Lada. Cili. Rasa - pedas, sedikit pedas, amat pedas, ada tak makan lada tak rasa pedas? Lada. Masa kecil aku selalu ke pasar The Mel. Mencari lada untuk tambahan selera dalam menjamu makanan - makan pagi nasi dagang kuah ikan aye berlada berbelimbing dan beracar mentimun berhiris lada. Makan tengah hari ikan aye singgang cicah sambal belacan - semestinya lada. Jika tidak pun ikan aye goreng cicah tempoyak kicap ditenyeh lada. Kalau gulai mesti ikan kembung cicah kicap ditenyeh lada dan ulam acar kobis dihiris halus - ada hirisan lada juga. - Berhenti -.
Aku kongsikan jenis lada yang dipanggil di Terengganu.
Lade Beso / Lada Besar. Dipanggil begini kerana saiznya yang besar. Menjadi kegunaan sebagai penyedap dan diletakkan dalam masakan mee goreng, nasi goreng, dan sayur goreng. Jika ditumbuk sebagai sambal belacan, ia sedikit cair kerana ladanya banyak air - jadi campurkan ia dengan Lade Marang.
Lade Marang. Aku tidak tahu kenapa ia dipanggil dengan lade marang. Adakah kerana bentuknya seperti lada besar tetapi saiz berkala kecil. Ia kurus dan memanjang. Atau adakah kerana ia berasal dari daerah Marang, Terengganu? - ditanam oleh pekebun peladang di sana. Lade Marang sedap ditumbuk menjadi sambal belacan. Malah jika sebagai cicah kicap tenyeh lada tersebut amat menyelerakan jika kena dengan lauk seperti gulai ikang kembung, atau lauk sayur putih kobis ( lauk ini pun diletak campur hirisan lada besar ).
Lade Kapong / Lada Kampung. Lada ini gemuk, kecil dan pendek. Ditumbuk menjadi sambal belacan juga enak - pedas sebenarnya. Ditenyeh dalam kicap sepiring - pedas juga. Ia penambah rencah makanan. Makan nasi tengahari kuah gulai, kuah singgang, sayur calöng, sayur téné - ada ikan goreng kembung atau aye, ditambah ulam timun cine ( tembikai ), berselera jadinya. Ingat! Selera Terengganu tembikai tidak dibuat pencuci mulut, tetapi dimakan sebagai ulam dengan nasi berlauk.
No comments:
Post a Comment