Monday, August 3, 2009

Bentuk Muka Bumi di Dungun

Geografi. Bentuk muka bumi. Di Terengganu ( dibaca juga : Dungun ) bentuk muka buminya bermacam. Berbukit, berpaya, berpantai, berkuala, berseberang, berpulau, sungai, tanah rendah, ber-alur atau anak sungai, dan ber-göng dan banyak mengabang.

Aku mengambil contoh bentuk muka bumi di Dungun. Ber-alur iaitu anak sungai. Perjalanan anak sungai ini bermula daripada sungai Dungun. Masuk ke darat melalui kunci air ( di benteng Kampung Sungai Buaya ), menjadi anak sungai yang dinamakan dengan Sungai Buaya. Sekarang ini penduduk menggelarkan anak sungai ini sebagai lokang beso ( longkang besar ). Perjalanan anak sungai ini hinggalah ke Jalan Lembah ( Rumah Pengakap Dungun ) lalu ke Kampung Alor Jejawi ( di sini juga merupakan bekas laluan keretapi Bukit Besi ). Perhatikan nama alor itu. Alor atau alur ini dinamakan sebegitu kerana kawasan penempatan/perkampungan tersebut terdapat laluan aliran anak sungai tersebut.

Kita teruskan perjalanan alur ini hingga ke Kampung Alor Tembesu ( pusat Tuisyen terkenal dulu-dulu, sekarang ada lagi ? ). Nampak sudah panjang lokang beso ini. Terus ke depan sedikit ialah Alor Fajar ( sebab itu bekas panggung wayang lama Mék Kék dipanggil Panggung Fajar ). Jika terus ke depan anak sungai akan melalui kawasan Kampung Pak Sabah dan seterusnya hingga Alor Tempoyak ( tidak tahu kenapa diberi nama sebegini ). Anak sungai ini mungkin hingga ke tasik berhampiran UITM Dungun di Sura Hujung dan terus ke laut, mungkin?

Bentuk muka bumi yang kedua ialah bukit. Di sini antara bukit yang terkenal ialah Kampung Bukit Chatak, Bukit Tebuk, Bukit Bauk-yang banjarannya digelar Banjaran Bauk yang mana banjarannya sampai hingga ke Durian Mas. Bukit berhampiran dengan UITM Dungun dipanggil Bukit Mayat kerana bukitnya berbentuk seperti mayat - itu hanya teori, dan cakap-cakap penduduk di sekitar. Bukit yang terpahat dalam sejarah adalah Bukit Besi. Bukit lain ialah bukit berhampiran di Sungai Pimpin dan berdasarkan calap-cakap cerita ia berbentuk Sungai Buaya lalu kampung di tepian sungai yang bertentangan dengan bukit tersebut dinamakan Kampung Sungai Buaya-akan tetapi terdapat sejarah cerita orang tua-tua mengatakan di Kampung Sungai Buaya terdapat buaya putih yang muncul dilihat oleh Allahyarham Tengku Jaafar yang terkenal di Dungun suatu masa dahulu.

Terdapat beberapa bukit yang telah lama dilupa orang dan mungkin generasi baru tidak ketahui, iaitu Bukit Lambur - perkampungan Bukit Lambur dibuka oleh Datuk Nakhoda yang berasal dari Pagar Ruyung, Jambi Sumatera, Indonesia. Keduanya ialah Bukit Sarang Lang. Mungkin terdapat banyak burung helang menjadikan kawasan habitat di kawasan tersebut. Bukit Sarang Lang ini mungkin sekarang dikenali dengan nama Kampung Baru Darat Kuala Abang. Ketiga ialah Kampung Bukit Pak Suri, yang terletak berhampiran dengan Kampung Lintang jalan ke Jerangau Sungai. Kata orang Terengganu jikalau ingin tahu arah jalan ke kampung ini ialah " Gi depang agi, atah dari Kapong Tok Kah agi..." .

Bercerita pula tentang paya. Banyak paya di kawasan Dungun tetapi tidak ada nama yang khas sama ada kampung atau nama gelar. Kawasan berpaya ini banyak di sekitar Kampung Göng Pasir, dan Kampung Bukit Chatak, dan Kampung Sungai Buaya. Paya-paya ini banyak berhampiran dengan rök ( semak ) yang menjadi pula habitat bewok ghiang ( biawak besar ala komodo ). Di Dungun juga mempunyai mengabang tetapi tidak dinamakan. Kawasan mengabang di Dungun - aku rasa terletak di sekitar Kampung Rantau Abang hingga ke Kampung Jambu Bongkok di dalam daerah Marang sempadan Dungun. Mengabang ini adalah aliran paya atau sungai yang menyusur selari dengan pantai. Mengabang yang diberi nama khas sebagai nama kampung ialah Mengabang Telipot, Mengabang Telung dan Mengabang Lekor yang terletak dalam daerah Kuala Terengganu. Orang Terengganu kata mengabang ini terlerak di birra pata, sebeloh darak bukang sebeloh hok alik lauk ( di tepi pantai, di sebelah darat, bukan yang di sebelah laut ).

Ber-göng. Göng terdapat dua maksud di Terengganu. Satu-berlagak sombong, angkuh, hidung tinggi. Dua-bermaksud tanah tinggi/permatang. Jadi di Dungun ini terdapat satu kampung bernama Kampung Göng Pasir. Jadi mungkin dahulu terdapat tanah tinggi berpasir atau permatang pasir di sekitar kampung ini. Sekarang jangan cari, mungkin susah. Di daerah lain-Marang : Göng Balai, Kuala Terengganu : Göng Tok Nasek, Göng Kapas dan Göng Badak. Bagi menjelaskan kata göng yang bermakna sombong atau berlagak-teori aku, ia berkait dengan maksud yang kedua tadi iaitu göng bermaksud tempat tinggi, jadi apabila seseorang itu pandai atau berada/kaya atau berada di tampuk kuasa samaada harta/politik atau pengaruh maka sifat göng itu akan terpalit dalam diri.

Satu nama pelik bagi bentuk muka bumi di Terengganu. Kawasannya tidak berpulau, tiada air , tiada laut yang mengelilingi tanah perkampungan penduduk tetapi nama kampungnya dinamakan dengan Pulau. Ambil contoh di Dungun adalah Kampung Pulau Serai, kalau di daerah Marang-Pulau Kerengga, di Kuala Terengganu-Pulau Bahagia, Pulau Rusa, Pulau Musang dan Pulau Kambing. Di Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut pula bagaimana? Jikalau Pulau Redang, Perhentian,Bidong, Kapas dan Tenggol - itu betul-betul pulau.

Berkuala. Dungun terkenal dengan Kuala Dungun-hentian bot bagi penggemar penyelam dan pelancong ingin ke Pulau Tenggol. Kuala Dungun ini pertemuan Sungai Dungun dengan laut. Ia juga sebagai tempat jeti menaikkan ikan terutama di Jeti LKIM dan berhampirannya terdapat jambatan baru bagi daerah Dungun bagi menghubungkan kawasan seberang sana- Tanjong Jara, Teluk Bidara, mahupun jalan ke Kuala Terengganu.

Terakhir ialah berseberang. Di Dungun terdapat satu nama kampung yang mengambil nama bentuk muka bumi ini iaiatu Kampung Seberang Pintasan-terpahat sejarah Micheal Shumacher bermain bola sepak dengan Pasukan Kampung Seberang Pintasan berbalik kenangan beberapa tahun dahulu sebagai tempat persinggahannya sebelum berlumba di SIC di Sepang, Selangor. Kedengaran juga cerita beliau dikejar polis gara-gara tidak memakai helmet menaiki motor ke Bandar Dungun, yakah? atau cerita cakap-cakap? Berbalik nama seberang ini ialah kerana kawasan ini berseberang dengan Kuala Dungun- tanoh kapong hok alik sane. Ayat terang lain ialah : Sungai Dungun di tengah-tengah dan kampung ini terletak di seberang Kuala Dungun.

No comments: