begitu tekun dan rajin dalam melaksankan menjaga kebersihan. Jika ada kenduri, dengan melihat khemah sahaja yang di pasang depan atau di halaman Tuan Rumah, maka dua tong besar diberi secara pinjaman sementara (tanpa bayar, tanpa duit pendahuluan atau duit sewa) untuk digunakan oleh pihak tuan rumah bagi memudahkan membuang sampah terus ke dalam tong besar beroda ini. Menarik!

Kontraktor-kontraktor yang berbeza yang dianugerahkan kontrak pembersihan mungkin mewujudkan sifat daya saing untuk menunjukkan komitmen dalam mengendalikan perniagaan berbentuk perkhidmatan pembersihan ini. Selain itu mungkin pihak kontraktor mudah untuk mengawal Manning (kakitangan pekerja pembersihan) dalam melaksanakan tugas kerana diperuntukan kawasan yang tidak begitu besar dan tidak memerlukan ramai pekerja. Mungkin juga pihak Majlis Perbandaran Dungun mudah untuk mengawal dan berurusan dengan kontraktor apabila proses penilaian kualiti (QA/QC) yang dibuat mengikut jadual dan skop kerja sebelum proses pembayaran dibuat. Ini semua teori aku berdasarkan pengamatan yang singkat dan pengalaman aku sendiri.

Ini pula cadangan aku :
  • Pihak Majlis Perbandaran Dungun perlu menyediakan tong-tong beroda yang besar dan dibezakan dengan kategori sampah. Mungkin dipecahkan untuk besi, sampah plastik/makanan/botol, kaca dan tin aluminium. Sampah berbentuk barangan elektronik seperti telefon bimbit (handphone), monitor komputer dan televisyen juga perlu diurus dengan cermat dan betul.
  • Mewujudkan perkhidmatan untuk mengutip sampah berupa dahan pokok yang besar, batang pokok dan sepertinya sebagaimana seperti contoh menyediakan tong sampah beroda secara pinjam percuma apabila ada kenduri-kendara. Mungkin boleh dibuat secara talian untuk memudahlan penduduk memangil pihak kontraktor dalam menguruskan sampah kategori pokok ini. Ini perlu kerana daerah Dungun masih dalam dunia kampung klasik yang masih utuh dengan keindahan landskap pokok-pokok tanaman.
  • Membuat tinjauan (Survey) secara rambang (Random) dengan penduduk-penduduk kampung berkenaan kepuashatian atau tidak dengan perkhidmatan yang diberikan oleh setiap kontraktor. Setiap tinjauan ini boleh diekstrak menjadi satu keputusan untuk melihat sejauh mana keberkesanan perkhidmatan yang diberikan. Selitkan juga ruang cadangan (BANK OF IDEA) bagi mendapatkan idea-idea rakyat bagi membantu mengindahkan daerah Dungun dan juga menjaga kebersihan daerah ini bersama-sama.
  • Banyakkan papan tanda (Signboard/Signage) berkenaan kebersihan. Ini satu psikologi! Hari-hari nampak, hari-hari baca takkan tak berdetik di hati untuk menjaga kebersihan. Letakkan papan tanda ini di segenap pelusuk kampung, bukan di tepi jalan besar sahaja. Itu sekurang-kurangnya satu cara untuk mendidik masyarakat melalui papan tanda.
Cukup setakat ini. Mungkin ada idea nanti aku tulis lagi. MENUJU BERSIHNYA DUNGUN!

No comments: