Sunday, July 19, 2009

Pantun : Sajian dan Tempat

[Pembuka Kata]

Ikan Aye dibuat singgang,
Cicah pula tempoyak belacan,
Kuala Dungun ombak tak renggang,
Pemula daerah bermula pekan...

[Cerita]

Ketupat sotong bukan dianyam,
Dimakan begitu kuahnya menimbun,
Ke Tanah Lot jumpa bersalam,
Tempat mastautin keturunan Tambun...

Mencari rempah daun pisang semua,
Bakar Otak-otak ikan tenggiri,
Moyang Mahmud membuka Sura,
Kini bermula bandar berseri...

Nasi Minyak hidangan pengantin,
Dicari jua setiap pagi,
Kalau ke Sura membeli kain,
Pesan kita bertandanglah lagi...

Sata dibakar berdaun pisang,
Dijual di pasar setiap Khamis,
Ke Sura Hujung Jumaat petang,
Mencuba cinta mengayat manis...

Kuih Nganang kuih lama,
Hidangan jiran dan tetamu,
Tiga Sura kampung lama,
Makin masyhur madrasah ilmu...

Nasi Dagang acar mentimun,
Pulut lepe asalnya panggang,
Ke Teluk Lipat jangan mengelamun,
Cubalah main wau layang-layang...

Nasi Kunyit nama diberi,
Pulut Kuning nama lainan,
Hati sayu memandang sepi,
Sungai Dungun tempat mandi-mandian...

Lékor dan Göndé asalnya sama,
Itulah keropok nama diberi,
Sungai Udang bukan hanya Melaka,
Nama seiras tempat tidak seperti...

Asam Gumpal Asang Gupa,
Rasa manis bila dimakan,
Kampung nelayan Kampung Bijangga
Di tepi sungai rumah kediaman...

Laksam dihidang membuka selera,
Röjök Katéh pedas sekali,
Bakar ikan di Sungai Buaya,
Pengkalan Macang siapa kenali?

Nasi Kapik Nasi Himpit asalnya
Pagi pula dibawa bekalan,
Pengkalan Tengku Jaafar di mana pula?
Silalah kita bertanya jalan...

Keping dihiris dijemur mentari,
Keropok Keping dipanggil nama,
Nibong Bawah jauh sekali,
The Mel pula di situ sahaja...

Roti Payang di dalam Tempayan,
Di sebelah barat Nan namanya,
Ke Padang Jambu mencari sarapan,
Warung kedai enak makanannya...

Pasar Ahad menjual juadah,
Ada tepung bungkus tepung pelita,
Bukit Tebuk laluan berubah,
Ditar dilampu tiada gelap gelita

Murah sekali Tepung Pasung,
Dibeli juga paih inti tenggiri,
Hebat juga Pulau Serai ditanggung,
Pulaunya air tiada dikelilingi...

Asang glugo timun cina,
Asam keping buah tembikai,
Rajawali kampung lama,
Dalamnya dekat Masjid Pulau Serai...

Gulai kuning pekat ikan kembung,
Nasi acar kobis makan bersudu,
Alor Rekam Tok Kah semua berkampung,
Tempat orang belajar memandu...

Pulut Gaul Nyö santapan pagi,
Lepas makan mata pun kuyu,
Bemban, Lintang, dan Bukit Pak suri,
Semua itu Kampung Melayu...

Temose dan Karipap macam sama,
Kecil besar hidangan tetamu,
Datuk Nakhoda datang ke sana,
Bukit Lambor membuka tanah baharu...

Sayur Téné dan Sambal Sotong,
Aye dicicah kicap berlada,
Ke Sungai Pimpin singgah Batu Tiong,
Kampung Pelandang jangan dilupa...

Ketupat Palas digoreng petang,
Berbuka Nekbat di bulan Ramadhan,
Kertas Pulas, Kuala dan Rantau Abang...
Kampung berpantai semuanya berjiran...

Lompat Tikam selalu dicari,
Terlalu manis makanlah sikit,
Kampung Rhu Batil aman sekali,
Tempat berpaya berpasak bukit...

Kuih Hasidah dan Brönök Sagu,
Dihidang petang manis rasanya,
Petang hari ke pantai selalu,
Ke Tanjong Jara juga Teluk Bidara...

Bingka Ubi kuih tradisi,
Kopi panas hidang bersama,
Seberang Pintasan dekat sekali,
Jambatan baru tinggi terasa...

Röjök Keling Röjök Betik buah,
Makanannya lain awalannya serupa,
Kampung Göng Pasir Kampung Pak Sabah,
Se Masjid kita dikongsi bersama...

Aiskrim Goreng pelik namanya,
Roti ais berbalut santapan baru,
Tanjung Pati nama lamanya,
Makam Diraja terletak di situ...

Makan Akök petang selalu,
Akök dibeli pasar Isnin,
Binjai, Serdang, Delong dan Keliu,
Semua Melayu tidaklah lain...

Sedap sungguh kuih Nganang,
Habis dijual dibeli ramai,
Padang Pulut, Pinang Mas, dan Dendang,
Kampung lama di tepi sungai...

Tok Aji Serban bukanlah orang,
Nama kuih sedap santapan,
Kampung Wa simpang Kuala Berang,
Ke Jerangau Sungai satu jalan...

Koleh Kacang ada tak lagi?
Puas mencari sini dan sana,
Zaman lombong zaman keretapi,
Bukit Besi itulah sejarahnya...

Kuih Slemang dan Belede namanya,
Makanan lama bukannya baru,
Al-Muktafi Billah Shah di mana letaknya?
Disebut Durian Mas baru tahu...

Onde-onde buah melaka,
Sama kuihnya namanya lain,
Kita ke sungai ke Bumbung Raja,
Pelbagai ikan berenang bermain...

Kayu Khamak nama diberi,
Cakoi pula kuihnya serupa,
Ke Pasir Raja kita ziarahi,
Kubu Mat Kilau ada di sana...

Makan Ikan Celup Tepung,
Mari makan di tepi sungai,
Kampung Shukor, Sungai Loh dan Chemerung,
Tempat berkelah dikenali ramai...

Di dalam kertas Sagöng dibungkus,
Suka dimakan oleh budak-budak,
Nak ke Paka jalannya lurus,
Dulunya berbelok berhati bergerak...

Air Nira dibeli lepas bersalam,
Dengan penjual di tepi jalan,
Durian Mentangau simpang ke dalam,
Tempat ladang tanam tanaman...

Taik Itik jangan disalah
Itu nama makanan kita
Kampung Nyiur, Pinang Merah dan Tebing Tembah
Tercatat dulu banjir melanda...

Tergigit lada pedas sekali,
Bila makan Sarok Lada
Kampung Santong tidak menyepi,
Lalu lalang orang bekerja...

Pukat Buruk itu makanan,
Kalau nak makan ambil di dapur,
Dari Paka terus ke depan,
Jalan Kemaman Ke Kuala Lumpur...

[Penutup]

Goreng Sotong Bercelup Tepung,
Untuk dimakan selepas berkebun,
Jauh di lubuk hati kita di kampung,
Sayangi Dungun kian membangun...

No comments: