Tuesday, March 31, 2009

Manuskrip Melayu Nusantara

Manuskrip Melayu Nusantara

Diambil daripada Utusan Malaysia

Pengenalan
JUDUL Manuskrip Melayu Patani pernah ditentukan oleh pihak penganjur iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada penulis untuk dibentangkan dalam satu seminar anjurannya. Untuk lebih luas perbicaraan ini, maka penulis lengkapkan dengan perkataan Hubungan Patani, Natuna, Kelantan, Terengganu dan Kemboja.

Perbicaraan ini disusun bertitik mula daripada pelbagai Manuskrip Melayu Patani, surat-surat, salasilah, pelbagai catatan dan lain-lain.

Pada bahagian akhir perbicaraan ini, penulis sentuh agak ringkas mengenai sekian dokumen surat-surat yang penting dikaji dan dibahas untuk pembuktian hubungan kuat semua negeri Kawasan Timur Laut seperti tersebut di atas.

Antara yang dijadikan contoh ialah surat-surat terima balas antara Sheikh Ahmad al-Fathani dengan para ulama, raja-raja dan tokoh-tokoh: Kemboja, Patani, Kelantan dan Terengganu.

Walau bagaimanapun, penulis berasa sangat perlu mendahulukan pengenalan terhadap Natuna, berbanding negeri-negeri kawasan timur laut lain yang disebut dalam judul, kerana telah banyak dikenal dan ditulis oleh para pengkaji.

Natuna yang dibicarakan ini adalah berdasarkan surat-surat, catatan-catatan dan salasilah yang ditulis oleh para ulama dan tokoh silam Patani, baik yang tinggal di Natuna mahupun tempat-tempat lainnya.

Natuna adalah kabupaten yang baru muncul setelah krisis ekonomi dan reformasi, 1997-1998, dengan pusat pemerintahannya Ranai, di Pulau Bunguran/Natuna. Penulis memilih Natuna adalah disebabkan ada hubungan erat dengan Patani, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan lain-lain. Bahkan sebahagian dari wilayahnya termasuk dalam Kawasan Timur Laut, jika ditarik garis dari Terengganu.

Bahawa sistem pemerintahan terawal di Natuna adalah diasaskan oleh golongan bangsawan yang berhijrah dari Patani dan Johor. Dari pihak lelaki adalah golongan bangsawan Patani, dari pihak perempuan pula adalah dari Kesultanan Johor. Dapatlah ditegaskan bahawa dari pemerintahan terawal (1597 M) hingga Datuk Kaya yang terakhir adalah keturunan lurus dari golongan bangsawan Patani.

Daripada hal-hal yang tersebut di atas, di sini cuba dibahaskan Natuna dalam tiga persoalan, iaitu: ekonomi, politik dan sosial. Dalam sejarah zaman lampau Natuna, ketiga-tiga persoalan yang tersebut tidak dapat dipisahkan dengan Kawasan Timur Laut, iaitu: Patani, Kelantan, Terengganu, dan Kemboja/Cam. Bahkan lebih luas lagi ada hubungkaitnya dengan Pahang, Johor, Sarawak, Brunei, Sambas, Pontianak, dan tempat-tempat lainnya di Asia Tenggara dan dunia antarabangsa terutama China.

GEOGRAFI KABUPATEN NATUNA

Sebelum membicarakan perkara-perkara lain, di sini disentuh dengan ringkas letaknya Kabupaten Natuna. Kabupaten tersebut terdiri dari gugusan Kepulauan Natuna Besar (Pulau Bunguran dan Pulau Laut, dan lain-lain), Kepulauan Siantan/Anambas, Kepulauan Jemaja, Pulau Midai, dan Kepulauan Natuna Kecil/Selatan (Pulau Subi, Pulau Panjang dan Pulau Serasan) ialah di Laut China Selatan.

Ia terletak di antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur. Pulau yang paling Utara dalam Kabupaten Natuna ialah Pulau Laut. Jika ditarik garis lurus dari Barat, iaitu dari Dungun dan Pulau Tenggul dalam Terengganu, maka arah ke timurnya setentang dengan Pulau Laut, Natuna.

Pulau yang paling besar Kabupaten Natuna, nama asalnya ialah Pulau Serindit, nama lainnya ialah Pulau Bunguran. Dalam kitab-kitab klasik bahasa Arab dinamakan Jazirah Qumuran. Nama popular dunia antarabangsa dalam peta minyak dan gas sekarang ialah Natuna. Jika ditarik garis lurus dari Barat, iaitu dari Cukai, Terengganu, maka arah ke timurnya setentang dengan Teluk Buton, iaitu nama tempat yang paling Utara di Pulau Bunguran.

Tempat yang paling selatan Pulau Bunguran pula setentang dengan Kuantan, Pahang. Pulau Tioman, Pahang, pula bersententangan dengan Letung, Kepulauan Jemaja. Pulau yang paling Selatan Kabupaten Natuna ialah Pulau Serasan sangat dekat dengan Tanjung Datuk, Sarawak/Malaysia Timur.

Natuna adalah termasuk wilayah Indonesia yang paling utara, merupakan pintu masuk pertama bagi pelayaran laut menuju nusantara dari dulu sampai sekarang bagi negeri-negeri seperti: Kemboja, China, Jepun, Taiwan, Hong Kong, dan lain-lain.

Oleh itu, anggapan daerah Natuna merupakan daerah terpencil adalah tidak benar. Pada pandangan penulis, Laut China Selatan adalah merupakan daerah strategik dalam pembentukkan wilayah ekonomi, yang sebahagiannya termasuk kawasan timur laut yang disejajarkan dengan Patani, Kelantan dan Terengganu.

Sejarah Ringkas

Pemerintahan di Natuna diperkirakan bermula tahun 1597 Masihi (abad ke-16), didirikan hasil gabungan penghijrahan kaum bangsawan Patani dan Johor. Salah seorang puteri keturunan asal pemerintahan Natuna bernama Wan Seri Bulan, berkahwin dengan salah seorang kerabatnya di Patani, bernama Datuk Bendahara Lingkai al-Fathani.

Beberapa orang keturunannya menjadi Datuk Kaya yang memegang teraju pemerintahan Natuna. Selanjutnya dari keturunan Orang Kaya Aling pula, di antaranya ada keturunannya yang perempuan kahwin dengan keluarganya dari Patani.

Keturunan Orang Kaya Aling, keturunan yang keempat, bernama Orang Kaya Janggut anak Orang Kaya Muhammad. Menantu Orang Kaya Janggut ini bernama juga Wan Muhammad (sama nama dengan ayah mertuanya), beliau ini sengaja diambil dari Patani.

Setelah memerintah, Wan Muhammad al-Fathani digelar 'Orang Kaya Perdana Mahkota'. Pada tahun 1848 M, beliau memperoleh tanda penghargaan sebuah meriam tembaga dari Penguasa Militer Inggeris untuk Singapura dan Melaka bernama Liutenant Colonel Butterworth, atas jasanya memberikan bantuan kepada sebuah kapal milik Inggeris bernama General Wood yang pecah di sekitar Pulau Selaut di perairan Bunguran Kepulauan Natuna pada 25 Januari 1848 M.

Sewaktu Wan Muhammad al-Fathani (Orang Kaya Perdana Mahkota) akan mangkat, yang layak menggantikannya sedang berada di negeri Cam (Kemboja), beliau ialah Wan Qamaruddin atau digelar Wan Kama/Wan Rawa. Sebuah kapal milik Belanda telah digunakan untuk menjemput Wan Qamaruddin itu di Cam (Kemboja).

Wan Muhammad al-Fathani (Orang Kaya Dana Mahkota) diganti oleh puteranya Orang Kaya Wan Rama pada tahun 1850 M. Daripada maklumat ini, adalah jelas bahawa sampai tahun 1850 M bahkan sebelum kemerdekaan Indonesia 1945, hubungan Natuna dengan Patani mahupun hubungan dengan Cam di Kemboja masih sangat erat.

Sejarah Ringkas Ekonomi

Sejarah ekonomi di Natuna, dapat penulis ringkaskan seperti berikut, bahawa:

Di antara syarikat/perusahaan niaga itu yang masih ada sampai sekarang hanyalah Ahmadi & Co. Midai. Ahmadi & Co. Midai dalam masa yang panjang sangat terkenal, kerana mempunyai cawangan di Singapura, yang banyak menerbitkan pelbagai jenis bahan cetakan.

Perlu juga disentuh di sini bahawa di antara sekian ramai yang memasukkan modal/saham dalam Ahmadi & Co. Midai ataupun cawangan di Singapura, terdapat juga pelabur yang berasal dari Patani dan Kelantan.

Dengan berdirinya Cawangan Ahmadi & Co. Midai di Singapura, atas kebijakan ketuanya Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong, bermula dari agen kelapa kering (kopra), hasil laut, dan usaha tenunan kain Terengganu, hingga terkenal sebagai mathba'ah/ press dan penerbit.

Secara tidak langsung, ini bererti mewakili keintelektualan masyarakat Tukong Pulau Tujuh atau sekarang disebut Natuna, di gelanggang dunia niaga serantau. Selain itu seorang ulama besar Sarawak yang terkenal di Mekah, iaitu Sheikh Utsman bin Abdul Wahhab Sarawak pernah memiliki sebidang kebun di Pulau Midai yang diurus oleh Ahmadi & Co. Midai.

Jika kita menoleh kebelakang, pelayaran pada zaman silam yang menggunakan tongkong atau wangkang dari negeri China, perahu ukuran besar yang berasal dari Terengganu, negeri Bugis dan penduduk Natuna sendiri yang melalui Laut China Selatan, sudah pasti akan melalui ataupun singgah di Natuna.

Pada zaman penggunaan tongkong/wangkang atau perahu, peranan kepulauan di Laut China Selatan itu adalah sangat penting terutama untuk mendapatkan bekalan air. Lama kelamaan wujudlah perdagangan antara pelbagai daerah. Bahkan ramai orang-orang Terengganu datang di daerah tersebut untuk berniaga menggandar pelbagai jenis kain, dan ia berjalan hingga tahun 1950an. Syarikah Ahmadi & Co. Midai termasuk perintis awal memiliki sebuah kapal di daerah Natuna yang dinamakan Kapal Karang.

Sepanjang sejarah pelayaran, penggunaan kapal untuk daerah Natuna mengalami dua kali tergendala, yang pertama ialah menjelang perang dunia yang kedua dan beberapa tahun sesudahnya. Keduanya pula ialah ketika terjadi Konfrontasi Indonesia-Malaysia (1963) berjalan terus hingga beberapa tahun sesudahnya.

Pada masa perang dunia yang kedua, barang makanan banyak dibawa dengan perahu dari Kuala Terengganu dan Kuching, Sarawak. Perhubungan dengan Singapura yang menggunakan kapal boleh dikatakan terputus. Ketika konfrontasi terdapat pertukaran makanan secara garam (illegal) dengan Singapura dan pelabuhan kecil Sematan di Sarawak, yang diangkut dengan motor-motor kecil ukuran mulai 4 tan dan yang paling besar hanya 40 tan. Dalam masa konfrontasi pula mulai banyak hubungan perniagaan dengan Kalimantan Barat melalui pelabuhan Singkawang dan Pemangkat dalam Kabupaten Sambas.

Walaupun selama ini betapa peritnya derita, namun akhir-akhir ini Natuna dipandang sangat berpotensi kerana terdapatnya minyak dan gas. Paling penting pula hasil emas hijau, bunga cengkih, yang mengundang kedatangan pengusaha besar dari Jawa ke Natuna.

Datang pula kapal-kapal dari Taiwan, Hong Kong, dan Thailand memburu ikan di laut Natuna, ada yang secara sah (legal) tetapi lebih banyak yang bercorak illegal. Ada perniagaan ikan hidup, ada ikan mati yang diawetkan. Ada yang langsung ditangkap di laut, ada pula tempat-tempat pemeliharaan. Pendek kata dirumuskan bahawa semuanya serba lengkap dan moden.

Aktiviti Agama Islam

Orang-orang Melayu di keseluruhan Natuna adalah sebagai bumiputera yang datang dari pelbagai tempat: Patani, Semenanjung Malaysia, Kampar/Kuantan (Sumatera), Bugis, Banjar, Sambas, Brunei, dan lain-lain, semua mereka adalah beragama Islam, kecuali orang Pesuku masih animisme. Orang China pula masih menurut tradisi mereka.

Bahawa ulama terawal yang menghasilkan karya yang berasal dari Siantan, Natuna, yang dapat dikesan bernama Sheikh Abdul Wahhab Siantan. Karyanya ialah Hikayat Ghulam yang diterjemahkan dari bahasa Arab. Sheikh Abdul Wahhab Siantan adalah guru kepada Raja Ja'far Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga ke-6 (1805-1831 M).

Aktiviti penulisan ulama Siantan itu diteruskan lagi oleh dua orang ulama ialah Sheikh Abdullah bin Muhammad Siantan dan yang seorang lagi ialah Sheikh Abdullah bin Abdul Wahhab Siantan. Tidak perlu penulis panjangkan perkara ini kerana pengenalan sejarah mengenai tokoh ulama-ulama tersebut pernah dibicarakan dalam ruangan ini sebelumnya.

Masih ramai ulama dan intelektual Natuna yang belum sempat penulis perkenalkan, namun perlu juga disebutkan bahawa terdapat ulama Natuna yang pernah mengajar di Masjid al-Haram Mekah, seperti Sheikh Muhammad Nasir Pulau.

Salah seorang tokoh pejuang politik Riau yang paling menonjol pada zamannya, ialah Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad, iaitu anak kelahiran Pulau Midai, Natuna. Beliau pernah menyelesaikan sebuah karangannya berjudul Panduan Taruna di Ranai, ibu kota Natuna.

Kesimpulan

Dari gambaran di atas, dapat penulis simpulkan bahawa Natuna boleh menjadi satu kawasan perdagangan bersama antara Malaysia, Indonesia dan Thailand yang membentang dari Patani, Kelantan, Terengganu, Natuna dan Sarawak.

Hal ini barangkali dapat kita bandingkan dengan SIJORI (Singapura-Johor-Riau) ataupun seperti kawasan ekonomi di Utara Malaysia yang melibatkan Malaysia, Thailand dan Indonesia. Penghasilan Kabupaten Natuna terutama minyak dan gas juga dapat dimanfaatkan oleh masyarakat Kabupaten Natuna bagi meningkatkan taraf ekonominya.

Oleh kerana dalam Kabupaten Natuna majoriti penduduknya adalah beragama Islam, maka penanganan kepentingan Islam perlu lebih diutamakan dari semua kepentingan dan pembangunan selainnya.

Jika kita menoleh sejarah zaman silam, sejak pemerintahan asal Datuk Kaya hingga bergabung dengan Kesultanan Riau-Lingga-Johor dan Pahang adalah berperanan aktif dalam memasyarakatkan agama Islam.

2 comments:

roshaizul said...

kiranya johor dan trg ada pertalian saudara la ek

TATA said...

Mengikut cerita, johor dan terengganu memang ada pertalian. kebanyakan daripada orang2 johor berketurunan riau-bugis membawa diri dan menetap di kg raja, besut. mereka membuang nama pangkal WAN agar tidak dikenali. keturunan ini dijohor dikenali dengan keturunan daeng dan sekarang kami sedang membuat research dan mencari warih warah tentang keturunan ini.