Wednesday, February 18, 2009

Göng

Göng.

Di dalam bas, ada dua orang perempuan, seorang makcik dalam umur 40an, seorang wanita berumur 20an. Menaiki bas Thong Aik dari Stesen Kemaman yang berdekatan dengan Pasar Bandar Chukai, Kemaman. Mereka berdua menaiki bas dari stesen tersebut menuju pulang ke Dungun. Bas mulai berjalan, dan konduktor bas ( penjual tiket bas ) mula menjual tiket dari kerusi penumpang yang pertama yang berdekatan dengan pemandu.

Konduktor bas tersebut memakai pouch ( beg pinggang ) yang mungkin dipenuhi dengan duit kertas dan syiling. Menjual tiket sambil mengetip lubang pada kertas tiket yang banyak nombor. Sampai ke tempat kedua-dua wanita tersebut, tiket diketip, dan makcik dan wanita muda tersebut menghulur duit - membayar harga tiket. Kedua-duanya membayar tiket harga untuk ke Dungun. Sesudah itu,konduktor bas tersebut pergi ke kerusi-kerusi penumpang yang lain. Bas penuh. Sampai ke belakang konduktor bas tersebut akan menjual tiket bas tersebut.

Makcik yang berumur 40an, membelek tiketnya. Dia hairan mengapa terlalu banyak nombor, dan ada dua nombor yang diketip berlubang. Lalu dia bertanya wanita muda di sebelah :

Makcik : Bakpe dia ketip tiket ni belubang-belubang gini? Dari dulu mokcik dok tahu bakpe?

Wanita muda : ( Dalam hati - Hoh! Terkejut aku... ).

Makcik : ( Dalam hati - Senyap-k je budok ni, takmboh jawab-k soalan-g aku ke? ).

Wanita muda : ( Masih mendiamkan diri )

Makcik : Hmm...( Dalam hati - Göng sungguh budok nih... ).

Masing-masing mendiamkan diri. Bas meneruskan perjalanan seperti biasa. Sampai di Paka, seorang pemeriksa tiket bas naik. Diperiksanya tiket-tiket bas satu persatu. Pemeriksa tiket ini mengoyak sedikit tiket di sebelah atas. Selepas itu, makcik tersebut meneruskan perbualan setelah sekian lama menyepi sepanjang perjalanan tadi.

Makcik : Bakpe dia suke sangat-k koyok tiket nih...

Wanita muda : ( Masih mendiamkan diri dan buat-buat pandang ke arah tingkap bas )

Makcik : ( Dalam hati - Memang soh göng budok nih... )

Setelah bas melewati sekitar Kampung Batu 48, wanita muda ini menulis sesuatu di belakang tiketnya. Selepas itu, wanita tersebut menyelitkan tiket tersebut di celah tingkap bas. Makcik itu hanya sekadar mengerling sahaja tingkah laku wanita muda tersebut. Hampir sampai dengan Bank CIMB Dungun, wanita muda itu bangun dan menekan loceng. Bas memberi isyarat ke kiri dan berhenti. Wanita muda itu bergerak dan mengelakkan sedikit kakinya supaya tidak terkena makcik di sebelahnya. Makcik di sebelahnya memberi laluan kepada wanita muda itu lalu menyapa sekali lagi.

Makcik : Duduk Göng Pasir ke ?

Makcik itu bertanya dan meneka.

Wanita muda : ( Senyum )

Wanita muda itu berlalu hanya dengan muka tersenyum sedikit. Mungkin rasa bersalah. Setelah wanita muda itu turun, makcik muda itu cepat-cepat mengambil kertas yang diselitkan wanita muda tadi di celah tingkap bas. Lalu dibuka dan membacanya.

"Assalamualaikum makcik, saya minta maaf banyak-banyak kat makcik. Bukan sombong tak melayan pertanyaan dan perbualan makcik. Cuma saya terkejut makcik tidak memberi salam dulu sebelum berbual dengan saya. Saya pulak bukan orang Terengganu, saya orang KL, baru sangat datang belajar kat Dungun ni, saya tak paham apa makcik cakap, salah jawab malu. Ampun dan maaf ."

Makcik itu tersengih : Laaa...patutla...mokcik maafkanlah ye... kalu jupe smula mokcik cakap bahasa KL ( Kata makcik dalam hati sambil memandang wanita muda tersebut dari dalam bas ).

Bas masih bergerak menuju ke Stesen Bas di Kuala Dungun...


Glosari

Göng
Sombong

Göng Pasir
Nama kampung dalam daerah Dungun ; Kampung Göng pasir

No comments: