Wednesday, December 28, 2011

Tanjung Piai Memandang Karimon

Aku berkelana beberapa hari ke Johor Bahru. Hati yang menggunung untuk ke satu tempat yang menjadi mercu tanda dunia sebagai Penghujung Selatan Tanah Besar Asia atau dikenali sebagai The Southernmost Tip Of The Mainland Asia Continent. Aku ke sana ada beberapa sebab. Sebab pertama sebab ada kerinduan aku di situ. Sebab kedua kerana aku suka ke tempat yang belum pernah aku jejak terutamanya kawasan pantai kerana aku adalah pencari pantai. Sebab seterusnya ialah sebab mercu tanda seperti yang aku katakan di atas.

Sebelum aku sampai ke situ, aku singgah dahulu ke Tanjung Piai Resort untuk mengisi perut waktu tengahari dengan menjamu makanan nasi goreng berlaukkan makanan laut iaitu udang dan sotong seperti biasa apabila kawasan laut pastinya makanan laut menjadi sajian setiap restoran. Harga makanan di situ agak menarik.

Tinggalkan dahulu cerita makanan. Angin tengkujuh mungkin tempias yang sampai ke sini terlalu kuat tetapi ia menyegarkan suasana. Tempias laut dan kadangkala rintik hujan menjadikan suasana nyaman. Pergerakkan aku ke titik paling hujung tersebut mulanya agak terbantut disebabkan seperti banjir menggenangi jalan ke arah Taman Negara Tanjung Piai (di mana titik tersebut terletak di situ). Aku melalui jalan lain iaitu jalan utama untuk menuju ke situ. Rupanya ada dua jalan yang menuju ke arah tersebut di mana jalan yang selari dengan laut digenangi air, manakala jalan yang dalam sedikit iaitu jalan utama elok untuk dilalui. Sampainya aku di depan pintu masuk ke Taman Negara tersebut, aku dikejutkan lagi jalan masuk ke pintu utama di situ digenangi air separas lutut. Perlukah aku mengarungnya? 

Pengunjung-pengunjung yang mahu pulang membantu aku dengan menyarankanku supaya mengambil jalan darat yang lain yang mana tidak jauh dari situ yang tidak dibanjiri air. Lantas aku mengambil jalan darat yang berselut yang merupakan seperti laluan titi besar bertanah selut yang memisahkan aliran air seperti kawasan mengabang, seperti tali air yang besar. Setelah itu aku melalui jalan berlantaikan konkrit yang telah rosak dan perlu berhati-hati.

Perjalanan untuk ke pintu masuk mengambil masa dalam 5-10 minit dengan bahagian tepi sebelah kanan dipenuhi dengan pokok paya bakau dan diiringi dengan kawanan kera dan lotong cekung (sejenis monyet). Dinasihati anda buat tak tahu sahaja dan jangan mengacau mereka. Sampai di pintu masuk, anda akan teruja melihat mercu tanda batu menunjukkan peta dunia dan ukiran daun pokok piai. Bagi meneruskan perjalanan ke kawasan mercu tanda anda perlu membayar RM5 untuk dewasa, warga tua RM3, dan kanak-kanak bawah umur 6 tahun adalah percuma.

Aku melalui jalan yang disediakan iaitu jambatan kayu yang dikelilingi dengan hutan paya bakau. Laluan ini agak licin kerana hujan. Ditemani dengan rintik-rintik hujan perjalanan menuju ke titik tersebut mengambil masa dalam bawah 10 minit. Di sepanjang perjalanan anda akan dapat membaca pelbagai kata-kata dan ayat nasihat (seperti ayat tidak boleh membuang sampah merata-rata) yang diletakkan pada tiang kayu dan pada jambatan. Sedikit merunsingkan aku ialah jambatan kayu ini banyak yang rosak, reput, ada yang berlubang dan ada yang hilang sekeping lantai kayunya di kawasan yang berbeza. Ia agak mengganggu perjalanan dan membahayakan pengunjung-harap ada pihak yang memperbaikinya.

Penamat jambatan kayu ini ialah jambatan konkrit yang menyambungnya hingga ke tengah laut yang menempatkan globe (globe ini seperti telah rosak di mana petanya berlipat-lipat dan berkibar ditiup angin) yang menjadi titik paling selatan bagi tanah benua asia. Sampainya aku ke situ, ia begitu mengujakan aku. Teruja ke satu tempat yang paling selatan bagi tanah besar benua asia, tapi yang paling penting ialah sekiranya cuaca elok dikatakan orang, aku akan dapat memandang tanah moyangku. Hendak aku ke sana tak tersampai. Hanya memandang dan sampai sempadan sahaja yang aku mampu. Memandang ke Karimun. Memandang ke arah pulau seberang yang tidak nampak tapi aku tahu ia berada di situ. Pulau yang dikatakan asal moyang aku. Moyang sebelah ibu kepada ibuku. Ayah kepada nenek aku. Mempunyai kaitan dengan tanah Johor dan Pulau Karimun. Rindu seperti diubati ketika aku di situ seketika. Walaupun aku tidak pernah menjejak ke pulau itu namun ke Tanjung Piau membuat keterujaan aku membuak-buak Pastinya jika ada masa lagi, aku akan kembali ke sini.

Nota : Aku ke situ dengan keluargaku dan rakan karibku (serta keluarganya) yang asalnya juga dari Dungun (Kampung Sungai Buaya) yang tinggal dan bekerja di Johor Bahru. Kawasan masuk ke Taman Negara Tanjung Piai ini digenangi air adalah kerana fenomena air pasang seperti yang ditunjukkan dalam penerangan bergambar yang diletakkan di kawasan berhampiran kaunter pertanyaan/tiket. Pulau Karimun dengan Tanjung Piai dikatakan jaraknya sejauh 64km. Di titik penghujung selatan tersebut jika cuaca elok anda akan dapat melihat Pulau Singapura dan Pulau Karimun. Banyak kapal-kapal besar/kargo berlabuh di sekitar berhadapan dengan Tanjung Piai.

Pautan Google Map : Tanjung Piai



Hendak ke Karimun tak tersampai
Tanjung Piai mengubat hatiku
Tanah moyang jauh tak tergapai
Di sini aku teruja rindu

No comments: