Friday, November 13, 2009

Ngarung

Sekarang musim banjir. Sekarang musim bah. Di kaca tv selalu berpesan, "Hindari anak anda dari bermain banjir", lebih kurang pesan-pesan tersebut. Pengalaman banjir di kampung Sungai Buaya dan Kampung Gong Pasir, banjir adalah seperti pesta. Rakit dibuat. Bermain rakit ke ulang alik dari jalan raya yang bertanah tinggi (biasanya jalan raya berkedudukan tinggi dari kawasan rumah) ke rumah. Tidak pun tiub pelambung bulldozer dijadikan seperti pelampung mandi manda di kolam renang mewah di hotel pusat pelancungan. Tidak pun tiub besar dijadikan pelampung itu dijadikan rakit dengan hanya meletakkan sekeping papan di tengah-tengah bulatan pelampung. Ke hulu, ke hilir hingga puas hingga petang.

Musim banjir. Musim mencari ikan juga. Ikan sepat, haruan, dan puyu bermain di longkang kecil. Ikan kecil berkepala putih setompok. Anak ikan sumbing yang rupanya sepeti ikan tidok atau layaran. Semuanya bermain di longkang-longkang kecil sekitar Kampung Sungai Buaya. Menaguk ikan. Itulah kerjanya. Musim tengkujuh bermakna musim cuti sekolah. Itulah kerjanya anak-anak dahulu. Iyalah kami tiada playstation portable, kami tiada playstation di rumah. Nak dapatkan game watch bukan senang di kampung. Kami tidak memerap di rumah selalu. Hanya memerap sementara menunggu hujan berhenti. Main rakit, main pelampung, dan menaguk ikan.

Acara lain di musim bah? Main lumba speed boat mainan. Bukan kawalan jauh tetapi dijanakuasa bateri saiz D. Saiz D terlalu berat, kami menukar dengan saiz AA. Ringan speed boat itu. Harga speed boat ini dalam RM 5 pada waktu itu. Berwarna putih di sebelah bawah, berwarna coklat di sebelah atas di hadapan pemandu. Mempunyai kemudi dan kipas yang mudah tercabut. Kawasan permainan lumba ini hanyalah di kawasan longkang kecil. Dua hingga empat biji akan diletakkan ke dalam longkang dan berlumba. Tiada modification dibuat, tiada motor ditukar, hanya saiz bateri sahaja ditukar. Kelajuan bot hanya bersandarkan kekuatan bateri. Siapa yang mempunyai bateri yang lama yang telah digunakan, alamat kalah. Siapa yang speed boatnya berlanggar dengan speed boat lain atau terlanggar dinding longkang, atau tersangkut kayu, alamatnya kalah. Siapa yang laju sampai ke garis penamatnya-dialah pemenang. Mudah sahaja peraturannya.

Acara lain lagi? Tiada. Hanya ngarung banjir sambil berpayung atau berbaju hujan atau hanya berseluar sahaja. Sekarang? Ingat jangan main banjir walau mengarung banjir. Sebenarnya bahaya!

Ngarung/mengarung - mengharungi dengan cara berjalan di dalam sungai/laut di tepi pantai, air banjir/bah.

2 comments:

Upenyu said...

Dulu aku pernah makan nasi ayam kat restoran kartini kat sura gate sambil kaki berendam dengan air.

Time ni, time ngarung air ini masa aku dulu kalau nak tengok betis orang puang. Orang puang ni selalu turung ngarung air pakai kain batik. lepah tu dorang akak kain ikut paras air. Masa tu dok jupe orang puang paka skirt atau seluor pendek.

Rumoh aku kat jalan ustaz Omar (Bukit Chatok) doh pernah banjir tapi air naik kat halaman rumah setakat paras betih dari bulang sepuluh sapa bulan Januari. Ngail ikang haruang dari dalam rumoh je. Dulu kalau masih ingat, semua rumah ada tanam pokok ubi kayu. Bila sampai musin hujang, makanan utama adalah ubi kayu dengan ikan jeruk (ikan yg disimpan dalam tempayan). Kalau tanam dalam bulan april, masuk bulan sepuluh, ubi kayu dah boleh cabut. Time musim hujang, nelayang dok turun ke laut doh, jadi ikan payoh nak dapat. Lepas jalan nak sapa ke dungun selalu putuh pasa air naik, selalunya kat ayer hitam, atas sikit dari Bukit bauk. jadi bekalan makanang macam beras tak sampai, jadi ubi kayu yang jadi makanan ruji.

Cerita-cerita dulu..hmmmm

AWANG said...

Terima kasih saudara sudi berkongsi cerita, memang taing gini makang ubi kayu ngang teh o panah sedak...sedak ngat!