Wednesday, July 27, 2011

Mari ke Muzium Dungun

Muzium Dungun antara muzium muda di negara kita yang baru menapak dan baru beroperasi dalam Negeri Terengganu. Ia merupakan bekas Rumah Pegawai Daerah yang dibina pada tahun 1941. Ia menyimpan pelbagai khazanah dan sejarah Dungun yang telah lama wujud di sebelah Pantai Timur Semenanjung di Kepulauan Alam Melayu ini.


Terletak di Jalan Besar Yahya Ahmad (Allahyarham Yahya Ahmad merupakan seorang bekas guru dan tokoh koporat di negara kita yang berasal dari Dungun) yang dibuka pada setiap hari Sabtu hingga Khamis dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang dan masuk adalah percuma. Ia ditutup pada hari kelepasan am dan Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha - Hari Raya yang pertama dan kedua sahaja. Aku menggalakkan penduduk setempat terutama anak-anak muda ziarah ke sini untuk mengetahui dan menambah pengetahuan berkenaan sejarah daerah sendiri. Galakkan untuk mengenali sejarah daerah kita sendiri patut dipupuk kepada anak-anak muda sekarang.


Papan tanda menarik di muka pintu masuk.


Kaunter salam menyambut pengunjung.


Paparan sejarah Rumah Pegawai Daerah Dungun yang kini menjadi Muzium Dungun.


Biodata daerah kita.


Sedikit sentuhan sejarah awal.


Hasil khazanah yang dipaparkan.


Tembikar-tembikar yang ditemui dalam Kapal Wanli yang karam di perairan Dungun.


Perhatikan tembikar sebelah kiri dari Dinasti Ming. Terukir Doa Makan!


Lagi hasil khazanah yang dipamerkan.


Hasil mineral dan alatan dari tinggalan Perlombongan Bukit Besi.


Sejarah ringkas tentang Peristiwa Penting dan tokoh-tokoh silam di daerah Dungun, antaranya Almarhum Sultan Yahya Siak dan Allahyarham Panglima Tambun.


Penerangan tentang Rantau Abang dan Pulau Tenggol.


Menarik! Ikan terkecil di dunia dijumpa Hutan Simpan Bukit Bauk. Ikan terkecil di dunia jenis Paedocypris yang berukuran 7.9mm.

Rel landasan keretapi zaman Bukit Besi yang dijumpai semasa kerja-kerja ubahsuai jalan di Bandar Dungun di kawasan Sura Gate.


Setelah tamat meneroka sejarah Dungun, jangan lupa menulis sedikit catatan pengalaman anda dan pendapat yang membina bagi menambahbaikan muzium kita ini. Sepanjang perjalanan meneroka sejarah di muzium ini anda akan dipandu oleh kakitangan muzium ini dan memberi sedikit penerangan kepada anda bagi mendapat maklumat dan pengetahuan yang lebih jelas. Gambat-gambar yang dipamerkan di blog @Dungun ini hanya sebahagian dari apa yang dipamerkan di Muzium Dungun. Nak tengok lagi, jom pakat gi Muzium Dungun!

Monday, July 11, 2011

Sarang di Sungai Udang

Sarang apakah ini?


Aku agak lama mencari-cari sarang ini. Sungguh payah untuk menemui sarang ini. Berlainan pada tahun 80an ke awal 90an dahulu. Agak banyak. Sekarang agak risau kalau-kalau haiwan ini telah pupus.


Pencarian aku berakhir di Kampung Sungai Udang. Hanya sarang-sarang sahaja yang dapat ditangkap gambar. Haiwan yang bersarang di tepi sungai kecil ini tidak aku ketemui. Sarang pun jadilah. Apakah nama haiwan ini disebut di Terengganu?


Haiwan tersebut namanya Udang Ketok. Bukan udang ketok laut. Ini sarang udang ketok darat. Gemar membuat sarang di tepi sungai kecil, kawasan berpaya dan alur. Udang Ketok ini berwarna putih merah, badannya panjang tirus dan mempunyai sepit kiri dan kanan seperti ketam.


Kini sungguh sukar sekali untuk mencari bagi menangkap gambar haiwan ini. Malah sarang-sarang yang ada hanya sedikit. Aku risau kalau-kalau ia pupus di Dungun ini. Haiwan yang dahulunya banyak bersarang di Jalan Lembah dan Sungai Buaya. Budak-budak sekarang kenalkah haiwan ini? Nanti kalau aku berjaya menangkap gambar haiwan ini, aku kongsikan di sini. Kalau boleh ada pihak yang mewartakan haiwan ini sebagai haiwan lindungan. Harap-harap haiwan ini ada yang diternak di Zoo. Ada ke?

Sunday, July 10, 2011

Dok rase saloh ke...?

TAK RASA BERSALAH KE...? BUANG SAMPAH DARI KENDERAAN ANDA?


Papan tanda sindiran yang diletakkan di jalan utama Dungun, dari arah PAKA-DUNGUN dan arah DUNGUN-KUALA TERENGGANU di kawasan lampu isyarat depan Pasar Buah Dungun. Harap-harap kita faham-faham sendiri. Sayangi Dungun.

Thursday, July 7, 2011

Di mana Kuala Dungun?

Jeragang tanya, "nak tanya mung se awang acu jawab molek..... kuala dungung tu sebeno2 nyer duk kat aner gok?"

Aku jawab, "Huh! Soalang cepu mas tu, dari segi geo ambe dok tahu sangak, tapi ambe cube teka, kuala tu adalah kawasan air yang berbeza warna dia antara sunga dengang laut. Kene duduk tengok kat tanjung hujung kuala tu baru napok. Ye dok?"

Jeragang jawab, "sebenonye ambe pung dok tahu jugak tapi ambe berasa setentang antara ujung tanjung dengan bukit lepas teluk ddare bukit belah orang panggil."


Aku rasa jawapan Jeragang betul, kerana kalau tak silap aku, kawasan tersebut adalah kawasan sempadan laut dan sungai di mana airnya berbeza dan menandakan ia sebagai sempadan sungai laut. Kalau anda berada di tanjung kuala sebelah Kuala Dungun, anda akan dapat melihat ombak kecil di sebelah daratan tebing sungai yang berpasir seumpama pantai. Kawasan yang menghadap jeti LKIM ini seumpama kawasan pantai mungkin kerana ia merupakan kawasan yang berhampiran dengan pantai laut-maka tempias ombak sedikit menjadikan arus sungai di sini berombak kecil. Tambah lagi laluan bot-bot nelayan pergi dan pulang yang menjadikan arus sungai berombak.

Wednesday, July 6, 2011

Pembangunan Pantai Di Dungun

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini pelbagai Homestay, Hotel, Resort tumbuh bagai cendawan di sepanjang pantai dari bermula jalan Muzium Dungun hinggalah ke Sura Hujung. Perniagaan berteraskan perhotelan ini semakin bertambah dan panorama di sini hampir-hampir mirip di sepanjang pantai Port Dickson (walau tidak segah PD). Ini mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Cumanya aku rasa kurangnya promosi tentang hotel-hotel di sini. Mungkin baru merangkak dan pantai-pantai di Dungun ini masih lagi memerlukan sedikit sentuhan pembangunan tanpa perlu mengacau keaslian keindahannya.

Cakap-cakap kampung mengatakan tanah-tanah pantai ini akan dibangunkan, mungkin untuk tujuan pelancongan. Bagi aku ia bagus tapi seperti yang aku katakan tadi, diharapkan sentuhan pembangunan tidak menjadi pengacau kepada keindahan yang asal di sini. Jangan rosakkan landskap pantai di sini. Mungkin pantai PD boleh dijadikan penanda aras, tetapi terlalu banyak hotel yang meninggi langit, pelbagai deretan bangunan telah menjadikan pemandangan di sana tidak sesyahdu pemandangan pantai-pantai di Dungun. Pendek kata-sesak. Mungkin boleh dibuat kuota jumlah hotel dan resort yang boleh dibina di sepanjang pantai di Dungun bagi memudahkan pihak PBT mengawasi pembangunan di sini di samping dapat mengekalkan keaslian keindahan pantai.

Satu lagi ialah promosi. Peningkatan promosi mungkin menjana ekonomi di Dungun. Aku rasa sekalian blogger-blogger atau jurnalis jati Dungun atau berpangkalan di Dungun boleh membantu dengan mempromosi secara percuma di blog dan laman sesawang anda. Apa salahnya membantu anak setempat kita sendiri? Selain daripada itu, aktiviti-aktiviti pelancongan di Dungun mungkin boleh dipertingkatkan, dan aku rasa anak setempat kita di dalam PBT atau dalam kerajaan mempunyai perancangan yang baik bagi meningkatkan pelancongan di sini.

Sedikit cadangan aku :

  • Jadikan Pasar Besar Dungun segah Pasar Kedai Payang atau Pasar Siti Khadijah di Kelantan. Jadikan pasar ini bukan semata-mata menjual barang masakan, dapur dan hasil darat dan laut, tetapi juga intergrasikan juga dengan hasil seni tempatan seperti batik canting-dengan membina kawasan mengusahakan batik canting (Rumah Batik Canting), kawasan pembuatan keropok lekor/keping (Rumah Keropok Lekor), kawasan mengusahakan makanan tradisional seperti akok, nasi dagang, rojak kateh dan sebagainya-namakan ia sebagai Rumah Juadah Terengganu. Popularkannya walau mungkin mengambil masa.
  • Jadikan Melaka sebagai penanda aras dalam menjaga kebersihan dan menjadikan pelancongan sebagai sumber ekonominya.
  • Temakan daerah Dungun dengan satu nama yang memudahkan pelancong untuk mengenalinya- umpamanya sebelum ini Dungun pernah digelar Dungun Bandar Tenggiri. Aku pula lebih suka dikenali sebagai Bandar Muara Sungai.
  • Slogan JOM PAKAT GI DUNGUN, begitu menarik, cuma perlukan seseorang yang pakar untuk membuat logo bagi menusuk ingatan para pelancong. Aku pula gemar menggunakan Tiang OPAL sebagai tanda pengenalan Dungun. Mungkin anda mempunyai pendapat yang berbeza?
Itu sahaja? Mungkin.

Friday, July 1, 2011

Tanjong Pagar

Semalam tertutuplah satu stesen Tanah Melayu yang membelah ditengah Singapura. Stesen Keretapi Tanah Melayu Tanjong Pagar, Singapura. Sila baca di sini Tanjong Pagar, Tanjong Pagar dan Tanjong Pagar. Kaitan peristiwa ini tidaklah relevan dengan @Dungun cumanya nostalgianya apabila membaca berita-berita tersebut. Satu lagi di Dungun juga ada nama tempat/nama kampung yang sama iaitu Tanjong Pagar. Ia di kawasan jambatan lama yang menghubungkan Tanjong Pagar dengan Pulau Serai. kalau anda tahu Dungun Timber/Sawmill atau penduduk setempat memanggilnya soméng, di kawasan yang berhadapan Sawmill tersebutlah terletaknya Tanjong Pagar yang juga berhadapan bertebing dengan Sungai Dungun.

Dulu-dulu pada waktu kecil aku diajar sebut kawasan Tanjong pagar ini sebagai ulu. Ia bukan bermaksud merendahkan martabat kawasan tersebut, tetapi bagi membezakan antara kawasan Kampung Nibong Bawah yang lebih menghilir ke muara sungai dengan kawasan Tanjong Pagar yang ke kawasan yang dalam sedikit, tetapi sebenarnya Kampung Nibong Bawah dengan Tanjong Pagar hanyalah berjiran.

Mungkin inilah uniknya orang Dungun ini bagi memudahkan kata menyebut tempat, maka dibezakan begitu, pada zaman motokar hanya boleh dibeli oleh golongan berada dan kakitangan kerajaan, pada masa masih ramai lagi orang berbasikal berbanding dengan bermotorsikal, tatkala masih ada lagi beca yang kuat membawa penumpang ke darak (Gong Pasir/Pak Sabah) atau ke kuale (Pasar Besar Dungun) dan tatkala ada yang masih lagi berjalan kaki ke degate (Sura Gate).

Thursday, June 30, 2011

Ulasan : Nelayan Kuala Dungun sokong dalamkan muara

Petikan daripada Berita Harian
(http://www.bharian.com.my/articles/NelayanKualaDungunsokongdalamkanmuara/Article/)

Nelayan Kuala Dungun sokong dalamkan muara

2011/06/27


DUNGUN: Hampir 1,000 nelayan di Kuala Dungun melahirkan perasaan gembira selepas Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi mendalamkan muara Kuala Dungun.

Kebanyakan nelayan yang ditemui Berita Harian melahirkan terima kasih kepada kerajaan yang sanggup membantu mereka menyelesaikan masalah kesukaran untuk keluar masuk melalui muara itu berikutan mendapan pasir yang semakin serius sejak beberapa tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Dungun, Mohamad Abd Ghani, 55, berkata persatuan berterima kasih kepada Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh yang berusaha sehingga peruntukan itu diluluskan.

Katanya, ini membuktikan kerajaan mengambil berat masalah yang dihadapi nelayan di daerah ini yang berhadapan dengan masalah itu sejak sekian lama.

“Kami berterima kasih dan berharap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mempercepatkan pengeluaran tender dan kerja mendalamkan muara dapat dijalankan dengan segera sebelum tiba musim tengkujuh,” katanya.

Pemilik bot nelayan, Omar Mohamad, 51, berkata, dia beberapa kali berdepan kejadian botnya karam di muara terbabit dan langkah kerajaan mendalamkan muara itu dapat menyelesaikan masalah yang sudah lama dihadapi golongan sepertinya.

“Sekiranya muara itu tidak didalamkan, banyak lagi kejadian bot karam boleh berlaku sehingga menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian yang banyak.

“Kesan muara yang cetek itu juga menyebabkan nelayan terpaksa melabuhkan bot di luar kuala kerana tidak dapat memasuki jeti Kuala Dungun untuk berlabuh dan mendaratkan hasil tangkapan terutamanya ketika air surut.

“Keadaan itu pernah mengorbankan seorang nelayan, Ami Amri Abu Bakar pada 2004, selepas bot gentian kaca yang dinaikinya karam dipukul ombak apabila bot pukut jerutnya tidak dapat masuk berikutan muara yang cetek,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh berkata, JPS akan mengeluarkan tender dengan seberapa segera dan kerja mendalamkan muara itu akan bermula selewat-lewatnya Ogos ini.



Ulasan :

Alhamdulillah. Harapan @Dungun dengan penambahbaikan projek ini akan membantu penduduk setempat. Satu lagi isu iaitu dari pemerhatian @Dungun sebelum ini di sekitar sepanjang pantai dari Kuala Dungun hingga ke Sura Hujung terutamanya di kawasan Teluk Lipat dan Sura Jeti hakisan pantai juga agak kritikal, pantai menjadi semakin pendek dan laut semakin hampir dengan jalan. Landskap pantai di kawasan ini amat berubah berbanding dengan tahun-tahun dahulu. Seingat @Dungun landskap ini berubah sejak atau sedikit sebelum tahun 2008. Sungguh berbeza sekali. Diharapkan juga projek menambak laut menampan ombak dilakukan dengan segera bagi mengelakkan pantai makin terhakis. Mungkin selepas ini pantai boleh ditambah timbun semula dengan pasir supaya landskapnya mungkin boleh sama bentuknya seperti dahulu. Cumanya agar ia dibuat elok dan bukan ditambah pasir dengan menjadi landai seperti Pantai Batu Buruk, pantainya berubah seperti padang pasir -terlalu landai dan jauh ke tengah. Mungkin kita tidak dapat melaksanakannya dengan menjadikan ia seperti dahulu. Kita hanya berikhtiar dan merancang, hanya Allah sahaja yang menentukan segalanya.

Sunday, June 26, 2011

Opal Lama. Furui Oparu. Old O-file.

Justify FullOpal lama (Rumi Melayu). Furui Oparu (Romaji Jepun). Old Opal (Inggeris). Satu gambar lama jambatan yang merentangi pantai dan laut di Sura Jetty (Sura Jeti). Jambatan bertiang konkrit yang disebut-sebut oleh penduduk Dungun sebagai Opal. Aku mencari-cari nama sebenar opal ini. Adakah ia nama sebenar sebagaimana yang disebut-sebut oleh penduduk setempat atau ada nama lain dari segi terma senibina? Pencarian aku berhenti pada satu nama iaitu O-File. Benarkah nama sebenar opal ini adalah O-File. Setakat ini mungkin opal itu adalah O-File, satu terma dalam senibina,mungkin!

Monday, June 20, 2011

Bersihnya Dungun!

Rasa terharu. Kenapa? Tanggungjawab pihak yang berkaitan dalam mengendalikan kerja pembersihan dan cara menguruskan kebersihan di daerah Dungun. Kepulangan aku ke Dungun dan jengah aku ke beberapa kawasan pantai, kampung dan temubual membicarakan tentang pengurusan pengutipan sampah membuatkan aku rasa tertarik dan cara ini telah berubah berbanding dahulu.

Aku difahamkan setiap zon di kampung-kampung mempunyai kontraktor yang berlainan dalam menjaga kebersihan dan proses mengutip sampah. Cara mereka mengendalikan kerja pembersihan membuatkan aku rasa puashati. Di sekitar pantai pekerja-pekerja ini begitu tekun dan rajin dalam melaksankan menjaga kebersihan. Jika ada kenduri, dengan melihat khemah sahaja yang di pasang depan atau di halaman Tuan Rumah, maka dua tong besar diberi secara pinjaman sementara (tanpa bayar, tanpa duit pendahuluan atau duit sewa) untuk digunakan oleh pihak tuan rumah bagi memudahkan membuang sampah terus ke dalam tong besar beroda ini. Menarik!

Kontraktor-kontraktor yang berbeza yang dianugerahkan kontrak pembersihan mungkin mewujudkan sifat daya saing untuk menunjukkan komitmen dalam mengendalikan perniagaan berbentuk perkhidmatan pembersihan ini. Selain itu mungkin pihak kontraktor mudah untuk mengawal Manning (kakitangan pekerja pembersihan) dalam melaksanakan tugas kerana diperuntukan kawasan yang tidak begitu besar dan tidak memerlukan ramai pekerja. Mungkin juga pihak Majlis Perbandaran Dungun mudah untuk mengawal dan berurusan dengan kontraktor apabila proses penilaian kualiti (QA/QC) yang dibuat mengikut jadual dan skop kerja sebelum proses pembayaran dibuat. Ini semua teori aku berdasarkan pengamatan yang singkat dan pengalaman aku sendiri.

Ini pula cadangan aku :
  • Pihak Majlis Perbandaran Dungun perlu menyediakan tong-tong beroda yang besar dan dibezakan dengan kategori sampah. Mungkin dipecahkan untuk besi, sampah plastik/makanan/botol, kaca dan tin aluminium. Sampah berbentuk barangan elektronik seperti telefon bimbit (handphone), monitor komputer dan televisyen juga perlu diurus dengan cermat dan betul.
  • Mewujudkan perkhidmatan untuk mengutip sampah berupa dahan pokok yang besar, batang pokok dan sepertinya sebagaimana seperti contoh menyediakan tong sampah beroda secara pinjam percuma apabila ada kenduri-kendara. Mungkin boleh dibuat secara talian untuk memudahlan penduduk memangil pihak kontraktor dalam menguruskan sampah kategori pokok ini. Ini perlu kerana daerah Dungun masih dalam dunia kampung klasik yang masih utuh dengan keindahan landskap pokok-pokok tanaman.
  • Membuat tinjauan (Survey) secara rambang (Random) dengan penduduk-penduduk kampung berkenaan kepuashatian atau tidak dengan perkhidmatan yang diberikan oleh setiap kontraktor. Setiap tinjauan ini boleh diekstrak menjadi satu keputusan untuk melihat sejauh mana keberkesanan perkhidmatan yang diberikan. Selitkan juga ruang cadangan (BANK OF IDEA) bagi mendapatkan idea-idea rakyat bagi membantu mengindahkan daerah Dungun dan juga menjaga kebersihan daerah ini bersama-sama.
  • Banyakkan papan tanda (Signboard/Signage) berkenaan kebersihan. Ini satu psikologi! Hari-hari nampak, hari-hari baca takkan tak berdetik di hati untuk menjaga kebersihan. Letakkan papan tanda ini di segenap pelusuk kampung, bukan di tepi jalan besar sahaja. Itu sekurang-kurangnya satu cara untuk mendidik masyarakat melalui papan tanda.
Cukup setakat ini. Mungkin ada idea nanti aku tulis lagi. MENUJU BERSIHNYA DUNGUN!

Friday, June 17, 2011

J.e.b.é.n.g

Satu perkataan yang agak lama aku tidak dengar. Tiba-tiba terdengar, "Oh! Yea, dah lama tak dengar perkataan tuh!". Jebéng! Apakah maksud perkataan ini. Muka di pipi yang dipenuhi dengan rambut-rambut halus. Ada yang nampak bengis, ada yang nampak manis. Ada yang nampak selekeh, ada yang nampak kacak. Sungguh subjektif!

