Saturday, November 21, 2009

Padang Astaka

Padang Astaka yang bertempat di Bandar Kuala Dungun yang berhadapan dengan Stesen Bas Dungun dari arah Sungai Dungun/Pasar Besar Dungun adalah padang yang biasanya digunakan untuk acara ekspo seperti Pekan Budaya, acara sukan rakyat/permainan tradisional rakyat, dan boleh kata pernah menjadi tempat ceramah politik.

Padang ini juga terletak berhadapan dengan Ibu Pejabat Polis Dungun yang lama/yang telah dikosongkan dengan berek polis yang bertingkat tinggi ditinggal begitu usang ( tidak tahu kenapa ditinggalkan dan dibiarkan begitu sahaja setelah Ibu Pejabat Polis Dungun yang baru telah dibuka di Kampung Batu 49 dan apa perancangan selepas ini untuk kawasan tersebut tidak diketahui). Di berek lama inilah ramai kenalan sekolah aku yang tinggal di situ. Rata-rata kenalan aku dahulu adalah anak-anak polis. Selain itu padang ini juga berhadapan dengan Bangunan TNB dan Pejabat Immigresen Malaysia (bekas Pejabat Pos lama). Di sebelah pantai pula ia berhadapan dengan bekas bangunan RTM.

Dulu Padang Astaka ini juga terdapat gelanggang bola jaring yang biasa digunakan oleh golongan muda Tionghua yang tinggal di sekitar Bandar Kuala Dungun. Padang ini juga biasanya menjadi tempat bermain/berlatih bola sepak anak-anak muda dari kampung sekitar iaitu Kampung Bijangga. Sekarang ini aku tidak tahu ia masih digunakan atau tidak sebagai tempat bermain bola sepak. Padang Astaka ini tidak dikelilingi pagar. Ia hanya dikelilingi tempat duduk konkrit berbentuk seperti anak tangga-dalam 2 atau 3 anak tangga. Ia mengelilingi padang berbentuk segi empat tepat. Luas.

Dulu dari arah Ibu Pejabat Polis Dungun yang lama terdapat satu pentas berbumbung yang digunakan sebagai tempat berucap dan acara penyampaian hadiah, kini pentas tersebut beralih ke sebelah arah dari Pejabat Immigresen Malaysia. Padang ini cuma satu yang kurang, rumput tidak terjaga, jika hujan, tanah menjadi becak dan lecöh (tanah berair-air bertakung). Rumput yang tidak sekata dan tumbuh jarang-jarang menjadikan ia bukan seperti padang. Jika bermain bola sepak dan kalau rebah jatuh, pasti tercalar luka dek tanah yang keras.

Musim Tengkujuh dan hujan lebat yang berterusan begini, pada waktu malam biasanya kawasan yang bertanah rendah di sekitar Kuala Dungun/Kampung Bijangga akan dibanjiri air sungai yang melimpah. Ini kerana paras air Sungai Dungun yang naik melimpah, dan kalau tak silap aku air sungai akan melimpah sampai ke padang ini. Seingat akulah!

2 comments:

Perindu Malam said...

tahun-ahun ke belakang tak berapa lama dulu, kalau malam-malam ada 'kupu-kupu' jantan dan juga betina 'berterbangan' di padang astaka dungun menanti dihinggapi dan juga menghinggap.... tak taulah sama ada sekarang masih ada lagi spesis ini yang masih 'berterbangan'...

AWANG said...

Salam Perindu Malam,

Kena ada pihak penguatkuasa gi ambak kalu ada lagi lening.