Jebéng di Terengganu adalah jambang.

Sunday, June 12, 2011

Terengganu Juara Piala Fa 2011

PETEH TERANUNG PETEH : KITE SENYUNG DI STADIUNG
(Sajak Sempena TERENGGANU JUARA PIALA FA 2011)

Sultan kite gembire senyung
Tengok bola di stadiung
Gol penyamaang taing nok abih doh pung!
Terkejuk ilang debö perlawanang disambung

MB kite senyung senang
Bile seri ade harapang buleh menang
Gété bola sane sini bola tinggi terbang
Kene peteh bangung smula bola ditendang

Coach kite berpeluh basoh berjeruk
Beri arahang maing jangang teruk
Biar sakik peluh dang jangang tersengguk
Biar menang gol bukang penalti yang buak debö peruk

Hasil tendangang sepakang suduk
Dari Ashaari sepak bola ke tengoh padang Joseph Kalang Tie tukangla tanduk
Ahmad Nordin Alias teruh sambung menendang masuk
Gol! Gol! Gol! Teranung juare kite pung suke sambuk

Kepada semua pemaing yang berjaye
Kite ucapkang tahniah atah usahe
Hok jatuh sakik sapa daroh kite dok seke
Semangak juang jerebba sepak tendang kite bangge

Sunday, May 29, 2011

Taman Tasik Tanjung Sura Dungun

Friday, May 20, 2011

Sukar

Agak sukar untuk aku membezakan dua blog kepunyaan aku yang mengaitkan dengan negeri Terengganu. Blog-blog aku ialah :
Aku pernah menjelaskan bahawa kemungkinan kedua-dua blog ini akan ada dua entri atau artikel yang sama dan akan ada artikel yang berbeza. Mungkin kali ini aku perlu membezakan kedua-dua blog ini. Blog journeyterengganu akan aku perbanyakkan gambar-gambar yang berkaitan dengan negeri Terengganu (walau termasuk perihal daerah Dungun), dan blog @Dungun akan menumpukan perihal Dungun, pengalaman aku, dan slanga bahasa Terengganu.

Walaubagaimanapun selitan dan selingan slanga bahasa Terengganu dan pengalaman aku juga perlu ditulis di blog journeyterengganu. Ianya perlu kerana tak dapat tidak negeri Terengganu ini penuh keunikkan dengan bahasanya. Walaubagaimanapun aku cuba untuk membezakannya.

Apa-apapun sila lawat juga ke blog aku ini : Kembara ke journeyterengganu (Pemenang Hadiah Saguhati daripada Kerajaan Negeri Terengganu dalam Pertandingan Blog Pelancongan 2010).

Thursday, May 19, 2011

Eh! Dah lama Tak Dengar

Menjadi perantau (atau istilah orang dagang pada zaman dahulu) menjadikan slanga yang dicintai kurang digunakan lantaran pelbagai orang yang datang dari pelbagai negeri. Maka bahasa orang KL digunakan sebagai bahasa komunikasi. Sekali-sekala menggunakan bahasa ibunda sendiri apabila bertemu rakan senegeri mahupun rakan negeri jiran yang mengadap Laut China Selatan.

Walau slanga berbeza tapi asas dan gaya masih boleh difahami. Apa yang menjadikan ia menarik ialah apabila kita jarang menggunakan bahasa ibunda sendiri, secara tidak sedar kita terlupa beberapa istilah atau perkataan yang telah lama tidak disebut...


"Eh! Lame dok dengor ayak (ayat) tuh...."

"Eh! Lame dok sebuk (sebut) perkataang tuh...."


Inilah dialog yang tiba-tiba terpacul keluar dari mulut apabila tiba-tiba mendengar rakan senegeri menyebut perkataan-perkataan yang dulu kita pernah guna, kita cakap dan kita dengar hari-hari di negeri sendiri.


Antaranya...

Bocong air - bekas air atau termos (bocong air panah).

Kérék telage - bulatan konkrit untuk binaan telaga/perigi.

Gelécoh - kaki tersadung.


Anda sebagai perantau bagaimana?



Wednesday, May 18, 2011

Tidur Orang Terengganu

Khelak. Ngatuk mate. Jeneghe. Tido seposeng.

Itulah kata-kata orang Terengganu tatkala ingin beradu atau melelapkan mata sekejap cuma. Semuanya bab tidur merehatkan diri.

Perbualan....

"Aku nok khelak kejak", dia berkata dalam loghat negerinya. Matanya terpejam sejenak bagi merehatkan badan yang mungkin terlalu letih setelah melaksanakan pekerjaan.

"Ngatuk mate weiii...", itulah yang dingomelkan oleh kawannya sejak pagi tadi. Kata ganda irama menyatakan dia begitu mengantuk pada mata bukan pada abdomen badan yang lain. Masing-masing mengungkapkan perkataan ingin tidur.

"Malang takdi tido dok jeneghe...", sambut bual oleh rakan seorang lagi. Entah mengapa sudah tiga orang mengungkapkan perihal yang sama. Rakan yang ini tidurnya tidak lena.

"Aku pung tidur dok jeneghe malang takdi, dakpe aaa, aku nok tido seposeng", rakan yang keempat pula menilaikan tidurnya dengan duit sepuluh sen. Maksudnya dia ingin melelapkan mata sebentar.


Imbas kembali...

"GOLLLLLLLLLLLLLLLLLLL............pasukan kelab dari Sepanyol telah berjaya menjaringkan gol kemenangan ke atas kelab lawan senegara maka mereka layak ke perlawanan akhir bagi musim kali ini....", kata komentator dalam Bahasa Melayu seawal jam 4.30 pagi. Bunyi bising dan cahaya dari televisyen teknologi LED ber-BEYOND ASTRO diselangi dengan suara sorak dua sahabat baik. Dua orang lagi rakan mereka terasa tidur diganggu dengan bunyi bising sorakan mereka.


Nasihat : Tengok bola berpadalah....Ingati kawan yang tido dok jeneghe...


Tuesday, May 17, 2011

Bila Orang Terengganu Bercinta?

Mandi - dok basoh... (padahal habis air se koloh...)

Makan - dok kenyang... (konon dok lalu makang tapi lalu je sapa peruk sééh...)

Tidur - dok jeneghe/jenere... (cukuk taing tedo gök...)


Monday, May 16, 2011

Ganda Irama : Rasa (Apa rasa Terengganu?)

[Pahik-Lepang] [Manih-Leting] [Masang-Ghebang] [Tawo-Hebe]
[Masing-Pekok] [Pedah-Desik]


Itulah rasa lidah orang Terengganu tatkala merasa juadah harian. Apa rasa anda di negeri lain?

SELAMAT HARI GURU! C.H.E.K.G.U

Thursday, May 5, 2011

Koleksi Terkini @Dungun : A Map Of Terengganu

Agak lama aku mengambil masa untuk membeli buku ini. Kekangan masa dan pelbagai alasan yang mungkin orang kata aku sengaja beri atau tidak. Peluang yang ada aku menjengah ke satu MPH. Alang-alang sudah sampai, aku mencari beberapa buku novel kegemaran aku dan ada beberapa genre buku atau novel yang aku ingin beli. Kini aku mencari-cari novel karya novelis Terengganu iaitu Ali Jusoh. Aku mahu buat koleksi. Buku terbaru Tuan AG@Awang Goneng yang terdahulu iaitu GUiT (Growing Up In Trengganu) telah dibeli dan kini aku mencari AMOT (A Map Of Trengganu). Peluang yang ada aku terus membelek buku ini.


Terdapat tandatangan khas milik penulis buku ini, iaitu nama sebenarnya Wan Hulaimi. Agak terkejut kerana dalam banyak-banyak buku di atas rak terdapat satu buku yang bertandatangan Tuan AG @ Awang Goneng. Apalagi, dalam antara rasa gembira, dan terkejut lalu aku ambil, dan aku bayar dan hati rasa berbunga-bunga.


Maka bertambah lagi koleksi buku dan novel @Dungun. Sukanye ati ambe...

Friday, February 11, 2011

@Satellite KLIA


Tourism Terengganu.Paparan bawah laut Pulau Redang.

Thursday, January 27, 2011

Rumah Chendering

Rumah milik kerabat penulis. Rumah Bujang Berselasar. Kayu cengal yang penuh ukiran, bertiang banyak dan atak bate singgora.